Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 36
December 30, 2011
Bila bos panggil…..
"Prof Ibrahim, boleh jumpa saya sekejap," panggilan dari bos.
Sepanjang empat bulan di sini hanya 2-3 kali beliau mahu berjumpa dan berbincang. Bila bos panggil, ia sesuatu yang serius. Saya rasa begitu.
Saya melihat jam dan terus berkata, "Dr, saya sampai jam 12 tengahari". Habis rancangan awal saya yang mahu ke pejabat selepas asar, terus mengawas peperiksaan hingga jam 9 malam.
Hati saya terfikir-fikir apakah gerangan topik yang mahu dibincang oleh beliau.
Akhirnya ia terjawab apabila beliau berkata, "saya offer jawatan pensyarah kepada sister Roza!"
Alhamdulillah. Ia anugerah Allah kepada Roza. Hadiah ulangtahun yang ke 45.
Begitulah, bagaimana Allah mengatur kehidupan hambaNya tidak terfikir dek akal manusia. Ketika kami meninggalkan Malaysia, Roza memilih bersara awal.
"Tidak mengapa Yang, jika ada rezeki saya bekerja di sana, adalah. Jika tidak, saya redha".
Berhijrah ke Madinah sememangnya hadiah yang tidak ternilai buat saya dan Roza. Lain-lain isu menjadi soal kedua. Malah ia tidak menjadi kepelikan jika Roza tidak bekerja di sini.
Ia sangat sukar. Suasananya begitu. Namun di sisi Allah tiada satu pun yang sukar. Hanya satu perkara yang perlu disebut:
ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ
Bukit Uhud

Melawat Bukit Uhud
Rumah kami sangat hampir dengan Jabal Ohud. Tidak sampai lima minit. Namun Amirul dan Sofea tidak pernah sampai dan singgah di sini.
"Di sini dikebumikan para syuhada….."
"Syuhada tu apa ayah," tanya Sofea.
Lalu saya ceritakan serba sedikit tentang kisah perang Badar.
Kini, kehidupan kami di Jabal Ohud sudah agak stabil. Ia hampir 4 bulan. Kini saya sudah biasa memandu. Masih tidak terpengaruh dengan hon. Jalan-jalan yang dulu sesat-barat kini sudah mula ada dalam kepala.

Biru Muda

Biru Tua
Persekolahan anak-anak juga sudah OK sepenuhnya.
Petang tadi kami shopping baju sekolah Sofea di Haram.
Bukan main bergaya lagi beliau mencuba di rumah.
'Wah… kalau tidak jadi Hafizah lagi, mama tidak tahulah," Roza mengusik.
Inilah uniform Sofea di Haram. Kami berlumba-lumba menghafal al-Quran.
Ketika ini saya masih di hadapan tetapi petanda-petanda awal menunjukkan Amirul dan Sofea akan bergerak ke hadapan.
Perbincangan kami anak-beranak bertumpu kepada surah apa yang sedang dihafal.
Di dalam kereta dipasang Juzuk Amma berulang-ulang.
Jabal Uhud sangat bersejarah. Saya tidak pernah menyangka akan menjadi sebahagian daripada mereka yang tinggal di kaki bukit ini. Dan mudah-mudahan ada sejarah yang akan tercipta buat kami sekeluarga.
Kami mohon bantuan Mu ya Allah!
December 29, 2011
Nasihat
Saya bukanlah boleh memberi nasihat kepada semua keadaan, isu atau situasi. Namun jika ada yang bersungguh-sungguh bertanya maka jawapan saya hanya berkisar kepada satu jawapan yang ringkas. "percaya kepada kekuasaan dan kebesaran Allah SWT"
Maka saya selalu mengajak mereka yang bermasalah (nota: pada pandangan mereka) supaya jangan syirik, solat berjemaah (buat kaum lelaki), bangun malam, berpuasa dan membaca al-Quran. Saya katakan kepada mereka, "inilah asas utama dalam menghadapi kehidupan di dunia".
Manual ini terkandung di dalam al-Quran yang menyebut, "hendaklah engkau sabar dan solat. Sesungguhnya solat itu sangat sukar kecuali mereka yang kusyuk!".
Kadangkala sangat-sangat ironi apabila bercakap hampir dua jam menceritakan tentang bagaimana Allah Maha Berkuasa, Allah Maha Pengasih, Allah Maha Penyayang, kisah bangun 1/3 malam tersisa, berdoa, konsep bergantung harap kepada Dia yang Satu tiba-tiba bila mahu beredar ada yang datang dan berbisik, "saya mempunyai masalah….. prof, bagaimana mahu saya lakukan?"
Maka 2 jam huraian yang panjang lebar itu dinyatakan dengan cara yang lebih mudah,
1. Jaga solat
2. Bangun malam
3. Baca Quran
4. Puasa sunat
5. Jaga hati, mari kita jadi manusia baik-baik
6. Paling penting jangan syirik
Kan itu yang saya terangkan tadi?
Tentu sekali beliau tidak akan berpuas hati, ia bukan magik. Manusia sukakan jalan pintas yang pantas.
Pertimbangkan perbualan ini yang lebih ringkas…….
A
"Prof, bagaimana mahu terjaga 3.00 pagi?"
"Pakai jam loceng, biar bergegar bangunan".
"Tetapi saya tidak boleh bangun"
"Tidur…. tidak usah bangun. Memang tidak semua orang boleh bangun malam"
Tentu sekali beliau akan terkedu.
B
"Prof saya mahu menulis… bagaimana tips untuk menulis?"
"Tulislah satu muka sehari, 30 hari ada 30 muka. 4 bulan siap satu buku. Bila sudah biasa, sehari boleh menulis 5 muka"
"Saya sukar mendapat ilham"
"Membaca… kena banyak membaca"
"Itu yang sukar…"
"Jadi, cukuplah dengan bercita-cita untuk menulis… itu pun sudah bagus berbanding dengan mereka yang tiada cita-cita".
Agaknya beliau akan bertanya soalan yang sama apabila berjumpa dengan penulis lain!
C
Saya menerima e-mel dari seorang yang sedang bekerja, berkahwin dan sedang belajar di peringkat PhD. Tulisnya begini,
Saya sudah membaca buku Dr. Ridwan Bakar dalam perjalanannya mendapatkan ijazah kedoktorannya dan saya rasa ianya sangat ideal dan saya tak terikut (walaupun ada niat kearah itu) so apa nasihat Prof.?
Apakah nasihat yang boleh saya berikan? Dr Ridzwan pelajar PhD saya. Beliau bekerja, mempunyai keluarga, sangat sibuk dan masih melakukan kerja-kerja amal ketika sedang belajar.
Beliau menulis buku untuk memberikan nasihat kepada mereka yang seumpama beliau. Satu Buku! Jika itu dikatakan ideal maka itulah yang perlu diikuti.
D
Ini kisah menarik. Seorang lulusan salah sebuah universiti terkemuka di Malaysia menulis kepada saya, "saya sebenarnya teringin untuk kerja di tanah arab.. jika tuan sudi, minta pertolongan tuan hantar resume saya ke mana-mana company..".
Lalu inilah nasihat saya yang disampaikan secara kenyataan, "salam sejahtera, sedih saya membaca mesej tuan. Bukan begini caranya…". Alhamdulillah, beliau berterima kasih kerana memberi teguran tersebut!
Kisah-kisah ini menggambarkan kelemahan saya. Saya tidak sabar melayani kerenah mereka yang meminta nasihat. Kadang-kala jawapan saya agak keras dan tidak seperti yang mereka harapkan.
Mereka mahu kemanjaan yang saya gagal berikan. Saya mohon kemaafan dan saya berharap ia akan berbekas di hati.
December 28, 2011
Kos perubatan

4 hari tidak bersekolah tetapi kelas Quran di Haram tetap mahu hadir. Bila demam mahu semua orang tahu yang beliau demam!
Di Malaysia, kos perubatan ditanggung oleh UiTM. Ubat-ubatan yang perlu saya ambil bernilai hampir RM600/sebulan. Secara relatif, ia satu jumlah yang besar.
Dan ubat-ubatan ini merupakan ubat yang berkualiti dan mahal di pasaran.
Faktor ini tidak pernah diambil kira ketika kami mahu berhijrah. Saya fikir ia akan menjadi satu perbelanjaan yang perlu saya tanggung sepanjang berada di Madinah.
Allahu Akbar dan Alhamdulillah, Universiti Taibah mempunyai pusat rawatannya yang tersendiri. Ia khusus untuk pelajar dan staf universiti. Lalu saya tunjukkan ubat-ubat yang sering dibekalkan oleh Darul Ehsan Medical Center (DEMC) – namanya sudah bertukar agaknya – kepada doktor bertugas.
Beliau tidak banyak berkira. Maka ubat yang sama juga dibekalkan kepada saya. Saya bersyukur kerana ini juga merupakan sebahagian daripada nikmat Allah yang tidak dapat saya dustakan.
Alhamdulillah juga kerana klinik kesihatan bersebelahan dengan rumah kami. Ia dibuka sejak pukul 7 pagi dan ditutup ketika waktu solat zuhur. Kemudian, ia ditutup semula pada waktu Asar sehingga Isya. Usai solat Isya mereka akan beroperasi semula hingga jam 11 malam.
Dan ia percuma. Di sinilah Sofea menerima rawatan pertama sejak tiba di Madinah.
Ruang Solat Masjid Nabawi

Ruang tengah Solat Masjid Nabawi memandang ke kawasan Imam
Semalam kami tiba agak lewat untuk solat Asar berjemaah di Masjid Nabawi. Kurang-lebih lima minit sebelum Azan. Namun inilah perjalanan saya daripada belakang masjif menuju ke saf-saf hadapan.
Suasana seperti ini akan berlanjutan beberapa minggu lagi sehingga visa umrah dibuka sepenuhnya.
Ini pula jemaah yang melawat makam Rasululullah selepas usai solat Asar melalui Raudhah. Ia sangat lapang pada ketika ini.

Melawat makam Rasululullah melalui Raudhah
December 27, 2011
Mudah dan ringkas
Bijak pandai di rumah kami. Tetap kena makan sedulang!
Malam tadi kami menerima 9 lagi tetamu.
Kesemua mereka hadir atas tiket menghadiri konferens di Universiti Taibah. Dodge tidak mampu membawa kesemua mereka pulang. Jadi sudah dua malam Amirul membawa separuh daripada tetamu menaiki teksi.
Alhamdulillah, beliau berjaya melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan jayanya. Malah Amirul memberi nilai premium. Ketika kami sampai saya lihat beliau sudah menyediakan tetamu dengan jus dan air teh Nak-Nak.
Alhamdulillah, sudah besar anak bujang saya ini!
Malam tadi topik tazkirah sebelum makan malam bertajuk "mudah dan ringkas". Saya simpulkan begini. Kita mahu menjadi insan yang terpilih, yang sedikit di kalangan umat akhir zaman.
Namun sebagai manusia biasa-biasa (nota: saya merujuk kepada diri sendiri yang berkelulusan perakaunan dan tetamu yang hadir berlatarbelakangkan kejuruteraan), bukan lulusan agama tetapi ingin mencari keredhaan Allah. Lalu premis yang saya cadangkan ialah melakukan amal ibadah yang mudah dan ringkas, iaitu berpandukan rukun Islam yang lima.
Pertama, mengucap dua kalimah syahadah. Lalu janganlah kita menduakan Allah dalam setiap tindakan kita. Jangan bergantung dengan manusia. Yakin kepada Allah. Malah melakukan sesuatu kerana kita ingin menyembah dan beramal ibadat kepadaNya. Begitulah yang saya maksudkan apabila sering menyebut dan menulis "semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah".
Kedua, melaksanakan solat lima waktu. Namun untuk menjadi insan yang sedikit ia tidak hanya sekadar solat yang wajib. Bagaimanapun, kita tidak perlu bijaksana untuk melaksanakan solat berjemaah di masjid. Kita tidak perlu bergelar seorang Ustaz untuk bangun malam atau tidak perlu menjadi lulusan Azhar untuk melaksanakan solat Dhuha.
Ketiga berpuasa. Ramai orang berpuasa secara "lapar dan dahaga" semata-mata. Mari kita tingkat sedikit demi sedikit. Opps… kenapa tidak kita berpuasa seumpama para Nabi dan Anbiya (nota: saranan Imam Ghazali dalam kitabnya Penawar Hati), berpuasa semata-mata kerana Allah.
Ringkas dan mudah kerana kita tidak perlu mengumpat dan bergosip, tidak berfikir dengan juadah berbuka puasa yang melampau, cuma bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh, hati sentiasa mengingati Allah dan melaksanakan amalan lain dengan hanya mengharapkan keredhaan Allah.
Marilah kita melaksanakan puasa sunat Isnin dan Khamis. Kini saya cadangkan sedikit peningkatan, kita berpuasa bagaimana Nabi Daud berpuasa yang dikatakan amalan terbaik untuk berpuasa sunat. Ia puasa selang sehari.
Kenapa mudah dan ringkas? Puasa… kita tidak perlu makan dan minum sehingga tiba waktu Maghrib. Cukuplah kita berbuka dengan cara yang mudah dan ringkas, kemudian terus menunaikan solat maghrib berjemaah di masjid.
Allahu Akbar, kita tidak perlu menjadi lulusan Universiti Islam Madinah atau menghafal al-Quran untuk melaksanakan amalan ini. Ia terbuka kepada sesiapa sahaja.
Keempat, bayarlah zakat. Jaga bab ini kerana kita sering terlupa untuk membayar zakat yang pelbagai jenis terutamanya bagi mereka yang mempunyai barang kemas yang tidak dipakai, perniagaan dan hasil tanaman.
Akhir sekali, laksanakan ibadat haji dengan cara terbaik sehingga ia boleh mengubah sempadan Iman.
Saya membuat dua kali penghantaran pulang. Ia perjalanan yang berbaloi. Mungkin inilah kali pertama dan terakhir mereka berjumpa dengan saya dan Roza. Mudah-mudahan kesemua tetamu ini dan kami sekeluarga akan dapat berkumpul semula di Jannah yang paling istimewa.
Biarlah perjalanan kami ke sana "mudah dan ringkas" sebagaimana kita melaksanakan amalan-amalan "mudah dan ringkas" semata-mata kerana Allah.
December 26, 2011
Pengalaman
[image error]
Tugas malam, jika diberi pilihan sesuatu yang akan saya tolak. Semoga Allah memberkati mereka yang mencari ilmu.
Pengalaman bertambah setiap hari.
Hari ini saya mendapat pengalaman baru bertugas di tempat baru, universiti Taibah. Baru berbanding dengan kerjaya saya di UiTM yang hampir 23-24 tahun.
Ketika meninggalkan UiTM Johor, setiap pensyarah perlu mengawas peperiksaan akhir. Sebagai profesor, tugas saya sebanyak 0. Profesor Madya sekali, pensyarah kanan dua kali dan pensyarah biasa sebanyak tiga kali.
Selebihnya ia dibantu oleh pembantu pengawas yang dibayar elaun khas. Tidak banyak tetapi memadai untuk remaja yang baru lepasan SPM.
Beberapa hari yang lepas saya dimaklumkan jadual pengawasan yang perlu saya lakukan. Berapa? 10x! Lain padang lain belalang. Jadualnya pula sangat menarik, 4-6 petang dan 7-9 malam.
Saya fikir 5x akan terlepas solat maghrib dan Isya di Haram. 3x saya akan terlepas bersama Tok Sheikh Quran dan Guru bahasa Arab. Namun ia tugas hakiki. Ia perlu dilaksanakan.
Solat berjemaah bukanlah satu kesukaran. Jemaah silih berganti daripada masuk waktu sehinggalah semuanya reda. Kemudahan tempat solat yang kekal disediakan berhampiran dengan bilik-bilik kuliah dan tempat peperiksaan. Tempat berwudhu juga memang direka bersekali dengan keperluan bilik air.
Saya memerhati keadaan. Kelihatan semua pengawas riang-ria. Ia seolah-olah bukan satu beban besar yang perlu digalas. Oppps… barulah saya tahu yang ia tugas yang dibayar elaun.
Dan 10x bertugas bersamaan gaji sebulan pensyarah berserta elaunnya.
Tetamu

Jam di belakang gambar sangat benar!
Malam tadi kami menerima tetamu yang sedang menghadiri konferens di Universiti Taibah. Alhamdulillah, ia nikmat Allah kerana dapat pula tinggal di belakang Haram ketika suasana di sini belum dibanjiri oleh tetamu dari seluruh pelusuk dunia.
Teh dan rakan-rakan hanya tiba di rumah ketika jam menunjukkan 10 malam. Itulah waktu yang boleh saya dan Roza luangkan. Saya bertemu mereka di Haram sekitar jam 9.30 malam selesai usai bertugas di kampus.
Meraikan tetamu Allah sangat-sangat menghiburkan. Ia ibarat terapi. Hilang letih seharian. Jadi saya selalu maklumkan kepada mereka yang membuat panggilan, janganlah selalu menyebut, "jika tidak menyusahkan Prof… sebut sahaja… kami ingin menziarahi prof dan keluarga". Alhamdulillah, saya sangat gembira dan akan berterus-terang sama ada ia boleh dilaksanakan ataupun tidak.
Dalam banyak keadaan kami cuba mencari ruang supaya kita dapat bertemu dan berkenalan.
Saya lebih susah jika ada yang berjanji hendak bertamu tetapi pada saat-saat akhir menyatakan "minta maaf prof kami tidak dapat hadir kerana letih sangat…."
Saya ketawa bila Teh menyebut, "Prof saya kena bergambar dengan prof dan keluarga supaya kawan-kawan saya tahu yang saya datang ke rumah prof". OK… OK… kami bergambar 15 minit sebelum 12 malam waktu Saudi.
Semoga ia menjadi kenangan yang kekal abadi!
December 25, 2011
Ubah
1 Safar 1433 atau boleh ditulis 1/2/1433.
Otak saya sudah mula berfikir menggunakan tahun hijrah, takwim orang-orang Islam. Sedikit demi sedikit minda saya mula melupakan tahun Masihi yang sudah tertanam sejak dilahirkan.
Di sini, semua urusan dilakukan berdasarkan kalendar Islam. Urusan surat menyurat, jadual peperiksaan dan tarikh gaji dinyatakan menggunakan kalendar ini. Ia kelihatan kecil tetapi sangat signifikan buat jiwa seorang Islam seperti saya yang membesar dengan berkiblatkan acuan Barat.
Jadi kesan psikologi pertama ialah tiada kepentingan untuk saya meninggalkan tahun 2011 kerana tahun 1432lah yang menjadi ingatan dan keperluan kami di sini.
Selepas hampir 4 bulan di Madinah barulah saya mengenal bulan-bulan Islam. Saya boleh menyebut dengan jelas susunan bulan dalam kalendar Islam. Ia satu perubahan yang sangat menarik.
Dan menggunakan kalendar Islam tidak pula menyusahkan kehidupan kami di sini.
Kebetulan?
Ia tidak mungkin kebetulan.
Di dalam Islam tiada satu pun yang boleh dikatakan nasib baik, mujur atau secara kebetulan. Jika ada yang berkata, "nasib baik aku berjumpa dengan engkau…." maka ia merupakan satu tabiat yang perlu diubah.
Jika ada orang berkata, "mujur aku baca bab ini…. semua keluar di dalam exam," maka ia juga kata-kata yang perlu dibuang jauh.
Kesemua kejadian berada di dalam ketentuan Allah SWT. Malah kita sentiasa berdoa, terlintas di hati atau mengharap sesuatu yang sentiasa didengari oleh Allah SWT. Malah doa ibu bapa juga memainkan peranan besar dalam kehidupan manusia.
Maka sangat ironi jika kita berkata nasib baik atau mujur apabila beroleh sesuatu yang kita hajati atau mendapat sesuatu yang di luar dugaan.
Maka gantikanlah perkataan nasib baik atau mujur dengan Alhamdulillahirobbil a'alamin. Ia akan menyebabkan kita bersyukur dan mengaitkan sesuatu kejadian dengan kebesaran Allah SWT.
Malam tadi Sheikh Ahmad dan abang beliau membawa saya ke pejabat untuk mendapatkan tempat letak kereta di Haram. Pegawai yang bertugas tersengeh-sengeh dan kemudian berkata,
"Ini profesor saya, saya belajar di Universiti Taibah….."
Pelajar tahun tiga ini bukanlah pelajar di kelas saya namun beliau mengecam saya. Tentu sekali ia bukan satu kebetulan untuk saya berurusan dengan beliau.
Begitulah bagaimana Allah memudahkan kehidupan saya di bumi Madinah Munawwarah.

Setiap hari bertambah kenalan yang berada di sekitar Haram
December 24, 2011
Tetamu

Saya dipakaikan serban. Ia satu gesture menarik!
Saya meraikan 4 tetamu. 2 penduduk tempatan dan selebihnya dari Somalia. Ia suatu perkenalan yang membawa kepada perhubungan yang lebih mesra.
Abdul Walid (Somalia) sedang menuntut di Universiti Islam Madinah di peringkat sarjana. Beliau sedang menyiapkan tesis. Di sebelah petang beliau mengajar saya bahasa Arab, 4X seminggu.
Muhammad Hearsi juga berasal dari Somalia tetapi mempunyai tiga pasport, Amerika, Canada dan Somalia. Kini menetap di Canada bersama isteri dan anak-anak.
Beliau meninggalkan Canada berseorangan kerana mahu belajar al-Quran dan mempedalami bahasa Arab. Beliau rakan sekelas saya dikedua-dua kelas. Malah beliaulah yang sering menterjemahkan apa yang dikhabarkan oleh Syeikh kepada saya.
Kemudian Jaseem dan Ahmad merupakan pegawai Masjidil Haram. Allah temukan kami dalam keadaan mereka mahu berkenalan dan berkawan dengan saya. Malah bersedia pula membantu saya dan keluarga dalam urusan di masjid.
Saya fikir begitulah caranya Allah membantu hambaNya. Ia sesuatu yang tidak pernah saya fikirkan.
Allahu Akbar.
Kami hidangkan Nasi Arab berlaukan briyani Johor. Ini merupakan cubaan ketiga kami menilai penerimaan orang luar terhadap masakan Malaysia. Alhamdulillah mereka menghirup kuah briyani Johor sehingga habis.
Saya membuat kesimpulan, "Yang, sudah dua kali saya menyaksikan orang Arab menerima lauk briyani Johor awak. Ia boleh diketengahkan". Orang luar yang telah mencuba lauk ini di rumah kami datangnya dari Arab Saudi, Jordan, Palastine, Pakistan dan Somalia.
Makanan merapatkan hubungan. Ia alat komunikasi yang sangat berkesan. Bila pulang, Ahmad memeluk saya mengucapkan terima kasih yang disebutnya berulang-ulang. Cuma saya terkedu memikirkan bagaimana mahu membalas ucapan dan doa yang tidak henti-henti.
"Afwan… afwan… afwan….," itu sahaja yang ada di kepala sedangkan saya sudah mempelajari bagaimana mahu menjawab mengikut tahap-tahap tertentu yang berbeza-beza.
Di luar dugaan, beliau membuka serban dan memakainya ke kepala saya. Kemudian, beliau memasuki kereta dan keluar kembali dengan sebotol kecil minyak wangi.
Agaknya beliau sangat gembira dengan apa yang telah beliau lalui. Allahu Akbar, saya tersentuh dan bersyukur kepadaNya. Ia hari yang sangat mengujakan!
Relatif
Ia sentiasa bersifat relatif. Dataran kosong berbanding musim haji. Jika dikumpul kesemua yang ada (lelaki yang sihat-sihat) ia memadai untuk memenuhi kawasan ini. Namun waktu solat juga ia masih kosong!
Masa adalah relatif. Kehidupan juga adalah relatif. Misalnya, satu minit di akhirat berbeza dengan satu minit masa di dunia.
Begitu juga dengan kepanasan. Ia berbeza-beza.
Api yang sama boleh membakar seseorang dan ia boleh menyejukkan mereka yang lain. Kisah Nabi Allah Ibrahim yang dibakar oleh orang-orang kafir adalah contoh yang paling hampir. Mereka fikir api itu panas tetapi ia langsung tidak menjejaskan Nabi Allah Ibrahim.
Malah masa menunggu sebelum dibangkitkan juga bersifat relatif. Saya fikir kita akan dibangkitkan serentak. Namun perasaan cepat atau lambat itu berbeza-beza antara satu individu dengan individu yang lain.
Relatif sesuatu perkara itu sendiri merupakan tanda-tanda kebesaran Allah bagi mereka yang mahu berfikir.
Dulu, sahabat UiTM berpesan kepada saya, "Prof, jaga kesihatan. Jangan berjemur terutamanya ketika waktu zuhur. Suhu melebihi 45 darjah celcius". Ia pesan tahun 2009 ketika mahu berangkat menunaikan umrah.
Ketika itu saya sangat aggresif. Spontan saya menjawab, "ustaz, kenapa kita tidak memohon kepada Allah supaya menjadikan matahari sebagai pelindung kepada kita. Bukankah Allah Maha Berkuasa, Ingat kisah Nabi Allah Ibrahim yang dibakar api tetapi api itu menjadi sejuk. Kenapa kita tidak berdoa dan memberitahu Allah yang kita pergi ini semata-mata keranaMu ya Allah".
Maka logiknya, tidak ramai yang akan solat di dataran, hampir dengan Imam (ketika beliau solat hampir dengan Kaabah) kerana percaya kepanasan matahari itu boleh menyebabkan kesihatan terganggu. Maka bersandarlah ramai orang di kawasan redup, mempunyai penyaman udara dan kemudahan yang lain.
Suasana dataran Kaabah ketika saya menunaikan umrah yang baru lalu kelihatan lengang. Namun ada juga yang memilih untuk tidak bertawaf sunat ketika memasuki Haram – misalnya sebelum solat jumaat – kerana cuacanya kelihatan panas.
Malah ada yang terfikir-fikir, mahu ke saf-saf hadapan tetapi melihat-lihat jam di menara dan berbisik, "alamak masih lambat lagi. Dicampur dengan khutbah jumaat…. panas…"
Akhirnya mereka akan mencari tempat yang paling selesa di sisi hati sendiri. Bila semakin hampir dengan waktu solat, keselesaan itu mengikat ramai jemaah untuk bergerak mengisi saf-saf ke hadapan. Punggung menjadi sangat berat.
Sikap dan perangai ini - akhirnya – membawa mereka melakukan perkara yang sama hatta di Masjid Nabawi. Mereka lebih gemar berada di belakang walaupun masjid sangat kosong di barisan yang lebih hadapan.
Allah… ia terbawa-bawa pada musim haji. Malah ia diajar kepada jemaah Malaysia, "haji… kita kena banyak berehat. Tujuan kita mahu menunaikan fardhu haji. Jaga kesihatan".
Maka ramailah yang solat di hotel dengan alasan hotel jauh dan berbukit.
Alhamdulillah, kepercayaan saya benar. Saya masih segar, sihat dan bertenaga walaupun setiap waktu saya mencari-cari saf ke hadapan. Ketika bertawaf, bahang panas hilang entah ke mana. Ada kalanya awan menutupi matahari. Ada ketikanya kita berada di sebelah Kaabah yang melindungi cahaya matahari.
Allah ya Allah, ada saat-saat tertentu angin halus menyentuh kulit. Ia sangat nyaman.
Kemudian, saya mendengar khutbah jumaat berhadapan dengan Imam. Ia bukan soal mendengar khutbah kerana mereka yang berada di hotel pun masih boleh menghayatinya (mereka yang memahami bahasa Arab) tetapi ia lebih kepada keinginan untuk berada di saf-saf hadapan.
Opps… rupa-rupanya kepanasan matahari tidak berupaya untuk menyebabkan saya demam, pening kepala atau pitam. Opps… rupanya ada yang Maha Berkuasa lagi Maha Hebat daripada kepanasan matahari.
Opps… agaknya saya masih lagi aggresif sebagaimana tahun 2009. Ia berpaksi kerana ingin melakukan sesuatu atas 1 kepercayaan, hanya Allah yang Maha Berkuasa.
Saya mohon keampunan Allah. "Ya Allah, Kaulah yang satu-satunya yang aku sembah dan mohon perlindungan. Kaulah ya Allah yang aku sembah dan mohon perlindungan. Tiada sekutu bagi Mu, tiada sekutu bagi Mu".
Masjidil Haram mengajar saya tentang kehebatan dan kekuasaan Allah yang 1.
December 23, 2011
Hilton Mekah
Kami selamat sampai di Madinah.
Kini, saya lebih selesa memandu Madinah – Mekah – Madinah. Sedikit sebanyak saya sudah dapat membayangkan suasana hendak ke Masjidil Haram, Masjid Tanaim dan Kuday Muqif.
Tiga tempat ini sudah memadai untuk menunaikan umrah jika memandu sendiri!
Perjalanan kali ini lebih pantas. Dulu, saya berhenti tiga kali kerana mengantuk yang amat sangat. Jika di Malaysia saya mempunyai pembantu pemandu yang ketika-ketika tertentu menjadi peneraju utama.
Tambah-tambah lagi kami bertolak selepas waktu zuhur.
Kali ini kami meninggalkan tepat jam 3.00 pagi. Ia waktu segar saya. Jadi kami tidak berhenti di mana-mana tempat kecuali solat subuh di salah sebuah masjid di kawasan rehat lebuhraya.
7.45 kami tiba di Kuday Muqif, kawasan park and ride Mekah. Roza telah menyiapkan makan pagi yang simple, Croissent Sandwich. Ia cuma untuk alas perut. Kemudian kami mengambil teksi untuk terus ke Haram bagi menunaikan umrah.
Tambangnya SR15.
Alhamdulillah, tawaf dan saei sangat selesa. Kemudian saya bergegas semula ke Kuday kerana terfikir yang saya tidak mengunci kereta. Benar. Sangat benar!
Kemudian kami beriktiqaf di masjid sehinggalah solat zuhur. Usai zohor, kami menikmati makan tengahari di Restoran Felda De Saji. Saya – seperti biasa – makan dua keping roti canai. Tukan tebarnya orang Indon!
Kemudian, check-in di Hotel Hilton. Dulu, sebelum adanya menara jam, Hilton merupakan salah satu hotel yang paling ternama. Dulu juga, saya gerun memasuki kawasan ini.
"Mil, l sewa bilik RM5000/semalam. l hendak ajak you dan Roza bermalam di sini. Luasnya macam padang bola". Ajak seorang kenalan yang kaya-raya. Ini kisah 2-3 tahun yang lepas. Namun ia tidak menjadi kenyataan kerana saya, Roza, Amirul, Azrai, mak dan Abah sudah menyewa hotel untuk rakyat biasa.
Semalam, kami menyewa hotel yang sama. Namun kadarnya hanyalah sebahagian kecil daripada nilai RM5000. Ia offer musim sejuk. Dan luas biliknya hanyalah cukup-cukup untuk kami berempat.
Namun ia masih selangkah dengan Haram.
Allahu Akbar, solat maghrib diimamkan oleh Abdul Rahman al-Sudais.
Ia benar-benar mengembalikan kisah 4-5 tahun yang lampau ketika saya dan Roza menunaikan fardhu haji. Ia sangat indah kerana hampir setiap hari beliau yang menjadi imam pada ketika itu terutamanya solat maghrib dan Isya.
Usai Isya, saya menyampaikan kuliah kepada 15 pasangan jemaah umrah Malaysia di salah sebuah hotel, juga berhampiran dengan Haram.
Alahai… hilang penat seharian memandu, tawaf, saei dan beriktiqaf di masjid.
Ia selesai setelah hampir 2 jam saya bercakap!
3,30 pagi, kami anak beranak sudah berada di Haram. Allah… heningnya bertawaf di kala ini. Banyak perkara yang saya mohon pada Allah SWT. Paling utama saya mahu dijauhi daripada azab kubur, api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga yang paling istimewa.
Ya Allah temukan daku dengan isteri, anak-anak, ayah dan wan, mak dan abah, adik-beradik, ipar-duai, sanak-saudara, rakan-rakan dan kaum muslimin dan muslimat di syurga Mu ya Allah.
………….. ia hujung minggu yang bermakna.
http://www.youtube.com/embed/_gbtyckET3c" frameborder="0″ allowfullscreen>
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
