Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 43

November 1, 2011

Haji mabrur

[image error]

Masjid Nabawi lengang, 10 minit sebelum solat maghrib


Kami sudah mula bercuti haji hampir 2 minggu.


Masjid Nabawi lengang. Hanya ada sedikit jemaah yang tinggal kecuali penduduk tempatan. Majlis berbuka puasa di sini masih diteruskan. Inilah nikmat berpuasa di sini, puasa tanpa bersusah payah menjaga mata, telinga dan hati.


Malah kita tidak berfikir dengan juadah berbuka puasa.


Hari-hari kami berpuasa. InsyaAllah ia akan berakhir pada 9 Zulhijjah. Ketika jemaah haji wukuf di Arafah, kita yang tidak menunaikan fardhu haji di sunatkan berpuasa.


InsyaAllah (nota: setelah beberapa tahun mencuba dan gagal) - di bumi bertuah ini – saya dan Roza akan mencuba sekali lagi untuk berpuasa seumpama Nabi Daud. Agak saya – dengan izin Allah – latihan di bulan haji ini boleh membantu.


Ya Allah, terimalah haji saudara-saudara ku. Biar mereka mendapat haji mabrur yakni tiada balasan melainkan syurga.


Pakej Mahal


Ada sekumpulan jemaah haji Malaysia yang kami temui. Mereka hanya berada di Madina selama 3 hari. Saya fikir diam mereka di Mekah dan Madinah hanya sekitar 10 – 14 hari.


Saya bertanya khabar. Kata mereka, "kami menunggu Dr Puad, Timbalan Menteri Pendidikan". Saya bersembang biasa-biasa tanpa mengetahui siapa mereka. Senang begitu!


Kemudian muncul Dr Puad dan beliau terlebih dahulu menegur saya, "ini prof Kamil?".  Otak saya berfikir – dah Dato' ke belum? Lalu saya mengambil jalan selamat, "Ya YB…".


Kami pernah berjumpa dan duduk semeja. Jika beliau mengingati saya kerana pertemuan tersebut maka beliau mempunyai ingatan yang sangat kuat. Jika tidak, mungkin beliau pembaca buku Travelog Haji atau 50 tip Motivasi Haji.


Saya jemput beliau dan rakan-rakan (10 jam kemudian baru saya tahu mereka ini Dato'-Dato' belaka) untuk bertandang ke rumah. YB Dr Puad menghantar mesej, "Terima kasih prof, masa kami suntuk, bercadang mahu ke Raudhah".


Tidak mengapa, nanti kita jumpa di lain masa.


Juga, saya doakan mereka semua mendapat haji mabrur.


Perdana Menteri


Ketika kami menuju ke bilik pameran GMC dan Chevy, polis KSA kelihatan sibuk di sepanjang jalan. Oh… ya… PM dan isteri tiba di Madinah. Tidak pula kami terserempak dengan beliau. Jika tidak mahu saya mengajak, "Dato' Seri, Datin Seri jemputlah ke rumah, kita makan nasi Arab Terbalik, Air Lemon Nak-Nak dan puding Madinah".


Teringat yang saya belum mendaftar di kedutaan bagi urusan mengundi. Perlukah?

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 01, 2011 11:23

October 31, 2011

Pilihan

Harganya SR122,000 - Tunai


ATAU


Harganya SR129K tunai


Kenapa 7 – 8 seaters?


Mudah untuk saya membawa jemaah haji dan umrah ke rumah. Sekarang, saya menyewa teksi pergi – balik untuk tetamu Allah berkunjung ke kaki Bukit Ohud.


Kenapa tidak beli second-hand?


Kalau di Malaysia pun saya akan beli kereta baru. Sekurang-kurangnya – insyaAllah – terjamin untuk lima tahun atau 60000 km pertama. Saya tidak gemar ke bengkel.


Petang semalam, kami melawat bilik pameran mereka dan Amirul sudah membuat pilihan.


Samakah dengan rakan-rakan semua?


 


Nota: Gambar ehsan GMC

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 31, 2011 10:43

October 30, 2011

Arun Mohamed

9.30 pagi nanti Arun Mohamed, seorang lagi pelajar PhD saya akan berhadapan dengan dua pemeriksa luar bagi mempertahan tesis beliau. Inilah pelajar saya yang paling manja.


Di peringkat sarjana muda, beliau pelajar senior saya. Umur kami hampir sebaya, kalau tidak pun beliau tua setahun. "Prof baliklah, saya bayar tambang prof," beliau memujuk saya.


Ia bukan soal tambang tetapi saya benar-benar tidak dapat meninggalkan Madinah. Lebih tepat lagi, universiti Taibah.


Kehadiran saya – barangkali – menaikkan semangat dalaman beliau. Namun saya nyatakan, "InsyaAllah, saya ada atau tiada, you akan berjaya".


Dan saya sentiasa berdoa di sini untuk anak-anak murid saya yang cemerlang. InsyaAllah, beliau akan bergelar Prof Madya Dr Arun Mohamed.


Lesen kereta Arab Saudi


Saya sudah memandu hampir 23 tahun.


Lalu jika di suruh mengambil lesen sekali lagi bersekali dengan ujian komputer tanda-tanda jalanraya, saya jangka akan gagal. Pertama, masalah bahasa. Kedua, di sini ada tanda unta!


Menurut cerita, ada orang Malaysia yang hanya perlu menukar lesen Malaysia tanpa perlu melalui ujian baru. Saya mencari yang ini. Namun ia tidak semudah A, B dan C.


Hari pertama mengisi borang. Salah satu borang yang perlu di isi ialah Medical Check-Up. Lalu berkejar ke King Fahd hospital. Ia selesai dalam masa yang singkat.


Mereka mempercayai apa yang saya sebut. Darah? O+.


Lalu terus ke litar. Saya rasa segalanya OK. Dua kali side-parking masuk dalam garisan yang tepat.


Saya tersengih bila keluar kereta tanda berpuas hati.


Bila keluar keputusan, "perlu 3 jam latihan". Saya akur dan membayar RM100 kepada sekolah memandu.


3 hari kemudian saya hadir semula untuk menjalani latihan. Saya memandu satu pusingan di litar dan diminta untuk mengambil peperiksaan komputer.


Saya balik tanpa mengikut arahan kerana tahu akan gagal kerana tidak bersedia. Sebelumnya, saya dimaklumkan tidak perlu mengambil ujian tersebut.


Semalam, saya hadir lagi. Terus ke litar dan mengambil ujian memandu. Ia seperti hari-hari sebelumnya. Sangat OK pada perasaan saya. Alahai… sekali lagi diminta untuk mengambil ujian komputer. Aduhai mati saya!


Wakil saya (orang Arab Saudi) memujuk, "Dr ambil, lulus atau gagal, kira lulus," saya tidak mempercayainya setelah melalui 3 hari yang sangsara.


Apa yang saya boleh lakukan? Hanya berdoa.


Sayalah orang terakhir yang memasuki bilik tersebut. Mereka sudah mahu tutup kedai. "Al-Ustaz, bahasa apa yang mahu digunakan?," mereka bertanya dalam bahasa Arab. Saya agak sahaja!


English.


Ha… ha.. ha… mereka ketawa. Ditekannya software dalam bahasa Arab. Kecut perut saya. Saya mengadap komputer dan menjawab kesemua soalan yang ditanya.


100% betul. Bagaimana saya menjawabnya, biar saya dan Allah sahaja yang tahu!


Kini, di dalam dompet saya sudah mempunyai lesen memandu Arab Saudi yang sah laku untuk selama 5 tahun. Ia harta yang sangat bernilai.


Sabar, sabar, sabar, sabar….. berakhir lagi satu episod dalam hijrah saya.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 30, 2011 11:04

October 29, 2011

Ilmunya di situ

Saya bertungkus lumus mahu menyudahkan buku Travelog Kehidupan: Menghadapi Ujian. Satu tabiat terbina sejak menulis buku Travelog Haji ialah membaca terjemahan al-Quran berselang-seli dengan menulis bab-bab buku.


Sekarang, setiap waktu terluang saya menulis. Selepas Asar, kami bertolak ke Haram. Saya akan membaca terjemahan sehinggalah waktu solat Isya. Subahnallah, hampir setiap hari Allah tunjukkan sesuatu yang menarik.


Hari ini misalnya, sebelum bertolak ke Haram saya menulis,


Jika ujian itu hanya ketika berduka, maka sebahagian besar kehidupan manusia dipenuhi dengan rasa gembira. Dalam keadaan biasa, rasa duka tidak datang bertimpa-timpa. Realitinya begitu. Allah juga sentiasa menguji manusia dengan memberikan pelbagai nikmat yang tidak terhingga. Itulah yang tidak disedari oleh ramai orang.


Kemudian, di Haram saya menyambung bacaan terjemahan. Ketika membaca surah At-Taubah saya terjumpa dengan ayat 126 yang bermaksud,


Dan (patutkah) mereka (berdegil) tidak mahu memperhatikan, bahawa mereka dicuba (dengan berbagai-bagai bencana) pada tiap-tiap tahun, sekali atau dua kali; kemudian mereka tidak juga bertaubat dan tidak pula mereka mahu beringat (dan insaf)?


Ia memberi dalil kepada apa yang sedang saya tulis.


Saya sangat yakin dengan isi kandungan al-Quran yang membantu dalam kehidupan individu jika dibaca secara konsisten dan bersungguh. Baca al-Quran, fahami maksudnya dan renunglah. Mohon pada Allah agar ia menjadi ilmu yang difahami.


Kemudian, rujuklah kepada kitab-kitab tafsir yang telah dipermudahkan bahasanya. Saya menggemari tafsir ringkas Ibnu Katsir.


Allahu Akbar, saya mohon keampunan!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 29, 2011 10:54

October 28, 2011

Resepi untuk anak-anak

Orang Segamat berbangga dengan soto Kg Jawa.


Jika tetamu berkunjung ke rumah, maka inilah salah satu destinasi pelancungan yang kami bawa. Bila sampai di kedai, saya akan nyatakan,


"Saya bawa ke sini kerana orang menyatakan yang ia soto terbaik di Asia. Silalah… jika tanya saya…. soto adalah soto. Tidak pernah sedap".


Ha… ha.. ha… itu pandangan orang Besut yang makan nasi dagang!


Semalam Roza menyediakan soto kepada anak-anak. Bila ditanya Amirul dan Sofea, "mana lebih sedap antara soto Kg Jawa dengan soto Mama?"


Serentak mereka memberi jawapan, "sama sedap!".


Jika orang tua yang memberi jawapan maka "sama sedap" boleh ditafsir daripada dua sisi yang berbeza. Sofea dan Amirul masih kanak-kanak maka jawapan mereka boleh diterima seadanya.


Inilah soto yang saya makan. Saya? Soto tetap soto!


Sepinggan makan berdua bersama Chef


Di samping soto, Roza membakar cheese cake, kepakaran semulajadi beliau.


Inilah cheese cake pertama beliau di bumi Madinah. Ia diberi judul Arabic Lemon Cheese Cake. Nyata benar – InsyaAllah – jika dicampak sahaja ke ketuhar, kek ini menjadi. Wajah kek ini sangat-sangat menyelerakan.



Aduuuh…. ia jadi lagi enak apabila diminum bersama Teh Nak-Nak Madinah.


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 28, 2011 10:48

October 27, 2011

Tugas berat

Hampir kesemua pelajar saya berjubah, berserban dan menggunakan igal.


Automatik saya membayangkan mereka tidak akan tinggal solat lima waktu, khatam al-Quran dan berupaya untuk menghafal isi kandungan.


Minggu ini saya digerakkan hati untuk bertanya, "pukul berapa kamu tidur?".


Jawapannya berbeza. Ada yang tidur jam 1.00 pagi sehinggalah jam 4 pagi. Ada yang tidak tidur sehingga ke cerah. Kemudian tidur sejenak kerana kelas bermula jam 11.00 pagi.


Lalu saya "terpaksa" bertanya, "kamu solat subuh?"


Allah ya Allah, rupanya ia sama dengan anak-anak kita yang saya tanya di UiTM Johor. Hanya 4/12 pelajar yang solat subuh. Agaknya lebih baik sedikit daripada 8/100 yang pernah ditanya di Malaysia.


Allahu Akbar, ia fenomena sejagat.


Lalu saya bertanya lagi, "solat apa yang paling sukar?". Jawapannya Isya dan subuh. Salah seorang pelajar menyebut, "munafiqun".


Agaknya tugas besar menanti saya. "Ya Allah ampunilah daku ya Allah. Jalinkan hubungan yang baik antara aku dan pelajar ku ya Allah. Jadikanlah mereka pelajar yang soleh, yang taat kepada perintah mu ya Allah".


Bagaimana mahu mengubah mereka? Gurunya perlu bangun malam dan memohon kepada Allah SWT.


Kursus Haji di Madinah


Anak muda pewaris Nabi


Saya menyampaikan tazkirah ringkas.


Mereka golongan berilmu. Hujah-hujah mereka berdasarkan nas dan ilmu. Maka tentu sekali tidak sukar untuk mereka beramal ibadat. Namun cabaran buat mereka pasti hebat.


Di Malaysia nanti, cabaran dunia boleh mengalahkan nas dan ilmu. Di Madinah, mereka semualah yang diberi tugas untuk mengambil upah haji. Pada ketika-ketika tertentu, upah mendahului ibadat.


Berhati-hatilah…. itulah pesan saya yang tidak mustahak. Ia juga tugas berat!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 27, 2011 09:12

Tahniah

Tahniah Dr Radziah Mahmood dan Dr Halim Kadri.


Biasanya, saya akan bersama-sama mereka untuk meraikan kejayaan ini. Malah, jadual pagi dan petang ini dirangka bagi membolehkan saya turut serta. Ketentuan Allah tidak begitu.


Namun saya terlalu gembira dengan kejayaan mereka. Ia seolah-olah saya yang berhadapan dengan pemeriksa.


Radziah dan Halim, tahniah sekali lagi, moga menjadi Dr-Dr yang dikasihi Allah dan manusia sejagat. Itulah yang lebih penting yang mahu saya sampaikan ketika kita bersama.


Belayarlah dengan angin pedoman yang hakiki. Menuju destinasi abadi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 27, 2011 00:57

October 26, 2011

Setitik Dakwat

Hujung minggu di Madinah.


Saya terkenangkan Radziah dan Halim yang akan/sedang mempertahankan tesis masing-masing. Pada saat ini, saya fikir Radziah sudah selesai bersoal-jawab dengan pemeriksa luar.


Halim pula akan mempertahankan tesisnya pada jam 2.30 petang, InsyaAllah.


Tiada apa yang dapat saya lakukan melainkan berdoa, berdoa dan berdoa.


Semalam, ketika mengangkat takbir menunaikan solat Maghrib di Haram, saya terasa getaran HP. Ia mati sendiri. Usai solat saya terlupa tentang getaran tersebut.


Rupanya Radziah yang membuat panggilan. Jam 12 malam waktu Malaysia barulah saya dapat bercakap dengannnya,


"Prof, saya mahu dengar suara prof," saya tahu beliau sangat-sangat berdebar.


Alhamdulillah…. Allahhu Akbar, Subhanallah… sesaat tadi saya mendapat khabar yang beliau sudah bergelar Dr Radziah. "Ya Allah jadikan beliau seorang insan yang sentiasa bersyukur kepada Mu. Ampunilah dosa-dosanya"


+++++++++++++++++++++


Pagi-pagi lagi kami meninggalkan Baladiyah Uhud menuju Haram untuk menunaikan solat subuh. Allahu Akbar, saya terpandang tompokan dakwat pen pada poket jubah yang baru dibeli.


"Habis, aduhai… baru sahaja beli," saya bersungut kepada Roza.


Roza tersenyum tanpa memberi sebarang komen. Ia pakaian kerja. Jika ia bertompok hitam akan mencacatkan pandangan. Biasanya, tompokan yang sedikit itulah yang dipandang-pandang.


"Tidak mengapa, saya pakai jubah ini untuk solat," saya membuat keputusan.


Allahu Akbar, bila terlepas cakap barulah saya sedar yang kita sering melebihkan soal pejabat berbanding dengan Allah SWT. Baju ke pejabat biar sempurna. Pakaian berjumpa Allah tidak mengapa cacat sedikit.


Malah dulu-dulu saya sering melihat dan ikut sama solat tanpa memakai baju. Ia ikut-ikutan tanpa tahu hujung pangkal.


Allah mengajar saya serta merta. Bagaimana?


Usai sahaja solat sunat, saya menyambung bacaan terjemahan al-Quran. Semalam saya berhenti pada pemulaan surah Al-Araf. Hari ini, apabila sampai pada ayat 31, saya terkedu. Allah menyatakan,


Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.


Itulah, dalam sekecil-kecil isu ada pengajaran yang boleh dipelajari. Saya mohon keampunan Allah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 26, 2011 20:29

October 25, 2011

Amalan

Barakallah hu fikum bermaksud kebaikan Allah untuk mu!


Amalan berdoa dalam ucap selamat menjadi amalan penduduk Madinah. Agakan saya ia menyeluruh di Arab Saudi. Jika menyebut Alhamdulillah, ramai yang menyebut secara penuh, ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ


Ia tidak lama untuk saya meniru amalan ini. Bila sampai di pejabat selain memberi ucapan Assalamualaikum yang dijawab penuh, saya sering juga menyebut Haiya kallah, amalan khusus untuk orang-orang Saudi.


Jika menjawab SMS atau online di FB, maka saya mulakan dengan "semoga Allah memberkati hidup mu". Saya fikir ia satu doa yang baik. Namun ia ada satu penyakit, "alangkah ruginya menulis panjang-panjang di SMS dan FB". Saya kuatkan semangat untuk melakukan sesuatu yang saya fikir sangat berfaedah.


Bila saya menulis begitu, anak-anak muda Malaysia di Madinah juga membalas ucapan SMS saya dengan kata-kata yang lebih baik. Suka saya membaca SMS yang begitu.


Ada juga rakan FB yang menulis dengan bahasa bukan bahasa. Tentu sekali saya tidak membuang masa untuk memikirkan apa yang cuba disampaikan oleh mereka. Namun jumlahnya sangat-sangat sedikit.


Pada sudut yang berbeza, masuklah ke dalam masjid. Lebih 50% memegang al-Quran. Malah kebanyakan masjid mempunyai tempat menyandar bagi saf pertama dan kedua. Agaknya mereka mahu jemaah selesa membaca al-Quran di masjid.


[image error]

Di sini ada dua saf untuk duduk sambil menyandar


Mana-mana yang saya fikir baik akan saya cuba lakukan setakat mana yang terdaya. Biar ia kelihatan kecil tetapi akhirnya sangat signifikan. Ia sudah berada di bibir tinggal menunggu masa dan ketika untuk menyebutnya.


Ila liqo', mudah-mudahan Allah memancarkan nur kasih sayangNya ke hati khalayak pembaca KRTS.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 25, 2011 11:07

October 24, 2011

15%

Kesemua pensyarah non-Saudi diturunkan imbuhan sebanyak 15%.


Lalu ramai yang mengeluh. Pastinya ada juga yang bersungut dengan nada yang tidak sedap didengar. Di sini, pendapatan sangat rahsia. Ia tidak seragam di antara individu, pasport yang dipegang dan jawatan sebelumnya.


Struktur gaji seorang profesor atau mana-mana pensyarah seragam. Cuma yang luar biasa ialah gaji + berapa peratus imbuhan. Saya mendapat gaji pokok + (5 tahun x SR500, jumlah tahun maksima jawatan Profesor di Malaysia) dan ditambah lagi 35% daripada jumlah pendapatan gaji pokok dan 5 tahun profesor.


Ada orang mendapat 50%. Malah ada yang diberi habuan 100%. Jadi, seorang yang bergaji Profesor Madya boleh melebihi gaji profesor walaupun gaji pokoknya lebih rendah. Ia disebabkan peratusan imbuhan yang tinggi.


Ia sangat menarik.


Di sini, konsep bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan sangat-sangat relevan. Saya mengambil sikap mudah. Saya hadir ke sini kerana Madinah. Di sini ada Masjid Nabawi. Ia hampir pula dengan Masjidil Haram. Jadi segala-galanya soal kedua. Ia tidak dapat mengatasi niat asal kami hadir di sini.


Malah saya selalu teringat-ingat dengan satu hadis yang dilaporkan oleh Muslim yang bermaksud,


Mana-mana individu umatku yang bersabar menanggung kesusahan dan kepayahan di Madinah, aku akan memberi syafaat kepadanya pada hari kiamat atau aku akan menjadi saksi kepadanya


Saya menanti gaji yang itu!


Uzkuruu (ٱذۡكُرُو)

Ia bermaksud "ingatlah". Namun saya lebih suka menggunakan perkataan "kenangilah".


Malam ini saya membaca terjemahan al-Quran dan bertemu beberapa kali dengan perkataan ini.


Allah mengingatkan kita supaya mengenangi pertolongan-pertolongan yang telah Dia kurniakan kepada hambaNya. Allah juga mahu kita mengenangi pelbagai nikmat yang telah Dia anugerah.


Namun ia sinonim dengan kenyataanNya, "engkau ingat aku semasa susah, lupa ketika senang". Kesannya, ramai yang kusyuk solat ketika ditimpa ujian tetapi tidak begitu ketika menerima ganjaran.


Kehidupan ini adalah nikmat Allah, susah mahupun senang. Kurang atau lebih! Namun nikmat mengenal huruf al-Quran dan mengerjakan haji akan sentiasa dikenangi. Ia membawa pelbagai perkara lain yang tidak dapat saya nyatakan.


Maka bersyukur kepadaNYa adalah sebaik-baik cara mengenangi apa yang telah Allah berikan.


Madinah oh Madinah

Kami sangkakan jemaah di Haram semakin susut. Tiba-tiba jumlahnya menjadi luar biasa. Aha… kontigen dari Afrika sudah mula tiba.


Saya seronok melihat jemaah wanita mereka membina keretapi apabila berjalan pulang. Malah mereka tidak mempedulikan sesiapa pun. Jangan halang mereka, keretapi hanya boleh berhenti di stesyen.


Allah hu Akbar!


Ramai tetapi tidaklah terlalu sesak

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 24, 2011 09:31

Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.