Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 40

November 26, 2011

Perbandingan

Saya sudah mula membiasakan diri memandu di Madinah. Bagaimanapun saya belum boleh diiktiraf sebagai penduduk Madinah. Odometer - 300 km – saya hanya sekali menggunakan hon.


Jika tidak menggunakan hon, ibarat makan tanpa sambal belacan.


Kini saya mengerti kenapa di dalam huru-hara pemanduan, keadaan di sekitar Haram jarang berlaku kemalangan. Sebenarnya, saya tidak pernah menyaksikan sebarang kemalangan.


Orang-orang Arab menggunakan hon sebagai satu permainan. Jika lampu merah bertukar hijau, terus kereta di belakang membunyikan hon. Orang di hadapan tidak pula sakit hati. Ia biasa begitu.


Jika di simpang empat, mereka akan membunyikan hon kerana mereka tidak suka melihat kiri dan kanan. Atau malas memakai signal.


Bila orang melintas di kawasan Haram, kebanyakannya memberi peluang untuk jemaah melintas. Hon berbunyi tetapi kereta berhenti. Di dalam kekasaran pemanduan, terselit sifat sabar yang sangat sabar.


Akhirnya, kita mulai merasai keseronokan dengan suasana ini. Tiada kesalahan yang perlu dimurkai. Ia habis di situ, tidak melekat di hati apatah lagi untuk dibawa pulang.


Kita sentiasa berhati-hati.


Minyak


Allahu Akbar, Alhamdulillah.


Saya terasa seolah-olah minyak di sini percuma. Kereta Dodge 3600 cc. Penuh tangki hanya SR40 kurang lebihRM34.  Ia perasaan teruja berbanding dengan harga minyak di Malaysia.


Tambah-tambah lagi di sini tiada tol yang perlu dibayar.


Saya juga sudah biasa parking kereta di bawah masjid. Ia sentiasa kosong kerana saya fikir penduduk Madinah tidak ke Haram ketika musim haji. Harga parking SR1/jam. Dan yang lebih menyukakan bila saya sudah berjumpa jalan pulang yang tidak bertembung dengan pergerakan jemaah haji.


Dan tempat pertemuan jemaah haji dengan kami sudah bertukar ke parking dan toilet no. 11A.


Gas


Kami beli dua tong gas untuk tujuan memasak. Satu tong SR198. Amboi mak mahalnya! Saya fikir begitu. Ia harga termasuk tong, gas dan saluran gas. Saya tanya dan bayar.


Mahu bertanya lebih-lebih saya belum boleh bertutur dalam bahasa Arab.


Semalam kami mempunyai 4 tetamu. Ketika tengah memasak, kami kehabisan gas. Rice-cooker juga terbakar fius (nota: agaknya dia terlampau penat kerana memasak nasi Arab setiap hari). Allahu Akbar, nasi belum di masak dan banyak perkara yang sukar diatasi di antara waktu Zohor dan Asar.


Orang yang tinggal di sini semuanya berehat!


Alhamdulillah, Roza – bab ini saya memang puji – sangat tenang orangnya. Kesemua hidangan malam tadi menggunakan microwave. Nasi menjadi lebih cantik, gebu dan nampak menarik. Agaknya –  rasanya pun lebih sedap.


Kenapa? Nora bertanya, "boleh saya buat balik?"


He…. he…. he…. alhamdulillah, suka hati Roza kerana nasinya tidak berbaki. Jika tidak ia akan membazir kerana kami semua – saya, Amirul, Sofea – sudah terlalu lali dengan Nasi Arab Roza.


Semalam, saya terus ke kedai menggantikan gas. Alahai…. harganya hanya SR15.


Video Conferencing melalui FB


Ia keseronokan dapat berkata-kata dengan sanak saudara dan teman-teman. Sukanya hati melihat wajah-wajah mereka. Jika tuan-puan melihat saya on-line dan mahu berbicara seketika, persilakan.


Atau jika mahu resepi daripada Roza, juga persilakan. Cuma kami tidak boleh lama berbual.


Pakai cantik-cantik kerana ia di udara. Cantik di sisi Allah. 


Semalam, saya berhubung dengan Junita Musliha (adik) di Kuantan. Sebelumnya saya bertanya khabar dan mengucap tahniah dengan Dr Khairul Anuar dan Dr Wan Adibah di New Zealand. Malah saya sempat bercakap dengan Khairul Anuar Rahim di Shah Alam.


Madinah – Kuantan – Shah Alam – New Zealand sepantas kilat.

 •  1 comment  •  flag
Share on Twitter
Published on November 26, 2011 08:35

November 25, 2011

Pulanglah…..

Ceramah di hotel Royal Dyar, Madinah


Saya tidak menyangka ruang pertemuan di Royal Dyar dipenuhi dengan jemaah haji anjuran Malaysian Airlines. Saya sukar menelah penerimaan mereka kerana bercakap setelah selesai melaksanakan ibadat haji.


Lalu topik yang saya susun atas keinginan untuk mempastikan "haji mabrur" membawa mereka ke syurga.


Saya bercakap hampir 2 jam.


Kedua, tazkirah ringkas di Haram dihadiri oleh jemaah Malaysia yang sedia menunggu di tempat biasa. Saya ucapkan selamat jalan kepada yang akan pulang. Ada yang berkata menyebabkan saya sangat-sangat suka, "prof, semalam saya berpuasa sunat. Benar prof, ia nikmat yang tidak pernah saya rasai".


Ia puasa semata-mata kerana Allah.


Pulanglah… ibadat haji mengubah sempadan iman.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 25, 2011 12:32

November 24, 2011

Pagi dan malam


Tetamu di sebelah pagi, keluarga petronas. Bersama di Jabal Ohud


Semalam saya menerima tetamu di sebelah pagi. Kemudian di sebelah malam saya menyampaikan tazkirah di Haram. Ramai yang turut serta. Saya fikir ia tidak bagus jika ia kelihatan seperti ceramah.


Hakikatnya, saya lebih suka menyampaikan tazkirah kepada 1 – 2 orang apabila di Haram. Jika mahu khalayak yang lebih besar, maka lebih baik dianjurkan di hotel.


Setiap kali memberi kuliah, saya berpegang kepada premis "menjadi manusia yang lebih baik, golongan terpilih atau golongan yang sedikit". Realiti di dunia, mereka yang cemerlang hanya sedikit sahaja.


Pelajar yang mendapat CGPA 4.00 boleh dikira dengan jari. PhD yang dapat ditamatkan kurang 3 tahun juga begitu. Pelajar mendapat 5A UPSR di sekitar 10 peratus.


Begitu juga dalam dunia pekerjaan. Mereka yang boleh diharap hanyalah beberapa orang sahaja. Istilah, "alih-alih muka sama sahaja" bukanlah satu kepelikan. Pakar perubatan bilangannya sedikit berbanding doktor biasa. Guru cemerlang hanya segelintir.


Lalu ia berpanjangan apabila berbicara tentang "masuk syurga tanpa dihisab". Hanya mereka yang cemerlang di sisi Allah akan berjaya. Manakan sama orang yang celik dengan sibuta.


Adakah sama mereka yang solat di berjemaah masjid berbanding di rumah?


Adakah sama mereka yang bangun malam berbanding dengan mereka yang tidur?


Adakah sama dengan mereka yang berpuasa sunat dengan yang tidak?


Ia soalan-soalan yang mahu difikirkan.


Cemerlang di sisi Allah tidaklah sesusah mendapat CGPA 4.00 atau menjadi pakar perubatan. Mudah sahaja…. carilah jawapan sebagaimana contoh-contoh di atas.


InsyaAllah, setiap orang berupaya menjadi cemerlang!


Tetamu selepas Isya, menaiki Dodge pergi dan balik.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 24, 2011 08:21

November 23, 2011

Tose Madinah

Percubaan pertama yang berjaya


Ia kisah inovasi. Tose saiz kecil ini sama sahaja rasanya sebagaimana yang saya makan di Restoran Pelita. Jika saya katakan ia lebih lazat takut-takut ia semacam bidaah.


Malah Roza sangat berpuasa hati dengan bagaimana tose beliau dirakamkan. Beliau memasak, merakam gambar dan menulis kisah.


Sejuk


Saya sudah terpaksa memakai termal. Maknanya, sejuknya sudah sampai ke tulang. Jika 20 tahun yang  lepas, cuaca seumpama ini saya masih boleh memakai t-shirt.


Misalnya semasa menuntut di Dundee, suhu sekitar 14 atau 16 celsius tidak menjadi masalah besar. Saya masih boleh bersiar-siar di City Center tanpa berbaju sejuk.


Masa beredar. Itulah tanda-tanda kekuatan manusia semakin menurun sejajar dengan umur yang meningkat. Nanti, bila sampai masa dan ketikanya kita tidak dapat melaksanakan apa yang difikirkan.


Maka, ketika muda dan sihat, fikirlah untuk melakukan sesuatu yang bermanfaat. Nanti biar ia bersesuaian dengan maksud hadis ini,


Apabila seseorang mukmin diuji oleh Allah dengan sesuatu bencana pada tubuhnya, Allah Taala berfirman kepada malaikat penulis amalnya: "Tulislah juga untuknya amal-amal soleh yang biasa ia lakukan;" kemudian jika Tuhan hilangkan bencana yang menimpanya itu, Tuhan jadikan ia hidup berkeadaan baharu – bersih suci dari dosanya; dan jika Tuhan mengambil nyawanya, diberikannya keampunan serta dikurniakan rahmat kepadanya


Juga tanda tua.


Habis seluruh badan bisa-bisa setelah mengharungi perlawanan "biasa-biasa" jika di kala usia muda. Ia hanya perlawanan ping pong. Labu betis saya sakit. Belakang juga tidak selesa.


Kalau mahu disalahkan – sesuatu – ada penyebabnya. Tiada latihan renggang sebelum bermain. Di rumah pula langsung tiada latihan.


Tazkirah


Alhamdulillah, semoga ia menjadi ilmu yang bermanfaat. Kami berjanji untuk berbuka puasa Khamis di sini.


Ia nyata berbeza. Pasca-Mekah, saya memberi tazkirah kepada kumpulan demi kumpulan. Hari ini 10 jemaah berkumpul di Haram untuk bersama saya. Ia lebih kepada motivasi sbelum berangkat pulang.


Namun suatu yang pasti, mereka yang berpuasa Isnin dan Khamis bertambah. Sekurang-kurangnya semasa mereka di Madinah.


Tetamu Arab


Ia keluarga Arab pertama yang bertamu ke rumah kami


Hari ini saya meraikan Encik Khalid dan keluarga di rumah kami. Kami serasi. Isteri – Iman – dan anak-anak juga cepat mesra. Alhamdulillah, ini juga salah satu doa yang diminta-minta daripada Allah SWT.


Ya Allah mudahkan hubungan kami dengan masyarakat setempat. Berikanlah perasaan kasih-sayang di antara kami ya Allah.


InsyaAllah, seminggu lagi Iman pula akan memasak buat kami sekeluarga. Roza perlu bersedia dengan kamera untuk mempelajari resepi baru.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 23, 2011 08:46

November 22, 2011

Ia berbeza

Tazkirah di Haram, ia jumlah yang ramai. Kami doakan mereka semua mendapat haji yang mabrur.


Jemaah haji mulai tiba di Madinah. Malam tadi dan saya fikir untuk beberapa minggu yang akan datang jemaah yang membanjiri Masjid Nabawi (Haram) sangat berbeza berbanding dua hari yang lepas.


Jemaah Malaysia juga sudah sampai.


Mood mereka sangat berbeza dengan tetamu-tetamu saya sebelum menunaikan ibadat fardhu haji.


Pertama, beg sandang oren trademark jemaah kita berkurang. Mereka tidak lagi khuatir, hanya datang berlenggang ke Masjid. Tidak perlu membawa apa-apa keperluan. Gelang tangan sudah mencukupi.


Kedua, wajah kelegaan memang nampak jelas. Allahu Akbar, lega kerana berjaya menunaikan rukun Islam kelima tidak dapat disorok-sorok. Ia amat mudah difahami.


Ketiga, pendekatan tazkirah saya juga hampir 100% bertukar melayani mood jemaah yang juga sangat berbeza. Jika pra Haji, saya menitik beratkan amalan-amalan harian, cabaran di Mekah (sangat-sangat mencabar) dan impian serta harapan selepas menunaikan fardhu haji.


Perbualan biasanya bermula dengan bertanya, "haji puasa sunat?," yang hampir keseluruhannya tidak melakukannya. Kemudian, saya memberi rasional puasa sunat dalam konteks ibadat haji walaupun ia bukan sebahagian daripada rukun dan wajib haji.


Akhirnya – bergantung kepada masa – ia meliputi kepada aspek empat rukun Islam yang lain dan kaitan langsungnya dengan ibadat haji.


Alhamdulillah konsep-konsep "menjadi manusia yang lebih baik" dalam kehidupan selepas haji disampaikan menggunakan pelbagai pendekatan yang tidak disedari oleh khalayak.


Kini ia nyata berbeza.


Ia berlaku secara semulajadi. Jika di rumah, saya berpaling kepada jemaah wanita dan terus berkata, "sebelum kita menjamu selera, mari kita mendengar sedikit tazkirah. Puan mempunyai cabaran yang sangat besar apabila pulang ke Malaysia".


Jika di Haram, saya akan memulakan dengan konsep "Haji Mabrur" yang dijanjikan Allah, "Tiada balasan melainkan syurga". Maksudnya, jika kita menunaikan fardhu haji pada usia 60 tahun dan meninggal dunia pada usia 70 tahun, maka tanda-tanda haji mabrur itu terletak dalam tempoh 10 tahun tersebut.


Ia tidak boleh berubah untuk 5 tahun pertama dan kembali kepada asal selepas itu. Paling kronik, solat subuh yang pertama sudah fail berjemaah di masjid.


"Ha… ha…, " saya ketawa kecil kerana mereka dalam mood ketawa. Dalam ketawa inilah saya menyelit sesuatu yang berlaku kepada ramai orang. Mudah-mudahan kita jadi golongan terpilih.


Ia tidak berakhir di Madinah. Ia baru sahaja bermula. Allahu Akbar, inilah ketakutan atau kerisauan yang perlu kita fikirkan. Ia jauh lebih menyesakkan dada berbanding ketika sebelum menunaikan fardhu haji buat mereka yang berfikir.


Lihatlah diri kita, ketawa atau masih lagi menitiskan airmata pengharapan?


Allah – Allah – Allah, saya mengingati diri sendiri, memandang Roza dan anak-anak dengan memohon agar kami semua dirahmati dan diberkatiNya. Saya mohon keampunan Allah.


Saya Juara


Hari Terbuka College of Business Administration, Universiti Taibah.


Saya menyertai pertandingan ping-pong atau tenis meja. Saya tahu saya OK dalam permainan ini. Orang lain – pelajar dan pensyarah – tidak pula saya tahu.


Perlawanan pertama saya dengan seorang pelajar. Permainan hanya  satu set. Siapa yang sampai dulu 21 mata dikira menang. Easy…. mudah. Saya menang mudah.


Perlawanan kedua menentang Dekan, bos saya sendiri. Mati. Perlukah saya main main-main atau bermain biasa. Saya mulakan dengan permainan yang mudah-mudah. Kami berkejar mata. Bila sampai saat kritikal, saya mulai dengan serve yang sukar diambil oleh orang biasa-biasa. Saya menang!


Profesor Tosef berkata, "Prof, Dr Adnan akan hantar you balik ke Malaysia….".


Saya senyum sahaja.


Perlawanan ketiga menentang juara tahun lepas, Dr Shahar – pensyarah – dari Mesir. Ia perlawanan hebat. Ramai yang menyaksikan perlawanan yang dikira sama berat. Akhirnya orang tua menang mengatasi orang muda.


Sayalah yang menang.


Perlawanan ke-empat, juga menentang seorang pensyarah. Beliau OK tetapi saya lebih baik permainannya. Menang lagi. Saya juga menyaksikan perlawanan yang lain dan saya sudah terbayang akan menjadi juara.


Separuh akhir menentang seorang pelajar. 20 – 15, saya pasti menang. Itulah bisikan hati.


Alih-alih beliau mengutip mata demi mata sehingga 20 -20. Tambahan 5 mata. Akhirnya perjuangan saya berakhir di situ.


"Engkau pandai tetapi AKU lagi hebat. Jika AKU tidak izinkan, minta maaf ia tidak akan berlaku".


Saya belajar sesuatu. Jangan riyak dengan Allah walaupun memerlukan hanya 1 mata dengan 5 kali percubaan. Cuba lagi tahun hadapan dengan hati yang lebih tenang kepadaNya.


Ia juga untuk senyum-senyum.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 22, 2011 08:02

November 21, 2011

Unta

Ada dua binatang yang sering dikaitkan dengan orang-orang Arab. Pertama kambing kerana inilah kerja pertama Rasulullah SAW. Kedua, unta betina yang pernah dianugerahkan mukjizat kepada Nabi Saleh,



Dan sekali-kali tidak ada yang menghalangi Kami untuk mengirimkan (kepadamu) tanda-tanda (kekuasan Kami), melainkan kerana tanda-tanda itu telah didustakan oleh orang-orang dahulu. Dan telah Kami berikan kepada Tsamud unta betina itu (sebagai mukjizat) yang dapat dilihat, tetapi mereka menganiaya unta betina itu. Dan Kami tidak memberi tanda-tanda itu melainkan untuk menakuti. (Surah al-Israa ayat 59).

Semalam – selepas Asar – saya menerima panggilan, "teacher, teacher, we come to your house, we go drink milk. Bring Amirul your walad".


Allahu Akbar, mereka akan sampai jam 5 petang. Maghrib masuk jam 5.35 petang dicampur waktu menunggu 10 minit maka solat akan bermula jam 5.45. Kemudian, saya perlu mengambil kereta selepas Maghrib.


Masa sangat suntuk namun dalam masa yang sama saya tidak mahu menghampakan permintaan mereka. lalu saya ceritakan jadual saya yang padat.


"Enough time teacher!".


Allahu Akbar, benar sekali masa di Madinah sangat lambat bergerak. Kami dapat melakukannya. Paling penting saya dapat mengajak anak-anak murid saya solat berjemaah di masjid.


Saya tunjukkan yang solat berjemaah di masjid perlu ada dalam setiap perancangan hatta mahu minum susu unta.


Amirul bergambar kenangan dengan unta betina


Inilah satu-satunya jamal jantan dan ia pula berwarna putih.


Beginilah cara susu diperah


pandangan belakang


Kami bersedia untuk minum susu unta yang fresh, lemak dan berkrim


Bukan kita yang bersalah


Saya tidak tahu berapa ramai yang sudah saya temui jemaah haji di Haram. Saya temui pelbagai karektor. Namun kebanyakan mereka yang membaca buku Travelog Haji atau 50 tips – kebiasaannya – memberi peluang untuk saya menyampaikan pandangan tanpa bersoal-jawab.


Mereka tahu masa yang sangat terbatas.


Namun ada juga yang saya perlu menjadi pendengar terutamanya mereka yang bijak-pandai, biasa menjadi bos, mengendalikan mesyuarat dan bercakap soal dasar dalam pentadbiran negara, kementerian atau jabatan yang mereka ketuai.


Menarik bila seorang haji berkata, "saya terkejut melihat anak saya tidak memahami maksud al-Fatihah walaupun sudah tingkatan lima. Apa yang dilakukan oleh ustaz-ustaz kita. Inilah kesilapan sistem pendidikan kita tidak memberi penekanan yang betul".


Lebih menarik lagi apabila beliau berkata tentang kegagalan sistem pendidikan negara yang menyebabkan banyak perkara tidak dikaitkan dengan kebesaran Allah.


Malah beliau tidak yakin atau berfikir-fikir bagaimana untuk meneruskan amalan-amalan yang dilaksanakan di Mekah dan Madinah dengan sistem di universiti yang tidak meletakkan solat berjemaah di atas segalanya. Terdapat kelas beliau bermula jam 12.00 hingga 2.00 petang.


Apa yang dikatakan oleh beliau adalah benar. Namun saya mempunyai pandangan sisi yang sedikit berbeza. Saya hujahkan kepada beliau apa yang terkandung di dalam hati.


Pertama - saya nyatakan – tidak malukah kita sebagai ibu bapa melihat anak kita tidak memahami al-fatihah sehingga usianya mencecah 16 – 17 tahun? Ustazkah yang salah atau kita yang salah?


Bukan kita yang salah? 


Berapa ramai di antara kita – ibu bapa – yang tidak mahu mengganggu anak-anak lelaki tidur untuk dikejutkan ke masjid? Ustazkah yang salah? Kita takut mereka mengantuk di sekolah. Atau kerana kita sendiri tidak berjemaah?


Kedua, kita mengharap bijak pandai menggubalkan sistem pendidikan yang membesarkan Allah. Bagaimana mereka mahu membesarkan Allah jika aurat isteri di rumah pun tiada upaya untuk dijaga. 


Saya bertanya, mampukah tuan menjaga isteri dan anak-anak supaya berpakaian yang betul-betul menutup auratnya, ketika berhubung dengan ipar-duai atau ketika membersihkan halaman rumah.


Bolehkah pakaiannya di bawa solat?


Ketiga, ibadat haji mengajar kita tentang kepercayaan kepada Allah. Bangunlah 1/3 malam yang tersisa, bergantunglah kepada Allah, mintalah pertolonganNya, mintalah semata-mata kerana Allah. Allahu Akbar setakat masalah kelas pukul 12 – 2 petang sangat kecil bagi Allah. Langit dan bumi Dia mengaturkannya.


Janjinya, kita harus merayu dan merayu supaya Dia membenarkan kita untuk solat berjemaah di masjid sebagaimana yang kita harapkan. InsyaAllah, Allah akan bagi jalan bagaimana menyelesaikan masalah yang kelihatan sangat kecil di sisiNya.


Akhirnya, marilah kita berfikir tentang diri kita, keluarga kita, rakan-rakan kita, masyarakat kita, negeri kita, negara kita dan umah seluruhnya. Marilah kita lakukan yang boleh kita lakukan.


Bila pulang ke rumah, saya menyesal bercakap sebegitu keras. Allah…. Allah… saya tidak berniat mahu melukakan hati sesiapa tetapi – saya juga manusia biasa – yang sentiasa tidak gemar jika ada yang berkata "ia kesalahan dia……"


Saya mohon keampunan Allah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 21, 2011 08:03

November 20, 2011

Ia tidak perlu ke dapur

Saya sudah membaca hampir 50 peratus daripada deraf buku Roza, Bukan Sekadar Resipi. Beliau pula sangat sibuk memasak terutamanya resepi-resepi yang belum bergambar.


"Mama, hari ini kita makan apa," soal Amirul walaupun di tangannya ada makanan yang sedang dimakan.


"Inilah makanan kita," jawab Roza. "Kenapa mama? Buku mama sudah siap?," Allahu Akbar. Rupanya Amirul mengaitkan makanan yang sedap-sedap dengan buku Bukan Sekadar Resepi.


Apa komen saya sebagai seorang pembaca?


Saya terjemahkannya kepada Roza. "Yang, saya fikir tagline yang sesuai untuk buku ini – Ia tidak perlu ke dapur!!!! – kerana saya fikir ia buku resepi yang tidak perlu memasak. Maksud saya, orang lelaki boleh dan perlu membaca buku ini. Lepas baca, suruh sahaja isteri yang masak. Pengajaran daripadanya yang perlu dimakan". 


Saya fikir ia satu inovasi buku penulisan resepi atau masakan. Jika penerbit pandai, ia boleh dipasarkan dengan menggunakan pendekatan yang berbeza. Ia tidak boleh bersifat konvensional kerana buku ini tidak begitu sifatnya.


Ada seseorang yang sangat pandai mengambil kesempatan daripada keadaan ini. Namanya Syaizul Amal. Ia orang bijaksana dan usahawan jutawan senyap.


Mal, bagaimana ia boleh dibantu?


Alahai ini pandangan peribadi saya. Orang akan berkata, "itu suami dia yang membuat promosi!".


Hari untuk ketawa dan senyum-senyum.


 


Senyum


Amirul di belakang bukan main tersengeh lagi. Penyerahan kereta pada 20.11.2011


Satu fasal penting berlalu.


Kini saya berkenderaan. Penumpang pertama Amirul dan Ustaz Aizat (tiada dalam gambar) yang berada di sisi ketika saya memandu pulang. Terima kasih kepada Dr Dahaman yang membawa kami ke kedai.


Besok – InsyaAllah – Encik Razak dan isteri bakal menjadi jemaah haji pertama yang akan dibawa ke rumah menggunakan Dodge VKB 5186. Allahu Akbar, mudah-mudahan ia memudahkan kami untuk beramal ibadat.


Saya tersenyum dan bersyukur kepadaNya.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 20, 2011 08:56

November 19, 2011

Pendapatan

Beberapa orang bertanya, "Prof berapa pendapatan yang dibayar oleh Universiti Taibah?". Saya tidaklah berahsia. Namun saya memberi jawapan umum, "pendapatan saya sama sahaja dengan pendapatan di UiTM. Gaji pokok dan elaun profesor kelihatan RM1=SR1.


Maksudnya, gaji dan jumlah elaun dalam SR lebih tinggi sedikit mengambilkira perbezaan tukaran wang asing. Mengambil kira kesemua faktor tersebut pendapatan di sini sama sahaja berbanding di Malaysia.


Kemudian, bagaimana pula dengan kuasa beli? Jika saya mengambil kereta sebagai contoh, Toyota Fortuner yang dianggap mewah (dipakai oleh Pengarah UiTM Johor – dibeli semasa saya memegang jawatan tersebut) hanya SR90,000. Ia disekitar RM80,000.Toyota Camry hanya SR60000 – SR70,000.


Tiada cukai pendapatan. Tiada cukai jalan. Minyaknya sangat-sangat murah. Roti dan gandum juga murah. Emm… lain-lain kelihatan mahal atau setara dengan apa yang ada di Malaysia.


Akhirnya saya akan bertanya, kenapa mahu menginap di Madinah?


Di dalam al-Quran ada disebut dengan jelas tentang nilai pendapatan yang sebenar. Ia sangat menarik apabila Allah sendiri menyebutnya melalui ayat 60 – 61, As-Saaffat yang bermaksud,


Sesungguhnya (nikmat-nikmat kesenangan syurga) yang demikian, ialah sebenar-benar pendapatan dan kemenangan yang besar. Untuk memperoleh (kejayaan) yang seperti inilah hendaknya orang-orang yang beramal melakukan amal usahanya dengan bersungguh-sungguh (di dunia).


Pendapatan yang tinggi perlukan usaha yang bersungguh-sungguh. Begitulah perbandingan menarik di antara pendapatan dunia yang sempit dengan pendapatan hakiki yang kekal selama-lamanya.


Ketika kita sanggup berkerja bersungguh-sungguh, belajar tinggi-tinggi dan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan pendapatan tinggi RM atau SR, kita jangan pula meminggirkan satu nilai pendapatan yang sangat penting.


InsyaAllah, kita seimbangkan pendapatan tersebut. Seimbang tetapi pastinya tidak sama!


 


Apa kata mereka?


Alhamdulillah kerana saya diberi peluang olehNya untuk berkongsi pandangan mengenai kandungan buku Travelog Kehidupan: Menghadapi Ujian, karya terbaru Profesor Dr Muhd Kamil Ibrahim (MKI).


Pertama, saya melihat karya ini selari dengan pesanan As Shayid Hassan Al Banna, tokoh mujadid Islam yang sangat terkenal. Hujah beliau, "seseorang muslim sejati sentiasa menyedari tanggung jawab yang mereka pikul menjangkaui masa yang diperuntukkan oleh Allah".


MKI mempelbagaikan kaedah untuk menyampaikan risalah mengenai kebaikan, keburukan dan ancaman. Misalnya, saya terkesan dengan penyampaian syarahan, penulisan dalam blog dan penerbitan bahan bacaan. Ia dilakukan secara lemah lembut, santai dan sangat berhemah.


Travelog Kehidupan: Menghadapi Ujian, menggunakan pendekatan yang sangat unik. Beliau menggunakan pendekatan hati dan minda untuk mempengaruhi pembaca. Di Barat ia pernah dilakukan namun keistimewaan yang terdapat dalam karya MKI ialah keikhlasan dalam berbicara. Hati saya terasa buku ini penuh dengan sifat tawaduk dan keikhlasan.


Ada tiga aspek utama yang mahu saya ulas. Pertama, karya ini amat mudah untuk difahami disebabkan MKI mengambil kira aspek keperihalan keadaan. Beliau menggunakan laras bahasa mudah. Hasilnya, mesej disampaikan jelas kepada semua lapisan khalayak pembaca. Natijahnya, tulisan yang dikaitkan dengan hati dan minda menyebabkan khalayak pembaca akan mudah dipengaruhi untuk sesuatu tindakan positif berikutnya.


Kedua, saya mendapati karya ini tepat menggunakan bunyi bahasa, jelas dalam mengucapkan bunyi bahasa, tepat dalam penggunaan intonasi dan modulasi. Misalnya, dalam bab 7, Pundi Kencing, Payu Dara dan Muka, terdapat bunyi bahasa, penggunaan intonasi dan modulasi yang amat menyentuh hati dan minda. Saya petik, "Abah OK, cuma abah hendak sambung ubat sahaja," itulah permintaan beliau ketika kami membawa beliau ke Hospital Pantai.


Akhir sekali, saya berpendapat MKI amat berani dalam membicarakan hal peribadi. Itulah catatan beliau yang mahu dijadikan teladan kepada masyarakat. Misalnya ayat berikut dalam bab 14, Taubat, "Dalam kes ini, saya pernah terbaca sepucuk surat layang setebal 13 muka surat yang menceritakan keburukan kesemua profesor yang telah dilantik oleh pihak universiti".


Semoga ia menjadi amal-ibadat yang diterima Allah.


Dr. Muhammad Faizal A. Ghani

Universiti Malaya

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 19, 2011 08:02

November 18, 2011

Ia bukan sekadar resepi

Menulis dan mengedit buku dua kerja berbeza.


Saya suka menulis, tidak suka mengedit. Edit sukar kerana ia melibatkan soal emosi. Apa yang kita tulis lahir daripada hati sendiri. Membaca tulisan orang, kita cuba menghayati apa yang ada di hati penulis tersebut.


Saya pernah menegur editor yang membuang terus "catatan penulis" tanpa membaca. Bagi saya, di situlah bermulanya seorang penulis yang bijaksana mahu memakukan khalayak pembaca.


Namun membaca tulisan Roza tidak sukar. Hatinya saya tahu walaupun tidak selalu 100% benar. Ketika membaca Bab 4: Jemput-Jemput, saya terasa di hati. Sebagai isteri beliau berusaha mempelajari masakan ibu saya walaupun sesimple jemput-jemput. Ia menjadi sangat signifikan.


Bab 4 Jemput-jemput


Lain padang, lain belalang. Jika padangnya luas, mungkin belalangnya berjenis-jenis berkumpul pada satu padang yang sama. Ia agakan saya semata-mata.


Buku ini ditulis di dua padang berbeza. Awalnya di Malaysia, akhirnya di Madinah Al-Munawwarrah. Di sini – Madinah – corak pemakanan mereka berbeza. Padang yang berbeza.


Misalnya, kami melihat majoriti penduduk tempatan menjadikan roti arab sebagai juadah harian. Roti arab ini mereka cicah dengan susu masam (yogurt), mentega atau keju berkrim.


Jarang sekali ia dicicah dengan kuah kari yang dicampurkan daging atau kacang dhal.

Malahan ketika berbuka puasa sunat – Isnin dan Khamis – di masjid Nabawi, roti arab menjadi juadah berbuka puasa selain tamar dan air zam-zam.


Ia sangat lazat. Saya terfikir, makanankah yang lazat atau ibadat puasa itu yang menyebabkan makanan menjadi lazat? Allahu Akbar, itulah tanda-tanda kebesaran Allah.


Kami juga melihat anak-anak sekolah memakan roti sambil berjalan tanpa sosej, keju, mentega atau seri kaya. Barangkali roti itulah yang disuap semenjak kecil oleh si ibu.


Kenapa kita harus merasa hairan?


Jauh-jauh begini, kami terkenang makanan emak yang diasak sejak kecil lagi. Ia makanan yang boleh menjadi hidangan sarapan pagi ataupun minuman petang. Makanan pelbagai keadaan.


Tidak pernah pula kami terfikir – satu hari nanti – makanan harian ini boleh menyebabkan kami terkenang-kenang malah merinduinya. Adakah kita merindui makanan atau Allah jadikan makanan sebagai penyebab untuk mengingati emak?


Sewaktu kecil – hampir setiap pagi – jemput-jemput adalah sarapan pagi kami. Bau haruman gorengan sudah dikenalpasti meskipun kami masih terbaring terlentang di dalam kelambu yang masih terpasang.


"Ah! Mesti emak goreng jemput-jemput pagi ini.."


Allahu Akbar, di hening subuh yang dingin dan syahdu inilah emak sudah berada di dapur melaksanakan tanggungjawabnya kepada Allah SWT.


Kadang-kadang ia juga dihidangkan ketika tetamu datang bertandang. Tidak mengira waktu. Satu yang pasti, kami tidak pernah bosan menikmatinya.


Mengapa?


Allah memberikan ilham kepada manusia untuk mempelbagaikan resepi. Resepi jemut-jemput berubah jika diubah ramuannya. Ramuan asasnya sama, gandum, air dan air garam.


Jika emak mencampurkan ikan bilis dan bawang besar yang dihiris nipis serta sedikit daun bawang atau daun sup maka jadilah ia jemput-jemput ikan bilis.


Kemudian, emak gantikan ikan bilis kepada udang kering untuk resepi jemput-jemput udang kering. Paling tidak, emak mencampurkan beberapa sudu gula merah di dalam adunan tepung.


Apabila ada kelapa parut, kadang-kadang ia menjadi jemput-jemput kelapa. Jika dimasukkan pisang, ia menjadi jemput-jemput pisang. Jika ada labu rebus yang di lecek atau labu parut, ia dipanggil jemput-jemput labu.


Ah! Betapa mudahnya mencipta resepi hidangan jemput-jemput itu! Bukankah ilham itu tanda-tanda kemurahan dan kasih sayang Allah kepada hambaNya?


Ada kalanya jemput-jemput yang kelihatan ringkas dan sederhana itu menjadi hidangan yang bergaya. Ianya berlaku jika emak membeli udang basah. Saya melihat emak mencampurkan sedikit serbuk penaik, serbuk kunyit dan telur di dalam adunan tepung dan air garam.


Emak biarkan adunan itu seketika. Adunan itu ditambah lagi dengan daun kucai, hirisan bawang besar, racikan daun sup dan hirisan lada merah.Kemudian emak panaskan minyak untuk gorengan.


Emak ambil sesenduk adunan dan dan bubuh seekor udang basah diatasnya. Wah! Ia mengelembung dan menyelerakan. Malah sedap di makan bersama cicahan cili sos manis atau kuah kacang.


Selepas berumah tangga – saya mempelajari sesuatu – ada resepi yang perlu diketahui melalui ibu mertua. Jemput-jemput emak saya dan ibu mertua sangat-sangat berbeza. Tentulah suami akan teringat-ingat akan masakan ibunya.


Bukankah suami kita diasak oleh masakan ibunya semenjak kecil?


Akhirnya saya perlu mengakui yang resepi jemput-jempu Wan sangat istimewa. Beliau menghasilkan jemput-jemput istimewa berintikan isi ikan. Asasnya sama tetapi penyediaannya sangat remeh.


Ikan kembung atau ikan selayang direbus bersama asam keping, halia dan lengkuas serta garam. Hanya isi ikan diambil dan dihancur-hancurkan. Kemudian, isii ikan dicampur dengan hirisan bawang.


Rahsia kesedapannya berkait dengan cara isi ikan disumbatkan ke dalam adunan tepung sebelum mengorengnya. Prosesnya kelihatan renyah.


"Wan, saya nampak macam susah buat jemput-jemput ikan," saya di sisi Wan memerhatikan beliau menggoreng adunan tersebut.


"Dok Roza, kalu kito buat denga kasih-saye," tekun saya mendengar penjelasan Wan dengan loghat Besutnya. Maksudnya, "Tidak Roza, kalau kita lakukannya dengan kasih-sayang".


Dapur dan resepi boleh menjadi pengikat hubungan menantu dan mertua. Setinggi mana menantu perempuannya berpangkat dan berilmu, akhirnya yang mengikat kasih-sayang – nun jauh di hati – membabitkan dua perkara tersebut.


Dulu, saya melihat jemput-jemput sebagai sejenis hidangan segera yang mudah dan ringkas. Emak tidak pernah berkeluh kesah jika tetamu tiba-tiba muncul bertandang. Pesanan emak, terima mereka dengan berlapang dada. Kedatangan tetamu ke rumah membawa rahmat.


Jemput-jemput hasil tangan emak dan Wan nyata berbeza. Ia hidangan ringkas serta penuh dengan limpahan kasih sayang dan terhasil dari perasaan yang tulus ikhlas


(Nota: Resepi disediakan bersama buku…)

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 18, 2011 08:23

November 17, 2011

Kereta baru

Kereta baru saya sudah tiba dari Riyadh.


Lusa – Sabtu – sepatutnya saya menerima kereta baru. Namun permohonan untuk mendaftarkan kereta dengan pihak JPJ Madinah ditolak. Alasanya saya tidak menyertakan surat memperkenalkan diri daripada universiti.


Allahu Akbar, Khamis dan Jumaat cuti di sini. Hari Sabtu barulah saya boleh memohon surat tersebut. Paling awal ia dapat dikeluarkan hari Ahad.


Sabar, sabar, sabar! Sudah tua begini pun masih excited menanti.


Buku baru


Menanti buku baru Travelog Kehidupan: Menghadapi Ujian juga excited. Pagi tadi – waktu Arab Saudi – manuskrip lengkap telah dihantar ke penerbit dengan satu permintaan utama.


Bolehkah diterbitkan atau dicetak secara eksklusif sebanyak 300 naskah pertama buat pembaca KRTS dan rakan FB. Saya mahu ia dicetak sebagai edisi premier dan 50% hasilnya mahu disalurkan kepada rumah anak yatim Baitul Ehsan.


Jika diluluskan oleh penerbit mahukah khalayak KRTS dan rakan FB membeli buku ini sambil menderma kepada Baitul Ehsan?


Kata Pengantar buku ini ditulis oleh rakan sendiri yang bertugas di UiTM Sarawak. Saya memberi penghormatan kepadanya atas beberapa sebab. Ia ada di hati. Dan saya berharap ia benar dan datangnya setulus hati.


Kata Pengantar


Profesor Dr Muhd Kamil Ibrahim (MKI) adalah rakan atau sahabat yang sangat saya kenali. Namun saya terkejut tetapi berbangga apabila diminta untuk membaca manuskrip Travelog Kehidupan: Menghadapi Ujian dan seterusnya menulis pandangan ringkas melalui ruangan ini.


Terkejut dan berbangga bersifat kesalingan. Terkejut kerana tidak menyangka tetapi berbangga kerana seorang penulis terkenal memberi peluang kepada seorang sahabat untuk mengulas buku terbaru beliau. Hati nakal saya berkata – agaknya beliau kesuntukan orang!


Penulisan MKI merupakan anugerah Allah. Kesemua buku-buku umum beliau yang terkenal – misalnya – PhD kecil tapi Signifikan, Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman, Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok serta 50 Tip Motivasi Haji berjaya menarik minat ramai pembaca untuk membaca sehingga tamat.


Rahsianya agak mudah. MKI menulis dari hati. Lalu hatilah yang disentuh. Di atas segalanya, Allah mengurniakan kepada profesor yang satu ini kebolehan menyentuh kalbu insan yang lain.


MKI berdakwah secara santai. Tulisannya berombak-ombak menyentuh perasaan pembaca. Isu yang sukar di tangan penulis lain, MKI menggarapnya menjadi mudah untuk dicerna. Beliau mengata dirinya tetapi hakikat sebenar MKI memukul kesemua khalayak pembaca. Beliau menceritakan kesedihan yang beliau alami tetapi yang menangis adalah mereka yang beliau tidak kenali.


Pada ketika tertentu, MKI membuat kita ketawa. Dalam ketawa inilah beliau menyindir dengan sindiran yang sangat tajam. Bagi mereka yang berlapang dada, mahu menuntut ilmu daripada profesor ini, maka buku yang kelihatan ringkas dan santai akan menjadi ilmu yang bermanfaat, InsyaAllah.


Hidup ini penuh dengan ujian. Sebagaimana yang diucapkan oleh MKI, kita mengingati Allah ketika ujian duka. Bila suka, kita sering lupa. Saya menghargai tulisan ini yang sentiasa memberi peringatan kepada kita semua.


Saya mendoakan kesemua khalayak pembaca mendapat manfaat.


Profesor Madya Dr Mohd Rashidee Alwi

Pensyarah Pemasaran

Universiti Teknologi MARA

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 17, 2011 11:15

Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.