Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 38
December 15, 2011
Pasar Madinah
Genap 13 minggu kami di Madinah.
Sepanjang tempoh tersebut hanya sekali Roza ke pasar basah. Itu pun mengikut salah seorang pelajar yang sudah berkeluarga. Bila pulang, Roza beria-ia menceritakan pengalaman di pasar basah Madinah.
Dan itulah kali pertama dan terakhir beliau ke sana. Bukan tidak mahu tetapi tidak sempat kerana menerima tetamu hampir setiap hari sehingga terlupa kewujudan pasar tersebut.
Kami ambil mudah. Menu makan malam tetamu ialah Nasi Arab atau Briyani atau seangkatan dengannya. Lauknya hanya satu jenis, ayam briyani dan salad Arab.
Ayam dibeli di pasaraya yang sangat hampir dengan rumah. Sekali beli 12 ekor.
Itu yang paling mudah buat Roza.
Pagi semalam, saya teringin melihat pasar basah. Inilah kisah kehidupan Madinah. Pagi-pagi lagi kami sudah sampai. Tempat pertama yang kami tuju ialah pasar kambing, jamal dan lembu.
Komen pertama, SANGAT BERSIH!
Lalu saya membeli seekor anak kambing (lamb?) yang beratnya selepas bersih, 9 kg. Harganya SR360.
Kemudian kami beredar ke pasar ikan. Allah… Allah… saya nampak ikan tamban beluru, kerisi dan aya. Itulah ikan kesukaan saya. Orang kampung! Sekilo ikan kerisi dan tamban hanya SR5. Ikan Aya juga SR5 seekor.
Ya Allah… udang kertas pun ada. Kami ambil 1 kilo. Harganya SR50.

Udang dan Ikan

Ikan dan udang yang dibeli

Sayur SR5/sebungkus
Semalam saya berpuasa sunat Khamis. Jadi tidak molek untuk saya meminta-minta Roza memasak sesuatu yang ada di tekak. He… he… saya tetap berbuka di Haram.
Ia satu lagi pengalaman kehidupan di Madinah.
December 14, 2011
Dam, Raudhah Madinah dan Raudhah Segamat

4 ekor kambing untuk membayar Dam Umrah

Ia disembelih untuk diagih kepada ahli Mekah

Ia dibersihkan
Terima kasih kepada Tuan Haji Mohd Arshad kerana menguruskan urusan ini. Semoga Allah memberkati hidup tuan sekeluarga.
Raudhah Madinah
[image error]
Raudhah selepas Asar
[image error]
Di sinilah saya menghafal al-Quran setiap petang
Raudhah Segamat

Rumah yang diwakafkan penggunaannya untuk PERKIM Segamat. Kami bermimpi rumah kesayangan ini.

Mungkin ia akan menghijau kembali bila ada yang belajar Quran di sini?

Adakah yang membaca kitab-kitab di perpustakaan ini?
Terima kasih kepada insan yang menghantar photo Ar-Raudhah, Segamat kepada kami di Madinah.
December 13, 2011
Pasport
Beberapa minggu yang lepas saya menerima undangan berceramah di Doha, Qatar. Namun meninggalkan Madinah tidak semudah 1, 2 dan 3.
Pertama, pasport antarabangsa saya dipegang oleh majikan, Universiti Taibah. Jika saya mahu ke Luar Negara, saya perlu meminta izin, perlu memohon exit Visa untuk keluar dan kembali.
Ia leceh!
Jadi lebih baik saya bertenang-tenang di sini kecuali ketika cuti musim panas di mana kami dibenarkan bercuti selama dua bulan dengan dibayar tiket kapalterbang pergi dan balik untuk saya, isteri dan dua orang anak.
Namun saya tidak fikir akan menggunakan sepenuhnya dua bulan cuti tersebut untuk berada di Malaysia. Kenapa? Ia jatuh pada bulan Ramadhan. Kami tidak pernah mengetahui bagaimana rasanya berpuasa di Tanah Haram, Mekah atau Madinah.
Kata orang, ia satu pengalaman yang menakjubkan. Dan saya fikir ia sesuatu yang perlu dilalui, InsyaAllah.
Pujian
Menerima pujian dengan perasaan sombong dan angkuh sangat-sangat merosakkan hati. Amal-ibadat hanya menjadi sia-sia jika ia dilakukan kerana mengharapkan pujian.
Pujian merupakan satu ujian kerana ia juga sebahagian daripada kisah kehidupan.
Tanyalah bekas staf saya di Malaysia – agak saya - mereka mengenali saya sebagai seorang ketua yang mudah menyebut kata-kata yang baik-baik, Misalnya, "Ros, awak kelihatan berseri-seri hari ini" atau "Siti, awak sangat sesuai dengan pakaian ini".
Dalam konteks dunia penulisan saya mungkin menyebut, "saya tidak tahu yang awak boleh menulis sebaik ini".
Pujian-pujian yang dinyatakan keluar secara semulajadi kerana ia sifat yang tertanam sejak remaja.
Jika rakan sejawat berjaya menerbitkan buku, saya akan ambil buku tersebut sambil membaca blurb, melihat-lihat isi kandungan dan secara mudah akan menyatakan, "tahniah, menulis bukan mudah dan buku ini kelihatan menarik".
Ia memberi kesan besar kepada penulis berbanding dengan buat "endah tidak endah" dengan kejayaan rakan tersebut.
Namun pujian ini berbeza-beza cara ia disampaikan. Misalnya untuk Sofea, "Alhamdulillah, pandai Sofea, ayah sendiri tidak tahu bagaimana mahu melakukannya," apabila melihat beliau menghantar ucapan melalui FB.
Jika seorang profesor saya nyatakan, "saya menyenangi tulisan-tulisan prof, ia mudah untuk difahami". Memuji staf sokongan berbeza caranya berbanding dengan kumpulan profesional.
Allahu Akbar, ia satu seni.
Kemudian bila saya mendalami ilmu pujian, banyak hadis-hadis yang bersifat bertentangan, pujian yang merosakkan hati dan pujian yang diharuskan. Para ulamak berpendapat, pujian yang melampau-lampau dan terkandung unsur-unsur pembohongan tidak dibenarkan.
Salah satu perkara yang jelas Allah sendiri memberi pujian kepada Nabi dan para Rasul serta mereka yang beriman. Namun cara pujian itu disampaikan tidaklah sama sebagaimana pujian yang saya sebut sebelum ini.
Baginda SAW juga sering memuji para sahabat. Misal, saya membaca kisah taubat Ka'ab bin Malik melalui Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2376.
……Gembiralah kamu dengan kebaikan yang kamu terima hari ini, yang belum pernah kamu terima sejak kamu lahir." Tanya ku, "Apakah kebaikan itu datang dari Anda atau dari Allah Ta'ala?" Jawab …beliau, "Bahkan dari Allah Ta'ala!" Biasanya apabila Rasulullah saw. gembira, wajah beliau bersinar-sinar bagaikan bulan. Kami tahu benar akan hal itu…….
Ada dua penilaian. Pujian melalui kata-kata dan melalui bahasa badan. Inilah pujian peringkat tinggi. Ia boleh dihuraikan tetapi di sini biarlah ia ringkas dan santai!
Dan ia boleh diaplikasi kepada anak-anak tanpa kata-kata tetapi memadailah dengan menyebut, "Alhamdulillah, Allah bagi Sofea pandai, mari sini ayah hendak sayang pipi dan hendak dukung Sofea…."
Jikalah saya boleh memutarkan jam, maka inilah kata-kata saya kepada staf yang bagus bekerja, "Subhanallah, MasyaAllah, Alhamdulillah, Allah bagi awak kemudahan untuk menulis. Flow tulisan awak sangat mengasyikkan. Saya doakan awak lebih banyak lagi dapat menghasilkan penulisan yang bermutu".
Pujian baginda juga sering dinyatakan dengan cara berdoa. Itulah salah satu sifat memuji yang perlu kita praktiskan. Misalnya, "Alhamdulillah Allah bagi kekuatan kepada awak untuk bangun malam. Saya doakan awak istiqamah".
Ia mengubah perspektif pujian dengan cara yang tidak merosakkan hati penerima dan juga penyampai. Akhirnya, tidaklah kita mengambil keputusan, "tidak boleh memuji, ia merosakkan hati!". Ia dinilai tanpa pandangan sisi. Menghukum tanpa memudahkan.
Ketika saya menulis, Roza menghantar jemput-jemput ikan bilis dan saya nyatakan kepada beliau, "Ya Allah pantasnya awak… saya doakan supaya Allah memberi kesihatan yang baik agar awak boleh terus memasak untuk saya dan keluarga".
Akhirnya, menyampaikan kata-kata juga perlu berdoa dan mohon keampunan. Apabila bangun pada 1/3 hujung malam yang tersisa bermunajatlah kepadanya, "Ya Allah jadikanlah tutur kataku sebagai satu amal ibadat ya Allah dan ampunkanlah salah silap ku dalam berkata-berkata".
Saya mohon keampunan Allah.
December 12, 2011
Hidup di Madinah
Saya ditemuduga oleh pelajar UiTM, "Kehidupan sebagai seorang EXPATRIATES di Madinah"
Soalan pertama, kenapa saya memilih Madinah berbanding Malaysia. Begini jawapan saya. Saya tidak memilih Madinah. Saya sudah bekerja di Malaysia – UiTM – lebih 23 tahun. Saya meneruskan kehidupan di Madinah kerana saya berpeluang bekerja di sini. Secara semulajadi, ia peluang yang tidak perlu ditolak.
Kehidupan di sini berpaksi di sekitar Masjid Nabawi. Inilah perbezaan ketara di antara Madinah dengan Malaysia. Misalnya, inilah rutin kehidupan terkini.
Selepas pulang daripada universiti – di sekitar 2 petang – kami sekeluarga terus bersiap-siap untuk ke Haram. Pertama kerana menunaikan solat Asar berjemaah. Kedua, Amirul dan Sofea mempelajari al-Quran di sana.
Saya akan beredar ke Raudhah untuk menghafaz al-Quran sehingga hampir waktu Maghrib. Jika hari tersebut Isnin dan Khamis, maka kami akan berbuka puasa bersama jemaah lain menikmati juadah yang disediakan oleh mereka yang bersedekah.
Jika saya berpuasa – selang sehari yang tidak terkena pada hari tersebut - maka cukuplah dengan minum air zam-zam dan beberapa ulas buah tamar secara bersendirian. Saya cuba sedaya upaya untuk mengambil secara ganjil. Bab ini saya sering terlupa.
Kemudian, kami akan solat berjemaah Maghrib. Selepas usai solat Jenazah dan sunat, saya mengadap Tok Sheikh bagi mendalami pengajian al-Quran. Ia tamat apabila azan Isya berkumandang.
Kami tiba ke rumah pada jam 8.15 malam. Secara purata, kehidupan kami di Haram di sekitar 6 jam sehari. Ia 25% daripada sehari semalam.
Inilah sebahagian besar rutin kehidupan di Madinah.
December 11, 2011
Merendah diri
Saya seorang profesor. Agaknya dalam dunia akademik dikira sudah cukup tinggi. Di Malaysia, ia termasuk dalam kategori Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA).
Saya selalu menyebut bila berceramah, "Jika saya di Segamat, maka – mengikut protokol – sayalah yang tertinggi dari segi kedudukan susunannya". Pada ketika itu, sayalah satu-satunya yang bertaraf JUSA.
Dan jika memberi tazkirah kepada pemandu-pemandu UiTM Johor, saya sering menyebut,
"Mengikut aturannya, gaji tuan-tuan tidak akan dapat menandingi gaji saya. Saya pengarah, tuan-tuan pemandu. Darjat dan kuasa saya lebih tinggi. Saya masuk kampus, ditabik. Tuan-tuan tidak dipandang dengan sebelah mata pun.
Itu hukum dunia. Hukum Allah berbeza. Orang-orang yang mulia, berkuasa, berdarjat hanyalah mereka yang beriman dan bertaqwa di sisiNya. Jadi, tuan-tuan boleh jadi manusia yang berkuasa, berdarjat dan lebih mulia dengan hampir kepadaNya.
Jika saya ajak solat berjemaah, marilah lakukan. Marilah kita bersolat malam. Tuan-tuan sudah diberi nikmat Allah menjadi pemandu saya yang mahu ke masjid. Tuan-tuan boleh ikut sama ke masjid.
Jadi, sudahlah kita pemandu, pemandu yang hina di sisi Allah. Tidak mahu begitu. Biar kita lebih baik daripada profesor Madya yang tidak mahu solat di masjid, lebih baik daripada Ustaz yang enggan solat berjemaah dan lebih baik daripada Penolong Pendaftar yang tidak pernah bangun malam".
Kini, hampir setiap malam saya menuntut ilmu dengan Sheikh di Haram. Bersama saya ada dua profesor yang lain dan beberapa pelajar daripada Universiti Madinah. Tahap kami berbeza-beza.
Bila berhadapan dengan Sheikh, seorang profesor hanyalah seorang anak murid. Tidak lebih dan tidak kurang. Ada adab-adab yang perlu dijaga. Buang ego, buang rasa besar diri dan berniatlah untuk belajar semata-mata kerana Allah.
Allahu Akbar, semalam saya melihat Sheikh berkata, "jika ente pandai, ente tidak perlu belajar dengan saya," agaknya fed-up apabila orang mahu berjawab-jawab apabila ditegur.
"Sabar.. sabar…," ditepuknya meja apabila ada yang berlumba-lumba mahu bercakap.
Saya terkenang ketika menyampaikan tazkirah di Haram ketika musim haji. Emmm… ada juga yang begitu. Saya berdoa agar saya menjadi anak murid yang dikasihi Allah dengan menghormati guru-guru saya.
Saya mohon keampunan Allah.
December 10, 2011
Ikhlas
Berpuasa sunat amalan untuk menyucikan hati sanubari. Lakukan semata-mata kerana Allah.
Lakulah sesuatu semata-mata kerana Allah, maka jangan khuatir dengan keikhlasan perlakuan tersebut.
Di sana-sini, cubaan untuk menjadikan manusia riyak, takbur dan ujub dalam diri sentiasa ada. Maka pendinding kepada cubaan-cubaan tersebut ialah dengan sentiasa beristifar dan memohon keampunan Allah. Maka keikhlasan terpelihara.
Hanya Allah yang boleh menentukan keikhlasan ini!
Ia kenyataan yang nampak ringkas tetapi signifikan maknanya dalam kehidupan manusia. Hakikatnya, bermuhasabahlah agar kita sentiasa berada di jalan yang lurus.
Namun sifat ikhlas ini menjadi sangat bahaya apabila kita memandai-mandai cuba mengukur tahap keikhlasan seseorang yang lain. Begitu banyak percubaan manusia untuk mempertikaikan keikhlasan seseorang yang melakukan amal kebajikan, sedekah jariah atau sebarang bentuk kebaikan.
Usahlah…. ia merosakkan hati sendiri. Ia tidak membawa sebarang kebaikan.
Kata kuncinya sangat mudah, bertanyalah kepada diri sendiri dan jawapannya ada pada hati. Misalnya, saya selalu berpesan kepada adik-adik (anak-anak) di sini supaya bertanya,
Adakah kita menunaikan fardhu haji setiap tahun semata-mata kerana Allah atau kerana kita mengharapkan upah haji?
Tiada siapa yang tahu kecuali Allah dan empunya diri. Jawapan kepada persoalan ini – saya fikir - boleh dilakukan dengan memperbanyakkan solat malam, berpuasa sunat dan membaca al-Quran agar Allah membersihkan hati sanubari.
Jika tidak, kita pasti mencari jalan supaya apa yang kita lakukan dianggap suci bersih!
Saya sering diundang berceramah. Maka saya bertanya kepada diri, "kenapa saya perlu menerima undangan ini?" Jika ia semata-mata kerana Allah, maka berjalanlah saya menuju destinasi tanpa rasa gundah gulana.
Hati kita tidak akan berbohong!
Baru-baru ini saya bertemu dengan seseorang. Beliau menyataakan kepada saya, "saya berhijrah ke Arab Saudi kerana 3M, Money, Mecca and Medina. Saya fikir jika salah satu tiada – misalnya Money, maka tarikan untuk beliau berada di sini akan susut serta merta walaupun masih ada 2M yang lain.
Malah ada rakan sejawat berkata, "saya hanya akan bertugas di sini hanya setahun sahaja". Ia gambaran kesusahan dan kesulitan yang tidak menyeronokkan.
Ikhlas dengan Allah menyebabkan hati sentiasa tenang sama ada ia tidur dan baring di Shah Alam, Segamat, London atau Madinah. Jika tidak, Madinah dan Mekah tidak upaya menahan manusia beredar pergi.
Di mana-mana adalah bumi Allah tinggal lagi ada kawasan-kawasan tertentu yang telah dianugerah Allah dengan beberapa kelebihan. Saya mohon keampunan Allah.
December 9, 2011
Dunia ini tersusun

Hujung minggu yang mengujakan.
Kami selamat tiba di Madinah di sekitar jam 2.11 petang.
Ramai yang berkata Mekah dan Madinah hanya 3 1/2 jam. Paling lama pun 4 jam. Saya – seperti kelaziman – mengambil 2 jam xtra. Apatah lagi di Arab Saudi mereka memberi perlindungan kepada kaum wanita.
Roza tersengih kerana tidak dibenarkan memandu! Jadi, saya 3X berhenti dan tidur di highway.
"Yang, malam ini awak tidak perlu memasak," saya juga memberi saranan yang bijak. Roza lagi tersengih! Malam tadi kami menukar fikiran untuk menerima 6 lagi jemaah haji yang bakal pulang.
"Nanti saya beli nasi Bukhora untuk tetamu kita," saya mengemukakan cadangan. Restorannya hanya beberapa minit daripada rumah kami.
Kenapa? Ia hari yang panjang dengan pelbagai kisah menarik.
Pagi-pagi lagi kami memasuki Masjidil-Haram. Terus menuju ke Hajarul-Aswad dan mempratikkan semula tip menciumnya yang ditulis melalui buku Travelog Haji. Allah izinkan, saya rasa teruja!
Kemudian, usai makan pagi, kami bersiap untuk pulang. Saya mengeluarkan dompet, bersiap sedia untuk membayar bil hotel. "Khalas, Khalas," sebut petugas kaunter.
Saya terpinga-pinga. Mana boleh khalas (selesai, habis atau sudah), saya belum membayarnya. Allahu Akbar, kami doakan agar mereka yang membayar bil hotel kami agar dirahmati dan diberkati Allah. Moga Allah murahkan rezekinya!
Ia kerja Allah!
Seorang pemuda kacak memberhentikan kenderaan di hadapan hotel.
"Kuday Parking," saya menyebut. "OK," beliau turun membuka boot kereta.
"Kam?," saya bertanya harga.
"Ia bukan masalah," jawab beliau. Saya pun tidak kisah kerana wang yang sepatutnya membayar bil hotel tidak luak sedikit pun. Ia tidak sepatutnya menjadi wang saya.
Bila sampai, saya bertanya lagi, "kam?". 15 riyal. Ya Allah, ia lebih murah daripada semalam. Saya hulurkan SR50.
"Haji, haji… tidak.. tidak, 15 riyal sahaja".
"Ana happy.. take.. take".
Ketika mahu meninggalkan Kuday Parking kami berselisih dengan seorang buruh yang sangat bersemangat bekerja. Saya honkan beliau. Kami hulurkan sebahagian kecil daripada wang sewa hotel yang masih banyak berbaki.
Di lebuhraya, seorang Badwi menahan saya. Beliau tunjukkan madu gunung. Wallahi, beliau bersumpah! Ha… ha… sumpah ini saya dengar hampir setiap hari. Namun itu bukan soal saya. Beliau menyebut nama Allah dan saya gembira membantu beliau. Lalu saya ambil dua botol yang harganya SR300.
Dan saya kirimkan sebotol madu lebah dari gunung kepada Mak di Malaysia melalui jemaah haji. Allahu Akbar, jauh perjalanan wang sewa hotel saya di Mekah.
Dan itulah…. sebahagian lagi saya gunakan untuk menjamu jemaah haji yang benar-benar terakhir mengziarah kami sekeluarga.
Jadi yang paling untung – saya fikir – adalah Roza. Beliau boleh berehat!
December 8, 2011
1%
Beliau bercerita, "saya mempunyai ramai kawan yang bergaji RM7000 – RM8000 sebulan".
Setiap bulan kami bergilir-gilir mengeluarkan RM500 – RM600 sebulan menyambut harijadi di Karaoke. Tiada masalah. Kini saya terfikir dan mahu berkongsi dengan rakan-rakan,
"kita mampu mengeluarkan 10% daripada sumber pendapatan untuk dilaburkan di Karaoke. Cukuplah, marilah kita keluarkan 1-2% daripada gaji kita untuk membiayai bil elektrik mana-mana surau atau masjid".
Ia satu perubahan yang kelihatan kecil tetapi sangat signifikan. Kata beliau, ia amalan yang kekal sehingga ke hari ini.
Sofea OK

Sofea di Mekah
Kenapa ayah tidak pakai kain putih?
Sofea bertanya saya ketika mahu bertolak ke Mekah. Barangkali umrah akan menjadi perkara biasa buat Sofea yang baru berusia 9 tahun. Beliau kelihatan OK-OK sahaja apabila bertawaf. Namun beliau nampak keletihan apabila menyudahkan ibadat saei.
Saya juga begitu.
Madinah – Mekah – Madinah akan menajdi rutin kehidupan Sofea. Kami berdoa begitu. Moga ia menjadi kenyataan,
December 7, 2011
Alhamdulillah

Disambut Cik Lie Mekah
Kami selamat sampai di Mekah. Allahu Akbar, seronoknya saya kerana berjaya sampai ke Mekah dengan memandu terus dari Madinah. Kami parking Dodge di Kuday Car Park dan menaiki teksi ke Hotel Orchid, Al Jewar.
Hotel yang paling hampir dengan pintu 1, al -Haram.
Terima kasih Cik Lie kerana menunggu kami dengan senyum manisnya.
Saya bukanlah orang yang gemar memandu. Jadi kejayaan terus sampai ke destinasi tanpa sesat sangat-sangat saya hargai. GPS saya tidak meragam. Peta Mekah selari dengan peta GPS. Di Madinah sangat berbeza. Banyak jalan yang tidak diupdate.
Namun di atas segalanya, kami sekeluarga berdoa supaya kami tidak sesat dan Allah makbulkan, alhamdulillah.
Secara relatif, Haram kosong. Tawaf hanya mengambil masa yang singkat. Hijir Ismail dibuka kiri dan kanan.

Nikmat berada di dalam Haram
December 6, 2011
Penjara
Ayub – pemandu kami sekeluarga – masih di penjara.
Paling akhir, Lucy – isteri beliau – turun ke Jeddah untuk menyelesaikan beberapa dokumen penting bagi menguruskan penghantaran pulang beliau ke Sudan. Sekurang-kurangnya, saya berharap dapat bercakap dengan Ayub sebelum beliau berlepas pulang.
Perhubungan kami singkat namun ia berbekas di hati. Pertama, saya melihat ketulusan hati beliau dan keluarga. Bantuan kepada kami dan ramai lagi melangkaui tugas-tugas spesifik beliau.
Kedua, beliau berpegang kepada janji. Ketika beliau menghadapi kemalangan, kereta kerjanya remuk dan tidak boleh dipakai lagi. Lalu beliau menyewa kereta untuk meneruskan kerja-kerja menghantar pensyarah-pensyarah wanita berulang-alik ke universiti. Saya teringat kata-kata beliau,
"Bila saya bermasalah, mereka semua bermasalah. Mereka orang perempuan, tiada suami di sini. Saya kena uruskannya".
Pada suatu malam beliau membuat panggilan telefon. Akhirnya beliau hanya bertanya, "Dr, Khaifa Haluk?," ketawa dan meletakkan telefon. Besoknya saya bertanya, "kenapa Ayub, saya tahu semalam awak ingin nyatakan sesuatu".
Dalam kepayahan beliau menyebut, "saya tidak cukup wang SR10000 untuk membeli kereta. Saya ingin pinjam daripada Dr untuk hanya sebulan tetapi saya tahu Dr juga mahu membeli kereta".
Jawapan saya TIDAK.
Namun bila pulang ke rumah, saya solat dan mohon perlindungan Allah. Saya tahu kereta merupakan punca pendapatan beliau. Beliau hanya mahu membeli kereta secondhand bernilai SR45000, 7 seaters GMC bagi memudahkan beliau bekerja.
Allah memudahkan urusan. Ketika kami pergi bersolat subuh di Haram, saya serahkan SR10000 untuk beliau bersegera membeli kereta yang sudah dibayar separuh harganya dan saya berkata kepadanya "Ayub, ini SR10,000 adalah sebahagian daripada wang untuk membeli kereta saya. Saya tangguh dan saya pinjamkan kepada awak kerana awak lebih memerlukan".
Saya tahu beliau terkedu namun saya tidak berasa apa-apa kerana itulah tindakan yang saya lakukan dengan memohon perlindungan dan bantuan Allah SWT.
SR10000 bukanlah jumlah yang sedikit. Beliau seorang yang baik hati, Allah membuka hati saya tanpa bersusah hati. Dan benar janji Allah, wang itu tidak luat sedikit pun kerana Ayub berpegang pada janji.
Kami berdoa - nanti – suatu hari nanti, kita akan berjumpa lagi. Kami doakan agar segalanya selamat dan dipermudahkan.
Tetamu Allah

Enam yang terakhir
Mengikut jadual, inilah tetamu haji musim ini yang terakhir. Ia janji 5 hari yang lepas untuk menerima Khairie dan isteri serta NorBaizura dan suami untuk menikmati makan malam dan tazkirah di Jabal Ohud.
Ketika menunggu di Parking 11A kelihatan sepasang suami-isteri menunggu-nunggu, NurBahaya dan suami. Hati saya bertanya, "bila pula saya berjanji dengan mereka". Saya confused.
Namun saya buat muka sardin. Rupa-rupanya mereka mahu saya menandatangani buku 50 Tips Haji dan Travelog Haji. Alahai… bukunya sangat lusuh.
Ha… ha… saya mengira, 1, 2, 3….. 8 orang termasuk Amirul. Jika ditolak Amirul bolehlah saya mengajak mereka berdua.
"Jomlah, semua sekali kita pergi ke rumah…"
"Tidak mengapa prof, kami pun ada janji dengan orang," suami Norbahaya berbahasa. Saya ketawa melihat spontan NorBahaya berkata, "jomlah… hendak saya pergi".
Ketentuan Allah, kesemuanya dapat saya bawa ke Jabal Ohud. Amirul, saya tumpangkan dengan jiran yang hampir- Tuan Haji Khusairi.
"Yang, tambah lagi dua," saya memaklumkan Chef di rumah supaya membuat sedikit persediaan.

Sup Zuccini
Bermula dengan sup musim sejuk di Madinah. Kata Roza, sup Zuccini. Rasanya sedap dan menyegarkan badan terutamanya jika dimakan ketika baru sahaja mengharungi udara sejuk di luar.
Kemudian, tetamu dihidangkan dengan nasi lemak Madinah berlaukkan sambal udang, ikan bilis goreng, ikan bilis sambal. telur goreng mata kerbau, ayam paprika, timun, salad, kacang dan keropok ikan Terengganu.
Chef berdebar-debar takut ia tidak mencukupi. Ha…. ha…. Ia perasaan yang biasa bila menyambut tetamu istimewa, tetamu Allah.

Tukar menu, nasi lemak Madinah
Inilah pencuci mulut hari ini, Puteri Syuhada!
Roza menerima "menisan" atau gula Melaka kiriman kakak ipar dari Besut, Terengganu. Hampir kesesemua bahan-bahan masakan semalam adalah kiriman adik-beradik di Malaysia yang dikirim melalui para Jemaah Haji Besut.
Allahu Akbar, insyaAllah ia menjadi sebahagian daripada hasil buku Hidangan dari Madinah.
Puteri Syuhada, modifikasi menggunakan tambahan bahan-bahan di sekitar Ohud
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
