Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 48
September 20, 2011
Cukai
Di sini tiada cukai pendapatan.
Jika gajinya begitu, maka itulah jumlah gaji yang boleh dibelanjakan. Cukai juga boleh didatangani dengan pelbagai cara. Misalnya, kereta di Arab Saudi menjadi tersangat murah berbanding Malaysia kerana tiada cukai jualan dan duti kastam yang dikenakan. Malah, tiada cukai jalan yang perlu dibayar setiap tahun.
Minyak juga tersangat murah. Khabarnya disekitar 45 sen seliter berbanding Malaysia yang hampir RM2.00 seliter. Ia jauh lebih murah berbanding dengan air mineral yang berharga 80 sen sebotol.
Namun ada cukai lain yang perlu dibayar. Salah satunya kesabaran. Dan cukai ini tersangat mahal harganya. Tidak semua orang mampu tersenyum menghadapi pelbagai kerenah terutamanya yang melibatkan masa.
Seorang teman – rakan sejawat – daripada Jordan berkata, "paling lama saya di sini mungkin hanya setahun. Saya mahu berhijrah ke Australia". Saya memahami perasaan beliau apatah lagi beliau mempunyai pilihan untuk bekerja di sana kerana memegang pasport Australia.
Setakat ini, tahap kesabaran saya sangat tinggi, InsyaAllah. Tentu sekali ia berkait rapat dengan tujuan utama kami datang ke Madinah adalah semata-mata kerana Allah. Maksudnya, isu-isu lain semuanya isu remeh yang tidak perlu difikirkan. Ada perkara besar yang ingin saya capai. Misalnya dalam satu hadis (riwayat Ahmad, Tarmizi dan Ibnu Majah),
"Sesiapa yang mampu untuk mati di Madinah hendaklah melakukannya, sesungguhnya aku akan memberi syafaat kepada mereka yang mati di Madinah"
Faktor kesabaran inilah yang perlu menjadi asas kehidupan di Madinah. Kesabaran ini pula perlu diterjemah melalui pendekatan yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dengan cara bersolat, bangun malam dan bermunajat. Mengadulah kepada Allah agar setiap ujian boleh dilepasi dengan bantuanNya.
InsyaAllah, mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan yang diuji Allah dan melepasi ujian tersebut sebagaimana kenyataan Allah dalam surah Al-Ankaboot ayat 2-3 yang bermaksud,
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta"
Hari ini saya menerima cek pertama sebagai staf Universiti Taibah. Ia cek pendahuluan bagi memulakan hidup baru di sini. Tiada cukai yang dikenakan. Ia 100% jumlah yang boleh dibelanjakan.
Setiap saat yang berlalu mengajar kami untuk meneruskan kehidupan dengan mensyukuri segala nikmat yang diberi Allah. Subhanallah, Allahu Akhbar dan kami mohon keampunanMu ya Allah.
September 19, 2011
Sunyi
6.10 petang di Masjidil Haraam. 10 minit lagi azan Maghrib akan berkumandang. Saf hadapan di bahagian sayap perkuburan Baqi' masih kosong.
Mereka yang menyediakan juadah berbuka nampak ternanti-nati. Jemaah hanya datang setelah azan dialunkan.
10 hari lagi, suasana seperti ini akan dikenangi oleh penduduk setempat.
September 18, 2011
Ia hidup baru

Berkelah di padang pasir
Salah satu prinsip utama mereka yang berhijrah ialah menyedari tiada nolstagia melampau kepada masa silam. Ia hidup baru.
Seorang profesor lama memberi nasihat, "saya tahu prof mempunyai bilik yang besar di Malaysia. Di sini – lihatlah – kesemua pensyarah sama. Kita berkongsi dengan enam rakan sejawat yang lain. Bersabarlah".
"Tidak mengapa, saya suka begini…."
Jawapan yang tidak dipercayai beliau. Saya langsung tidak memikirkan soal-soal tersebut. Saya bersyukur diterima ke Madinah. Pendapatan saya lebih baik untuk seisi keluarga, keperluan memberi kuliah 7.5 jam dan kadar wajib berada di ofis selama 17.5 jam seminggu sudah jauh lebih baik daripada bilik yang besar.
Malah, saya hanya perlu bekerja 4 hari seminggu.
Saya lebih memikirkan, "bagaimana aku mahu solat 5 waktu di Haram?". Selebihnya, saya mahu kehadiran saya dirasai oleh universiti. Peluang untuk saya menggerakkan penyelidikan terbuka luas. Tiada seorang staf pun yang terlibat secara langsung dengan kegiatan akademik ini.
Dan mereka bergantung kepada saya untuk memulakanya.
Bahasa Arab
"Prof Ibrahim, are you OK?," Dr Adnan – Dekan – bertanya tepat ke muka saya.
"Not OK, l am lost!"
Semua ahli mesyuarat ketawa. Kenapa tidak? 100 peratus mesyuarat dikendalikan dalam bahasa Arab. Sebenarnya saya OK-OK sahaja. Ia mesyuarat yang ceria.
Pertama, duduk sahaja di meja mesyuarat, kami dihidangkan dengan jus buah. Hidangan yang diminum serta merta belum pun tiba pengerusi majlis. Ia tidak berlaku di Malaysia.
Kedua, kami dihidang pula dengan manisan berkualiti. Coklat dan sejenis manisan Arab yang lain. Juga, selesai serta-merta. Di hadapan kami terdapat biskut Arab yang sedia ada dan selesai dimakan bersekali dengan makanan yang lain.
Kemudian, muncul Dekan dengan wajah yang sangat ceria. Semuanya dipeluk beliau.
Mesyuarat berlangsung hampir 1 1/2 jam. Tiada minit tercatat. Saya langsung tidak dapat memahami tutur kata mereka tanpa bantuan staf yang menterjemahkan isu-isu penting.
Bila tiba saya bercakap, saya mulakan dengan kata-kata, "Kaifa Halukun?, " disambut gelak ketawa hadirin. Rupa-rupanya, sayalah salah satu daripada tiga orang staf yang bukan datangnya dari dunia Arab.
"Itu sahaja yang saya tahu…. opps…. ada dua lagi… Ila liqa' and Maasalamah".
Biarlah begitu…. biar saya terkapai-kapai mencari makna yang tersirat di sebalik kata-kata tersebut. Saya perlu belajar dan ia harus pantas. Malah, e-mel rasmi juga dihantar menggunakan bahasa Arab.
Alhamdulillah ada abang Google yang membantu. Ia hidup baru yang membawa semangat baru.
September 17, 2011
Sedikit kesukaran
Bila tiada internet ia menjadi sukar buat mereka yang bergantung dengan kemudahan ini.
Bila pindah rumah, tiada internet, tiada kereta dan Haram menjadi sangat jauh. Saya tahu ia "setback" sementara. Kami sedang berusaha mengatasi isu-isu ini dan mudah-mudahan dapat menulis semula di blog kami – saya dan Roza – secepat mungkin.
Ia hanya sehari dua, InsyaAllah!
September 16, 2011
Kuliah
Hujung minggu di Malaysia, hari mula bekerja di Madinah.
Tamatlah hidup gaya "umrah" selama hampir 10 hari. Mulai hari ini, saya akan memulakan kuliah bersama dengan anak-anak murid yang sangat asing berbanding sewaktu menjadi pensyarah di UiTM.
Pertama, kesemuanya lelaki. Di UiTM hampir semua pelajar saya adalah siswi. Mengajar siswi sangat berbeza berbanding siswa. Bagaimana tingkah laku umum siswa Arab dan siswa Malaysia tentu sekali berbeza.
Kedua, subjek yang diajar merupakan subjek pertama kali ditawarkan sebagai salah satu elektif major accounting di Universiti Taibah, Agaknya para pelajar berkira-kira dengan nama "Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim", nama baru yang tertera di jadual waktu mereka.
Ia persoalan lumrah buat pelajar universiti. Baikkah pensyarah ini? Kedekut markahkah?
Saya perlu cepat belajar. Namun di mana-mana, menaruh dan menerima kepercayaan seseorang merupakan anugerah Allah. Mudah-mudahan mereka akan menerima saya sebaik mungkin.
Lalu jika ada yang mahu bercerita tentang tingkah laku negatif pelajar-pelajar Arab, cepat-cepat saya padamkan dengan kenyataan, "biar saya mengenali mereka sendiri. Baik-buruk manusia berbeza-beza".
Hakikatnya, sudah berbulan-bulan saya berdoa kepada Allah agar mempertemukan dengan anak-anak murid yang lembut hatinya, mahu belajar, yang tahu pula menghormati guru-guru mereka, mudah memahami dan saling kasih mengasihi.
Akhirnya, saya menyerahkan diri kepada Dia yang Berkuasa. "Ya Allah jadilah ilmu yang daku curahkan ini sebagai ilmu yang bermanfaat".
Emmmm… tidak sabar rasanya ingin melangkah ke dewan kuliah. Hijrah memberi nafas baru yang segar!
Berkelah di Padang Pasir
Semalam kami diajak oleh beberapa penuntut berkeluarga berkelah di padang pasir. Wah… bagaimana agaknya berkelah di padang pasir? Ia menarik minat kami.
Kami bertolak selesai usai solat Isya. Perjalananan hampir 40 minit.
Karpet, lampu, gas disewa. Angin yang bertiup sangat nyaman. Sungguh, sangat indah dan nyaman. Siapa fikir yang padang pasir boleh bertanding dengan laut dan pantai. Apatah lagi mahu setaraf dengan air terjun. Ia pengalaman yang sangat berbeza.
Ketika sampai, anak-anak muda ini sibuk membakar arang bagi memulakan BBQ. Benar, satu lagi laluan pengalaman yang sangat kami hargai.
September 15, 2011
Hujung minggu di Madinah
Ini hujung minggu pertama setelah melaporkan diri sebagai staf Universiti Taibah.
Kesan utama ialah jemaah yang datang bersolat ke Haram sangat-sangat berbeza. Perbandingan secara tepat tidak boleh saya lakukan kecuali memerhati suasana di 5-6 saf di belakang imam.
Azan pertama dialunkan di sekitar jam 3.40 pagi. Pada hari-hari biasa, mereka yang tiba melalui pintu Salam (laluan pintu utama untuk saf-saf depan) di sekitar jam 4.20 masih boleh solat pada saf kedua atau ketiga. Pada hujung minggu, ia sudah dipenuhi oleh jemaah bermula jam 3.30 pagi lagi.
Kelihatan ramai orang-orang Bangladesh yang memenuhi ruangan ini. Agaknya inilah peluang mereka untuk datang ke Haram setelah seminggu bekerja di bawah panas mentari bagi menyiapkan bangunan-bangunan baru di sekitar masjid.
September 14, 2011
Amal ibadat
Hijrah – baik atau buruk – samada di Mekah, Madinah atau mana-mana tempat di bumi Allah bergantung kepada niat. Bila hijrah dikaitkan pula dengan amal ibadat, Mekah dan Madinah tidak menjanjikan apa-apa. Malah pada ketika-ketika tertentu ia menjadi ujian hijrah itu menjadi lebih besar.
Saya memerhatikan keadaan.
Hotel Raudat, tempat berkumpulnya staf Universiti Taibah yang seangkatan dengan saya bukanlah sedikit. Kebanyakannya berasal daripada Mesir, Tunisia, Jordan dan beberapa negara lain.
Hakikatnya, jarak hotel ke Haram yang hanya 5-6 minit tidak menjanjikan kesemua rakan-rakan sejawat saya hadir untuk solat subuh berjemaah. Berada di Madinah merupakan pilihan Allah tetapi berada di Haram juga merupakan anugerah Allah.
Ramai yang dianugerah Allah untuk hadir di Madinah tetapi ramai pula yang tidak dianugerah untuk solat berjemaah di Haram.
Maksud saya, lakukanlah amal ibadat di mana sahaja kita berada. Allah ada di mana-mana.
Isu ini menjadi lebih relevan buat bakal jemaah haji Malaysia yang bakal tiba bermula 29 September ini. Buat rakan-rakan KRTS dan FB serta kenalan yang lain, jangan sekali-kali tertewas dengan ujian yang dicipta oleh kita sendiri.
Pertama, jangan terpedaya dengan kata-kata, "berehatlah dahulu, kita datang hendak menunaikan fardhu haji. Nanti bila sampai masanya, kita keletihan". Mereka yang tiba awal akan disarankan begitu.
Hakikatnya, amal ibadat perlu dilakukan secara berterusan. Di Madinah dan Mekah pergilah bersolat lima waktu di masjid. Berqiamullail dan bermunajatlah memohon Allah permudahkan segalanya.
Kedua, jangan terpedaya dengan "demam-demam", "batuk-batuk", "seram-sejuk" dan beberapa masalah kesihatan yang lain. Teruskan melakukan amal ibadat di kedua-dua masjid. Realitinya, di hotel atau masjid rasa tersebut akan tetap terasa. InsyaAllah, bila sampai masanya, ia bukan menjadi isu besar.
Ingat, kita datang semata-mata kerana Allah, kepada Dia jua tempat kita berserah. Biar jemputan Allah ini berkekalan sehingga pulang ke Malaysia.
Masuk Rumah

Aizzat dan Azimah membantu kami membeli keperluan rumah
Seminggu kami di Madinah.
Lima hari saya sudah berada di Universiti Taibah. Roza pula sibuk dengan persiapan untuk memasuki rumah baru. Agenda utama ialah membeli keperluan asas.
Dua hari kami dibantu oleh Dr Norhan. Tiga hari yang lain, pasangan anak muda – Aizzat dan Azimah – yang membawa Roza membeli belah. Pagi semalam, rumah kecil kami di Bukit Ohud nampak bersedia untuk didiami.
Agaknya, ia kehidupan yang berbeza berbanding dengan tempoh masa menunaikan haji dan umrah. InsyaAllah, Dia akan permudahkan.
September 13, 2011
Dua minggu lagi
Masjid Nabawi aman damai.
Saf-saf hadapan kosong. Mereka yang biasa di sayap masjid akan tetap ke sana. Mereka yang suka solat di kawasan lapang di luar masjid juga akan mengambil tempat tersebut walaupun datang awal.
Maksud saya, ia masih kosong sehinggalah 10-20 minit waktu solat sebenar. Itulah gambaran Madinah pada ketika ini. Inilah nikmat sebagai penduduk Madinah dan Mekah dikala mereka bersiap sedia menyambut kedatangan jemaah haji daripada seluruh pelusuk dunia.
Hanya dua minggu lagi!
Sehari dua ini, cuaca tiba-tiba sahaja bertukar. Sudah terasa tanda-tanda yang ia semakin nyaman. Barangkali musim panas akan tamat seketika lagi. Mudah-mudahan ia membantu bakal-bakal tetamu Allah.
InsyaAllah kita akan bertemu nanti.
500 Riyal
"Apakah kerja yang awak lakukan?," saya bertanya staf Haram yang solat di sebelah.
"Menjaga sukatan air zam-zam," beliau datang hampir kepada saya.
"Ok… boleh saya tahu, berapa gaji yang dibayar? Tidak perlu jawab jika tidak selesa," saya bertanya soalan yang sudah lama bermain-main di fikiran..
Itulah gaji yang dinyatakan. Sudah tiga tahun beliau bekerja di sini. Hampir setiap tahun beliau mengerjakan haji. Anak muda ini berasa puas bercerita.
"Kalau di Indonesia, rasanya tidak berpeluang untuk menunaikan fardhu haji. Mahal ongkosnya!.
"Kalau bapak mahu air zam-zam bagi tahu saya… tidak perlu beratur. Saya yang menyambut tanker air".
Saya senyum sahaja sambil menyambut nombor hp beliau. Mungkin suatu hari nanti saya akan membuat panggilan.
September 12, 2011
Sabar
Jika kita menghadapi ujian, hendaklah kita sabar dan solat. Kehidupan itu sendiri merupakan ujian. Di mana sahaja kita berada – selagi masih bernafas – maka kita akan berhadapan dengan ujian.
Setiap saat.
Lima hari di Madinah. Hidung berdarah. Tekak sakit. Tapak kaki mula pecah-pecah. Suhu badan turun-naik. Ia ulangan kehadiran saya semasa menunaikan fardhu haji 2006/2007 dan umrah 2009.
Saya melapor diri pada hari sabtu lepas. MasyaAllah, bagaimana saya boleh terlupa membawa surat pengesahan perjawatan terutamanya tarikh mula bertugas sebagai profesor di UiTM.
Setiap tahun bertugas nilainya RM500 tertakluk kepada maksimum 5 bulan. Puaslah saya menyusahkan Encik Khairul Anuar, Timbalan Pendaftar UiTM. Alahai… Sabtu dan Ahad cuti di Malaysia.
Tanpa kontrak tiadalah Iqomah, permit residen yang sangat berharga di Arab Saudi. Iqomah membolehkan saya membeli kenderaan, mengambil lesen memandu dan pelbagai urusan lain.
Kesemua urusan ini perlu mengisi borang. Hampir 100% berbahasa Arab. Ia cabaran yang bukan kepalang hebat.
Namun Allah pertemukan saya dengan Dr Norhan, Dr Rahim dan melalui mereka saya berjumpa pula dengan Haji Ayub, rakyat Sudan yang sudah menetap 14 tahun di Arab Saudi.
Beliaulah yang berada di sisi untuk bertutur di dalam bahasa Arab, mengisi borang dan menunggu saya selesai urusan.
Hari ini, semua urusan pendaftaran selesai. Terima kasih kepada semua yang telah membantu, mereka di Malaysia dan juga di Madinah. Saya sangat-sangat menghargainya.

Dr Norhan bersama Dr Dahaman dari USM di Masjid Kubah

Berdiri di kawasan pemanah yang mati syahid di bukit Ohud
September 11, 2011
ANIS September
Selamat Hari Raya Idil-Fitri.
Itulah ucapan tulus-ikhlas saya kepada khalayak pembaca ANIS terutamanya pembaca setia ruangan Travelog Bapa. Sebagai seorang penulis dan manusia biasa, sudah pasti saya pernah terkhilaf di dalam menyampaikan pandangan melalui penulisan sehingga boleh melukakan perasaan insan lain.
Jika ada, saya mohon maaf.
Sebelum tidur – sebagaimana yang diajar oleh guru saya – saya sering berdoa, "ya Allah ya Tuhan ku, jika ada insan-insan yang pernah melakukan kesalahan kepada ku, aku maafkan mereka ya Allah. Kau ampunkanlah dosa-dosa mereka.
Dan jika aku melakukan kesalahan kepada manusia lain, Kau bukalah pintu hati mereka untuk memaafkan daku. Sesungguhnya daku manusia yang sangat lemah dan tiada daya upaya melainkan di atas kehendak dan kuasa Mu".
Melakukan kesalahan dan kesilapan adalah lumrah umat Adam. Rasulullah pernah bersabda sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Al-Tirmizi,
"Semua keturunan Adam adalah berdosa dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah orang yang bertaubat"
Mudah-mudahan dosa-dosa manusia kepada Allah SWT akan diampunNya melalui taubat yang bersungguh-sungguh. Manakala dosa-dosa sesama manusia perlulah dilunaskan. Jika dosa-dosa yang telah kita lakukan melibatkan pihak ketiga, berjumpa dan mohonlah ampun dan maaf.
Jika ia perlu dipulangkan haknya, jangan teragak-agak untuk melaksanakan hak tersebut. Dan di antara hari-hari yang lazimnya manusia bermaaf-maafan adalah ketika menyambut 1 Syawal.
Pada sudut yang berbeza, Syawal tahun ini pastinya membawa banyak kenangan besar dalam kehidupan saya sekeluarga. Pertama, saya telah kehilangan bapa mertua (Abah) ketika usianya hampir 71 tahun. Kami redha dengan pemergiannya.
Kedua, sebulan kemudian, saya mengucapkan selamat jalan kepada adik ipar (Ayu) yang baru berusia 35 tahun. Beliau dipanggil oleh Penciptanya setelah diuji dengan penyakit kanser payu dara yang akhirnya merebak keseluruh anggota utama. Juga, kami redha dengan ketentuanNya.
Di antara kedua-dua peristiwa kematian ini, terselit beberapa pengajaran yang menusuk jiwa. Bagi saya, tidak kira siapa kita, sultan, raja, perdana menteri, profesor, pengarah, ahli perniagaan, pemain bola, guru, tukang masak pemandu, penulis, suami atau isteri pastinya akan menghadapi saat-saat nyawanya ditarik perlahan-lahan sehingga akhirnya berpisah dengan jasad.
Bayangkanlah dengan cara yang mudah. Bilakah majoriti manusia menemui ajalnya? 60 tahun? 70 tahun atau 80 tahun? Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, secara purata rakyat Malaysia meninggal dunia ketika berumur 74 tahun. Lebih spesifik, wanita lebih panjang usianya (76 tahun) berbanding dengan kaum lelaki (72 tahun).
Baiklah, marilah kita menggunakan angka 74 sebagai umur kematian. Ambillah 50% daripada umur tersebut, iaitu 37 tahun. Maksudnya, jika usia kita sudah melebihi 37 tahun, maka masa yang tinggal lebih pendek daripada masa yang telah kita lalui. Maksud saya, saat-saat kematian sebenarnya sangat hampir berbanding dengan masa yang telah kita lepasi.
Bagaimanapun, angka tersebut hanyalah telahan berdasarkan purata umur kematian. Sekali lagi, ajal maut di tangan Allah. Ia tidak lambat sesaat dan tidak cepat sesaat. Ada orang yang disahkan mengidap kanser dan dijangka hanya dapat bertahan selama enam bulan terus hidup bertahun-tahun lamanya. Ada pula yang segar-bugar tiba-tiba tersepak tunggul kayu, jatuh dan terus meninggal.
Tentu sekali kita boleh menduga saat-saat kematian tetapi yang akan menentukan ajal maut hanya Allah SWT. Ia jelas lagi nyata melalui surah Al-Munafiqun melalui ayat 11 dan 12,
Dan belanjakanlah sebahagian dari rezeki yang kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya:
"Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh.
Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya dan Allah amat mendalam pengetahuannya mengenai segala yang kamu kerjakan.
Pemergian abah ketika usianya 71 tahun dan kemudian Ayu, ketika usianya baru sahaja mencecah 35 tahun adalah bukti nyata betapa kematian itu bukanlah bergantung kepada faktor umur semata-mata. Ajal mereka sememangnya begitu. Penyakit dan umur hanyalah penyebab semata-mata.
Akhirnya, ingatan kepada kematian yang telah melanda insan-insan yang hampir pada hari yang mulia ini – sepatutnya – boleh membawa keinsafan yang mendalam kepada hati sanubari. Mudah-mudahan ia menjadikan kita tidak melampau-lampau dalam meraikan hari yang mulia ini.
Ketiga, syawal ini mungkin merupakan tahun terakhir kami sekeluarga menyambut hari lembaran di Malaysia untuk tempoh beberapa tahun yang mendatang. InsyaAllah dan mungkin ketika khalayak pembaca membaca majalah Anis bulan ini, kami sudah berhijrah ke bandaraya Madinah.
Hakikat sebenar, kehidupan ini dipenuhi dengan unsur-unsur luar biasa yang tidak mampu dijangkau oleh akal fikiran manusia yang terbatas. Namun kuasa Allah ternyata tanpa sempadan.
Kami pernah mengunjungi Mekah dan Madinah ketika menunaikan fardhu haji dan umrah. Rasa cinta dan rindu kepada suasana di Mekah dan Madinah tentulah tidak tergambar dek perasaan. Sungguh, ia sangat luar biasa.
Ia rasa yang sangat unik dan berbeza berbanding dengan lawatan kami ke kota-kota terkemuka dunia yang lain. London – Paris – New York tidak akan sama sampai bila-bila berbanding Mekah dan Madinah.
Lalu saya pernah ucapkan kata-kata berikut kepada isteri dan adik kandung, "jika diizin Allah, saya ingin menginap di sini. Tidak kira Mekah atau Madinah. Nanti jika Sofea (anak bongsu) berusia 20 tahun, saya mahu menghabiskan usia persaraan di sini".
Maha Suci Allah. Enam tahun kemudian, ketika Sofea baru berusia 8 tahun, saya ditawarkan sebagai Profesor Perakaunan di Universiti Taibah, Madinah. Tawaran dari universiti yang hanya 6-7 km daripada masjid Nabawi ini tentunya tidak perlu difikir-fikir lagi. Ia anugerah Allah.
Mudah-mudahan hijrah yang kami lakukan ini mendapat perlindunganNya. Saya sering berdoa, "ya Allah ya Tuhan kami, jadikanlah hijrah ini semata-mata kerana Mu ya Allah, semata-mata kerana Mu ya Allah".
Selamat hari raya, maaf zahir batin.
NotaMKI: Artikel di siar melalui majalah ANIS, September 2011.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
