Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 47
September 30, 2011
Rupanya saya merindui…..
Kami selamat tiba di Madinah.
Petang, kami terus ke Haram untuk solat Maghrib dan Isya selepas tidur petang. Masanya agak singkat. Masa bertolak jam 5.45 petang dan masuk maghrib 30 minit kemudian.
Lalu saya memilih untuk solat di kawasan belakang Raudhah. Saya terpandang beberapa jemaah yang memakai beg sandang TM warna oren. Terselit bendera Malaysia. Wajah-wajah mereka nyata Melayu.
Ya Allah, sukanya hati saya melihat warga Malaysia di sisi.
Usai solat sunat saya berpaling sambil tersenyum dan bertanya, "bila sampai?".
"Pagi tadi," perbualan yang terhenti kerana solat Maghrib yang akan bermula.
Wajah mereka masih "takut-takut". Kelihatan sangat berhati-hati. Mulut berzikir. Saya fikir begitu.
Usai solat maghrib dan solat jenazah, saya terpandang seorang anak muda berseorangan. Saya bangun dan solat sunat di sisi beliau. Sengaja. Alahai… tahulah saya yang saya merindui warga Malaysia.
"Bila sampai?," saya memegang paha beliau.
"Pagi tadi, tiga pagi. KT02. Tuan KT03?"
"Tidak, saya bekerja di sini. Baca buku Travelog Haji?"
"Tuan?, MasyaAllah, berjumpa kita di sini," beliau kelihatan teruja.
Sejak tiba di sini wajah saya sangat berbeza. Saya tidak pernah bercukur. Saya mahu meyimpan janggut dan jambang. Kelihatan ia masih belum terurus dengan baik.
Secara semulajadi, saya menyampaikan tazkirah haji kepada Hisyam, staf telekom Cyber Jaya. Barangkali rindu yang sebenar adalah untuk menyampaikan kuliah.
Dan Hisyamlah yang menjadi mangsa.

Hisyam, semoga mendapat haji yang mabrur
Tazkirah di Jeddah

Tazkirah Haji di rumah Tuan Hasnan di Jeddah
Terima kasih Tuan Hasnan dan isteri.
Saya menghargai jemputan, layanan dan tutur kata mereka. Ia kenangan manis yang kekal abadi.
September 29, 2011
Mekah

Di kawasan rehat Madinah-Mekah.
Ada satu soalan yang sering diminta jawapan, "antara Mekah dan Madinah, yang mana lebih istimewa?"
Ia sangat sukar. Malah ia tidak perlu dibandingkan kerana kedua-duanya mempunyai aroma tersendiri. Mekah dan Madinah mempunyai tarikan yang berbeza.
Namun saya seronok berada di Mekah. Di sini, banyak air mata tumpah ketika menunaikan fardhu haji pada 2006-2007. Di dataran kaabahlah tempat saya ditunjukkan dengan pelbagai kebesaran Allah.
Di sini jualah saya menitiskan air mata memohon agar diberi izin untuk menulis Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman. Di Mekah jugalah saya berjaya khatam al-Quran buat pertama kali ketika berusia hampir 43 tahun.
Semalam, kami tiba di Mekah sekitar jam 11.00 malam. Saya bertawaf dan saei sepenuh hati. Saya membaca kembali doa-doa yang saya ucapkan ketika pertama kali memijakkan kaki di sini 5 tahun yang lampau.
Namun saya merayu kepadaNya, "Ya Allah, tingkatkan keimanan kami, ya Allah jangan Kau palingkan hati-hati kami daripada mencintai Mu sepenuh hati kami, Ya Allah bantulah kami, lindungilah kami dan ilhamkanlah kami agar sentiasa menyembah dan beramal ibadat kepada Mu, semata-mata kerana Mu ya Allah".
Semalam, seminit pun saya tidak dapat melelapkan mata. Kami berehat seketika selepas usai menunaikan ibadat umrah di sekitar jam 12.30 pagi. Lalu kami sambung lagi rasa dan getar luarbiasa sehingga waktu syuruk melintasi garisnya.
SubhanaAllah, Dia membenarkan saya solat paling hampir dengan kaabah, menguncup Hajaru-Aswad, bersolat di dalam Kaabah sebagaimana permohonan Aisyah kepada suaminya (selawat dan salam kepada baginda, kaum keluarga dan para sahabat), dan dapat bertimpuh bersama isteri mengadap Kaabah dengan rasa yang satu, "kecintaan kepada Dia yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang".
Pagi tadi, sungguh pagi tadi, kami berpimpinan tangan meninggalkan Haram dengan rasa yang sangat berbeza. Kami mahu kembali di sini. InsyaAllah, Madinah dan Mekah hanya sempadan yang nipis, ibarat senipis kulit bawang yang tidak terasa.

Perubahan ketara di Haram, tiada larangan mengambil gambar. Amirul di dalam Hijir Ismail. Gambar di ambil dengan polis memerhatikannya tanpa menyebut, La... la... la
September 28, 2011
24000

12.30 pagi selesai mengerjakan umrah
Inilah gaji pertama dan paling bernilai setelah hampir 3 minggu berkhidmat dengan Universiti Taibah, Madinah. Ia bukan tunai. Ia juga tidak perlu dibank-in melalui akaun. Malah kami tidak menerima apa-apa bayaran nyata.
Itulah harga yang perlu kami bayar untuk menunaikan umrah buat kami sekeluarga – 4 orang – jika bertolak dari Malaysia. Malah kami tidak langsung mengira nilai bagaimana sambutan Masjidil Haram terhadap kami sekeluarga.
Tawaf dapat diselesaikan dengan pantas. Saei juga sangat-sangat menghiburkan. Malah Hijir Ismail memanggil-manggil kami untuk solat dan berdoa di dalamnya.
Ia hanya berlaku ketika musim haji belum bermula. Itulah keistimewaan yang dianugerahkan kepada mereka yang tinggal di Arab Saudi. Kami bersyukur di atas kegembiraan ini.
Umrah kali ini dilaksanakan dalam suasana yang sangat berbeza. Pertama, kami menyewa kereta daripada Madinah ke Mekah. Tukang pandu dan yang membantu adalah bakal ulamak Malaysia yang sedang menuntut di Universiti Madinah, saudara Abdul Aziz.
Kedua, kami berani-beranikan diri untuk ke Mekah walaupun tanpa ikamah – permit tinggal di Arab Saudi – yang masih belum diperolehi. Kami hanya berbekalkan surat pengesahan universiti tanpa bahan pengenalan yang lain.
Niat umrah kami juga berbeza sebagaimana yang terdahulu. Hari ini kami berniat, "kami mengerjakan umrah dan berihram dengannya. Jika kami terhalang untuk melaksankan umrah ini maka bertahlullah kami di tempat yang terhalang tersebut kerana Allah taala".
Allah… Allah… Allah hu akhbar… Allah permudahkan. Kami tidak terhalang walaupun ada bayang-bayang polis di setiap tempat pemeriksaan. Ia jemputan Allah!

Inilah tukang pandu dan pembantu Al-Hafiz!
September 27, 2011
Terpenjara
Malam tadi kami meraikan Dr Hussin yang baru dilantik sebagai profesor madya. Beliau adalah rakan sejawat di Kolej Bisnes, Universiti Taibah. Majlis berlangsung di hotel Movenpick di bahagian utara Haram.
Di sini, majlis di sebelah malam – kebiasaannya – akan bermula sejurus selepas solat Isya berjemaah di Haram. Prof Tosef (saudara saya dari Pakistan) berkata, "prof kita berkumpul di Hamam No 10," merujuk kepada tandas yang tersusun di sekitar Haram.
Ia teknik yang sama digunakan oleh jemaah haji yang terpisah suami-isteri ketika solat. Ketika mahu berjumpa maka tandas inilah yang dijadikan penanda utama.

Setiap tandas bernombor. Mudah untuk pengecaman.
Kos makan malam di hotel lebih mahal sedikit berbanding dengan hotel-hotel utama di Malaysia. Semalam, buffet makan malam berharga SR120. Jika dikira kadar tukaran semasa, ia disekitar RM100/seorang. Bezanya, pilihan makanannya terarah kepada masakan di sebelah sini.
Orang Arab makan sangat bersungguh. Agak saya berbaloi dengan harga sebanyak itu. Saya sendiri sudah melepasi zaman makan berjam-jam di hotel. Saya mahu makan cepat-cepat, pulang dan tidur. Jadi inilah yang diambil dan dihabiskan, sepotong kambing yang dimakan dengan kus-kus, sedikit sayur dan pasta keju.

Rugi belanja saya di hotel besar. Sudah tidak mampu makan banyak!
Namun budaya Arab tidak begitu. Selepas makan, kami beredar ke sebuah bilik lain. Sambil minum-minum tea dicampur daun pudina, mereka bersembang, berjenaka, sesekali berbincang soal pejabat dan bergelak ketawa.
Saya terpenjara!
Tembok penjaranya adalah bahasa. Hampir 100 peratus bertutur dalam bahasa Arab. Sesekali Dr Mahmood dari Jordan menjadi penterjemah. Banyaknya, "tidak mustahak prof!".
Sambil ketawa saya berkata kepada mereka, "selalunya saya yang bercakap, kini saya terpaksa berdiam diri. Ia seolah-olah berada keseorangan di dalam penjara".
Namun jauh di sudut hati saya mensyukuri suasana begini. Ada rahmat besar yang mengajar saya supaya bertafakur dan merenung diri. Jika pandai berbahasa Arab sekali pun, "banyak mendengar dan kurangkan bercakap".
Tayib, Tayib, Tayib, hati mengiakan!

Di luar sana adalah Haram. Saya sampai di rumah jam 12 malam.
Orang Malaysia
Wah… orang Malaysia sudah sampai. Petugas-petugas Tabung Haji Katering nampaknya sudah memasuki hotel ini. Ia hotel utama Tabung Haji. InsyaAllah, mulai 29 September, setiap hari Madinah akan menerima 20000 tetamu.
Wajah-wajah Malaysia pastinya akan bertemu mata. InsyaAllah.
September 26, 2011
Tunggu seminit

Suasana sejurus selepas solat Isya di kawasan pintu Baqi'. Hanya beberapa hari lagi suasana begini akan hilang. Selamat datang wahai tetamu Allah. Selamat Datang wahai tetamu Allah.
"Intazhiru Daqiqah"
"Intazhiru Daqiqah"
Kami sudah mengangkat takbir. Tiba-tiba imam menyebut perkataan tersebut. Bukan sekali tetapi dua kali. Saya buta bahasa Arab tetapi dapat mengagak yang ia berkait dengan pembatalan solat. Itulah agakan saya.
Ia pertama kali berlaku dalam tempoh 47 tahun usia saya.
Saya bertanya Abdul Aziz, bakal ulamak dari Madinah yang setiap hari membawa saya ke Haram akan makna perkataan tersebut.
"Tunggu seminit," jawab beliau.
"Jika itu berlaku, ada beberapa cara yang boleh kita lakukan. Pertama, kita masih berada di dalam solat, tunggu sahaja imam datang semula atau tunggulah imam baru masuk. Kedua, ramai yang tidak tahu akan membatalkan solat mereka dan akan mengikut semula imam," beliau memberi penerangan.
Saya yang tidak berilmu secara semulajadi melakukan pilihan kedua, alahai…. duduk bersila lagi menunggu Imam muncul kembali.
Kisah ini tersebar di internet melalui U-Tube, ditunjukkan bagaimana Imam menyebut perkataan tersebut, melihat ke belakang dan menyebutnya sekali lagi.
Ia berlaku di sini dan saya mengalaminya!
Membuang Ego
Malam tadi saya menyampaikan sedikit tazkirah di tiang Malaysia. Ada 7-8 orang pelajar Malaysia yang terpaksa mendengarnya. Kata saya,
"tentu sekali saudara-saudara berasa bangga dapat belajar di universiti Madinah. Di sini, insannya terpilih. Jika pulang ke Malaysia, orang bertanya, "belajar dimana?," saya yakin pasti ada perasaan bangga yang mendalam.
Cuma saya ingin ingatkan satu perkara, jika tiada perasaan yang belajar di Madinah merupakan satu ujian Allah, maka kemungkinan kita akan menjadi seperti mereka yang terdahulu yang pulang ke Malaysia, jadi manusia biasa-biasa yang tidak dapat memberi sumbangan kepada masyarakat.
Ia berkait rapat dengan amalan. Setinggi mana pun ilmu jika tidak diamalkan, ia tidak membawa keuntungan yang besar. Kita bercakap tetapi langsung tidak membawa ke hati pendengar. Ia tidak berkesan.
Di sini, – di Madinah ini – jagalah solat berjemaah, jagalah solat malam, perbanyakkanlah amalan-amalan sunat yang lain. InsyaAllah ia akan membentuk kita menjadi manusia yang terpilih".
Hakikat sebenar, buanglah ego yang tertanam di hati. Ia tidak membawa sebarang erti!
September 25, 2011
Pelajar ku

Mereka sangat ceria
Inilah salah satu kumpulan pelajar saya. Jumlahnya 9 orang. Umur mereka di antara 22 – 23 tahun.
Khaifa Halukun? Alhamdulillah!
Saya pegang salah seorang daripada mereka, "masmuka?"
"Yasser…"
"Ismi Muhd Kamil Ibrahim," saya sambung sedikit.
"Ana, min Malasie". Opss… itu sahaja yang sempat saya amalkan dengan mereka.
Alhamdulillah, saya fikir saya berjaya hooked mereka dengan pertemuan ini.
Yousef bertanya, "Dr, mahu saya bawa Dr solat Zuhur di Haram?"
Subhanallah… ada juga pelajar Arab yang berminat untuk solat di sana. Kenapa? Rata-rata mereka hanya sebulan sekali berkunjung ke Haram.
Yousef terkecuali!
Padang Pasir

Pandangandari dalam pejabat
Kami bekerja di tengah padang pasir.
Universiti Taibah sangat luas kawasannya. Namun ia tengah membangun. Bangunan kelihatan rancak meninggi. Pergilah ke mana-mana kawasan, ia sangat berhabuk, panas dan berdebu.
Tim kami di jabatan perakaunan masih kecil. Ada seorang profesor (saya) dan 5 penolong profesor. Dekan kami pun masih belum profesor madya. Namun saya fikir gaji mereka pasti melangit berbanding profesor dari Malaysia.
Struktur gajinya berbeza.
Di sini, hanya dua rakyat Arab Saudi yang bertugas di Kolej Perniagaan. Seorang Dekan dan yang satu lagi Timbalan Dekan. Lain-lain pensyarah terdiri dari warga Mesir (terbesar), Jordan, Algeria, Pakistan, dan beberapa negara Arab yang lain.
Saya – satu-satunya – wakil dari Malaysia!
Raudah
Hampir setiap hari saya bersolat di Raudah. Biasanya saya solat sunat dua rakaat, berdoa menyempurnakan ramai permintaan dan memohon supaya dipermudahkan segala urusan.
Kemudian, saya keluar mencari tempat berhampiran dengan imam. Usai solat Maghrib, saya akan berada berhampiran dengan tiang Malaysia memerhatikan Amirul yang bersama abang-abang di sana.
Jika ada yang mahu mendengar, saya menyampaikan sedikit tazkirah kepada mereka yang hadir.
Itulah rutin saya dan keluarga buat masa sekarang. Hanya 3 jam/sehari di Haram. Ia masih jauh tersasar sebagaimana KPI yang saya harapkan. Namun rutin harian semasa di Malaysia masih mampu diteruskan.
Mudah-mudahan Iqamah kami akan diserahkan dalam sehari dua lagi. Ia akan mengubah banyak keadaan.
Kehidupan di Madinah masih panjang lagi. Berensut-ensut saya cuba menyesuaikan diri, InsyaAllah!
September 24, 2011
Ustaz Mat
Ayah meninggal di pangkuan beliau.
Ustaz Mat bercerita, "Mil, Ayah pergi comel sekali, jangan bersedih, sedekahkan Fatihah kepadanya".
Beliau bercerita lagi, "Ayah mahu berurut tetapi tidak sempat. Beliau memberitahu saya, agaknya masa saya sudah sampai. Kalau begitu mari duduk diriba saya. Mengucap. Dah… jangan bercakap lagi. Itulah akhirnya".
Itu kisah 16 tahun yang lampau.
Saya bukan mengenangi kisah Ayah tetapi terlintas di hati kisah Ustaz Mat. Bila orang kehilangan barang, rumah beliaulah yang dituju. Jika sakit-sakit yang dijangka tidak memerlukan rawatan perubatan moden maka beliau boleh dipertimbangkan.
Malah istilah "air tawar" sinonim dengan kaedah rawatan beliau.
Kerap, sangat kerap bila pulang ke Besut, Ustaz Mat inilah yang saya jemput untuk berurut seluruh badan. Urutannya sangat sakit. Sungguh, sakitnya teramat sangat sehinggakan ternampak sahaja wajahnya, saya sudah terbayang akibat yang bakal saya terima.
Namun saya tidak serik-serik.
Sambil berurut beliau sering bercerita tentang tauhid. Beliau lama menuntut di Azhar, Mesir. Saya pula mengambil kesempatan bertanya, "Ustaz, bila orang mahu berubat, mengadu hilang barang, minta air tawar, apa yang Ustaz lakukan?"
Beliau tersenyum dan bercerita, "Solat dan minta dengan Allah. Bangun malam. Itulah yang patut dilakukan oleh semua orang".
Ia terpaku di hati.
Apa yang saya pelajari, "tidak perlulah saya menyuruh Ustaz Maz solat malam, InsyaAllah saya akan istiqamah melakukannya".
Saya menulis kisah ini kerana gelisah mendengar coretan seorang rakan FB, "Prof tolong doakan saya. Saya sudah bangun malam, saya sudah solat dhuha, saya sudah solat di masjid….. sejak tahun 2010 lagi tetapi Tuhan masih mahu menduga saya".
"MasyaAllah, tolonglah jangan diungkit-ungkit amalan kepada Allah. Ia bukan soal rezeki bila kita melakukan amal ibadat. Ia kerana kita bersyukur kepadanya. Allah tidak menduga kita… tidak sekali-kali (nota: Allah mengetahui kemampuan dengan cara sabar dan solat).
InsyaAllah mari kita teruskan amalan-amalan ini tanpa mempedulikan soal rezeki dan sebagainya. Hingga kini kita masih bernafas lagi… Bila sampai masanya…"
Saya tidak sempat menghabiskan tulisan kerana azan sudah berkumandang. Dan saya berdoa kepada Allah agar beliau "bersabar denganMu ya Allah" dan bukannya diberi rezeki sebagaimana yang dipohonnya.
Saya percaya, doa merupakan satu ibadat yang menggambarkan kebergantungan hamba kepada PenciptaNya. Keyakinan 100% dan tiada buruk sangka buat Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
Kami mohon keampunanMu ya Allah.
Tetamu dari Yanbo

Yanbo mempunyai pantai. Ia kawasan minyak KSA
Tuan Haji Fadzil dan Puan Nani – barangkali – sudah lama mengenali kami. Ketika mahu berhijrah ke Madinah, Puan Nani kerap kali muncul melalui FB dan blog saya.
Saya terperasan begitu. Beliau pernah menyebut, "kami di Yanbo menanti-nanti kedatangan Prof dan keluarga".
Pagi semalam mereka muncul di rumah kami. Ia memang dirancang begitu. Dan Roza menyediakan Nasi Lemak Madinah untuk sarapan pagi. Apa bezanya? He… he… ia dimakan di dalam dulang!
September 23, 2011
Rumah kecil di Jabal Ohud
Di Malaysia, tagline yang biasa saya nyatakan kepada khalayak pendengar ceramah, "jika tuan-tuan berada di Madinah, rumah kami mungkin kecil tetapi hati kami besar untuk menerima tuan-tuan. Jemputlah ziarah kami di sana".
Malam tadi, kami menerima tetamu rasmi yang pertama, Noh dan keluarga. Noh merupakan pengurus di salah sebuah hypermarket di sini. Isteri beliau – Atie – dan tiga puteri comel mereka sudi bersama kami hampir dua jam.
Saya fikir mereka mengenali saya dan Roza jauh lebih lama lagi melalui blog ini dan Hidup itu Indah.
Dalam pelbagai kekangan perkakas dan peralatan, Roza menghidangkan tetamu istimewa kami dengan Ayam panggang (nota: dipanggang melalui periuk), coleslaw, salad pasta kentang dan berserta dengan jemput-jemput tamar.
Menarik, ia dihidang di atas tiga dulang dan dimakan sambil bersila. Inilah makan malam kami.

Ia hidangan dari Madinah

Puteri Dina nyatakan, "saya suka ayam"
Mudah-mudahan beribu-ribu malaikat turut hadir bersama-sama kami mendengar tazkirah yang disampaikan selepas majlis makan-makan ini. Saya berdoa begitu!
September 22, 2011
Ketawa
Bila saya menulis soal ini saya perlu sangat-sangat terbuka. Ia bukan soal baik atau buruk tetapi ia soal perbezaan yang sangat nyata. Ingat, ia sekali-kali bukan di Malaysia lebih baik atau di Saudi lebih buruk.
Atau sebaliknya.
Ramai yang bertanya, "apakah ujian sebenarnya di sana?"
Saya memohon sambungan internet. "Prof, 30 minit lagi saya sampai"
Hampir 7 hari berlalu. Ia tidak muncul-muncul. Namun tanpa internet di ofis, saya masih boleh terselamat dengan jayanya. Jadi, ia tidak apa-apa kerana tujuan utama saya mahu berada di Madinah.
"Sanggupkah anda bersabar?"
Bila sampai masanya, bukan sahaja line internet yang saya dapat tetapi dengan laptop baru sekali gus. Agaknya begitu…..
Saya diberi cek RM10,000. Kaya saya. Baru seminggu bekerja sudah diberi wang sebanyak itu. Namun sehingga ke hari ini cek tersebut masih tidak boleh dikeluarkan.
Opsss…. masih miskin!
Iqamah atau permit kerja belum dikeluarkan. Dalam keadaan tertentu, saya boleh menggunakan nama orang lain – tentulah penduduk tempatan yang sudah mempunyai akaun – untuk mengeluarkan cek tersebut. Pada hari tersebut – entah apa halnya – permintaan kami ditolak.
Teman – juga dari Malaysia – permit kerjanya tersalah nama dalam bahasa Arab juga gagal menunaikan cek tersebut. Saya tersengih, beliau juga tersengih.
Nanti…. beliau lebih berakal. Beliau ke universiti mohon dibetulkan nama atas cek biar sama dengan nama di permit kerja. Emmm… boleh pula!
Kini hampir dua minggu saya bertugas. Hampir setiap hari, sayalah orang pertama yang muncul di pejabat. Alamak, bagaimana mahu masuk ke pejabat, saya tidak mempunyai kunci.
Emmmm… saya menumpang di bilik jabatan lain yang masih kosong pejabatnya. Tiada masalah!
Itu isu di pejabat. Saya bekas dekan, pengarah kampus malah pernah bertugas sebagai pegawai khas kepada Naib Canselor. Semuanya teratur dan tersusun. Segalanya diurus orang. Hebat!
Jadi profesor ketika usia 39 tahun. Bayangkan sudah hampir 8 tahun dimuliakan orang dengan jawatan utama sektor awam (JUSA).
Namun saya lebih tenang di sini. Kenapa? Di sini, saya lebih kerap mengadu kepadaNya. Tiada line internet pun saya bercerita kepada yang Tertinggi. Saya tahu Dia Maha Mendengar. Dia lapangkan dada saya. Dia bagi kesukaan yang lain.
Banyak. Sangat banyak sehingga tidak terhitung banyaknya.
Itulah, ia bukan soal perbandingan baik atau buruk, bagus atau tidak tetapi bagaimana kita melihat sesuatu kejadian dalam keadaan yang berbeza.
Apa lagi ujian-ujian yang ada?
Hidung saya sentiasa berdarah. Bila kering berkeping-keping. Kadang-kala kepingan ini keluar ikut mulut. Alahai… 14 hari di sini, separuh daripadanya seram-sejuk, demam-demam yang tidak pernah kebah.
Di ajar orang, "prof kena basuh hidung sentiasa. Sedut… hembus… sedut". Wah… 47 tahun hidup, hidunglah yang paling jarang bercuci. Di sini berlainan sekali. Bukankah itu kehebatan dan kebesaran Allah?
September 21, 2011
Kenapa tidak?
Ketika menjadi ketua jabatan, kami sekeluarga sering mengadakan jamuan makan di rumah bagi meraikan kakitangan mengikut jabatan. Ada orang bertanya, "kenapa tidak memberi makan kepada anak-anak yatim?"
Seorang teman membeli kereta terpakai. Ada teman yang lain bertanya, "berapa harga?". Bila disebut harga yang dibayar maka beliau bertanya lagi, "kenapa tidak beli kereta XYZ?. Ia lebih baik dengan harga sebegini."
Begitu juga bila berdakwah sesama Islam, ada orang bertanya saya, "kenapa tidak berdakwah kepada mereka yang tidak beragama Islam?"
Beberapa bulan yang lampau ketika menyatakan keinginan untuk berhijrah ke Madinah, seorang teman berkata, "kenapa tidak mahu kekal di Malaysia, di mana sahaja bumi Allah".
Memberi makan kakitangan dan memberi makan anak yatim boleh dilakukan serentak dan mempunyai tujuan yang berbeza. Ia tidak perlu ditanya kenapa tidak?
Kenapa tidak membeli kereta XYZ tidak akan membawa sebarang perubahan kepada teman yang telah membeli kereta yang lain. Ia hanya menyakitkan hati beliau. Apakah tujuan kita bertanya soalan tersebut?
Berdakwah harus bermula dengan diri sendiri. Kemudian keluarga dan saudara mara yang hampir. Jika ada kekuatan, pergilah kepada masyarakat dan seterusnya kepada yang lain.
Seorang teman pensyarah bertanya, "prof, saya mahu berdakwah. Bagaimana mahu saya lakukan?".
Jawab saya mudah. Pertama, "jaga solat berjemaah. Bagaimana kita mahu mengajak orang solat berjemaah jika kita sendiri sukar melakukannya. Orang berilmu boleh bercakap-cakap tentang kepentingan solat berjemaah tetapi ia tidak akan berkesan selagi kita sendiri tidak melakukannya".
Kedua, "bangun solat malam. Itulah kekuatan untuk berdakwah. Ia bermula pada diri sendiri, ahli keluarga, anak-anak murid dan masyarakat".
Jika Madinah dan Malaysia sama sahaja, maka tidak perlu berkata "kenapa tidak?" mahu kekal di Malaysia.
Sebenarnya jika kita bertanya "kenapa tidak?" maka ia sangat elok ditanya kepada diri sendiri. Kita bertanya, kita jawab dan kita amalkan. InsyaAllah kita menjadi manusia yang lebih baik.
Banyak ketikanya ketika kita bertanya "kenapa tidak" sangat-sangat tidak relevan. Banyak masanya ia tidak pun merupakan suatu pilihan. Berdiam diri lebi baik.
Kenapa saya di Madinah?
Kami – saya dan Roza – selalu menyebut keinginan untuk tinggal di Tanah Haram dan Allah makbulkan. Kami manusia yang sangat fakir, tidak berilmu dan serba kekurangan. Niat kami satu, mahu membersihkan diri terutamanya hati dan perasaan.
Biarlah pada penghujung sisa-sisa kehidupan ini dihabiskan dalam susana yang kami fikir boleh membantu. Saya tidak fikir yang saya bertahan lama di dunia ini. Namun di mana tempat Allah mahu memanggil pulang, terserahlah. Dia lebih mengetahui perkara yang ghaib. Cukuplah saya memikirkan "pertarungan dunia" secara berlebih-lebihan.
Itu juga bergantung kepada apa yang Allah anugerahkan terhadap kami.
Di sini saya masih memberi ilmu di Universiti Taibah. Sedikit pun tidak berbeza dengan apa yang saya lakukan di Malaysia.
Di sini saya belajar menahan diri daripada pelbagai sifat yang boleh merosakkan jiwa. Saya tidak mahu meninggi suara, tidak perlu bertengkar dan tidak perlu membanding-bandingkan dengan orang lain.
Saya hanya mencari keredhaanNya. Itu sahaja!
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
