Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 42
November 8, 2011
Sudan

Hidangan pertama yang diangkat adalah salatazabar

Diikuti Salataaswad dan Salad

Namanya Bamia umpama dalca kita

Mahsi, nasi dan daging di dalam sayur

Kisra, paling hampir umpama tose
Persahabatan lazimnya membawa ke rumah.
Begitulah, Ayub dan kami bermula kerana secara tradisinya beliaulah yang membantu orang Malaysia yang baru tiba ke Madinah. Beliau pemandu, jurubahasa dan segala macam pertolongan.
Semalam kami dijamu oleh Ayub sekeluarga - bersama keluarga kakaknya – menikmati hidangan Sudan. Ia pengalaman pertama. Keputusannya sangat menarik. Kami dapat menikmati kesemuanya tanpa pengecualian.
Maksudnya, makanan yang hidangkan bersifat universal.
Orang baik-baik
Salah satu doa saya sebelum berangkat ke Madinah ialah agar kami bertemu dengan orang yang baik-baik. Juga, kami berdoa supaya jika ada yang tidak sesuai dengan kami, mohon dijauhkan tetapi janganlah ada senggeta atau perselisihan faham.
Kami mahu aman di sini.
Ramai orang baik-baik yang kami temui. Semalam juga begitu. Kami menunggu teksi untuk solat subuh di Haram. Sebuah kereta berhenti dan terus membawa kami hampir ke pintu pagar masjid.
Saya bertanya, "kam?"
Beliau menggelengkan kepala sambil berkata, "saya mempunyai seorang sahabat yang tidak mempunyai anak. Doakan beliau".
Allahu Akbar. Beliau membuat kebaikan, beliau juga mahu saya berdoa untuk sahabatnya. Ia sangat menarik.
Raudhah semakin luas

Ketika hampir solat Maghrib
Kami tiba di Haram jam 5.00 petang. Waktu Maghrib 5.42 petang. Jika hari-hari biasa maka hampir-hampir mustahil untuk mendapat tempat di Raudhah.
Kaki saya bergerak ke arah sana. Allahu Akbar, masih ada ruang untuk solat di sini. Agaknya Raudhah semakin luas. Saya tersenyum puas. Maghrib sampai ke Isya saya berada di sini.
Saf penuh untuk solat Isya. Seorang pemuda tersepit di antara saf di Raudhah. Saya memberi isyarat supaya mencelah di sebelah saya. Allahu Akbar, inilah nikmat solat yang paling hebat. Ruang cukup-cukup mengisi badan. Bila sujud tangan tidak boleh mengepak. Bila berdiri terasa bahu bertemu bahu.
Saya terkenang kisah menunai haji 2006-2007. Saya berdoa, "Ya Allah jika ada yang tiada saf, datanglah ke sini….," niat mahu membantu. Allahu Akbar, ia proses untuk menjaga hati supaya tidak lokek dengan apa yang ada.
Pemuda tersebut senyum memandang saya. "Syukran".
November 7, 2011
Sepi yang suka

Banyak ruang lagi
Saya mendapat pengalaman baru.
Sebagai penghuni Madinah yang tidak menunaikan fardhu haji, saya berpeluang berada di Raudhah dalam keadaan yang sangat luar biasa.
Ketika hari raya, saya terperangkap di Raudhah. Pagi ini saya biarkan saya terperangkap lagi. Bezanya, saya dapat berada di Raudhah selama 1 jam 15 minit dalam keadaan yang sangat tenang.
Ketika pegawai bertugas menyebut, "Nisa', Nisa'," saya sempat mengambil gambar Raudhah yang saya tinggalkan. Beginilah suasana kami (beberapa kerat yang mengetahui teknik ini) berada di Raudhah. Ia suasana yang hanya berlaku beberapa hari dalam setahun.
Dan saya mengalaminya.

Inilah... hanya beberapa orang yang berada di Raudhah selama 1 jam lebih.
Diana
Anak kecil kami, umurnya 5 tahun
"Diana, mari sini ayah dukung," beliau datang kepada saya. Itulah yang saya lakukan sebanyak 2x sehari.
Wajahnya sayu. Ada kalanya beliau menitiskan air mata merindui ibu dan ayah yang sedang menunaikan fardhu haji.
"Diana, siap. Kita pergi jalan," Allahu Akbar, terus ceria. Rupanya beliau bosan di rumah.
Pagi tadi ibunya membuat panggilan. Beliau bercerita dengan Roza, "ibu mahu beli hadiah untuk Diana". "Emmm… bestnya, mama pun hendak juga. Cakap dengan ibu ya..," kata Roza melayani Diana.
Jangan risau Dr Dahaman dan isteri, tunaikan ibadat haji dengan sempurna.
Kasih sayang Allah
Kenapa Allah bagi ujian kepada orang yang baik?, soalan yang dirujuk kepada banyak peristiwa. Kepalanya selalu terlepas!
Jawapan saya mudah, "itulah kasih sayang Allah. Mereka yang baik, baru mencuba sedikit-sedikit melakukan kesalahan lalu diuji Allah. Ia akan jadi pengajaran seumur hidup".
Kepalanya, Allah tangguh dahulu atau ditutup pintu hatinya. Allah, Allah, Allah, di dalam al-Quran sering dinyatakan kisah orang yang tidak mahu berfikir dengan ujian yang Allah berikan.
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu dugaan)?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta. [al-Ankabut: 2-3]
November 6, 2011
Kembali

Wanita Jeddah
Ia tidak sama.
Itulah pandangan Yus apabila menceritakan kenapa beliau dan isteri pulang ke Jeddah setelah berkhidmat di Bahrin.
Kenapa? Dulu hampir setiap minggu saya di Mekah. Itulah kehilangan yang utama. Saya memahami. Jika dalam sehari tidak di Haram, saya juga pasti merasai kerinduan yang sama.
Petang semalam, rombongan dari Jeddah singgah berhari raya di rumah. Mereka tidak mahu makan lalu kami hidangkan ayam bakar berempah, kuah sate dengan sambal resepi Chef Travelog Masakan.
"Kuah sate ini istimewa. Biasa kita pakai kacang tanah, hari ini Chef memakai mix nuts. Ada badam dan gajus. Kena campur dengan sos ini," saya membuat promosi. "Sedap…..," saya kempen lagi.
Ia tidak sama! Dan makanlah mereka.
Tazkirah Hari Raya
Saya tidak pernah menyangka jika ada seorang lelaki berkata, "Prof, terima kasih kerana menyampaikan ilmu yang sangat berguna buat saya. Saya sudah berkali-kali meminta isteri melakukan perubahan tetapi beliau masih begitu. Saya sayangkan beliau dan anak-anak namun ada sesuatu yang tidak berkenan di hati. Tinggal satu perkara lagi yang belum saya lakukan sebagaimana yang prof. sarankan, iaitu bangun pada 1/3 hujung malam yang tersisa dan berdoa kepadaNya".
Ia kenyataan yang jarang berlaku. Kebiasaannya, kaum wanitalah yang selalunya bersungut tentang tingkah-laku suami. "Suami saya sangat baik, tinggal lagi beliau tidak solat," kenyataan yang berharap agar suami yang dikasihi menjadi suami yang soleh.
Dalam kenyataan yang berbeza, mereka mungkin berkata, "suami saya OK tetapi setiap hujung minggu beliau sentiasa berada di padang golf. Saya sudah tidak boleh berbuat apa-apa," rungut isteri yang mahu suami sentiasa berada di sisi pada setiap hujung minggu.
Saya juga pernah terdengar sungutan isteri pada suami yang gila memancing sehingga menggangu emosi dalaman beliau.
Saya fikir, jika suami segala-galanya kelihatan sempurna – tidak gila golf, memancing pun tidak tahu, solatnya di masjid – pasti ada sesuatu yang bakal dirungutkan oleh isteri, "suami saya perlu diuruskan sehinggakan seluar dalamnya perlu diletakkan biar dapat matanya melihat. Jika tidak, pergilah ke pejabat tanpa seluar dalam".
Alahai… mana ada manusia yang sempurna?
Kebiasaanya begitu tetapi saya yakin dan percaya yang sungutan-sungutan tersebut pasti berlalu begitu sahaja apabila sifat-sifat positif suami yang lain menimbusi segalanya. Lazimnya, faktor umur (nota: taufik dan hidayah Allah) boleh menyebabkan manusia berubah.
Akhirnya, suami kelihatan jauh berbeza berbanding masa lampau dan sisa-sisa kehidupan diakhiri bersama dengan penuh kebahagian. Ia satu doa dan harapan pasangan suami-isteri. Mudah-mudahan yang menjadi kenyataan.
Ya Allah ya Tuhan kami, jadikanlah hubungan kami suami-isteri sebagai hubungan yang diredhaiMu. Elakkan pergaduhan, jauhilah rasa cemburu yang melampau, jalinkan rasa cinta yang kekal abadi sehingga kami bertemu di syurgaMu ya Allah. Masukkanlah kami ke syurga Firdaus, masukkanlah kami tanpa dihisab dan masukkan kami dengan rahmatMu.
Begitu juga dengan suami yang melihat seribu macam kekurangan isteri di sisi agama tetapi tiada upaya dan kudrat untuk mengubahnya. Allahu Akbar, sesungguhnya saya sangat simpati mendengar rungutan (nota: keluhan barangkali lebih sesuai) para suami yang tertekan emosi apabila berhadapan dengan isteri yang berpangkat dan bergaji lebih tinggi daripada mereka.
Secara semulajadi, pangkat dan gaji isteri mengurangkan rasa hormat dan sifat lemah lembut wanita yang menjadi idaman kamu lelaki. Keputusan isteri di rumah perlu dipatuhi seumpama mendengar kata-kata bos di pejabat.
Malah kadangkala – barangkali di luar sedar – tersebut kata-kata yang sangat melukakan hati di depan atau pun di belakang tetamu.
Baginda SAW pernah menyatakan sifat-sifat wanita yang sangat keji dan menjadi ahli neraka. Alahai… jika inilah wanita yang diperolehi maka ia merupakan ujian terbesar kepada kaum lelaki.
Empat perempuan yang berada di Neraka ialah: perempuan yang kotor mulutnya terhadap suaminya. Jika suaminya tidak ada di rumah ia tidak menjaga dirinya dan jika suaminya bersamanya ia memakinva (memarahinya).
Perempuan yang memaksa suaminya untuk memberi apa yang suami tidak mampu.
Perempuan yang tidak menjaga auratnya dari kaum laki-laki dan memperlihatkan kecantikannya (untuk menarik kaum laki laki).
Perempuan yang tidak mempunyai tujuan hidup kecuali makan minum dan tidur, dan ia tidak mau berbakti kepada Allah dan tidak mau berbakti kepada Rasul-Nya dan tidak mau berbakti kepada suaminya.
Terperangkap di Raudhah

Hanya beberapa orang terpilih
Allahu Akbar.
Kami tiba di Haram jam 3.35 pagi. Jemaah di kawasan depan masjid hampir penuh. Namun ada di antara celah yang boleh dimasuki. Ramai yang tidak mahu begitu kerana saf belakang masih banyak yang kosong.
Akhirnya saya tergerak untuk solat di belakang pentas tempat para sahabat mendengar wahyu yang disampaikan oleh Baginda SAW. Solat subuh, takbir dan khutbah solat hari raya. Ia pengalaman pertama di bumi Madinah.
Usai khutbah, semua jemaah bergegas keluar masjid. Saya terus solah dhuha. Alih-alih semua kawasan sudah dipagari dengan dinding sementara. Saya terpandang Raudhah yang kosong. Lapang selapangnya!
Subhanallah. Dapatlah saya solat dan berdoa di sini sehinggalah diminta keluar oleh askar yang menjaga kawasan ini.
Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin.
Serangan Yanbo dan kawasan sekitar

Serangan dari Yanbo

Pasukan sorak
Chef Travelog Masakan panik.
Nasi baru sahaja masak. Ayam bakar juga masih dipanaskan. Nasi himpit tidak jadi (he… he…). Tiba-tiba ding… dong!
Lebih 30 orang datang serentak mewakili 8 – 9 keluarga dari Yanbo, 2 jam perjalanan dari sini. Mereka sudah berada di Madinah 3-4 hari, semata-mata ingin beramal ibadat di Masjid Nabawi.
Menu hari ini: Nasi Minyak, Ayam Bakar Berempah, Roti dicicah Kuah Kacang Badam (ganti nasi himpit dan kuah kacang), karamel, seri muka pistachio dan jagung, Baklawa, gula-gula dan pelbagai jus minuman.
Alhamdulillah semuanya OK.

Serimuka Pistachio
November 5, 2011
Malam Raya di Madinah
Kami sampai di Masjid 40 minit sebelum waktu Maghrib. Bagi memudahkan Roza, saya melalui kawasan belakang Haram melalui pintu King Fahd. Subhanallah, ramainya orang dan saf-saf berbuka puasa sampai ke belakang.
Rupanya masyarakat di sini sangat-sangat memuliakan puasa pada 9 hari di bulan Zulhijjah. Kemuncaknya pada hari ini ketika jemaah haji sedang wuquf di Arafah. Alhamdulillah kami - saya dan Roza – diberi keizinan untuk berpuasa setiap hari selama 8 hari. Pertama kali kami lakukan.
[image error]
Saf yang belum dipenuhi di kawasan belakang
Di luar masjid, kaum keluarga berpiknik. Masing-masing siap dengan bekalan makanan. Nampak muka semuanya ceria. Ia satu majlis yang dinanti-nanti. Saya fikir begitu.
Agak saya mereka datangnya dari seluruh pelusuk Arab Saudi . Hotel-hotel penuh. Kawasan sekitarnya dipenuhi dengan pengunjung dan jalan raya kelihatan lebih sibuk berbanding hari-hari jemaah haji berada di sini.
Penyebabnya mudah. Mereka datang dengan kenderaan sendiri.
Saya mencari-cari tempat yang mahu saya berbuka. Tiba-tiba ada yang memegang bahu dan menarik saya ke arah saf mereka. Allahu Akbar, saya akur sahaja walaupun saya mencari tempat yang lebih selesa. Inilah hidangan saya.
[image error]
Laban, roti, kurma muda, rempah yang tidak tahu nama, kopi dan teh
Saya memerhati mereka yang berada di sekitar. Inilah wajah-wajah di dalam Haram menanti azan Maghrib.
[image error]
Hampir kesemua saf ada jamuan berbuka
Besok, 3.00 pagi kami akan bertolak ke Haram. Mudah-mudahan di izin Allah.
November 4, 2011
Takbir

Subuh, solat di pentas khas di belakang makam Nabi SAW

Di sebelah saya penuh dengan jemaah dari seluruh Arab Saudi bercuti. Cuti mereka di masjid Nabawi.
Usai solat subuh, imam bertakbir. Hanya dengan sekali takbir. Terus airmata gugur.
Saya bersyukur mengenangi rakan-rakan sejauh 1000 km (Riyadh) sanggup hadir semata-mata mahu bersolat di masjid ini. Alhamdulillah, kami sudah berada di sini.
Juga, kami berjumpa kenalan dari Yanbu yang bercuti di Madinah. Seorang wanita hampir setiap bulan turun ke Madinah dari Jeddah semata-mata rindu untuk beramal ibadat di sini.
Malah kami terkenangkan betapa ramainya rakan-rakan yang merindui untuk kembali ke sini. Namun jarak dan kewangan memisahkannya.
Pada pagi yang hening ini kami bersyukur di atas segala nikmat yang dianugerah Allah. Kami doakan agar mereka yang merindui Madinah Munawwarrah dimakbul Allah untuk berkunjung kembali.
Munirah
Beliau sudah 36 tahun di Jeddah.
Roza menjemputnya ke rumah setelah berkenalan di Haram. Alahai… "beruntungnya kamu tinggal di Madinah. Saya setiap bulan ke sini. Sentiasa rindukan Madinah," ulang-ulang disebut beliau.
Beliau juga diberi nikmat – ulang-alik berkapalterbang Jeddah – Madinah. Main-main katanya!
"Kapan liburan, ayuh mari main-main di Jeddah, kita sama-sama umrah. 27 minit sahaja ke Mekah".
Dijemput ke Madinah merupakan satu nikmat. Bagaimanapun mengambil manfaat daripada keberkatan Madinah merupakan isu yang lain. Kami selalu mengingatkan sesama sendiri tentang soal ini.
Di Madinah ada Masjid Nabi. Jika tidak solat di sana, apa bezanya dengan mereka yang berada di Jeddah atau Yanbu?
Jangan lalai. Ya Allah jangan jadi aku daripada golongan yang tidak bersyukur dengan nikmatMu.
Puasa Sunat
[image error]
Inilah juadah berbuka. Namun nikmatnya sangat luar biasa. Sungguh-sungguh luar biasa.
Jika ada sesuatu amalan sunat yang ingin saya syorkan bila berada di Madinah ialah berpuasa. Puasalah Isnin-Khamis, di awal bulan Zulhijjah, awal Muharram atau mana-mana puasa sunat yang lain dan berbukalah di masjid ini.
Allah, Allah, Allah… rasailah puasa tahap 3 – InsyaAllah – sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Ghazali, puasa semata-mata kerana Allah. Dan suasana di sini banyak membantu.
Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin,
Selamat Hari Raya Korban
Mohon maaf jika ada salah silap sepanjang menulis di sini.
Saya terhutang budi dengan sokongan khalayak pembaca yang kini menjadi rakan-rakan yang saling doa-mendoakan.
Dalam serius, saya sebenarnya ada bergurau. Misalnya, bila saya menyebut saya perlukan RM50000, 5x bayar untuk membeli GMC, seminit kemudian sudah ada yang mahu membantu.
"Percayakan saya?," saya bertanya.
"Saya mempercayai prof dan saya ingin membantu prof".
Saya sangat terharu. Cuma, saya hanya bergurau. Dan terima kasih di atas kesudian tersebut. Saya menghargainya.
Ahad ini, kami akan turun – insyaAllah – ke Haram di sekitar 3.00 pagi. Solat subuh di sekitar jam 5.30 pagi. Kemudian menunggu solat sunat Aidil-Adha di sekitar jam 6.30 pagi.
Buat pembaca blog, jemputlah ke rumah kami di sekitar jam 10.30 pagi. Sekali lagi, selamat hari raya maaf zahir batin.
Muhd Kamil Ibrahim
Raudzah Roslan
Sara Fateha
Ahmad Haris Azrai
Ahmad Amirul Imran
Farah Sofea
November 3, 2011
Cam
Di sini hampir semua wanita Madinah hanya menampakkan mata. Dan hampir 100 peratus memakai Abaya hitam. Saya terfikir, agaknya bagaimana para suami mengenali isteri masing-masing apabila berada di kawasan Haram.
Tentu sekali saya tidak bermasalah.
Bila keluar daripada Haram, Sofealah yang menjadi tanda utama. Beliau sentiasa berkepit dengan mamanya. Ia untuk solat Maghrib dan Isya.
Sudah dua hari hanya saya dan Roza solat subuh di Haram. Pagi tadi saya ternampak wanita bertubuh kecil di celah-celah orang ramai. Lalu saya jerit satu kod rahsia…. yang saya tahu Roza sangat menyampah bila mendengarnya.
Terdengar sahaja kod tersebut, wanita itu terhenti seketika. Sah, isteriku!
No komputer
Roza mahu ke Raudhah. Lalu saya bawa komputer untuk menulis di Haram.
Tengah rancak menyudahkan bab-bab Travelog Kehidupan: Menghadapi Ujian, saya terdengar suara, "Sheikh… la. la.. komputer".
Allah.. tidak pula saya ketahui yang tidak dibenarkan membawa komputer.
Tayib… Tayib… saya terus off dan masukkan ke dalam beg dan mahu meninggalkan dewan solat. Pegawai tersebut memanggil saya. Allah ya Allah, apakah mahu dirampas komputer saya?
"Ana al-Ustaz, Jami'att Taibah. Ana write kitab," puas memikirkan bagaimana mahu memberitahu yang saya sedang menulis buku.
Ustaz maknanya Dr, profesor. Maka dilepaskan saya. Lalu menyandarlah saya di pagar Haram untuk tempoh dua jam menanti Roza sambil menulis bab-bab baru.
Alhamdulillah, hujung cuti Raya nanti manuskrip ini – insyaAllah – akan siap sepenuhnya.
November 2, 2011
Rezeki
Saya suka berdoa. Saya tahu dan yakin Allah Maha Mendengar. Namun berdoa ada prinsip-prinsip tertentu misalnya,
1. ia satu ibadat untuk mengingatiNya, pada setiap ketika samada di tikar solat atau ketika berjalan,
2. Allah boleh memberi yang lebih baik kerana Dia Maha Berkuasa
3. Allah memberi sesuatu yang kelihatan kurang di mata kita tetapi elok di sisiNya kerana Dia Maha Mengetahui
4. bila Dia mahu makbulkan terpulanglah kepadaNya samada, serta-merta, sejam, sehari, sebulan, setahun atau berpuluh tahun
5. jika tidak dimakbulkan di dunia, Dia akan bagi kemuliaan di akhirat.
Di atas segalanya, kita tidak boleh berburuk sangka dengan Allah. Kata kunci utama ialah redha!
Pagi tadi kami agak lewat turun rumah untuk solat subuh di Haram. Lalu kami berdoa, "Ya Allah permudahkanlah urusan kami. Kami ingin bersolat di Haram. Mudahkanlah perjalanan kami. Kami ingin pergi semata-mata kerana Mu ya Allah".
Tiba-tiba berhenti sebuah kereta besar. Masyallah, seorang pegawai polis berpangkat berhenti mengambil kami. Menggunakan bahasa Arab yang tersekat-sekat kami berbual-bual.
"Isteri saya pandai berbahasa Inggeris," kata beliau.
"Oh.. OK.. nanti jemputlah ke rumah, kita makan makanan Malaysia," saya mempelawa.
Bayangkan kesukaran saya dan Roza untuk menyatakan kenyataan di atas. Keluarlah al-Bait, Mata'am, Tafadol… opppps… sukarnya!
Beliau teruja. Dan kami bertukar-tukar nombor telefon. Allahu Akbar, beliau bertugas di bahagian Imigresyen menjaga Visa dan Iqamah. Kami dihantar ke Haram dan berkenalan pula dengan orang Madinah.
InsyaAllah, kami sudah mempunyai beberapa kenalan penduduk setempat. Ia rezeki Allah. Mudah-mudahan ia membawa kebaikan.
Milik Allah
Di depan mata, saya melihat seseorang bersedekah kepada pekerja-pekerja di sekitar Haram. Di mana beliau lalu, beliau akan menghulurkan wang kepada pekerja yang ada di hadapan beliau.
Kebanyakannya sedang menyapu. Mereka bekerja.
Terdapat seorang pekerja yang berjauhan dengan laluan beliau. Pekerja tersebut berlari mahu berada di hadapan beliau. Tidak, tidak, beliau tidak nampak pekerja tersebut.
Pekerja tersebut masih berusaha mahu berada di hadapan beliau. Tidak, tidak, beliau sudah tutup buku untuk hari tersebut.
Allahu Akbar, subhnallah, rezeki datangnya dari Allah. Jika bukan milik kamu, ia bukan milik kamu!
Raudhah
[image error]
InsyaAllah ada ruang untuk solat dan berdoa di sini
Raudhah senang untuk dimasuki. Ada ruang. Agak saya ia akan berlanjutan untuk tempoh seminggu.
Berbuka puasa juga meriah. Hampir setiap saf ada orang menyediakan juadah berbuka. Mereka berebut-rebut mengajak jemaah berbuka. Puasa atau tidak sudah tidak musatahak bila jemaah berkurang.
Semua dijemput. Ia juga satu rezeki, solat di Raudhah dan berbuka.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
