Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 41
November 16, 2011
Kesedihan
Panggilan terakhir beliau, "saya tidak dapat jemput Dr, saya ada masalah".
Saya tidak bertanya. Saya fikir ia masalah biasa-biasa. Dan saya pula tidak bermasalah untuk pulang kerana ramai yang boleh saya tumpang.
Allahu Akbar, malamnya saya mahu memohon bantuan supaya beliau dapat menghantar jemaah haji pulang ke hotel. Telefonnya tidak berjawab. Tiada nada dering. Ia tidak pernah berlaku.
Pagi semalam, anak-anak menunggu untuk ke sekolah. Beliau tidak muncul-muncul. Saya cuba membuat panggilan tetapi tiada nada dering.
Allahu Akbar, kemudian isteri beliau muncul di rumah. Saya sudah tahu ada sesuatu yang besar berlaku.
"Ayub ditahan polis. Dia melanggar lampu merah. Saya rasa mereka akan menghantar Ayub pulang ke Sudan. Dia di penjara".
Saya tidak tahu yang melanggar lampu merah kali pertama hukumannya seminggu penjara. Kali kedua, 3 bulan penjara. Kali ketiga – jika rakyat asing – mereka boleh dihantar pulang.
Agaknya, jika undang-undang ini dikuatkuasakan di Malaysia, sayalah yang acap keluar masuk penjara.
Saya selalu berpesan kepada adik-adik kami yang sedang menuntut di Madinah, ikut peraturan Arab Saudi. Mereka mungkin tidak mengambil tindakan atas kesemua kesalahan. Namun bila sampaimasanya, mereka boleh mengambil tindakan. Dan kita dipihak yang bersalah.
Jika undang-undang berkata, "sebagai pelajar tidak boleh berniaga, usahlah berniaga". Kita berada di negeri asing. Allahu Akbar!
Ia ujian yang ada hikmahnya. Saya doakan agar Ayub dipermudahkan.
November 15, 2011
Hampir

Pelajar saya di Madinah. Biar melekat di hati
Mereka sebahagian pelajar saya di Madinah.
Semalam, saya melayani mereka sebagai tetamu makan malam. Saya katakan, "jika tidak suka, jangan paksa diri. Ketepikan. Kita ada 7 hidangan yang akan dimakan satu persatu. Ada pelbagai yang mung kin sesuai dengan tekak orang Arab Saudi".
Lalu kami mulakan dengan minum jus daripada kedai di sebelah rumah. Hidangan pertama Bee-hoon goreng. Riyadh (paling kanan, paling rugged), hanya makan semulut sahaja. Perhatikan muka masing-masing yang gagal menerima makanan tersebut.
OK – Fail!
Pusingan kedua, masakan Itali – White sauce Pasta. Separuh OK, separuh tidak. MasyaAllah…. payahnya mereka menerima makanan luar.
Pusingan ketiga, ini yang dihidangkan.

Nasi Arab Malaysia
Barulah mereka bersorak!
Kemudian, Roza menghidangkan dua jenis kuih – saya sendiri tidak tahu nama – yang kelihatan menarik. Kuih hijau diberi oleh sahabat Malaysia di sini. Manakala yang coklat dibakar oleh Roza.
Usai makan-makan, saya memberi tazkirah selama 1/2 jam. Kini – InsyaAllah – mereka sangat hampir dengan saya. Saya rasa begitu. Rasa hampir inilah memudahkan saya untuk menyentuh hati-hati mereka.
Malaysia atau Madinah, pendekatannya serupa. Ia tidak berbeza! Lakukan semata-mata kerana Allah!
November 14, 2011
Apa kata mereka?
Alhamdulillah.
Saya sudah mula menerima pandangan mereka yang telah membaca manuskrip Travelog Kehidupan: Menghadapi Ujian.
Ketika saya menyebut di dalam entri sebelumnya yang saya hanya menunggu "apa kata mereka" sebelum manuskrip di hantar ke penerbit, beberapa khalayak pembaca KRTS mengirim e-mel menawarkan diri.
Kesemuanya saya terima. Terima kasih. Mereka yang memohon akan bekerja 24 jam membantu saya. Misalnya saudara Jamsari dari UKM - pembaca pertama – yang telah menghantar komen.
Ia komen yang sangat menarik. Bukan tentang isi buku tetapi analogi 1.51 jam yang dikemukanya. Terima kasih Pak cik Jam (nama manja beliau di KRTS, sudah lama beliau tidak berkomunikasi di sini. Saya tahu beliau juga sedang menghadapi ujian!)
Apa kata Pakcik Jam
Alhamdulillah kerana saya diizinNya untuk membaca dan mengulas manuskrip Travelog Kehidupan: Menghadapi Ujian. Ia satu penghormatan yang sangat-sangat saya hargai.
Prof MKI menggarap liku-liku kehidupan beliau sehingga menyentuh perasaan. Anekdot kisahnya tersurat seputar kehidupan beliau namun pengajarannya bersifat sejagat. 30 bab yang disusun melalui travelog kehidupan yang kita sama-sama tekuni ini sebenarnya menerobos jauh ke dalam jiwa dan hati sendiri.
Hakikatnya, setiap daripada kita menghadapi ujian yang seumpamanya. Enaknya, Prof MKI berjaya menjalin kisah-kisah ujian ini beserta panduan dan pedoman santai yang bersumberkan al-Quran dan Hadith terpilih. Saya yakin – insyaallah – ia boleh memberi kesan kepada mereka yang berlapang dada.
Intipati ayat 47 surah al-Hajj sangat menarik. Allah SWT menegaskan bahawa sehari di di akhirat seumpama 1000 tahun di dunia. Sebagai contoh, purata hayat umat Nabi Muhammad SAW di sekitar 63 tahun bersamaan 1.51 jam tempoh masa di akhirat.
Kira-kiranya, ia waktu ujian peperiksaan standard di Malaysia. Melihat dengan mata hati, tempoh kehidupan di dunia seolah-olah kita sedang menduduki satu ujian sahaja. Ujian tersebut – saya fikir – hanyalah untuk mengetahui sama ada kita ke syurga atau ke neraka.
Ia perjalanan yang sangat singkat.
Jamsari Alias
Universiti Kebangsaan Malaysia
Jemaah Malaysia Mula Tiba
[image error]
Berbuka puasa di Haram
Hampir dua minggu wajah-wajah jemaah Malaysia tidak kelihatan. Semalam, Haji Roslan dari Setiawangsa membuat panggilan, "saya mahu jumpa Prof".
Wah…. saya maklumkan kepada Chef, "Yang, awak kena masuk dapur balik….". Lalu malam tadi kami terus ke pasaraya Mandarin untuk bersiap sedia menyambut tetamu yang bakal tiba.
Itulah salah satu keseronokan berada di Madinah menyambut tetamu yang girang untuk bertemu muka.
Di Haram, Roslan menyatakan kepada saya, "benar prof, saya terasa apa yang prof ceritakan. Nikmat berbuka di Masjid Nabawi". Allahu Akbar, itulah ajakan pertama saya kepada jemaah yang berkunjung ke Madinah, 2-3 minggu yang lepas.
Rasalah berpuasa tahap 3, InsyaAllah!
November 13, 2011
Prolog Travelog Kehidupan: Menghadapi Ujian

Mengadap Jabal Ohud. Di hadapan rumah kami.
Seluruh kehidupan adalah ujian Allah. Jika apa yang kita lakukan – rasmi atu tidak rasmi – mendekatkan diri kepada Allah dengan menyembah dan beramal ibadat kepadaNya, insyaAllah kita akan lulus ujian tersebut.
Saya terkenang seorang berkuasa menyatakan kepada saya, "prof nanti ada seseorang yang akan berjumpa dengan prof, tolong bantu beliau untuk mendapatkan kontrak XYZ. Nanti saya usahakan prof disambung kontrak pengarah kampus". Dengan lemah lembut dan tersenyum saya nyatakan,
"Tuan Haji, saya minta pertolongan jangan sambung kontrak saya. Saya merayu supaya tidak ditolong. Saya tidak minat jadi pengarah kampus. Saya tidak sanggup berdosa. Cukup Tuan Haji, sejak balik dari menunaikan fardhu haji, saya tidak fikir saya mahu balik semula pada zaman lampau saya".
Beliau beredar dan sehingga ke hari ini beliau tidak lagi saya temui. Saya tahu dengan jelas bukan beliau yang memberikan rezeki kepada saya dan keluarga.
Begitulah, saya didatangani oleh seorang ustaz yang mengharapkan pertolongan agar anaknya diterima masuk sebagai staf UiTM. Jawatan kerani. Pagi-pagi lagi beliau sudah muncul di rumah. Lalu saya dengar dengan teliti tujuan kedatangan beliau dan dengan nada perlahan saya berkata,
"Ustaz, boleh saya bertanya satu soalan? Jika ada 4 calun yang ditemuduga, katalah anak ustaz yang paling teruk sekali, tidak berkelayakan, maka jika saya memberi markah yang tertinggi kepadanya, adakah saya berdosa? (Nota: beliau memberi jawapan, "berdosa"). Sanggupkan ustaz menyuruh saya melakukan dosa?"
Saya sebak di hadapan beliau. Dalam sebak inilah saya nyatakan kepada beliau, "ustaz, saya mungkin mempunyai sedikit kuasa tetapi kuasa Allah lagi luas dan tidak terperi hebatnya. Saya tidak mahu berdosa. Tolonglah saya ustaz untuk tidak melakukan dosa. Ustaz orang beragama. Ustaz orang pandai. Saya orang bodoh, jahil dan tidak berilmu".
Beliau meninggalkan rumah saya tanpa berkata apa-apa.
November 12, 2011
GMC, Chevy dan akhirnya ini…..
Ia sudah dibayar deposit SR40000

7 seaters
Harganya SR110,000 kurang lebih RM91,300 di atas jalan. Ia harga tunai.
Semalam – saya dan Roza – bersama Ayub berada di bilik pameran United Motors. Ia keputusan seminggu yang lepas selepas mengambil kira pandangan mereka yang telah menggunakan GMC Acadia.
Akhirnya kami memilih Durango Dodge, pengeluar kereta Jeep, Chrsyler dan Ram. SR40000 telah kami bayar sebagai deposit. Hari Selasa nanti baki RM70000 perlu dibayar tunai.
InsyaAllah, hari Sabtu nanti ia sudah boleh dibawa ke Haram. Malamnya – mungkin – jemaah pertama sudah boleh bertandang ke rumah kami di Jabal Ohud menaiki kereta baru.
Petikan dari Buku Menghadapi Ujian
Jika kita seorang wanita, bayangkanlah jika saya mengajak puan ke masjid untuk bersolat…. Apakah puan perlu mencari telekung? Jika ia, kenapa? Apakah puan merasakan yang pakaian puan belum cukup sempurna untuk mengadap Allah SWT? Jika benar begitu, kenapa pula kita boleh ke hulu dan ke hilir dengan pakaian tersebut?
Kenapa kita mahu menutup rambut tetapi memakai t-shirt dan berseluar ketat? Apa bezanya aurat ketika menyidai kain di halaman rumah dengan waktu pejabat? Itulah ujian Allah yang tidak kita sedari. Ia bertambah tenat kerana hampir seluruh masyarakat membenarkan perlakuan tersebut.
November 11, 2011
Hijrah
Hampir semua jemaah menyelesaikan ibadat haji masing-masing. Saya juga sudah menerima jemputan untuk menyampaikan ceramah kepada sekumpulan jemaah yang bakal tiba di Madinah.
Maka berakhirlah cuti haji buat kami yang tinggal di KSA. Ia hampir dua minggu termasuk cuti hujung minggu. Hari ini bermulalah kembali kerja-kerja pejabat, persekolahan dan pelbagai urusan lain.
Opsss… urusan kereta yang belum selesai!
Saya merenung kembali masa-masa yang telah kami lalui. Saya seronok masa dilapangkan di Haram. Di antaranya menulis Travelog Kehidupan: Menghadapi Ujian. Keberkatan bumi Madinah terasa. Dalam tempoh cuti saya berjaya menyudahkannya daripada B – Y.
B – nya kerana saya telah menyiapkan framework buku setahun yang lalu. Perjalanan buku telah tersusun sebelum sampai ke Madinah. Z – nya kerana manuskrip di tangan pembaca manuskrip untuk "apa kata mereka" dan "kata pengantar".
Kali ini, buku ini akan diterbitkan – InsyaAllah – oleh Galeri Ilmu setelah 3 buku terdahulu saya bersama PTS. Ramai menyangka yang saya diapproach oleh mereka. Sebenarnya tidak, saya yang menawarkan diri kepada mana-mana penerbit yang mahu menerbitkan buku ini. Sengaja saya mahu mencari pengalaman baru. Dan mereka bersetuju.
Setakat ini, PTS yang terbaik. Jika ada penulis yang bertanya di mana mahu menerbitkan buku Melayu, "pergilah kepada PTS". Cuma, saya sudah nyatakan kepada PTS Islamika ketika menghulurkan manuskrip 50 Tip Motivasi Haji, ini adalah karya terakhir dengan PTS buat sementara waktu.

Faris
Pastinya saya merindui zaman terbitnya buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman bila bekerja bersama Tuan Faris Hasbullah dan editornya, puan Firdaus.
4 tahun yang lalu sangat-sangat berbeza dengan 4 tahun kemudian. PTS berkembang. Penulisnya semakin ramai. Ramai penulis bercita-cita untuk bernaung di bawah payung PTS.
Saya pernah menulis dengan Darul Numan, Gaya Media, Utusan Publications, UPENA, PTS, Emerald London dan Elseiver, Masing-masing mempunyai gaya tersendiri. Sebagai penulis, saya mencari sesuatu yang menyentuh hati. Ia bukan semata-mata soal royalti.
Kini saya mencuba di Galeri Ilmu yang saya tidak kenal sesiapa di sana. Jika sampai masanya, pasti akan saya tinggalkan untuk berhijrah ke tempat lain. Pastinya ia bersebab. Dan sebab itu biarlah saya simpan di hati.
RM8000
Semalam, saya telah membuka Tabung 1 pakaian sekolah, 1 Anak Yatim buat 40 anak-anak yatim di Sekolah Agama Kg Jawa. 4 – 5 jam kemudian, jumlah tersebut terkumpul hasil sumbangan khalayak pembaca KRTS dan rakan FB.
Wang tersebut berkumpul di udara.
Hari ini, saya sudah transfer RM8000 tersebut kepada Dr Mohd Halim Kadri, rakan sejawat dan bekas supervisee saya yang baru dianugerahkan ijazah kedoktorannya.
Dr Halim akan menguruskannya daripada Segamat. Saya berharap beliau tidak menganggap ini sebagai satu beban baru yang perlu digalas. Pastinya tidak, insyaAllah.
Terima kasih semua.
November 10, 2011
1 persalinan sekolah
Setiap tahun – sudah dua tahun – khalayak KRTS memberi sumbangan kepada anak-anak yatim Sekolah Agama Kg Jawa, Segamat. Pada ketika itu saya bertugas di UiTM Segamat.
Kini saya di Madinah. Namun saya masih terkenang wajah-wajah comel yang sangat ceria memasuki kedai BATA membeli kasut sekolah dan kedai pakaian sekolah. Mereka berbelanja menggunakan wang yang kita sumbangkan.
Saya ingin mengajak khalayak KRTS yang saya kasihi – jika ada duit lebihan – untuk menderma kepada anak-anak yatim ini yang berjumlah 40 orang, Jika sudi masukkan wang sumbangan ke akaun saya, Maybank 562106211166. Sila tulis "sumbangan 1 persalinan sekolah". Saya akan menutup sumbangan apabila jumlahnya mencapai RM8000.
DERMA SETAKAT YANG TERMAMPU.
Semoga wang yang kita pinjamkan kepada Allah ini dibayar semula apabila sampai masanya yang sesuai. Allahu Akbar.
UPDATE:
Terkumpul: RM4000, kami hanya memerlukan RM4000 sahaja
Kasut dan Baju
"Prof, ini kasut prof?"
Jiran sebelah rumah bertanya. Beliau menunjukkan sebelah kasut jenama Clark. Harga belinya melebihi RM400. Saya kehilangan kesemua kasut santai, kerja dan sukan yang disimpan di dalam rak kasut di anjung rumah. Malah hendak dijadikan cerita, hari terakhir meninggalkan rumah, saya hanya memakai selipar sukan. Rak kasut itu sendiri sudah berenang jauh. Isinya sifar.
"Yang, pakaian kerja awak satu pun tidak boleh diselamatkan. Kesemuanya tenggelam air dan jika yang tergantung, separuh bertanda lumpur. Saya sudah cuba cuci tetapi ia masih berbekas. Jubah-jubah awak semuanya sudah tidak boleh dipakai. Ia bertanda selut dan lumpur," Roza memaklumkan kepada saya. Tentu sekali saya dapat bayangkan keadaan baju-baju yang siap tergantung di dalam almari pakaian. 80 peratus warna putih dan selebihnya berwarna cerah.
Baju kerja lebih 40 helai. Terdapat 3-4 pasang sut stail Mandarin yang menjadi kegemaran saya. Alahai… pakaian yang memang terkumpul semenjak 2 – 3 tahun yang lepas. Begitu juga dengan kasut-kasut berjenama yang rasa saya hampir 6 – 7 pasang. Semuanya kembang, berlumpur dan rosak teruk. Saya tidak fikir mahu menyarungnya semula.
Hari pertama di pejabat pasca-banjir, saya hanya memakai capal, baju kemeja berlengan pendek dan seluar kerja yang terselamat. Bukanlah saya tidak berwang untuk membeli pakaian baru tetapi hampir keseluruhan masa ditumpukan untuk mengemas rumah. Ia kerja yang kelihatan tidak berhabisan. Malah hampir seluruh kedai-kedai di Segamat tidak beroperasi. Ia hari-hari yang sangat suram. Suasana berdukacita.
Tiba-tiba ada rakan sejawat membawa plastik Parkson sambil berkata, "Prof, ini hadiah daripada kami. Kami tahu prof tidak sempat bershopping". Dua pasang baju kerja berwarna putih. Ia kegemaran saya. Kemudian, saya menerima dua helai kemeja daripada sahabat UKM yang dihantar melalui pos laju. Terselit nota, "buat sahabatku, ini sahaja yang mampu aku berikan buat mangsa banjir".
Malah seorang rakan daripada UiTM Shah Alam mengirim sepasang kasut berjenama BATA berharga RM69.90 yang masih tidak dibuang tanda harganya. Telah saya, sahabat ini tergesa-gesa mahu menghulurkan bantuan walaupun beliau tahu yang saya tidak bermasalah untuk membeli sepasang kasut. Apatah lagi jika nilai kasut itu hanyalah RM69.90.
Ingatan daripada sahabat, rakan sejawat dan mereka yang hampir sangat-sangat membantu hati dan perasaan ketika berada dalam suasana yang ditimpa ujian. Saya agak, mereka ini merupakan golongan terpilih sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah seperti dilaporkan oleh hadis sahih Bukhari dan Muslim yang bermaksud, "demi Tuhan yang rohku dalam tanganNya, tidak beriman sesiapapun antara kamu hinggalah dia inginkan kebaikan bagi saudaranya seperti mana dia inginkan kebaikan itu untuk dirinya sendiri."
Malah dalam satu hadis lain, baginda berpesan, "Sesungguhnya Allah SWT mengasihi hamba-Nya yang mengasihi orang lain". Allahu Akbar, saya tidak pernah terfikir untuk meminta atau berharap menerima sebarang sumbangan tetapi apabila diberi rasa sebak di dada menusuk jauh sehingga ke lubuk hati. Bagaimanapun, pemberian-pemberian ini – sebenarnya – merupakan satu ketentuan Allah untuk mengajar saya sesuatu yang sangat besar dan signifikan melalui ujian banjir ini.
Pertama, kasut BATA yang berharga RM69.90 inilah yang saya pakai ke hulu – ke hilir, ke pejabat, berceramah dan bersantai. Ia selesa dan tidak membawa sebarang mudarat. Apakah yang membezakan antara kasut yang bernilai RM699 berbanding dengan kasut yang bernilai RM69.90?
Kedua, saya nyatakan kepada Roza, "Yang, cukuplah dengan empat helai baju kerja yang dihadiahkan oleh mereka. Saya fikir ia sudah memadai". Ia kenyataan yang keluar daripada hati nurani. Saya tidak tahu mengapa tetapi akhirnya saya menyedari yang ia boleh dilakukan tanpa sebarang masalah yang besar. Bezanya, Roza terpaksa membasuh baju-baju tersebut setiap dua hari sekali berbanding dengan masa sebelumnya yang beliau tidak perlu memikirkan tentang baju kerja saya.
Maksud saya, apakah nilai 40 helai baju kerja yang tergantung di dalam almari pakaian? MasyaAllah, Subhanalllah, Allahu Akbar, Astagfirullah, selama ini saya hidup di atas dasar pembaziran yang sangat melampau. Lalu Allah ambil kesemuanya, dicalitkan dengan tanda-tanda kekotoran dan digantikan dengan 4 helai baju baru – putih bersih – melalui rakan-rakan yang kasih dan cintakan saudaranya.
Lalu Allah ajar saya untuk berfikir, nilai kasut Clark RM699 jika ditolak dengan kasut BATA yang bernilai hampir RM70, maka perbezaannya RM629 tentu sekali boleh dimanfaatkan kepada kerja-kerja kebajikan. Barangkali, sifat-sifat lokek dan bakhil pada diri manusia untuk memberi pinjaman kepada Allah atas sifat tidak berkemampuan nyata tidak berasas. Saya fikir, kami sangat mampu tetapi pastinya saya lebih mementingkan diri sendiri. Melalui surah At-Taghabun, ayat 17, Allah memujuk hati-hati yang keras untuk melakukan amal kebajikan dengan ikhlas,
Dan kalau kamu memberi pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), nescaya Allah akan melipat gandakan balasanNya kepada kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan Allah amat memberi penghargaan dan balasan kepada golongan yang berbuat baik, lagi Maha Penyabar (untuk memberi peluang kepada golongan yang bersalah supaya bertaubat)
Subhanallah, jangan pula ada yang beranggapan mereka tidak boleh membeli dan memakai barangan berjenama, mumpunyai pakaian yang berkualiti atau merasai kemewahan dunia. Rasulullah SAW pernah menyatakan melalui satu hadis yang direkodkan oleh Muslim yang bermaksud, "Sesungguhnya dunia ini umpama taman hijau yang indah. Penuh dengan nikmat dan keindahan dan Allah menciptakannya untuk kamu. Oleh itu pastikan segala nikmat ini digunakan dengan sebaik-baiknya."
Malah dalam surah Al-Araf ayat 31, Allah menyatakan dengan jelas,
Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.
Tinggal lagi, pastikan segala nikmat ini digunakan dengan sebaik-baiknya. Saya fikir, di sebalik kita berbelanja untuk diri sendiri, keluarga dan sanak saudara, berikanlah sebahagian daripada rezeki tersebut untuk dipinjamkan kepada Allah dalam bentuk sedekah (sukarela) atau zakat (sesuatu yang dipaksakan) terhadap mereka yang beriman. Baju, kasut dan ujian banjir merupakan pengajaran-pengajaran yang perlu diamati dan diambil ikhtibar. Ia merupakan satu nikmat yang tidak boleh kita dusta.
Bagaimanapun, ia terpulang kepada individu untuk melihat sisi mana yang mahu dipandang. Jika ia satu kesusahan maka ia boleh menjadi kesusahan yang mutlak maka timbullah perasaan keloh-kesah, gundah-gulana, kesedihan yang melampau, kemarahan jiwa dan perasaan malah boleh menyebabkan ia semakin jauh daripada Allah SWT. Jika kita memikirkan di sebalik kesusahan pasti akan ada kesenangan, kenikmatan atau keriangan, maka sisi tersebut boleh menyebabkan kita semakin hampir denganNya. Ia menjadikan manusia sebagai insan yang redha, sabar dan tahu bersyukur. Ia sisi yang benar-benar berlawanan.
Allahu Akbar, Subhanallah, saya mohon keampunan Allah.
November 9, 2011
A atau B
A – nya begini.
[image error]
Design A
B – nya begini
[image error]
Design B
Mana lebih menarik? Jangkaan saya, khalayak 50:50.
Musim sejuk
Fajar di Madinah terasa amat sejuk sekali.
Kata orang musim sejuk sudah bermula. Malam tadi kami membeli-belah, maklumlah secara dasarnya kami berhijrah dalam keadaan sehelai sepinggang. Saya dan Roza membeli sepasang termal, Amirul dan Sofea memilih jaket dan pakaian untuk dipakai dirumah.
Hakikatnya, kehidupan kami di Madinah sangat simple. Tidak banyak perkara yang perlu difikirkan. Soalan yang paling besar ketika ini, "pukul berapa mahu ke Haram?".
Masa menjadi sangat perlahan. Banyak perkara yang boleh dilakukan dalam sehari walaupun ia berkisar kepada solat berjemaah di masjid. Buktinya, buku Travelog Kehidupan: Menghadapi Ujian (TKMU) telah dapat disempurnakan. Hanya tinggal beberapa perkara teknikal yang perlu dikemaskini.
Ia buku yang ditulis sepenuhnya di Madinah walaupun idea, kerangka dan topik-topik khusus telah difikirkan hampir setahun lepas. Malah ia telah dikuliahkan di beberapa buah masjid.
Saya sedang berfikir-fikir mencari beberapa nama untuk membaca manuskrip ini dan menulis "Apa kata mereka" dan "Kata Pengantar" sebelum dapat dihantar ke penerbit.
Musim sejuk di sini, saya berharap dapat menulis buku baru bersama Roza bertajuk "Tazkirah dari Madinah", InsyaAllah!
Tunggulah
Itulah bab penutup atau terakhir buku TKMU. Saya tertarik dengan satu ayat (saya sedang merujuk kembali ayat ini) yang menyebut, "Tunggulah… katakanlah (wahai Muhammad) aku juga sedang menunggu hari tersebut…" apabila orang-orang kafir bertanya, "mana dia hari pembalasan yang engkau janjikan?".
Mereka tidak mempercayai hari pembalasan, hari akhirat dan ia menjadi lebih tenat lagi sehingga mengejek-ngejek Baginda SAW.
Begitulah…. hakikatnya mereka yang tidak mahu menunaikan solat, tidak mahu menutup aurat dan melakukan pelbagai kezaliman terhadap perintah Allah sebenarnya sedang mengejek-ngejek dan mempersendakan Allah SWT. Itulah ujian terbesar buat mereka yang mengaku Islam.
Tunggulah…
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
