15%
Kesemua pensyarah non-Saudi diturunkan imbuhan sebanyak 15%.
Lalu ramai yang mengeluh. Pastinya ada juga yang bersungut dengan nada yang tidak sedap didengar. Di sini, pendapatan sangat rahsia. Ia tidak seragam di antara individu, pasport yang dipegang dan jawatan sebelumnya.
Struktur gaji seorang profesor atau mana-mana pensyarah seragam. Cuma yang luar biasa ialah gaji + berapa peratus imbuhan. Saya mendapat gaji pokok + (5 tahun x SR500, jumlah tahun maksima jawatan Profesor di Malaysia) dan ditambah lagi 35% daripada jumlah pendapatan gaji pokok dan 5 tahun profesor.
Ada orang mendapat 50%. Malah ada yang diberi habuan 100%. Jadi, seorang yang bergaji Profesor Madya boleh melebihi gaji profesor walaupun gaji pokoknya lebih rendah. Ia disebabkan peratusan imbuhan yang tinggi.
Ia sangat menarik.
Di sini, konsep bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan sangat-sangat relevan. Saya mengambil sikap mudah. Saya hadir ke sini kerana Madinah. Di sini ada Masjid Nabawi. Ia hampir pula dengan Masjidil Haram. Jadi segala-galanya soal kedua. Ia tidak dapat mengatasi niat asal kami hadir di sini.
Malah saya selalu teringat-ingat dengan satu hadis yang dilaporkan oleh Muslim yang bermaksud,
Mana-mana individu umatku yang bersabar menanggung kesusahan dan kepayahan di Madinah, aku akan memberi syafaat kepadanya pada hari kiamat atau aku akan menjadi saksi kepadanya
Saya menanti gaji yang itu!
Uzkuruu (ٱذۡكُرُو)
Ia bermaksud "ingatlah". Namun saya lebih suka menggunakan perkataan "kenangilah".
Malam ini saya membaca terjemahan al-Quran dan bertemu beberapa kali dengan perkataan ini.
Allah mengingatkan kita supaya mengenangi pertolongan-pertolongan yang telah Dia kurniakan kepada hambaNya. Allah juga mahu kita mengenangi pelbagai nikmat yang telah Dia anugerah.
Namun ia sinonim dengan kenyataanNya, "engkau ingat aku semasa susah, lupa ketika senang". Kesannya, ramai yang kusyuk solat ketika ditimpa ujian tetapi tidak begitu ketika menerima ganjaran.
Kehidupan ini adalah nikmat Allah, susah mahupun senang. Kurang atau lebih! Namun nikmat mengenal huruf al-Quran dan mengerjakan haji akan sentiasa dikenangi. Ia membawa pelbagai perkara lain yang tidak dapat saya nyatakan.
Maka bersyukur kepadaNYa adalah sebaik-baik cara mengenangi apa yang telah Allah berikan.
Madinah oh Madinah
Kami sangkakan jemaah di Haram semakin susut. Tiba-tiba jumlahnya menjadi luar biasa. Aha… kontigen dari Afrika sudah mula tiba.
Saya seronok melihat jemaah wanita mereka membina keretapi apabila berjalan pulang. Malah mereka tidak mempedulikan sesiapa pun. Jangan halang mereka, keretapi hanya boleh berhenti di stesyen.
Allah hu Akbar!

Ramai tetapi tidaklah terlalu sesak
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
