Ia berbeza

Tazkirah di Haram, ia jumlah yang ramai. Kami doakan mereka semua mendapat haji yang mabrur.


Jemaah haji mulai tiba di Madinah. Malam tadi dan saya fikir untuk beberapa minggu yang akan datang jemaah yang membanjiri Masjid Nabawi (Haram) sangat berbeza berbanding dua hari yang lepas.


Jemaah Malaysia juga sudah sampai.


Mood mereka sangat berbeza dengan tetamu-tetamu saya sebelum menunaikan ibadat fardhu haji.


Pertama, beg sandang oren trademark jemaah kita berkurang. Mereka tidak lagi khuatir, hanya datang berlenggang ke Masjid. Tidak perlu membawa apa-apa keperluan. Gelang tangan sudah mencukupi.


Kedua, wajah kelegaan memang nampak jelas. Allahu Akbar, lega kerana berjaya menunaikan rukun Islam kelima tidak dapat disorok-sorok. Ia amat mudah difahami.


Ketiga, pendekatan tazkirah saya juga hampir 100% bertukar melayani mood jemaah yang juga sangat berbeza. Jika pra Haji, saya menitik beratkan amalan-amalan harian, cabaran di Mekah (sangat-sangat mencabar) dan impian serta harapan selepas menunaikan fardhu haji.


Perbualan biasanya bermula dengan bertanya, "haji puasa sunat?," yang hampir keseluruhannya tidak melakukannya. Kemudian, saya memberi rasional puasa sunat dalam konteks ibadat haji walaupun ia bukan sebahagian daripada rukun dan wajib haji.


Akhirnya – bergantung kepada masa – ia meliputi kepada aspek empat rukun Islam yang lain dan kaitan langsungnya dengan ibadat haji.


Alhamdulillah konsep-konsep "menjadi manusia yang lebih baik" dalam kehidupan selepas haji disampaikan menggunakan pelbagai pendekatan yang tidak disedari oleh khalayak.


Kini ia nyata berbeza.


Ia berlaku secara semulajadi. Jika di rumah, saya berpaling kepada jemaah wanita dan terus berkata, "sebelum kita menjamu selera, mari kita mendengar sedikit tazkirah. Puan mempunyai cabaran yang sangat besar apabila pulang ke Malaysia".


Jika di Haram, saya akan memulakan dengan konsep "Haji Mabrur" yang dijanjikan Allah, "Tiada balasan melainkan syurga". Maksudnya, jika kita menunaikan fardhu haji pada usia 60 tahun dan meninggal dunia pada usia 70 tahun, maka tanda-tanda haji mabrur itu terletak dalam tempoh 10 tahun tersebut.


Ia tidak boleh berubah untuk 5 tahun pertama dan kembali kepada asal selepas itu. Paling kronik, solat subuh yang pertama sudah fail berjemaah di masjid.


"Ha… ha…, " saya ketawa kecil kerana mereka dalam mood ketawa. Dalam ketawa inilah saya menyelit sesuatu yang berlaku kepada ramai orang. Mudah-mudahan kita jadi golongan terpilih.


Ia tidak berakhir di Madinah. Ia baru sahaja bermula. Allahu Akbar, inilah ketakutan atau kerisauan yang perlu kita fikirkan. Ia jauh lebih menyesakkan dada berbanding ketika sebelum menunaikan fardhu haji buat mereka yang berfikir.


Lihatlah diri kita, ketawa atau masih lagi menitiskan airmata pengharapan?


Allah – Allah – Allah, saya mengingati diri sendiri, memandang Roza dan anak-anak dengan memohon agar kami semua dirahmati dan diberkatiNya. Saya mohon keampunan Allah.


Saya Juara


Hari Terbuka College of Business Administration, Universiti Taibah.


Saya menyertai pertandingan ping-pong atau tenis meja. Saya tahu saya OK dalam permainan ini. Orang lain – pelajar dan pensyarah – tidak pula saya tahu.


Perlawanan pertama saya dengan seorang pelajar. Permainan hanya  satu set. Siapa yang sampai dulu 21 mata dikira menang. Easy…. mudah. Saya menang mudah.


Perlawanan kedua menentang Dekan, bos saya sendiri. Mati. Perlukah saya main main-main atau bermain biasa. Saya mulakan dengan permainan yang mudah-mudah. Kami berkejar mata. Bila sampai saat kritikal, saya mulai dengan serve yang sukar diambil oleh orang biasa-biasa. Saya menang!


Profesor Tosef berkata, "Prof, Dr Adnan akan hantar you balik ke Malaysia….".


Saya senyum sahaja.


Perlawanan ketiga menentang juara tahun lepas, Dr Shahar – pensyarah – dari Mesir. Ia perlawanan hebat. Ramai yang menyaksikan perlawanan yang dikira sama berat. Akhirnya orang tua menang mengatasi orang muda.


Sayalah yang menang.


Perlawanan ke-empat, juga menentang seorang pensyarah. Beliau OK tetapi saya lebih baik permainannya. Menang lagi. Saya juga menyaksikan perlawanan yang lain dan saya sudah terbayang akan menjadi juara.


Separuh akhir menentang seorang pelajar. 20 – 15, saya pasti menang. Itulah bisikan hati.


Alih-alih beliau mengutip mata demi mata sehingga 20 -20. Tambahan 5 mata. Akhirnya perjuangan saya berakhir di situ.


"Engkau pandai tetapi AKU lagi hebat. Jika AKU tidak izinkan, minta maaf ia tidak akan berlaku".


Saya belajar sesuatu. Jangan riyak dengan Allah walaupun memerlukan hanya 1 mata dengan 5 kali percubaan. Cuba lagi tahun hadapan dengan hati yang lebih tenang kepadaNya.


Ia juga untuk senyum-senyum.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 22, 2011 08:02
No comments have been added yet.


Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.