Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 45

October 15, 2011

Sekolah

Nota: Entri ini ditulis semalam, ia tidak berakhir di sini.


Akhirnya, Farah Sofea memulakan persekolahan setelah bercuti hampir tiga bulan. Begitulah, di Madinah (nota: mungkin di seluruh dunia Arab), kita – orang Malaysia –  banyak menghadapi cabaran dan ujian.


Allah pula mengajar kita, "sabar dan solat" apabila berhadapan ujian. Bagaimanapun Allah siang-siang lagi memberi amaran, "ia sukar kecuali mereka yang kusyuk".


Tentu sekali kita tidak dapat menelah bagaimana Allah membuka jalan menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi oleh hambaNya yang sedang dalam kebuntuan. Ia cukup mudah.


Akhirnya – setelah berpusing-pusing hampir seminggu – Allah temukan dengan sebuah sekolah.


Inilah pilihanNya. Sofea akan bersekolah di sebuah sekolah persendirian yang dikendalikan oleh orang Mesir. Kesemua para pelajar berbangsa Arab dan hampir keseluruhannya berasal dari Mesir. Bahasa pengantarnya Arab dan English.


Roza kelihatan sangat gembira. Bilangan pelajarnya di sekitar 15 orang sekelas. Guru-guru sekolah menyambut beliau dan Sofea seumpama menghantar Sara dan Azrai di sekolah Hirael, North Wales, 11 tahun yang lampau.


Mereka – Sara dan Azrai – satu-satunya pelajar Malaysia yang menuntut di sana. Sekejap sahaja Sara dan Azrai berkawan dengan anak-anak Wales. Bonus, mereka mampu bercakap English dan Welsh. 


Kini, sejarah berulang kembali. Kami campakkan Sofea berseorangan di dalam kelompok orang-orang Arab. Bekiau tidak berpeluang untuk bercakap Melayu.


Dan silibus diajar berdasarkan sistem pendidikan Mesir.


Mudah-mudahan, ketika umurnya 15-16 tahun, dapat pula kami menghantarnya ke Mesir. Ia jalan yang telah diterokai oleh orang Malaysia di Yanbu'.


Paling penting, kami mahu beliau mahir, fasih dan hebat berbahasa Arab. Lain-lain tidaklah terlalu mustahak.


Di sebelah petang, Sofea akan menghafaz al-Quran di Masjid Nabawi. Oooo… itulah harapan dan impian ayah dan ibu. Ia juga satu doa!


Sofea tersengeh bila pulang. Alhamdulillah, ia serasi. Kata Sofea, "Aisyah bantu Sofe," kawan pertama di bumi Arab.


Tiada Tetamu


Malam rehat.


 Barang dapur habis. Jadi kami tidak menerima sebarang tetamu. Ia malam untuk shopping bagi memenuhi stok makanan. Ia juga hari untuk membeli keperluan Sofea ke sekolah.


Siapa yang boleh membantu kami shopping?


Akhirnya, saya dan Roza menapak ke supermarket yang paling hampir. 10 minit berjalan. Satu troli penuh nilainya 607 Riyal. Setanding Malaysia. Bezanya nilai Riyal 20% lebih rendah dari RM. Maksud kami, dengan jumlah yang sama, harga barangan di Saudi lebih murah 20%.


Malam nanti kami akan menerima 5 tetamu, InsyaAllah!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 15, 2011 10:24

October 14, 2011

Kebaikan

Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu


Itulah terjemahan ayat 148, surah al-Baqarah. Alhamdulillah, ramai di kalangan pembaca KRTS yang berlumba-lumba mencari kebaikan. Apabila saya melancarkan Tabung KRTS untuk Baitul Ehsan, saya meletakkan sasaran RM15000, belanja bulanan yang perlu dikeluarkan untuk mengurus anak-anak yatim, anak-anak yang dibiarkan dan anak-anak fakir miskin.


Alhamdulillah, dalam tempoh 48 jam sasaran RM15,000 tercapai. Masa yang singkat menggambarkan bagaimana ramainya khalayak KRTS yang berlumba-lumba mencari kebaikan. Ia sangat-sangat sesuai dan relevan sebagaimana yang dinyatakan Allah melalui ayat di atas.


Hari ini, saya menutup projek ini dengan jumlah terkumpul RM26170, jauh melebihi daripada apa yang saya harapkan. Begitulah, ia rezeki anak-anak Baitul Ehsan yang dianugerah Allah.


Semalam – ibu Aizzat – menghubungi saya. Beliau yang menguruskan Baitul Ehsan. Sebak suaranya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas sumbangan yang telah diberikan. "Hanya Allahlah yang membalas budi baik kalian".


Membuat kebaikan sesuatu yang sangat menarik. Pengalaman sendiri mengajar saya sesuatu. Misalnya, jika kita melakukan kebaikan, lakukan kebaikan itu semata-mata kerana Allah. Malah, jangan pula kita menyangka kebaikan yang kita lakukan kepada seseorang menyebabkan orang itu yang akan melakukan kebaikan kepada kita.


Alahai…. jangan mengharap begitu!


Namun Allah sudah menjanjikan ganjaran. Khabarnya berganda!


Saya melihat kebesaran Allah melalui kebaikan yang dilakukan oleh pelbagai pihak kepada kami sekeluarga. Misalnya, saya masih belum mempunyai lesen dan kenderaan. Kami perlu berjalan hampir 200 meter ke jalan utama untuk menunggu teksi bagi membawa kami ke Haram.


Khamis lepas saya memberi kuliah di sebuah hotel. Apabila turun rumah saya berdoa, "ya Allah mudahkanlah urusan ku, mudah-mudahan adalah teksi yang melintas di sini…"


Beberapa langkah berjalan, sebuah kereta muncul dan bertanya, "Haram… Haram?". Ia bukan teksi tetapi barangkali "kambing" istilah pelajar Melayu Malaysia di sini bagi kereta sapu.


Bila sampai di Haram saya bertanya, "Kam? (berapa?)"


Beliau mengeleng-ngelengkan kepala sambil mengangkat tangan seolah-olah menyatakan yang ia lakukan semata-mata kerana Allah. MasyaAllah, Subhanallah, Allah hu Akbar.


Saya memohon kepada Allah agar ada teksi melintas tetapi Allah memberi lebih daripada itu.


Bila pulang dari Yanbu' (di sekitar jam 10 pagi), saya mahu bersegera ke Haram kerana ingin menunai solat Jumaat. Adalah sesuatu yang saya mohon dari Allah tetapi tidak dimakbulnya. Mudah…. Dia mahu memberi sesuatu yang lebih baik!


Ketika berjalan ke arah jalan utama. saya mengajar Amirul, "Amirul, mohon pada Allah agar ada teksi yang lalu ke sini. Tidak payahlah kita berjalan". Saya berdoa, Amirul berdoa dan sekejap sahaja sebuah kereta muncul. Juga, ia seperti seekor "kambing".


Bila sampai di Haram – juga – beliau mengangkat tangan, "semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah".


Semalam juga, sepasang tetamu – Ghazali dan Isteri – mahu bertemu di Haram selepas solat Jumaat. Beliau mengajak saya "minum-minum kopi" kerana – agaknya – seronok berjumpa dengan penulis buku yang telah beliau baca.


Saya membuat panggilan kepada Roza, "Yang, boleh saya bawa dua tetamu ke rumah," takut-takut Roza tidak bersedia. Saya tahu Roza akan memberi jawapan yang standard, "datanglah, kita makan apa yang ada…."


Inilah pertama kali saya membawa tetamu pada waktu begini. Saya tidak mahu mengganggu solat lima waktu mereka di Haram. Bila tiba 2.50 petang saya nyatakan kepada Ghazali, "Kita kena beredar, 3.30 Asar. Kita berjalan ke jalan utama untuk mengambil teksi".


Sambil turun rumah saya menceritakan kisah "kambing-kambing" yang telah membantu saya dan Amirul. Kemudian saya terus menyebut, "Ya Allah permudahkanlah kami, mudahkanlah kami untuk ke Haram…."


Benar, sebuah kereta melintas dan kami berempat di bawa ke Haram oleh seorang pemuda Syria yang sangat kacak. Benar juga, beliau mengangkat tangan dan berkata, "semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah".


Saya jangka isteri Ghazali sebak dengan peristiwa ini. Beliau berkata, "Ya Allah, kita baru bercerita kisah ini, ia benar-benar berlaku".


Saya mohon keampunan Allah kerana menceritakan "nikmat-nikmat" yang telah DIA anugerahkan. Maka "nikmat mana lagi yang hendak engkau dustakan".


Tetamu di Jabal Ohud


Inilah Ghazali dan isteri. Ghazali merupakan anak kepada Profesor Dr Juhari Samidi, guru, ketua dan rakan saya di UiTM. Antara saya dan Prof Dr Jo dipisahkan hampir 20 tahun usia.


Namun hubungan kami sentiasa rapat. Kini, anak beliau yang hampir seusia menjadi kenalan baru.


Pasangan Ghazali dan isteri


 Di sebelah malam, kami menerima sepasang lagi tetamu – Cikgu Razak Adam – penulis PTS yang telah menghasikan banyak novel. Beliau berasal dari Seremban, Negeri Sembilan.


Alhamdulillah, suka saya menyampaikan tazkirah hampir sejam kepada beliau dan isteri. Bahasa badan menunjukkan mereka benar-benar menhayati apa yang telah saya sampaikan.


Cikgu Razak penulis PTS dan isteri


Menu di sebelah malam, Nasi Briyani Bombay Massala – rempah kiriman Puan Kamarjan dari Brunei – dan Pulut Santan Mangga, hasil tangan Chef Travelog Masakan.


Briyani Bombay Massala menggunakan Long Grain Indian basmathi


Pulut santan Mangga Madinah, saya sangat-sangat suka!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 14, 2011 19:17

October 13, 2011

Yanbu'

 


Wanita Yanbu' bergambar dengan Roza


Ia bandar minyak Arab Saudi. Letaknya hampir 2-3 jam  perjalanan dari Madinah.


Penduduk Malaysia di sini menghampir 300 orang. Ia jumlah besar yang memungkinkan ada di antara mereka tidak kenal mengenali di antara satu sama lain.


Lalu usrah menjadi medan pertemuan buat mereka. Semalam saya telah diundang untuk menyampaikan tazkirah bagi sesi usrah. Sebelumnya, saya menyampaikan motivasi haji buat kumpulan yang sama di majlis yang berbeza.


Ia 3-4 jam yang dirindui!


Peristiwa Bergambar


Kuliah dhuha di Royal Dyar bagi Jemaah Haji Malaysia di Madinah


Roszana Tapsir dan suami


 


Tetamu Jabal Ohud


Giliran tiga pasangan, dua orang Besut, satu Shah Alam

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 13, 2011 12:34

October 12, 2011

Doa buat Nazhatulshima Nolan

Shima dan Adib, pasangan suami-isteri berjiran dengan kami di Segamat. Shima pula merupakan rakan sejawat di UiTM Segamat dan sedang melanjutkan pelajaran di peringkat PhD. Juga, saya merupakan supervisor kedua beliau.


Bidang pengkhususan beliau adalah English.


Mereka sedang diuji Allah. Shima dikhabarkan diserang stroke dan berada di hospital Segamat. Kami di sini mendoakan beliau cepat sembuh agar bencana badan yang diuji Allah tidak berbekas lagi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 12, 2011 20:51

October 11, 2011

Sumbangan untuk Anak Yatim Baitul Ehsan

Setiap tahun, kami – saya dan Roza – menguruskan sumbangan untuk anak-anak yatim di Daerah Segamat. Tahun ini – dengan izin Allah – kami ditemukan dengan BAITUL EHSAN, tempat hampir 60 anak-anak yatim berteduh.


Ia bertempat di Taman Maluri, Kuala Lumpur. InsyaAllah, kami berhajat untuk mengumpul RM15000 bagi menampung kos 1/12 bulan. Marilah kita menyumbang untuk Tabung KRTS Baitul Ehsan. Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank, 562106211166. Sila tulis Tabung KRTS Baitul Ehsan.


Jika sudi – untuk rekod – sila e-emel (tidak wajib) kepada muhdkamiltaibah@gmail.com atau SMS +966590070317 tulis nama dan jumlah sumbangan.


Allah hu Akbar!


Update : Jumlah sumbangan sehingga jam 2.55 pm (waktu Saudi) RM5345

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 11, 2011 22:44

Isteri Madinah

Apalah seronoknya berada di Madinah buat seorang isteri?


Ainon Mardhiah, seorang isteri pelajar Madinah. Beliau hafizah lulusan Mesir. Mempunyai seorang anak.


Di sini, amat jarang wanita berjalan berseorangan. Apatah lagi untuk berlegar-legar di mall tanpa kehadiran suami atau mahram. Tiada langsung wanita yang memandu. Ia satu larangan.


Hampir keseluruhan wanita Madinah berpakaian hitam. Berstokin. Bila keluar rumah, mereka menutup mulut dan hidung.


Ia kelihatan membosankan.


Realitinya? Wajah beliau sangat bercahaya.Tutur kata beliau menggambarkan begitu. Agaknya, hidup di Madinah penuh kerberkatan. Suasananya begitu. Rasa saya.


Misalnya, saya selalu menyebut di Malaysia, "apakah tanda pakaian seorang wanita sudah sempurna? Mudah sahaja, apabila masuk masjid atau di mana-mana sahaja kita boleh terus solat"


30 hari di sini – hidup di Tanah Haram – mata saya tidak melihat aurat wanita. Namun beberapa hari yang lepas, kami berseminar di sebuah hotel di tanah halal. Masuk sahaja ke lobi, mata terus tertangkap kepada wanita-wanita yang kelihatan sangat asing. Aduh….


Begitulah, wanita berbaju hitam di Malaysia kelihatan sangat asing, di sini wanita yang tidak berbaju hitam kelihatan janggal. Sekurang-kurangnya di mata saya.


Hitam, putih, kelabu, hijau atau lain-lain warna adalah nikmat kurnian Allah yang terpancar pada pakaian. Soalnya, apakah pakaian itu sudah sempurna?


Bila tetamu berkunjung ke rumah, Roza sering bertanya tetamu wanita, "Di sini kita bersungguh-sungguh menjaga aurat, jaga rambut, jaga kaki dan jaga segala-galanya. Masih mahukah kita memakai kebaya bila pulang nanti? Masih sanggupkah kita memakai kain terbelah betis? Kenapa di lapangan terbang sudah membuka stokin?"


Saya mengerti kenapa Ainun damai di sini.


PAK TEH DAN MAK TEH


Ainun, Roza, Mak Teh, Anak saudara Pak Teh dan Pak Teh


Hari ini tiba giliran Pak Teh dan Mak Teh berkunjung ke rumah kecil di Jabal Ohud. Inilah mak saudara Roza di sebelah abah. Mak Teh mempunyai peranan atau watak signifikan melalui Travelog Cinta Abadi.


Jadi, terpancar wajah seronok Roza menyambut mak saudara yang satu ini.


Mudah-mudahan – kami doakan – mereka mendapat haji yang mabrur!


Hukum Qisas


An-Nisaa ayat 92 beraksud:


 Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka (wajiblah dia membayar kaffarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar "diat" (denda ganti nyawa) yang diserahkan kepada ahlinya (keluarga si mati), kecuali jika mereka sedekahkan (memaafkannya)


Kawasan rumah kami tempat perlaksanaan hukum Qisas. Semalam, seorang pesalah dipancung. Saya dimaklumkan tetapi – alahai – tidak dapat hadir untuk menyaksikan sendiri bagaimana ia dilaksanakan.


Saya mepunyai kelas!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 11, 2011 18:40

October 10, 2011

Hari yang penuh cabaran

Akhir sekali saya tersenyum.


Benar sekali, "di sebalik kesusahan akan ada kemudahan".


Pagi-pagi lagi saya ke sebuah bank untuk membuka akaun. Nanti, gaji saya akan terus dibank-inkan ke akaun ini. Di Malaysia, bank memanggil-manggil pelanggan. Di sini berbeza.


Sebelum melangkah masuk, hati berdoa-doa agar Allah permudahkan.


"Lihat, inilah senarai pelanggan yang mahu membuka akaun. Ia mengambil masa 3 bulan untuk saya proses," kata pegawai perhubungan pelanggan. Saya beredar. MasyaAllah, tiga bulan lagi barulah saya dapat membuka akaun.


"Kenapa?," tanya pemandu saya. Lalu saya bercerita dengan apa yang saya perolehi. Alahai… ia ulangan kepada apa yang berlaku kepada rakan seuniversiti. Tiga kali beliau ke bank untuk membuka akaun.


Haji Ayub – pemandu – membawa panggilan. Kemudian beliau menerima panggilan. Lalu beliau membawa saya ke sebuah bank lain, terus berjumpa dengan pengurus cawangan.


"Dr, ini surat pengesahan universiti yang salah. Di sini tiada butir-butir gaji dan sebagainya," beliau menerangkan dalam bahasa Arab. Saya agak begitu. Beliau meminta saya datang kembali di sekitar 2.00 petang.


Alahai… pulanglah saya ke universiti. Bergegas ke bahagian perjawatan memohon surat pengesahan dan butir-butir kewangan yang bakal saya perolehi. Ia selesai dalam tempoh sejam.


Allah hu Akbar - di bank – saya dimaklumkan yang nama saya di iqamah – permit kerja – tidak sama dengan yang ada di pasport. Nama saya MUHD tetapi di dalam iqamah MOHD (Arab). Nama saya di pasport KAMIL tetapi di dalam iqamah KAMAL (Arab).


Dalam keadaan biasa  – kemungkinan besar – saya akan diminta pulang.


Tiba-tiba pegawai tersebut berkata,


"Saya suka Malaysia. Penang, Jalan Bukit Bintang……"


Akhirnya ia menjadi sejarah. Membuka akaun bank mengambil masa 2 jam. Saya memperolehi kad ATM serta merta. Saya sempat mengambil foto pegawai tersebut dan beliau berkata, "call saya jika ada masalah".


Subhanallah, Subhanallah, Subhanallah… bagaimana Allah membantu hambaNya tidak terfikir dek akal manusia hatta hanya untuk membantu membuka akaun bank.


Di Haram, saya menyampaikan tazkirah haji kepada beberapa orang jemaah. Tiba-tiba datang jemaah yang lain bersalam. Saya cuba mencari mata beliau. Beliau bersalam tetapi tidak bertentang mata.


Beliau beredar dan saya terus berkata kepada jemaah yang lain, "kalau hendak bersalam pandanglah mata…."


Alahai… kenapalah mulut saya begitu jahat sekali. Tidak perlulah membebel – serta merta – kepada jemaah yang lain. Sepatutnya saya berkata ketika bersalam, "siapa nama?," sudah pasti mata beliau akan berpandangan dengan mata saya.


Saya mohon keampunan Allah!


Tetamu Rumah Kecil di Jabal Ohud


Suhaimi dan isteri dari Shah Alam


Isa dan isteri. Kita dah jumpa prof.... tapi prof tak ingat saya.


Mereka anak-anak muda yang bakal melangkah ke usia 40 tahun. Isteri masing-masing nampak muda-belia. Katanya "saya anak murid Prof". Ketika mahu beredar beliau menyebut, "minta maaf prof jika dulu saya ada mengutuk prof".


He… he… he…. "Sahlah ni, Ayu pernah mengutuk saya…."


Tidak mengapa. Dalam hidup saya memang ada menerima kutukan. Jika kita ingin melakukan kebaikan, pasti ada tentangan. Apatah lagi jika kita melakukan kesilapan atau kesalahan.


Saya pernah menjadi ketua jabatan. Emmm… sudah pasti ada yang tidak gemar dengan tindakan-tindakan yang saya lakukan. Saya juga menulis. Bukan semua menyukai tulisan-tulisan ini.


Baik bagi kita, salah bagi orang. Kita bergurau, orang kata mengutuk. Kita memberitahu, orang kata menunjuk. Dan, kita hanya manusia biasa, sentiasa ada kelemahan.


Malam tadi Roza membuat percubaan pertama memasak nasi Maqlubah. Kata Roza, "TAK JADI". Tetamu kami tidak tahu yang ia tidak seperti yang kami harapkan. Namun mereka sangat berselera.


Nama nasi ini ditukar kepada "Nasi Bukhari".


Nasi Maqlubah Tak Jadi

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 10, 2011 19:10

October 9, 2011

Pak Long, doa dan anjing gemuk

Nasi Maqluba, Mi, Samosa dan manisan dari Mak Long


1964, saya dilahirkan di Bintang, Besut, Terengganu. Pak Long yang berasal dari Kedah tiba di Mekah menggunakan visa haji. Namun yang tersirat beliau mahu menuntut ilmu di Mekah.


Akhirnya, beliau berguru di Mekah dan Madinah. Menetap dan bekerja di Madinah. Diam-diam, ia selama usia saya, 47 tahun.


"Pak Long, saya mohon nasihat Pak Long. Saya mahu terus menetap di Madinah. Apa yang harus saya lakukan," saya melaksanakan apa yang saya pelajari. Orang tua perlu dihormati, ilmu mereka harus diamati dan pandangan hati, diperhatikan.


Wajahnya yang tenang, tutur katanya yang berhati-hati membuka hati sanubari saya untuk mendekati dan mengamati apa yang beliau tuturkan.


"Laksanakan amanah yang diberikan dengan bersungguh. Lakukan kerana Allah," jawapan ringkas yang biasa-biasa. Namun saya terasa apabila ia bersambung dengan kisah hidup beliau.


"Saya bekerja dengan orang Arab. Beliau percayakan saya. Saya menguruskan harta perniagaannya yangg bernilai berjuta-juta ringgit. Apabila orang Arab ini meninggal, beliau wakafkan banyak harta bendanya. Salah satunya, rumah ini. Beliau wakafkan kepada kami sekeluarga".


Keikhlasan kunci segalanya. Ikhlas kepada Dia yang memberi segala rezeki.


Kisah beliau berguru di Mekah juga menarik.


"Ada seorang guru yang kelihatan sangat kasar apabila beliau menyampaikan ilmu. Namun sampai sekarang ia melekat di hati sanubari. Misalnya, apabila orang meminta supaya guru berdoa, beliau berkata…. anjing tidak pernah meminta orang lain berdoa kepadanya. Dia berdoa sendiri kepada Allah. Tuhan bagi dia gemuk juga".


Sangat tajam dan dalam maknanya. Ia melibatkan soal akidah yang sangat tinggi.


"Pak Long, perbandingan antara manusia dengan anjing sangat dalam maknanya. Manusia kelihatan lebih mulia berbanding anjing. Namun banyak perbuatan kita tidak menggambarkan begitu, ……." spontan saya menyatakan pandangan.


"Prof berjaya menghuraikan satu kenyataan ringkas dengan panjang lebar," beliau tersenyum memandang Aziz, pelajar di Madinah yang membawa saya ke rumah Pak Long.


Pak Long menyambung bicara, "guru tersebut mengajar bagaimana mahu berdoa…. itu yang lebih penting!".


Ketika berceramah, saya sering menyebut tentang doa, mengajak khalayak berdoa dengan mempercayai yang Allah itu sangat hampir jika kita hampir dengannya. Malah satu hadis (direkod oleh Bukhari dan Muslim) yang melekat di hati ialah tentang janji Allah kepada manusia,


Allah SWT turun ke langit dunia, ketika 1/3 malam masih tersisa, Allah menyeru:


 "Adakah antara hambaKu yang berdoa kepadaKu, supaya aku mengabulkan permintaannya? Adakah antara hambaKu yang meminta ampun kepadaKu, supaya aku mengampuninya? Adakah antara hambaKu yang meminta kepadaKu, supaya aku memenuhinya?"


Belajarlah bangun malam. Itulah yang patut dilakukan agar ia menjadi amalan yang berterusan. Apa yang saya pelajari melalui Pak Long bukanlah soal "boleh atau tidak" menyuruh orang lain berdoa tetapi ia lebih kepada isu untuk menjadi manusia yang lebih baik di sisi Allah.


Ia soal keyakinan mutlak kepada kekuasaan, kebesaran, kasih sayang dan rahmat Allah kepada hambaNya. Ia satu fasa penting dalam hidup manusia menuju ke alam hakiki.


Tetamu dari UiTM Johor


Ustaz Sidek dan isteri bersekali dengan Haji Razali dan Isteri (Kelantan) merupakan tetamu Allah terbaru yang kami raikan. Ustaz Sidek adalah rakan sejawat di UiTM Johor. Manakala Haji Razali dan isteri merupakan pembaca buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Imam.


Hajah Halimaton – isteri Haji Razali – bercerita,


"Di bilik, kami bergilir-gilir membaca buku 50 Tip Motivasi Haji… rakan-rakan sebilik saya semua kirim salam". Alahai… saya sangat simpati dengan rakan-rakan sebiliknya yang tidak dapat turut serta.


Ustaz Sidek dan Haji Razali. Malu saya apabila memberi tazkirah kepada Ustaz. Hari ini saya yang berselera.


Zaujah: Lembutnya wajah-wajah tetamu Allah ini


 Chef Travelog Masakan mencipta resepi Lemon Cheese Nak-Nak. Saya sangat suka…..


Ia resepi asli Roza. Tiada dalam mana-mana buku resepi.. agaknya!


Kemudian, malam tadi diakhiri dengan teh pudina dan Triffle Kurma, resepi dari Madinah.


Triffle Kurma....

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 09, 2011 19:02

October 8, 2011

Tetamu dari Riyadh

Hujung minggu di Malaysia.


Saya pula dipaksa berkursus di Hotel selama 5 hari. Bermula jam 4.30 petang hinggalah 8.30 malam. MasyaAllah, terlepaslah solat di Haram. InsyaAllah, solat berjemaah bersama rakan sekursus tetap diteruskan.


Jumaat merupakan hujung minggu di sini. Saya berada di Haram bermula jam 10.40 pagi. Sempat juga menyampaikan tazkirah kepada pasangan anak dan bapa mertua selama sejam. Alhamdulillah, saya fikir ia sangat lancar dan menepati apa yang ingin saya sampai.


"Pak cik, umur pak cik sudah 60 tahun lebih. Masa berbaki sangat suntuk. Apa lagi yang kita kehendaki? Biarlah ibadat haji kita menjadi sempadan perubahan iman. Kita perlu menjadi manusia yang lebih baik. InsyaAllah ia boleh dilaksanakan," saya sendiri mengalirkan airmata.


Saya benar-benar bersungguh menyatakan perasaan apatah lagi setelah melihat sendiri jemaah Malaysia yang sibuk membeli belah walaupun masa solat tidak sampai pun setengah jam. 


Airmata mengalir melalui kelopak mata. Pak cik mengesatnya dengan hujung jari. Dan sebelum berpisah, saya peluk beliau serapat mungkin sambil berkata, "saya mohon maaf pak cik jika terkasar bahasa, saya doakan pak cik dan keluarga dianugerahkan haji yang mabrur". 


Berlalu sehari lagi yang bermanfaat.


Usai solat Jumaat, saya menerima kunjungan Dr Rahim dan isteri (Dr Fariza) serta beberapa pelajar dari Universiti Madinah. Dr Rahim – saya anggap – seorang sahabat yang tidak pernah ditemui.


Kami sering berhubung melalui SMS, e-mel dan telefon. Namun kami tidak pernah bersua muka. Beliaulah yang menguruskan beberapa perkara yang memudahkan kedatangan saya ke Madinah.


Terima kasih Doc!


Dr Rahim (dua dari kanan) bersama pelajar dari Universiti Madinah


Mereka menerima hidangan istimewa daripada Chef Travelog Masakan: Ia Bukan Sekadar Resepi.


Pertama, ayam briyani dimakan dengan roti Arab berserta salad kentang (tiada dalam gambar, tidak sempat dirakamkan kerana ia selesai dimakan tanpa berbaki).


Kedua, Lasagna yang sangat istimewa.



Travelog Masakan: Lasagna dari Madinah


Ketiga, Coklat Cheese Puding, rupanya buruk tetapi sangat sedap…. he… he…



Travelog Masakan: Puding Coklat Keju


Akhir sekali, Tart Telur Madinah,


Travelog Masakan: Tart Telur dari Madinah

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 08, 2011 09:01

October 7, 2011

Berbual

Haram ke rumah kecil di Jabal Ohud.


Saya selamat sampai. Itulah perjalanan bersendirian menggunakan teksi.


"Assalamualaikum, Haiya Kallah, Sulk Mandarin. Baladiya Ohud.." bermaksud "Pasar Mandarin di kawasan bandaran Ohud", sebutan pertama kepada pemandu teksi.


Beliau memahami.


"Kam?" bermaksud "berapa?"


Beliau menyebut SR30.


"Ana min Malasie, AskunFil Madinah, SR20″ bermaksud "Saya dari Malaysia tetapi menetap di Madinah, SR20″.


Beliau bersetuju.


Di dalam kereta saya sambung perbualan, "Ismi Muhd Kamil, Ana Ustaz, Jami'ah Taibah" bermaksud "Saya Muhd Kamil, saya profesor di Universiti Taibah".


Lalu beliau menjawab, "MasyaAllah".


Bagi mengisi masa saya bertanya, "Zaujah, wahid, Ithnin?", ia soalan kegemaran lelaki.


"MasyaAllah, MasyaAlah… wahid… wahid…," beliau tersenyum. Alahai, Arab atau Malaysia soal isteri dua memudahkan perbualan. Lalu saya bertanya lagi, "Ibni, binti?, Ana Arbaa, binti, ibni, ibni, binti.."


"MasyaAllah… tertib.. tertib, alhamdulillah, Ana tis'ah," beliau mengangkat tangan sambil menunjukkan jarinya. Memang kebanyakan Arab mempunyai anak yang ramai.


"Bila sampai di pasar Mandarin, saya menyebut, "Ammam, Ammam, Ala-Tur", maksudnya "depan-depan, terus". Bila sampai ke simpang saya menyebut, "Yamin, Yamin" bermaksud "Kanan, kanan".


"Ala-Tur"


"Ya'sar" bermaksud "Kiri".


"Yamin"


"Yamin"


"STOP – STOP"


"Maa salamah", "sehingga bertemu lagi".


He… he… saya sampai di rumah!


(Abaikan ejaan… ini perbualan untuk survival""


Kalaulah boleh berbahasa Arab dengan gaya begini…….


Perbincangan bersama VC UiTM dan Dekan College of Business, Universiti Taibah, Dr Adnan Alamasi.


Wah makin semangat, sudah jadi orang Arab!


Khalas, khalas, khalas... maksudnya selesai, finish, habis, bantailah labu....

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 07, 2011 20:03

Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.