Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 52
August 10, 2011
Kegembiraan
Hari ini mereka kelihatan gembira. Kegembiraan yang diberi Allah melalui sumbangan pembaca KRTS. Saya, Roza dan guru-guru bertugas tumpang gembira melihat mereka gembira.
Jadi kegembiraan mereka juga mahu disaksikan kepada mereka yang menyumbang. Terima kasih semua!
Saya terfikir, "bagaimana perasaan mereka pada tahun hadapan?". InsyaAllah kita berusaha!

Bersiap di kaunter bayaran

Kasut raya 2011

Bersiap untuk shopping baju raya
August 9, 2011
Kenangan lalu
23 tahun 3 bulan.
Ia hampir separuh daripada usia kehidupan. Itupun hanya mengambil kira usia perkhidmatan. Jika dicampur tahun-tahun pengajian selama 5 1/2 tahun, maka jika ditakdirkan usia kematian di sekitar 60 tahun sebagaimana ayah dan Wan, maka nilai separuh kehidupan bersama UiTM agaknya tidak berganjak.
Maka jika ada yang bertanya, "apakah kenangan lalu yang paling manis semasa berkhidmat di UiTM?." sepatutnya ia tidak bermasalah. Namun ia tidak semudah itu.
Rupanya realiti kehidupan tidak begitu. Kemanisan kehidupan masa lalu boleh menjadi kelabu apabila masa bergerak ke hadapan.
Misalnya, jika saya bayangkan bagaimana perasaan saya apabila pengerusi VIVA PhD menyebut, "Congratulations Dr Ibrahim," maka itulah saat paling manis, malah mungkin kemuncak di dalam pencarian ilmu sebagai seorang manusia biasa.
Jika seminit selepas itu orang bertanya, "apakah yang paling manis dalam hidup anda?," maka tanpa teragak-agak pastinya saya akan berkata, "berjaya bergelar sebagai Dr Muhd Kamil Ibrahim".
Hari ini, jika ditanya semula soalan di atas, maka memperolehi gelaran Dr bukan lagi saat yang paling manis. Kemanisan yang tiada tolok bandingnya berlaku di hadapan Kaabah apabila menamatkan bacaan surah An-Nas setelah menjalani hampir 41 tahun kehidupan.
Saya tidak menangis ketika dianugerahkan PhD. Namun saya sebak apabila menghabiskan bacaan surah An-Nas tanda saya pernah khatam al-Quran. Kemanisan yang terus sampai ke hati.
Masa berlalu.
Segala kemanisan"masa lampau" itu menjadi senada. Barulah saya menyedari yang seluruh kehidupan itu merupakan suatu kemanisan. Setiap satunya sangat manis jika dikaitkan dengan kebesaran Allah SWT.
Misalnya, bila seorang teman rapat "memaksa" saya mengambil kenalannya yang tidak cukup syarat sebagai seorang pensyarah, rupanya itulah kemanisan yang tiada tolak bandingnya. Saya mengerti nilai seorang sahabat!
Misalnya lagi, ketika saya terpaksa mengadap Naib Canselor kerana angkara "surat layang", saya terasa kemanisannya kerana berjaga malam solat tahajud, bermunajat dan mengadu kepadaNya. Malah mampu pula menyebut-nyebut
لا إِلهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحانَكَ إِنّى كُنْتُ مِنَ الظَّالِمينَ
selama dua jam perjalanan Segamat – Shah Alam. Air mata membasahi pipi. Saya terasa amat syahdu, sebak dan terasa-rasa Allah sangat hampir.
Akhirnya, saya terasa kemanisan yang amat sangat apabila VC menyebut, "Mil, di dalam UiTM, orang yang sangat saya percayai adalah you, sebab itulah saya mahu mendengar you bagi penjelasan sendiri".
Apakah dianugerahkan "profesor termuda" UiTM bukan saat-saat yang paling manis?
Benar, pada ketika dan saat itu saya terasa kemanisannya umpama madu. Namun Allah gantikan dengan sesuatu yang lebih manis, "keinginan" untuk menunaikan fardhu haji sejurus menerima perlantikan tersebut. Lahirlah buku "Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman".
Hakikatnya, memahami betapa seluruh kehidupan merupakan satu kemanisan anugerah Allah juga merupakan satu kemanisan. Baik dan buruk di sisi manusia mempunyai harga yang berbeza di sisi Allah. Ia sangat mudah, "bersabar dan bersolat. Sesungguhnya solat itu amat sukar kecuali mereka yang kusyuk".
Hari-hari yang mendatang pastinya akan mempunyai nilai kemanisan tersendiri. Mudah-mudahan kita dapat merasainya!
Maznah oh Maznah
"Prof, kami mahu mendengar tazkirah prof sebelum prof meninggalkan UiTM," mohon beliau secara bersungguh-sungguh. Saya tidak menolak.
Semalam, saya dan Roza melangkah masuk ke bilik seminar perpustakaan. Puan Maznah dan kakitangan beliau sudah sedia menanti. Di skrin terpampang besar gambar saya dan Roza. Saya tahu ia diambil melalui FB Roza. Tertulis jelas, "Majlis Perpisahan Prof Dr Haji Muhd Kamil Ibrahim dan Puan Hajjah Rauzah Roslan".
Saya terkedu.
"Prof, jasa mu dikenang," beliau membaca teks yang telah disediakan. Ketika saya memulakan ucapan dan tazkirah, saya menyebut,
"Tuan-tuan dan puan-puan, terima kasih. Ia sesuatu yang tidak kami duga. Ia mengejutkan. Saya terharu di atas ingatan ini. Dulu, ketika saya memulakan tugas sebagai pengarah kampus, tugas pertama saya ialah untuk memastikan puan Maznah, ketua you all semua supaya lebih banyak tersenyum.
Saya fikir saya – dengan izin Allah – telah berjaya!"
Tidak terlintas di hati saya yang beliau akan meraikan saya sebegini rupa. Ah… sangkaan kita selalunya tidak tepat. Apa yang ada di hati manusia hanya Allah yang tahu.
Terima kasih puan, kami doakan puan, keluarga dan seluruh tim perpustakaan akan sentiasa dirahmati Allah".
August 8, 2011
Anak yang ditinggalkan

Hanya kepadaMu kami berserah
Sara dan Azrai akan ditinggalkan apabila kami berhijrah ke Madinah. Mereka akan meneruskan pengajian, masing-masing di UiTM Shah Alam dan Pulau Pinang.
Nanti jika ada kesempatan – insyaAllah - mereka akan menyusul melawat "mama, ayah dan adik-adik" terutamanya ketika cuti semester pengajian.
"Jangan tinggal solat," itulah pesan utama saya kepada kedua-dua anak yang ditinggalkan.
Malah itulah pesan yang berulangkali saya tuturkan semenjak beberapa bulan yang lalu ketika suasana mengesahkan yang kami sekeluarga akan berhijrah ke bandaraya Rasulullah (selawat dan salam kepada baginda, kaum keluarga dan para sahabat).
Malah kepada anak lelaki saya memberi lebih penekanan kepada soal solat berjemaah, "solat berjemaah, tiada sebab untuk tidak solat lima waktu di masjid. Biar kita yang menjadi pendahulu bukan menjadi pengikut. Jika Azrai mengikut yang ramai, maka sahlah solat subuh akan menjadi amalan terpinggir".
Melalui majalah ANIS (terbitan bulan Oktober) saya menulis,
"saya akhiri tulisan bulan ini dengan satu harapan kepada khalayak pembaca, "tegurlah jika bertemu anak remaja yang kelihatan perlu diberi peringatan. Jika tidak mampu, berdoalah supaya mereka menjadi manusia yang dekat dengan Penciptanya. Mana tahu, mungkin di antara mereka itu adalah kedua-dua anak yang saya tinggalkan".
Sara dan Azrai kelihatan seperti anak yang ditinggalkan. Hakikatnya, jika dilihat daripada perspektif berbeza, ia seumpama kami menghantar mereka belajar ke Luar Negara seperti anak-anak yang di hantar belajar ke UK, Russia dan lain-lain negara.
Rumah mereka di Madinah.
Terawih
Lain tempat lain caranya.
Lain masjid lain kaedahnya.
Lain imam, lain cara bacaannya.
Hari ini saya sekeluarga kembali ke Masjid As-Syakirin, UiTM Johor. Kami berbuka bersama-sama siswa-siswi UiTM. Bezanya, ada insan yang menyediakan nasi kerabu untuk dinikmati semasa berbuka.
9x solat diberlainan tempat, berlainan imam dan berbeza jumlah rakaatnya. Ada yang berkejar-kejar, ada yang aman dan damai. Saya kira saya masih muda. Laju atau perlahan, tidak mengapa.
Namun akhirnya saya mahu imam yang sedikit bertenang, membaca surah dengan tenang dan dapat pula menghayati bacaan surah dengan sempurna.
August 6, 2011
Hadiah
Saya menerima banyak hadiah persaraan dan perpisahan. Semalam, hadiah bersara dari UiTM yang sangat bermakna. Azura dan team menganjurkan majlis syarahan Intelektual siri ke 11, UiTM Johor. Ia siri syarahan yang mengundang tokoh-tokoh terkenal khusus untuk masyarakat setempat menimba dan menerima ilmu.
Saya fikir ia sangat relevan dalam konteks peranan dan sumbangan universiti kepada masyarakat setempat. Inilah hasrat yang telah saya anjurkan kepada Azura ketika melantik beliau sebagai "tukang kerja" melaksanakan siri-siri ini beberapa tahun yang lampau.
11 siri, dan saya sendiri telah menyampaikan 3x syarahan. Kali ini ia lebih bermakna kerana ia merupakan "hadiah perpisahan Azura" kepada saya. Terbayang pada wajahnya kegembiraan bila saya bersetuju untuk turut serta. Saya pula berfikir, biarlah siri ini merupakan "siri terakhir syarahan kepada masyarakat Segamat" dalam konteks sebagai pensyarah UiTM Johor.
Semalam, hampir 80 peratus khalayak merupakan masyarakat luar UiTM. Saya memeluk seorang sahabat MRSM yang datang dari Melaka semata-mata untuk bersama majlis ini. Malah sepasang suami isteri – saya fikir – tekun mendengar syarahan di baris hadapan datangnya sejauh Kuala Lumpur.
"Menghadapi Ujian", dimulakan dengan saya melayari blog Kehidupan Ringkas tapi Signifikan. Pada ketika itu sudah 54 pengunjung blog menulis dan menjawab dua pertanyaan, iaitu;
1. Apakah ujian paling besar yang pernah diterima?
2. Apakah ujian terkini?
Saya nyatakan, "benarlah telahan saya yang beranggapan hampir kesemua di antara kita akan mengaitkan ujian besar dengan sesuatu yang bersifat kehilangan, kegagalan dan kesedihan yang berlaku kepada diri sendiri. Saya bersangka tiada yang akan mengatakan "ujian paling besar adalah ujian tidur". Saya gagal untuk solat berjemaah di masjid. Kenapa? Solatlah yang akan dihisab terlebih dahulu. Ia sepatutnya menjadi isu paling besar.
Tentu sekali saya fikir tiada yang akan mengatakan, "ujian paling besar ialah Allah bagi kekayaan kepada saya". Orang berkata "ujian saya ialah gagal PhD", tiada pula yang akan berkata, "ujian saya yang paling besar ialah selepas lulus PhD".
Kenyataan-kenyataan yang saya kemukakan di atas akan membawa kepada beberapa takrifan tentang bagaimana kita akan menghadapi ujian yang Allah berikan kepada setiap manusia. Bukankah seluruh kehidupan itu merupakan ujian buat manusia?
Bayangkan, yang mana lebih besar di antara ujian kehilangan ibu bapa tersayang berbanding dengan ujian menjadi anak yang soleh atau solehah bagi membantu mereka yang kita sebut-sebut "rindu dan sayang" itu?
Berapa ramai di antara kita yang melihat segala yang dikatakan "ujian-ujian besar" sebagai nikmat untuk menghampirkan diri kepada Allah SWT?
Permulaan inilah yang membawa saya mengupas topik Menghadapi Ujian selama 2 jam yang akhirnya membawa kepada aspek "kusyuk dalam solat" yang hakiki. Terima kasih Azura dan Team yang memberi saya peluang untuk menyampaikan buah fikiran kepada mereka yang hadir.
Saya mohon keampunan Allah.
August 5, 2011
10 minit
Kami anak beranak berbuka di surau Taman Yayasan. Ia masjid/surau ke 6 untuk tempoh 5 hari berpuasa. Usai solat terawih, imam mengumumkan "keberadaan" saya di tempat mereka.
"Prof, kita bagi sehingga jam 10.00 untuk menyampaikan sedikit tazkirah". Saya menolak. Bagaimanapun ia telah diumum pada khalayak dan saya fikir sudah mempunyai hubungan dengan jemaah di situ menyebabkan saya bersetuju mengambil microphone.
Saya merenung jam tangan. Cukup-cukup 10 minit!
Lalu saya kisahkan,
"Dulu – ketika saya belajar di Luar Negara – saya suka berbuka di Masjid. Bukan apa-apa, bukan kerana amal ibdat tetapi keseronokan berbuka bersama orang Pakistan. Isteri saya marahkan saya.
Beliau nyatakan, "awak tinggalkan isteri dan anak-anak dan berbuka di masjid". Barangkali beliau masih muda dan tidak memahami kenapa orang berbuka di masjid.
Sekarang, saya masih suka berbuka di masjid. Kenapa? Saya tidak mahu "miss" solat maghrib berjemaah. Inilah ujian bulan Ramadhan yang sebenarnya.
Ramai orang yang sentiasa solat maghrib berjemaah tetapi bila tiba pada bulan Ramadhan, mereka lebih memikirkan soal berbuka. Lalu mereka tinggalkan solat berjemaah di masjid.
Maka dikeluarkan satu istilah "saya bersolat berjemaah bersama isteri dan anak-anak di rumah".
Saya juga tidak mahu isteri dan anak-anak merindui saya ketika berbuka. Lalu saya lakukan yang saya istilahkan "berkelah pada bulan Ramadhan". Hari pertama kami berkelah di Masjid Negeri Shah Alam, kemudian Masjid As-Syakirin UiTM Segamat, Masjid Bukit Siput, Masjid Jamek Segamat, Masjid Paya Jakas dan hari ini Surau Taman Yayasan. Besok di AU 5, Hulu Kelang.
Hari ini kami memperolehi pengalaman yang sangat istimewa. Surau ini sangat ceria ketika berbuka berbanding dengan masjid-masjid yang telah saya pergi"
Namun isu sebenar yang ingin saya sentuh ialah kisah "kusyuk dalam solat". Saya cuba mnearik perhatian khalayak supaya meyakini mereka yang "biasa-biasa", tidak memahami apa yang mereka baca, berada di dalam masjid yang tidak berhawa dingin dan pelbagai faktor lain yang sering dikaitkan dengan kusyuk dalam solat merupakan isu lapis kedua.
Ada sesuatu sangat luar biasa yang menyebabkan manusia boleh kusyuk dalam solat… alahai 5 minit untuk saya meyakinkan mereka. Dan saya nampak bulatnya mata mereka mendengar hujah yang saya sampaikan.
Ia hadiah untuk mereka yang hadir!
Soalan
Jika sudi, mohon jawab dua soalan berikut;
1. Apakah ujian paling besar pernah diterima?
2. Apakah ujian terbaru?
Jangan tulis nama. Cuma tulis LELAKI atau WANITA. Jawapan tuan-puan akan membantu saya.
Terima kasih!
August 4, 2011
14000

Majlis ringkas penyerahan wang anak-anak yatim di Sek Keb Agama Kg Jawa
Alhamdulillah.
Semalam, kami menyerahkan RM14000 sumbangan pembaca KRTS kepada anak-anak yatim yang berhampiran dengan kami.
RM12000 khusus untuk 35 anak yatim yang sedang bersekolah di Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor, Kg Jawa.
RM2000 khusus untuk anak yatim yang sedang bersekolah di Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor, Jementah.
Alhamdulillah kerana sumbangan ini datangnya sejauh Brunei Darul-Salam, Singapura, Sabah, Sarawak, Perlis hinggalah ke negeri di mana sumbangan ini disalurkan.
Terima kasih kepada kesemua penyumbang yang sangat bermurah hati. Mudah-mudahan sumbangan ini dilihat sebagi satu amal yang diterimaNya.
Masjid Kg Paya Jakas
Hari ke empat berpuasa. Roza memilih untuk solat di kampong tempat beliau dibesarkan. Kisah-kisah yang dinukilkan melalui Travelog Cinta Abadi berada di sekitar masjid ini.
Jadi, solat di sini umpama bersolat di rumah sendiri. Imam solat Maghrib adalah bapa saudara. Pembaca doa solat terawih juga bapa saudara yang sudah berusia lebih 80 tahun.
Kiri dan kanan bertemu saudara.
"Yang saya hendak bagi hadiah pada nenek tu…," Roza berbisik sambil menunjuk kepada seorang wanita tua yang bongkoknya hampir 90 darjah.
Usai solat maghrib, beliau meneruskan solat-solat sunat tanpa henti. Ya Allah, kuatnya semangat beliau. Saya sendiri sangat teruja. Bagaimana saya?
Suasana kampung masih ada secara samar-samar. Sekumpulan kanak-kanak datang awal ke masjid. Barangkali inilah ketika ayah dan mama tidak kisah untuk mereka keluar malam.
Emmm… Sofea juga nampak ceria bertemu dengan dua pupu yang hampir. Lain masjid lain aromanya.
Majalah l
Pilihan Keluarga majalah l bulan ini memaparkan kisah penghijrahan kami ke Madinah. Agaknya itulah rencana perpisahan buat kami sekeluarga.
Ia satu penghormatan!
Terima kasih Sarina Md Som, penolong Editor Majalah l yang sudi bertandang ke Segamat untuk bermalam bersama kami sekeluarga.
August 3, 2011
Anak kecil
Semalam kami berbuka, solat maghrib, Isya dan terawih di Masjid Jamek Segamat.
"Mahu makan nasi?," saya bertanya kepada dua anak kecil. Siabang berusia 9 tahun manakala adiknya disekitar 5 tahun. Abang berseluar panjang dan memakai T-Shirt. Adiknya hanya berseluar bola dan berbaju tanpa kolar.
Perlahan abang menganggukkan kepala.
"Rumah di mana?
"Di bawah?"
"Ayah kerja di mana?"
"Jual pasar malam. Tebu dan Apam balik".
"Oooo…. pak cik suka apam balik. Ayah tahu abang di sini?"
"Ayah belum balik kerja"
Banyak lagi yang saya bualkan sambil mereka menikmati nasi minyak berlaukkan ayam kurma Roza. Diam-diam saya merenung Amirul dan Sofea. Ke hulu, ke hilir bersama ayah dan mama.
Anak-anak ini dipanggil street kids. Tinggal lagi mereka berdua melepak di kawasan masjid. Abangnya sangat pintar. Tutur katanya sopan.
"Mak masak apa di rumah?"
"Sardin dengan jering. Pak cik suka makan jering?"
"Emmm… tak suka. Abang suka?"
"Suka".
August 2, 2011
Ujub
Seorang rakan FB bertanya, "bagaimana mahu menghilangkan rasa ujub dalam diri terhadap amal yang kita lakukan?".
Spontan saya menulis kembali, "bertanyalah kepada diri sendiri, banyak benarkah amal ibadat yang kita lakukan sehingga mahu menyombong diri?". Pertanyaan yang tidak memerlukan jawapan pakar!
Hari Kedua
Kami anak beranak – saya, Roza, Amirul dan Sofea – berkelah di masjid Bukit Siput. Kami berbuka dengan beberapa ulas kurma dan coklat kurma yang dihadiahkan oleh Telekom Malaysia sambil menanti solat maghrib berjemaah.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
