Unta
Ada dua binatang yang sering dikaitkan dengan orang-orang Arab. Pertama kambing kerana inilah kerja pertama Rasulullah SAW. Kedua, unta betina yang pernah dianugerahkan mukjizat kepada Nabi Saleh,
Dan sekali-kali tidak ada yang menghalangi Kami untuk mengirimkan (kepadamu) tanda-tanda (kekuasan Kami), melainkan kerana tanda-tanda itu telah didustakan oleh orang-orang dahulu. Dan telah Kami berikan kepada Tsamud unta betina itu (sebagai mukjizat) yang dapat dilihat, tetapi mereka menganiaya unta betina itu. Dan Kami tidak memberi tanda-tanda itu melainkan untuk menakuti. (Surah al-Israa ayat 59).
Semalam – selepas Asar – saya menerima panggilan, "teacher, teacher, we come to your house, we go drink milk. Bring Amirul your walad".
Allahu Akbar, mereka akan sampai jam 5 petang. Maghrib masuk jam 5.35 petang dicampur waktu menunggu 10 minit maka solat akan bermula jam 5.45. Kemudian, saya perlu mengambil kereta selepas Maghrib.
Masa sangat suntuk namun dalam masa yang sama saya tidak mahu menghampakan permintaan mereka. lalu saya ceritakan jadual saya yang padat.
"Enough time teacher!".
Allahu Akbar, benar sekali masa di Madinah sangat lambat bergerak. Kami dapat melakukannya. Paling penting saya dapat mengajak anak-anak murid saya solat berjemaah di masjid.
Saya tunjukkan yang solat berjemaah di masjid perlu ada dalam setiap perancangan hatta mahu minum susu unta.
Amirul bergambar kenangan dengan unta betina
Inilah satu-satunya jamal jantan dan ia pula berwarna putih.
Beginilah cara susu diperah
pandangan belakang
Kami bersedia untuk minum susu unta yang fresh, lemak dan berkrim
Bukan kita yang bersalah
Saya tidak tahu berapa ramai yang sudah saya temui jemaah haji di Haram. Saya temui pelbagai karektor. Namun kebanyakan mereka yang membaca buku Travelog Haji atau 50 tips – kebiasaannya – memberi peluang untuk saya menyampaikan pandangan tanpa bersoal-jawab.
Mereka tahu masa yang sangat terbatas.
Namun ada juga yang saya perlu menjadi pendengar terutamanya mereka yang bijak-pandai, biasa menjadi bos, mengendalikan mesyuarat dan bercakap soal dasar dalam pentadbiran negara, kementerian atau jabatan yang mereka ketuai.
Menarik bila seorang haji berkata, "saya terkejut melihat anak saya tidak memahami maksud al-Fatihah walaupun sudah tingkatan lima. Apa yang dilakukan oleh ustaz-ustaz kita. Inilah kesilapan sistem pendidikan kita tidak memberi penekanan yang betul".
Lebih menarik lagi apabila beliau berkata tentang kegagalan sistem pendidikan negara yang menyebabkan banyak perkara tidak dikaitkan dengan kebesaran Allah.
Malah beliau tidak yakin atau berfikir-fikir bagaimana untuk meneruskan amalan-amalan yang dilaksanakan di Mekah dan Madinah dengan sistem di universiti yang tidak meletakkan solat berjemaah di atas segalanya. Terdapat kelas beliau bermula jam 12.00 hingga 2.00 petang.
Apa yang dikatakan oleh beliau adalah benar. Namun saya mempunyai pandangan sisi yang sedikit berbeza. Saya hujahkan kepada beliau apa yang terkandung di dalam hati.
Pertama - saya nyatakan – tidak malukah kita sebagai ibu bapa melihat anak kita tidak memahami al-fatihah sehingga usianya mencecah 16 – 17 tahun? Ustazkah yang salah atau kita yang salah?
Bukan kita yang salah?
Berapa ramai di antara kita – ibu bapa – yang tidak mahu mengganggu anak-anak lelaki tidur untuk dikejutkan ke masjid? Ustazkah yang salah? Kita takut mereka mengantuk di sekolah. Atau kerana kita sendiri tidak berjemaah?
Kedua, kita mengharap bijak pandai menggubalkan sistem pendidikan yang membesarkan Allah. Bagaimana mereka mahu membesarkan Allah jika aurat isteri di rumah pun tiada upaya untuk dijaga.
Saya bertanya, mampukah tuan menjaga isteri dan anak-anak supaya berpakaian yang betul-betul menutup auratnya, ketika berhubung dengan ipar-duai atau ketika membersihkan halaman rumah.
Bolehkah pakaiannya di bawa solat?
Ketiga, ibadat haji mengajar kita tentang kepercayaan kepada Allah. Bangunlah 1/3 malam yang tersisa, bergantunglah kepada Allah, mintalah pertolonganNya, mintalah semata-mata kerana Allah. Allahu Akbar setakat masalah kelas pukul 12 – 2 petang sangat kecil bagi Allah. Langit dan bumi Dia mengaturkannya.
Janjinya, kita harus merayu dan merayu supaya Dia membenarkan kita untuk solat berjemaah di masjid sebagaimana yang kita harapkan. InsyaAllah, Allah akan bagi jalan bagaimana menyelesaikan masalah yang kelihatan sangat kecil di sisiNya.
Akhirnya, marilah kita berfikir tentang diri kita, keluarga kita, rakan-rakan kita, masyarakat kita, negeri kita, negara kita dan umah seluruhnya. Marilah kita lakukan yang boleh kita lakukan.
Bila pulang ke rumah, saya menyesal bercakap sebegitu keras. Allah…. Allah… saya tidak berniat mahu melukakan hati sesiapa tetapi – saya juga manusia biasa – yang sentiasa tidak gemar jika ada yang berkata "ia kesalahan dia……"
Saya mohon keampunan Allah.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers

