Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 44

October 23, 2011

Chef Travelog Masakan Berehat

Sudah tiga hari Roza berehat daripada menerima tetamu jemaah haji. Ia pengalaman sangat menarik. Kami meraikan tetamu Allah. Ia suatu nikmat yang tidak dapat didustakan.


Pertama, selesai sahaja buku Ia bukan Sekadar Resepi, Roza akan mula menulis siri kedua buku masakan bertajuk Santapan buat Tetamu Allah. Kami menjamu mereka dengan makanan rohani dan jasmani. Itulah yang akan menjadi intipati buku terbaru ini, InsyaAllah.


Ia ilham yang Allah anugerahkan kepada Roza.


Kedua, selepas musim haji nanti, saya akan mula menulis buku Tazkirah dari Madinah, pengalaman 40 hari di Madinah. Ia merupakan catatan emosi dan minda melayani tetamu Allah dan juga melihat pelbagai tingkah laku manusia di bumi yang pernah barakah ini.


Mudah-mudahan Allah permudahkan.


Steak Applebees bersama keluarga Aizat


Dua hari yang sepi tanpa tetamu, saya pula melayani anak-anak dan Roza makan malam. Malam pertama kami berkongsi kegembiraan bersama Aizat, Azimah dan Umairah di Applebees, sebuah restoran makanan Barat.


Ia makan malam yang lengkap.


Satu perkara yang kami pelajari, "jangan tempah makanan setiap seorang. Ia terlampau banyak untuk tangki kami yang kecil". Esoknya, kami bersarapan pagi dengan lebihan makanan yang dibawa pulang.


Semalam – selepas solat Isya – buat pertama kali kami menikmati masa santai di sekitar Haram. Sofea membeli dua pasang Abaya baru untuk dipakai ke sekolah. Amirul pula membeli tiga helai jubah. Kalau tidak, kedua-duanya hanya berganti-ganti dua abaya dan jubah.


Alahai… zuhud betul anak-anak ku!


Saya pula – buat pertama kali selepas 40 hari – membeli dua helai jubah untuk dipakai pada waktu kerja. Saya sukakan pakaian ini. Namun rakan sejawat saya memperli, "mahu jadi Saudi?".


Mereka semua orang luar – Mesir, Jordan, Pakistan dan negara Afrika yang lain – yang memakai kemeja dan seluar. Alahai… ia isu hati dan perasaan. Saya fikir, jika saya tidak memakai jubah, tidak pula saya memakai baju Melayu, lengkap bersampin sebagaimana orang Brunei yang kasihkan pakaian tradisional mereka.


Usai shopping, kami menikmati makan malam di Hotel Hilton. Ia berlatarbelakangkan Haram. Biarlah Chef sebenar yang menjamu kami. Kali ini kami mempelajari cara membuat tempahan berdasarkan pengalaman sebelumnya.


Ia ibarat makan di dalam dulang tetapi berlainan pinggan.


Bersama sicomel yang semakin tembam

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 23, 2011 10:12

October 22, 2011

Fardhu haji

Ramai yang bertanya, "Prof akan menunaikan fardhu haji tahun ini?"


Jawapan saya "tidak". Jemaah Malaysia akan terus bertanya, "kenapa tidak?".


Di sini, mereka yang menetap di Arab Saudi akan diberi permit setiap 5 tahun sekali bagi menunaikan fardhu haji. Namun ramai juga yang pergi tanpa permit. InsyaAllah, ia boleh dilakukan.


Dan pastinya ia mempunyai cara dan halangan yang berbeza.


Jika tertangkap – khabarnya – mereka akan diminta membuka ihram. Implikasinya, mereka perlu membayar dam.


Di sini juga kita perlu mendaftar dengan pihak yang menguruskan pakej haji. K0snya di antara 3500 hingga 10 000 bergantung kepada perkhidmatan apa yang ingin kita gunakan.


Ia mungkin ada kemudahan LRT dan khemah yang hampir semasa melontar.


Juga, kita boleh pergi cara biasa-biasa (nanti saya akan mendalami apabila sampai masanya).


Jika saya berseorangan, MUNGKIN saya akan menunaikan fardhu haji (sekali lagi) menggunakan kaedah tanpa permit. Namun permit untuk lima tahun yang pertama akan saya simpan untuk membawa kedua-dua putera dan puteri kami, Sara Fateha dan Ahmad Haris Azrai.


Dan mudah-mudahan juga untuk Ahmad Amirul Imran (nota: cepatlah akil-baligh). Kita merancang dan Allah menentukan.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 22, 2011 09:24

October 21, 2011

Solat berjemaah

Amirul berusia 13 tahun.


Ketika usia saya seusia dengannya, saya tidak ingat apakah saya cukup solat lima waktu sehari semalam. Pernahkah saya solat malam? Pernahkah saya solat hajat? Sudahkah saya khatam al-Quran?


Bila saya amat-amati, tentu sekali jawapannya tidak.


Di sini, Amirul belum memulakan pengajian. InyaAllah, segala urusan hanya akan bermula selesai musim haji. Lalu tugas harian beliau hanyalah membaca al-Quran. Itulah tugas rasmi yang dipantau oleh Roza.


Namun beliau tidak pernah meninggalkan solat berjemaah. Jika tidak di Haram, beliau akan bersolat di masjid berhampiran rumah. Ada dua masjid yang sama jauh. Satu di kiri dan satu di kanan.


Jika ada tetamu yang perlu kami jemput di Haram, kami tinggalkan beliau di rumah bersama Sofea. Pesan saya, "Bila masuk waktu jadi imam kepada Sofea. Sofea jangan lupa solat berjemaah dengan Abang Chik".


Setiap malam, beliau dikejutkan oleh mamanya untuk solat malam. Hanya dua rakaat. Kemudian beliau tidur semula.


Dulu, Roza pernah berkata, "Yang, anak-anak kita sudah besar, Ustaz, Ustazah mengajar anak-anak supaya solat berjemaah, marilah kita solat berjemaah, awak jadi imam, kami jadi makmum".


Lalu jawapan sinikal saya, "Anak-anak kita belum akil-baligh, awaklah jadi imam".


Roza tidak membantah, apatah lagi untuk mengutuk saya dengan kenyataan, "awak ini jahil tukil," gelaran untuk orang Terengganu yang bodoh sombong, sudahlah tidak berilmu tetapi tidak boleh diajar.


Beliau laksanakan kata main-main saya. Roza menjadi imam kepada anak-anak kami yang masih kecil. Dan saya melihat tanpa sedikit pun rasa bersalah.


Kini, saya berjuang mengajak mereka yang hampir untuk menjaga solat berjemaah terutamanya di masjid. Pergilah, jika merangkak sekalipun.


Jagalah solat subuh berjemaah. Jagalah solat Isya berjemaah. Jagalah solat Asar berjemaah. Jagalah solat zuhur berjemaah. Dan jagalah solat Maghrib berjemaah.


Nota: Buat anakku Ahmad Haris Azrai yang jauh di mata, jagalah solat berjemaah di masjid. Mudah-mudahan Allah memberkati hidup mu di dunia dan akhirat.


Itu Prof Muhd Kamil


KT43, penerbangan terakhir membawa jemaah Malaysia ke Madinah. Mereka masih berada di sini bersolat di Masjid Nabawi sebelum berangkat ke Mekah pada hari Isnin nanti, InsyaAllah.


Maka dengan bilangan yang sedikit, kehadiran jemaah Malaysia tidak lagi dirasai.


Semalam – solat Jumaat – saya ternampak seorang jemaah yang berdiri-diri memerhatikan saf yang penuh di kawasan pintu King Fahd, pintu masuk utama jemaah Malaysia. Ia kawasan belakang masjid. Jemaah sudah mengisi penuh sehingga ke arah pintu dan kawasan tersebut telah dipagar dengan pita.


"Haji, haji, mari ikut saya, masih banyak lagi kawasan di hadapan," saya memegang beliau. Lalu saya mengajar beliau jalan yang perlu dilalui menuju ke arah seksyen kiri masjid melalui jalan dalam.


Kami – saya dan Amirul – bergerak pantas. Beliau tertinggal di belakang. Bila tiba di kawasan yang agak lapang, saya menanti beliau dan bertanya,


"Haji, bila haji akan ke Mekah?"


"InsyaAllah, petang nanti. Kami KT42. Ada satu lagi KT43. Haji pula bila?," beliau bercerita.


"Ok… saya tinggal di sini, kerja di sini…"


"Alhamdulillah haji. Itu….. ada seorang Profesor, nama beliau Profesor Muhd Kamil, khabarnya beliau juga bekerja di sini," bersungguh beliau bercerita.


Alahai… sepatutnya saya berdiam diri dan bertanya, "apa kaitan haji dengan beliau?". Allah hu Akbar, ada ketika-ketikanya, saya jadi manusia yang syok sendiri (nota: inilah yang selalu kena mohon keampunan Allah. Sungguh, kena banyak beristifar).


Spontan saya menyebut, "sayalah tu…..," Allah ya Allah, dalam hati terus menyesal.


Beliau memegang tangan dan terus memeluk. "Alhamdulillah, dapat juga saya berjumpa dengan prof".


Saya berdoa agar beliau mendapat haji yang mabrur.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 21, 2011 18:49

October 20, 2011

Dr PhD

Saya tinggalkan Arun, Radziah, Shatari, Halim, Junaidah, Azwan dan Shima berjuang menamatkan pengajian PhD mereka.


Ketika saya berangkat pergi, Arun, Radziah, Shatari dan Halim berjaya menyiapkan tesis mereka. Alhamdulillah, hujung bulan ini mereka semua (kecuali Shatari yang menunggu masa) akan mempertahankan tesis mereka.


"Prof pulang?," rayu Arun.


"Kami boleh sediakan wang tambang," harapan anak seliaan yang saya tinggalkan.


Sayu hati saya.


Namun ia tidak semudah itu. Pasport saya di dalam simpanan universiti. Saya perlu memohon visa keluar dan masuk. Malah, ia bukan di musim cuti haji. Tentu sekali tidak molek untuk saya meninggalkan kuliah pada ketika dan saat ini.


Allah hu Akbar.


Mungkin tidak siapa yang tahu bagaimana perasaan saya. Mahu saya bersama mereka. Biarlah saya berdoa agar mereka dipermudahkan.


Malah pesan saya kepada mereka, "bangun solat malam, mohon padaNya. Kita telah berusaha tetapi yang menentukan berjaya atau tidak, mudah atau sukar hanyalah Allah".


InsyaAllah, kesemuanya akan bergelar Dr Arun, Dr Radziah, Dr Halim dan Dr Shatari. Bagaimanapun, jadilah Dr PhD yang hampir denganNya.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 20, 2011 11:02

60000


Semenjak kami berhijrah ke Madinah, pengunjung bulanan KRTS meningkat hampir 3X ganda berbanding 12 bulan yang lepas.


Adakah ia kerana isi kandungan blog? Atau mungkinkah ia proksi kepada rasa cinta khalayak kepada Madinah?


Apa pun, saya ucapkan terima kasih di atas sokongan para pengunjung. Kami doakan kita semua diberkati Allah sentiasa.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 20, 2011 06:09

October 19, 2011

Selamat Tinggal Madinah

Jemaah haji semakin susut di Madinah. Nanti untuk tempoh dua minggu – agak saya – Masjid Nabawi suasananya semakin tenang berbanding hari-hari sebelumnya. Hari ini dan semalam sangat jauh bezanya.


Malam tadi saya menerima kunjungan sepasang suami-isteri dari UTM, Johor Bharu, Dr Nordin dan isteri.


Beliau hanya mempunyai tiga hari untuk bersiap apabila dimaklumkan yang mereka terpilih ke Tanah Suci, Alhamdulillah!


Hari ini Roza menggunakan resepi lama, Nasi Briyani Madinah. Jadi – malas saya – mengambil gambar untuk diuploadkan ke sini. Opps… ada resepi baru yang sangat sedap. Namanya Apam Balik Pisang.


Jadi. Sungguh, jadi!


Apam balik pisang Madinah.


Alhamdulillah, buku Travelog Masakan: Ia Bukan Sekadar Resepi telah dilamar oleh Galeri Ilmu Sendirian Berhad (GSIB). Bos penerbitan bukunya sendiri yang menghantar e-mel memohon persetujuan Roza.


GISB juga akan menerbitkan siri "Travelog Kehidupan". Saya berbesar hati untuk menyumbang "Menghadapi Ujian" kepada mereka. Mudah-mudahan ia menjadi kenyataan.


Salam dari Mekah


Prof, hotel kami hampir 1km dan berbukit.


Hotel kami 850 meter. Terima kasih kerana memberi nasihat. Tambang teksi hanya SR2 sehala. Sudah ramai yang solat di hotel.


Hotel ana 750 meter, Sudah ramai yang tersangkut.


Mereka ini menerima tazkirah saya semasa di Madinah. Rata-rata menceritakan cabaran Mekah sebagaimana yang saya khabarkan kepada mereka. Tipsnya mudah, NAIK TEKSI!


Namun tips ini agak sukar hendak dilaksanakan kerana duit yang ada diperuntukkan untuk abaya, jubah, air zam-zam, emas dan tamar.


Ia satu pilihan walaupun ia bukan satu keperluan.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 19, 2011 12:36

October 18, 2011

Gaji

Orangnya hitam tetapi hatinya putih


Semalam saya menerima gaji pertama. Ia gaji 3 minggu untuk bulan September. Apabila dibayar dengan elaun rumah dan perabut, maka jumlahnya menjadi banyak untuk orang seumpama saya.


Orang pertama menerima hasil gaji saya ialah Haji Ayub. Beliau orang Sudan yang sudah berada lebih 14 tahun di sini. Beliaulah pemandu ulang-alik dari rumah ke pejabat, tukang alih bahasa, tukang isi borang dan segala macam pertolongan atas kerja-kerja ad-hoc yang diperlukan.


"Ayub, malam ini saya mahu beli scanner," saya menyebut.


"InsyaAllah Dr, lepas Isya saya datang," jawapan yang menggambarkan beliau tidak bermasalah.


"Ayub, malam ini saya ada function universiti".


"InsyaAllah, jam 9 saya sampai".


Malah hampir setiap hari – 10.00 malam – beliaulah yang akan menghantar tetamu-tetamu saya pulang ke hotel. Beliau tersengih bercerita, "Dr ada tetamu Dr yang mahu membayar tambang kepada saya. Saya memberitahu mereka, ini kereta Dr Kamil. Tidak perlu membayar apa-apa".


Beliau seorang yang sangat jujur.


Ayub memberi khidmat kepada ramai orang. Sekurang-kurangnya 5 – 6 orang. Di antaranya sudah ada yang saya kenali, misalnya pensyarah-pensyarah wanita yang berasal dari Egypt. Mereka tinggal berseorangan di Madinah.


"Saya tidak boleh nyatakan tidak kepada mereka. Saya mahu ke Panda (shopping), saya mahu ke klinik, saya mahu….., suami mereka jauh. Di sini, wanita sangat sukar jika tiada suami. Mereka tidak boleh memandu…"


Beliau hanya tidur 4-5 jam sehari. Tugas beliau memandu.  Beliau memandu hampir 20 jam sehari melayani kesemua pelanggan beliau yang terdiri daripada orang-orang luar yang berkhidmat di Taibah Universiti.


"Ayub, berapa yang perlu saya bayar?," itulah pertanyaan yang saya ungkapkan kepada beliau. 


Beliau kelihatan sukar untuk memberi jawapan. Terlalu banyak urusan yang dilakukan untuk saya, keluarga dan tetamu-tetamu.


Diam.


Akhirnya beliau berkata, "Dr, biasanya saya ambil SR400 sebulan".


Alahai… itu hanya 20 hari membayar tambang teksi semata-mata untuk pergi dan balik ke pejabat. Harga yang dibayar oleh rakan sejawat yang menggunakan khidmat pemandu teksi.


"Ayub, apa yang kamu lakukan jauh daripada itu, beri saya bil yang panjang…"


"Tidak Dr… saya hanya memberi pertolongan. Dr dalam kesusahan. Itu tugas saya".


"Jika tidak mahu, biar saya yang buat keputusan," saya menutup perbualan. Lalu saya hulur dua keping wang kertas yang bernilai SR1000.


"Dr, ini terlampau banyak…. saya tidak mahu".


Lalu saya katakan,


 "Gaji yang saya perolehi bukanlah milik saya. Awak tahu, jika saya membeli kereta, saya perlu membayar SR4000 sebulan. Saya hanya mengambil sedikit daripada peruntukan tersebut untuk membayar perkhidmatan kamu yang tidak ternilai harganya.


Biar saya cucikan hati saya daripada sifat bakhil. Nilai SR1000 bukan untuk kamu. Ia untuk saya".


Ayub memahami apa yang saya ucapkan. Hampir dua bulan di sini, saya sudah bertemu dengan pelbagai karektor dan tingkah laku manusia. Ia mengajar saya banyak perkara.


Dan setiap satunya mempunyai kisah-kisah sampingan yang boleh membentuk hati supaya menjadi manusia yang lebih baik.


Ayub mencari rezeki dengan memandu. Namun bayaran yang saya hulurkan bukanlah kerana tugas-tugas tersebut. Ia nilai yang tidak ternilai!


Tazkirah di Haram


"Saya biasa puasa sunat di Malaysia. Di sini, saya ikut nasihat xxxxxxx supaya jaga kesihatan. Nanti, bila sampai masa haji, kita tidak sihat"


Allah hu Akbar.


Saya ketawa kecil dan memberi jawapan, "Inilah masanya untuk yakin dengan Allah. Percaya kepada Allah. Tiada sekutu bagiNya. Tiada sekutu bagiNya….," dan panjang lagi.


Beliau menitiskan airmata!


Tetamu di Rumah Kecil di Jabal Ohud


Mohd Noor dan isteri serta Jamilah dan rakan-rakan


Inilah tetamu terbaru.


Jamilah dan rakan-rakan tidak mengenali saya. Agaknya beliau dipaksa oleh "seseorang" untuk bertemu dengan saya dan Roza. Malah beliau hanya mengetahui kewujudan saya sejurus sebelum berangkat ke Tanah Suci apabila dihadiah buku 50 Tip Haji.


Namun Allah menggerakkan hatinya untuk membuat panggilan kepada Roza yang berakhir dengan, "tunggu kami di toilet No 10″.


Mohd Noor dan isteri merupakan penghuni Kondo Kemuncak. Kami pernah berjumpa sebelum ini di Shah Alam.


Chef Travelog Masakan hanya menyediakan makanan yang agak simple setelah sangat jemu dengan pelbagai jenis nasi semenjak ketibaan jemaah haji pertama ke rumah kami.


Tetamu dijamu dengan roti dan dalca dan diikuti dengan pudin karamel pisang (nota: pisang dibawa oleh tetamu yang dimanfaatkan oleh Chef dengan segera).


Travelog Masakan: Capati Arab dan Kari Kacang Kuda


Travelog Masakan: Bila ditambah pisang maka jadilah Karamel Pisang

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 18, 2011 19:20

October 17, 2011

Travelog Kehidupan: Menghadapi Ujian (Bab 1)

Petang 30 Januari 2011.


Mata tajam memerhatikan ke luar rumah. Suasana sangat redup. Hujan renyai-renyai membasahi bandar Segamat dan kawasan sekitar. Khabarnya, air sungai Segamat telah melepasi paras bahaya. Kami – saya dan Roza – berbincang-bincang tentang kemungkinan banjir. Namun tanda-tanda amaran yang diberi langsung tidak menakutkan kami.


"Tidak hari ini. Lambat lagi," kata saya.


Namun Allah menggerakkan hati saya untuk mengeluarkan fail yang sangat mustahak. Di dalamnya terkandung sijil PhD, Sarjana, surat beranak dan beberapa perkara lain. Fail itu saya tinggalkan di atas meja di ruang tamu. Ia bukan soal bersedia untuk menghadapi banjir tetapi hanya tergerak hati untuk memindahkan tempat simpanan fail tersebut.


Saya tidak tahu kenapa tetapi mengalih fail tersebut tidak akan membantu jika rumah kami dilanda banjir.


Ketika hujan renyai-renyai inilah – di sekitar 3 petang – kami bergerak meninggalkan Segamat menuju Muar, bertujuan menghantar anak – Amirul – pulang ke asrama. Kami melalui sungai Segamat yang memisahkan bandar lama dan baru. Air sungai kelihatan bertambah tetapi tidaklah melimpah sampai ke tebing. Ada ruang untuk beberapa meter lagi.


Saya memperlahankan kenderaan untuk mengambil beberapa foto. Ia kelihatan pemandangan yang boleh dijadikan cerita. Saya fikir, ia boleh menjadi bahan menarik untuk dicatatkan melalui blog "Kehidupan Ringkas tapi Signifikan" medan tulisan yang menghubungkan saya dengan masyarakat.


Perjalanan hampir sejam ini lancar. Tiada jalan yang terputus. Kami melalui pekan Jementah, Tangkak dan seterusnya tiba ke sekolah Amirul. Ia rutin hampir setiap minggu yang tidak berubah. Bezanya, perjalanan kali ini kami diiringi dengan cuaca redup dan hujan renyai diselangi sesekali dengan hujan lebat yang seolah-olah tiada penamat.


Bila mahu pulang ke Segamat, kami bersantai dan mengambil masa. Solat asar berjemaah di masjid, berhenti minum petang di warung dan memandu perlahan-lahan sesuai dengan suasana yang sebegitu rupa. Akhirnya, di sekitar pukul 6.00 petang, perjalanan kami terhenti. Jalan yang kami lalui telah dinaiki air. Alahai…. ia tidak jauh daripada rumah kami, kurang-lebih 5-6 km sahaja.


Tiba-tiba saya mendapat panggilan dari jiran – Adib – yang hampir,


Prof, air sangat pantas naik. Prof di mana? Kesemua jalan ke bandar Segamat sudah terputus. Ramai yang sudah mengalihkan kereta. Bagaimana kereta prof?


Otak saya pantas berfikir. Saya sangat hampir dengan rumah namun tiada upaya untuk memasuki kawasan tersebut. Akhirnya saya memohon bantuan Adib,


Adib, saya tersekat di Jalan Muar – Segamat, selepas UiTM. Ada jalan lain jika saya mahu pulang ke rumah? Saya mohon tiga bantuan jika sempat. Pertama, tolong masuk rumah – rumah tidak berkunci – dan ambil fail sijil-sijil saya di atas meja makan. Kemudian, masuk bilik tidur, bawa keluar laci almari yang pertama. Ia sijil Kak Roza dan dokumen-dokumen berharga.


Kedua, tolong keluarkan komputer bimbit di dalam perpustakaan. Ada tiga semuanya.


Ketiga, tolonglah alih kereta NAZA ke mana-mana kawasan tinggi.


Saya membayangi harta-benda yang bernilai ratusan ribu ringgit. Malah yang terlintas di hati saya – paling penting – ialah keselamatan sijil-sijil dan beberapa dokumen yang tidak ternilai harganya. Jika musnah, ia mengambil masa untuk diganti. Saya mahu pulang ke rumah sekurang-kurangnya menyelamatkan beberapa perkara yang saya fikir sangat mustahak.


Lalu saya membuat beberapa panggilan.


Jalan Gemas OK?


Tidak.


Jalan Pogoh?


Entah. Prof boleh cuba.


Saya memusingkan kenderaan berpatah balik ke arah Jementah menggunakan jalan Pogoh ke arah bandar Segamat. Hampir 40 minit memandu, kelihatan lampu-lampu amaran dinyalakan apabila berselisih dengan kenderaan yang datangnya dari arah bertentangan.


Benar, jalan yang saya fikir boleh membawa kami pulang ke rumah juga sudah tidak boleh dilalui. Akhirnya saya mengalah. Tiada jalan pulang. Ia ujian yang menyebabkan hati berdebar-debar. Namun saya cuba bertenang. Apalah yang paling buruk boleh berlaku? Dan saya nyatakan kepada Roza,


"Maghrib sudah hampir. Jom kita ke masjid. Kemudian kita balik ke rumah mak dan Abah. Nanti kita fikirkan apa yang patut dilakukan"


Kami bermalam di rumah Abah dan Mak. Kedua-duanya pula tiada di rumah kerana Abah sedang dirawat di hospital Kuala Lumpur akibat penyakit kanser. Dan pada ketika ini juga adik ipar – Ayu – menghadapi masalah yang sama. Ia kanser tahap 4.


Alahai…. rumah kami dilanda banjir. Saya tiada upaya memikirkan apakah yang akan berlaku kepada harta benda yang berada di dalamnya, Abah dan Ayu ditimpa bencana badan yang kritikal, maka logiknya emosi kami berada pada tahap yang paling rendah.


Hampir sepanjang malam saya mendengar air hujan yang mencurah pada atap rumah. Esok, saya tidak pasti apa yang bakal kami hadapi.


Jauh di sudut hati saya terfikir, "agaknya inilah yang dikatakan ujian Allah. Mungkinkah ini ujian terburuk buat saya dan keluarga?"

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 17, 2011 15:59

October 16, 2011

Guru dan murid

Saya bersama anak-anak murid


"Dr… Dr… kenapa jubah hitam?, hari ini panas," wajah-wajah ceria memulakan perbualan.


Mereka membuka serban dan igal. "Teacher, mahu pakai?"


Lalu Ibrahim dan Yusoef memakainya di kepala saya.


"Teacher, macam orang badwi…."


"Apa beza Badwi dan bukan Badwi?," tanya saya.


"Saya Badwi, hampir semua kami Badwi tetapi Riyad campuran Badwi dan…. (orang kota)," Saleh menerangkannya dengan panjang lebar.


Mereka sukar bertutur dalam bahasa Inggeris tetapi hubungan kami sangat akrab.


Mereka memanggil saya Dr atau teacher.


Ada ketikanya saya berjalan di hadapan, membuka pintu kelas dan mempersilakan mereka masuk. Lalu Yusoef berkata, "teacher, teacher masuk dulu. Ini Saudi, teacher masuk dulu".


Lalu saya tersenyum dan memberitahu, "Saya mengajar kamu yang sesiapa sahaja boleh menghormati orang. Saya di hadapan maka saya menghormati kamu, masuk… masuk dulu".


"Subhanallah, subhanallah teacher".


Pada hari yang lain, "Dr mahu moya (air)?," saya tersenyum tanpa memberi jawapan. Beliau kembali ke kelas dengan sebotol air mineral. "Syukran… Jazakallah…."


Ada ketikanya saya terlewat 5-6 minit atas urusan pejabat. Kata orang, pelajar Arab akan hilang jika pensyarahnya lambat ke kelas walaupun baru lima minit terlewat.


Alhamdulillah, mereka mencari saya di pejabat, "teacher we're are waiting".


Bila bertembung di jalan, saya cepat-cepat menyebut nama mereka, "Hassan, Abd Aziz, Hamad, Mohamed…..". Rakan-rakan mereka dari kelas berbeza akan menyebut, "MasyaAllah….. MasyaAllah…..".


Namun saya percaya permintaan saya berbulan-bulan sebelum mendarat di Madinah dipertimbang Allah. Saya sentiasa berdoa,


"Ya Allah jagalah hubungan ku dengan ketua-ketua ku, rakan sejawat, penduduk Madinah, rakan-rakan sesama Malaysia dan hubungan dengan anak-anak murid ku. Berilah rasa kasih, rasa sayang dan rasa saling cinta mencintai di antara kami ya Allah……."


Kami datang ke sini semata-mata kerana Mu ya Allah!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 16, 2011 10:26

October 15, 2011

Toyota

Colgate adalah ubat gigi.


Datsun adalah kereta.


Lux adalah sabun.


Brylcream adalah minyak rambut.


Cocacola adalah minuman berkarbonat.


Itulah contoh-contoh bagaimana jenama dikaitkan dengan produk. Inilah jenama-jenama yang sinonim dengan masyarakat Melayu Malaysia di sekitar tahun 70an dan 80an.


Itu yang saya ingat.


Di sini, Toyota merupakan jenama kereta yang melekat di dalam hati masyarakat Madinah dan mungkin KSA secara keseluruhan. Saya bertanya pelajar, "kereta apa yang bagus?" dan 8/10 akan memberitahu Toyota.


Toyota menguasai pasaran kenderaan. Kedai-kedai spare-part bersepah. Agaknya, kesemua mekanik di Arab Saudi boleh membaiki Toyota sambil tidur atau minum teh pudina.


Kedua, jenama yang kelihatan bermahaja rela di jalanraya ialah GMC, kereta keluaran Amerika Syarikat. Keretanya besar-besar, saiz dan CC. Inilah yang menjadi minat Amirul.


"Ayah, nanti beli GMC, best".


Amirul menghafal setiap jenis GMC. Ada yang sporty, ada yang 7 seater dan ada yang kelihatan sangat anggun.


Jawab saya, "lesen pun tiada, apa yang hendak difikirkan pasal kereta".


Namun kereta di sini sangat murah berbanding Malaysia. Tiada cukai yang dikenakan untuk kereta import. Tiada cukai jalan. Malah minyaknya hanya RM0.30/seliter.


Memanglah saya berangan mahu memiliki kereta sendiri. Itulah doa saya dan saya nyatakan dengan jelas,


"Ya Allah, mudahkanlah urusan lesen ku, supaya aku dapat memiliki kenderaan untuk aku beramal ibadat kepada Mu, Ya Allah ampunilah kesalahan-kesalahan kami dan ampunilah dosa-dosa kami ya Allah".

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 15, 2011 21:39

Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.