Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 35
January 8, 2012
Universiti Taibah

Salah satu pintu utama Universiti

Inilah office saya di Blok 12
Keseluruhan universiti di dalam pembinaan
Sekejap tadi saya menerima e-mel dari Dekan yang bertanya, "jika tidak mahu disambung kontrak sila maklumkan kepada saya". Di dalam bahasa Arab ia bertulis,
من لا يرغب تجديد عقده بنهاية العام الجامعي الحالي يرجى منه إحاطتنا
Itulah, hubungan antara Dekan dengan pensyarah kesemuanya melalui e-mel menggunakan bahasa Arab. Alhamdulillah, abang Google banyak membantu.
Ia berita baik…. setahun lagi di Madinah!
January 7, 2012
Tidak
Sudah lama saya ingin menulis soal ini namun tidak pernah kesampaian.
Saya fikir kami sekeluarga – saya, Roza, Amirul dan Sofea – sangat serasi dengan keluarga Khalid. Anak-anak mereka Fadil, Lara, Shahad, Mohamed dan akhir sekali Walad – yang baru kami temui – juga kelihatan begitu.
Khalid bercerita, "jika kami ingin ke mana-mana, tidak semua mereka bersetuju. Ia tidak begitu dengan rumah Dr. Mereka terus bersiap, Shahad mahu kelihatan cantik, mahu memakai lipstiks dan memang mahu pergi".
Begitu juga dengan Amirul dan Sofea yang sanggup menunggu di luar rumah menyambut ketibaan mereka. Ia kelihatan rasa dan perasaan yang bukan dipaksa-paksa.
Bila tiba, Shahad terus menghulur tangan kepada saya dan tersengih apabila didukung.
Namun saya lebih tertarik dengan ikatan kekeluargaan di antara Khalid, Iman dan anak-anak mereka. Anak-anak kelihatan sangat menghormati ayah dan ibu.
Mereka pandai melayani tetamu dan kelihatan tidak kekok membantu Roza menyedia dan mengemas makanan apabila berada di rumah kami.
Khalid sering bercerita tentang keberkatan. Beliau pernah berkata, "Dr tahu sesuatu yang saya percaya dan pegang ialah salah satu keberkatan hidup kita ialah bagaimana kita menjaga kedua ibu bapa. Saya tidak pernah menyatakan tidak kepada ibu bapa saya.
Saya sentiasa cuba sedaya upaya untuk memenuhi kehendak mereka daripada perkara kecil sehinggalah sebesar-besar perkara.
Bertahun-tahun saya dan Iman tinggal di Kanada. Kami selesa di sana. Malah keluarga Iman sudah menetap di sana. Bila ibu saya meminta saya pulang, saya terus bertanya Iman.
Tentu sekali dalam kepayahan, Iman bersetuju. Dia mengikut saya sebagai seorang suami. Allahu Akhbar, saya pulang tanpa kerja. Cuma saya sentiasa berdoa dan yakin dengan ketentuan Allah.
Ya Allah, Dia permudahkan kehidupan kami di sini".
Panjang cerita beliau tentang hubung beliau dengan kedua-dua ibu bapanya. Pastinya tidak sukar untuk saya menerima cerita-cerita kaitan antara hubungan ini, keberkatan kehidupan yang terpancar melalui anak-anak beliau dengan kekuasaan Allah.
Ia memang begitu.
Raudhah

Karpet di Raudhah
Semalam saya tiba di Haram beberapa minit sebelum azan Asar. Saya terus ke Raudhah. Secara relatifnya – pada ketika dan saat ini – jemaah hanya bertumpu di 5 saf hadapan dan di kawasan Raudhah.
Ruang solat di kawasan lain sangat lengang.
Malah saya masih boleh mencari tempat solat yang selesa.
"Wah… karpet Raudhah kelihatan sangat bersih dan kelihatan baru…." itulah yang terdetik di hati.
Saya tidak tahu samada ia ditukar baru atau sekadar dicuci kerana warna dan jenis karpet ini sudah sedia ada semenjak saya mengunjungi Madinah lima tahun yang lampau.
Malah ia jauh lebih lama.
Warna dan karpet ini menyimpan kenangan buat ramai jemaah haji atau umrah. Ia suatu perasaan yang berbentuk emosi yang sangat luar biasa.
Jika mahu memberitahu orang yang bertanya tentang Raudhah, "kau carilah tempat yang berkarpet hijau, maka itulah Raudhah".
January 6, 2012
Walad
Walid, anak lelaki Sheikh Khalid memotong Kunafa resepi ibunya.
Ini anak lelaki sulung Sheikh Khalid – Walid – yang sedang menuntut di Kanada dalam bidang komunikasi. Beliau bercuti hujung dan awal tahun. Saya tahu beliau sangat-sangat berbangga dengan Walid dan beria-ia mahu memperkenalkan Walid kepada kami sekeluarga.
Benar sekali. Walid seorang yang sangat charming. Mereka yang hampir dengannya akan mudah teruja. Tutur katanya sangat tertib. Nampak beliau sangat dewasa berbanding dengan usianya yang baru melepasi angka 20.
Anak-anak anugerah Allah. Ibu bapalah yang membentuk anak-anak menjadi Majusi atau Nasrani. Anak soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya merupakan tinggalan yang akan terus menghubungkan keduanya.
Saya doakan Walid menjadi anak yang soleh.
Kunafa
Malam tadi Iman memperkenalkan Kunafa, sejenis manisan Arab kepada kami sekeluarga. Kunafa atau juga dikenali dengan pelbagai sebutan lain seperti Kanafeh, knafeh, kunafeh, kunafah. Ia sangat lazat.
Mereka juga membawa Qahwah, kopi Arab yang diadun sendiri oleh Iman. Rasanya sedikit berbeza berbanding dengan apa yang dihidangkan di Haram ketika berbuka puasa.
"Mereka lebih sedap membancuh Qahwah," akui Iman. Ia sedikit berbeza tetapi saya menyukainya. Memang… saya sudah serasi dengan Qahwah yang tidak bergula, rasanya yang sangat unik dan menyegarkan.
Roza pula menyediakan 100% makanan Barat. Ia bermula dengan sup lobak merah dan kentang, roti bawang putih, ayam panggang madu berempah, kentang lecek, coleslaw, spaghetti bolognise dan jus epal.
"Boleh ceritakan sedikit budaya kenduri kahwin orang Arab?," saya bertanya Khalid. Itulah sedikit penyelidikan yang dapat saya lakukan kerana menerima jemputan kahwin.
"You patut pergi. Ia unik. Majlis akan bermula lewat. Saya syorkan you bertolak dari rumah jam 10 malam. MasyaAllah, ia akan berakhir jam 3 pagi".
"Boleh saya balik awal?"
"Tiada siapa peduli. Kebiasaannya, makanannya sedap. Orang lelaki akan dihidangkan dengan nasi dan kambing. Di sebelah perempuan lebih banyak makanan.
Biasanya juga orang lelaki balik dahulu. Acara wanita panjang tetapi you boleh call Roza jika mahu pulang awal".
Khalid dan Iman bersambung cerita tentang budaya kahwin Arab. Banyak yang saya pelajari. Mudah-mudahan saya berkesempatan melihat sendiri majlis tersebut!
January 5, 2012
Tetamu dari Jedah

Terima kasih kerana hadir ke rumah kami sekeluarga
Malam tadi hari terakhir saya mengawas peperiksaan di sebelah malam. Ia malam minggu di sini. Lega. Bukanlah ia satu tugas yang membebankan, apatah lagi ia berbayar. Jika ada pilihan, saya lebih suka mengatur sendiri masa malam tanpa terikat dengan kerja rasmi.
Malam tadi saya menerima kunjungan 5 wanita dari Jeddah serta Yus sekeluarga dari Yanbo. Turut serta Ustaz Asri, pelajar sarjana pengajian Islam di Universiti Taibah.
Lalu saya maklumkan pada Ida dan geng (agak saya kesemuanya nurse yang bekerja di hospital tentera di Jeddah) supaya menunggu saya dan Roza di Haram pada jam 9.30 malam.
"Ida pergi Raudhah dulu dan tunggu kami di parking 11A, 9.30 malam," saya menyusun masa dan jadual. Saya juga maklumkan kepada Yus supaya tiba di rumah pada jam 9.50 malam.
Begitulah…
Pagi ini kami mengajak Uzair dan isteri untuk makan pagi bersama. Uzair merupakan pelajar di peringkat sarjana di universiti Madinah. Isteri Uzair sedang mengandung.
Kata Roza, "orang mengandung biasanya sangat gembira apabila dijemput makan. Tambah-tambah lagi apabila di perantauan".
Malah beliau mempelawa rakan sekelas (Lebanon) yang baru sebulan dua mengandung dengan kata-kata, "minta sahaja apa yang terasa hendak makan, saya cuba masak".
Opsss… "benar puan?," tidak mempercayai apa yang didengari oleh telinganya.
Di sebelah malam, kami menjemput Sheikh Khalid dan Iman untuk makan malam yang simple di rumah. Kami meraikan anak sulung mereka yang pulang bercuti dari Kanada.
Seronok menerima tetamu. Terima kasih pada Ida dan geng, Yus sekeluarga dan semua tetamu-tetamu kami yang lain.
January 4, 2012
Jemputan kahwin
10x mengawas peperiksaan saya telah dipadankan dengan 7 pensyarah yang berbeza. Seorang dari Algeria, tiga dari Jordan, dua dari Arab Saudi dan seorang dari Maghribi.
Mereka merupakan kenalan baru daripada pelbagai fakulti yang berbeza.
Malam tadi saya berpeluang berkenalan dengan Dr Mohammed dari Arab Saudi. Beliau dilahirkan di Madinah, dibesarkan di Madinah, belajar di peringkat PhD di Universiti Ohio dan pernah bekerja di Riyadh sebelum berkhidmat di Taibah Universiti.
Dr Mohamad mempunyai tiga pasang anak hasil perkahwinan dengan sepupu beliau yang beliau pilih sendiri. Kisah perkahwinan ini diceritakan kepada saya dalam senyum dan tawa.
"Tidak bagus kahwin dengan keluarga yang hampir tetapi itu yang saya nampak".
Anak sulung beliau – lelaki – menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan komputer. Anak bongsu pula berusia 9 tahun.
Emmm…. beliau hanya mempunyai seorang isteri. Kenyataan beliau, "saya takut isteri" dan ketawa besar apabila ditanya kenapa tidak dua, tidak tiga dan tidak empat.
Benarkah orang Arab Saudi "reserve" dengan diri dan keluarga mereka? Masakan begitu dengan maklumat yang saya perolehi dalam tempoh tidak sampai pun 30 minit.
Entah… setakat ini kami – saya dan Roza – mempunyai pengalaman yang sangat berbeza dengan kenalan baru. Mereka kelihatan OK-OK sahaja. Barangkali rasa takut dengan cerita-cerita orang menyebabkan saya sangat-sangat bergantung kepadaNya.
Salah satu doa yang sering diungkapkan, "jalinkan hubungan yang baik dengan dengan penduduk setempat….. berikanlah rasa kasih, sayang dan cinta di antara kami…..".
Allahu Akbar…. selepas sejam bersama barulah beliau bertanya nama saya.
"Ana Mohd Kamil min Malaysia. Laughatul Arabia shuwei-shuwei". Itu sahaja permulaannya. Kemudian saya bertanya dalam bahasa Inggeris.
"Adakah tuan orang Saudi?"
"Ya.. saya orang Madinah"
"Maulid Madinah? Wajah tuan berbeza. Kulit tuan berbeza".
Benar sekali. Itulah yang Allah lembutkan lidah untuk memulakan perbualan. Wajah beliau sangat berbeza dengan orang-orang Saudi yang pernah saya berbual.
Merah padam muka beliau. Beliau tersenyum. Akhirnya beliau bercerita yang asal-usulnya keturunan Nabi Muhammad SAW. Kemudian beliau bercerita tentang keberkatan Madinah, keluarga, budaya Arab dan tentang pendidikan orang-orang Saudi.
Kami berpisah dengan saya berkata, "saya gembira bertemu dan bercakap dengan tuan. Satu hari nanti – saya harap – tuan sudi menerima jemputan untuk makan malam di rumah saya, kita makan makanan Malaysia.
Opps… kami berjumpa semula di kawasan letak kereta dan beliau memanggil saya,
"Dr… 18hb nanti, 24 Safar anak saya akan melangsungkan perkahwinan. Ini kira jemputan daripada saya untuk Dr.."
"Allahu Akbar, MasyaAllah, Alhamdulillah… gembira saya dengan jemputan ini. Maaf saya bertanya, boleh saya bawa isteri?"
"Boleh… boleh… bawa anak-anak sekali… majlis selepas Isya… datanglah dalam pukul 10 malam dan bersiap sampai jam 3 pagi. Wanita dipisahkan sesama wanita.
Beliau memberikan nombor telefon untuk saya menghubungi beliau.
Saya fikir bertambah seorang lagi kenalan dengan penduduk tempatan!
January 3, 2012
NOTIS
Pertukaran Nombor Telefon
Jika mahu berhubung dengan saya dari luar Arab Saudi, +966502127721 atau jika sudah sampai di sini, cukup dengan 0502127721. Mohon maaf di atas sebarang kesulitan.
Puasa Nabi Daud
Semalam saya menulis entri yang sengaja ditinggalkan.
"Selain belajar bahasa Arab, saya suka berbincang beberapa isu yang menarik perhatian. Memandangkan beliau seorang lulusan pengajian hadis maka saya gemar bertanya tentang kepakaran beliau.
Misalnya, saya pernah bertanya tentang hadis ini,
Rasulullah bersabda: "Puasa yang paling Allah cintai ialah puasa Nabi Daud, iaitu dia berpuasa satu hari dan berbuka satu hari. Solat yang paling Allah sukai ialah solat Nabi Daud, iaitu dia tidur hingga pertengahan malam lalu bangun mendirikan shalat pada sepertiga malam dan tidur lagi di akhir seperenam malamnya." [Shahih al-Bukhari, no: 3167].
Soalan saya agak kritikal, kenapa agaknya Allah mencintai puasa nabi Daud? Ia mesti ada penjelasan yang boleh difikirkan."
Ia perbincangan bersama Walid dan Hearsi, dua pemuda Somalia. Namun jauh di sudut hati saya ingin berdakwah kepada mereka berdua dengan cara yang cukup halus.
Hakikatnya, banyak soalan yang tidak mempunyai atau memerlukan jawapan. Lalu mungkin ada yang berkata ia perkara remeh-temeh. Ulamak tidak melihat ia isu besar yang perlu diperjelaskan.
Saya selalu terfikir, ilmu Allah ada pada setiap orang. Ia boleh berlaku kerana mereka ke sekolah atau universiti, menadah kitab, mendengar ceramah dan kuliah atau melalui pengalaman yang telah dilalui.
Malah ibu, ayah dan keluarga memberi ilmu yang tidak ternilai. Jika ia melalui pengalaman, maka ia menjadi milik mereka yang telah melalui pengalaman tersebut. Jika tidak dibukukan atau diceritakan, ilmu tersebut akan turut berkubur bersama mereka.
Benarlah firman Allah melalui surah al-Baqarah ayat 255 yang bermaksud,
"…….yang Mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya) …….."
Walid merenung saya. Tentu sekali beliau tidak menyangka saya bertanya soalan "bodoh" yang mungkin tidak ditanya oleh bijak pandai yang lain.
Adakah ia soal kuantiti? Tidak mungkin kerana Rasululullah SAW melarang mereka yang ingin berpuasa sepanjang masa. Akhirnya, saya bertanya beliau, "mahukah tuan memikirkan jawapan yang ingin saya sampaikan?".
Walid dan Hearsi melihat dan mendengar hujah saya dengan tekun. Lalu saya mulakan dengan nada yang sangat berhati-hati,
"Ini kali kedua saya menyampaikan pendapat ini. Pertama kepada isteri saya dan kedua kepada tuan-tuan berdua. Saya fikir ada ilmu yang diperolehi melalui praktikal.
Allah cintakan puasa Nabi Daud yang selang sehari berpuasa. Tuan-tuan kena cuba dahulu berpuasa sebagaimana Nabi Daud berpuasa, InsyaAllah Dia akan bagi ilmu tersebut. Lakukan secara konsisten.
Ramai di antara kita belajar dan mengetahui tentang amalan ini. Saya bukan pakar hadis tetapi saya tahu amalan ini sejak empat tahun yang lepas. Namun jika orang bertanya soalan yang sama - pada ketika itu – sudah pasti saya tidak mampu menjawab.
Kini sudah sebulan lebih saya berpuasa selang sehari (nota: ampunkan saya ya Allah jika ia lahir dari rasa riyak takbur dan angkuh. Aku tidak mahu begitu ya Allah, aku mohon izin bercerita untuk menyampaikan sedikit ilmu yang Kau pinjamkan kepada daku).
Pernah dengar orang menulis, susah dan senang, sakit dan sihat, suka dan duka, cantik dan hodoh, kaya dan miskin serta pelbagai sifat yang berlawanan mempunyai nikmat yang sama?
Pada satu tahap, ia sesuatu yang sukar diterima. Apatah lagi untuk merasai perasaan tersebut. Mana mungkin lapar dan kenyang mempunyai nikmat yang sama.
Realitinya, bila manusia berduka, sakit, hodoh dan miskin maka ia lebih mudah untuk merayu dan merintih kepadaNya. Jika sifatnya berlawanan manusia akan lebih rileks, santai dan sedikit jauh daripada Allah SWT".
Tentu sekali saya tidak menghadapi masalah untuk memahamkan mereka dengan hujah-hujah yang saya ingin kemukakan. Pertama saya berhadapan dengan ilmuan agama dan kedua dengan seorang jurutera yang mempunyai syarikat perniagaan sendiri.
Tinggal lagi mereka tidak pernah mencuba dengan apa yang dicintai Allah itu. Ia kelihatan sangat sukar.
Lalu saya sambung, "bila saya berpuasa selang-sehari, tiada lagi nilai kenyang dan lapar. Hari berpuasa dan tidak berpuasa mempunyai nilai yang sama dari sudut kenyang dan lapar. Tuan-tuan akan dianugerahkan perasaan dan nikmat tersebut.
Maksud saya, nilai kenyang dan lapar hilang sehingga wujud nilai baru yang terlalu abstrak.
Dan perasaan ini akan membawa kita melihat tentang kebesaran Allah. Perasaan cintakan Allah pada setiap waktu. Bagaimana? Entah. Berpuasalah dahulu… bukankah Allah paling mencintai puasa ini? Bukankah Allah mencintai orang yang cintakan Dia?
Bukankah selangkah kita hampir denganNya, beribu langkah Dia hampir dengan kita?"
"MasyaAllah… MasyaAllah… MasyaAllah…"
Saya memberi pendapat. Mereka lebih berilmu, bijak dan pandai daripada saya. Alhamdulillah, akhirnya saya bersyukur kerana Hearsi sudah memulakan puasa Nabi Daud selang sehari selepas perbincangan ini.
Ia tidak memerlukan modal yang besar.
NotaMKI: Begitulah…. jika kita masih tertanya-tanya bagaimana mahu solat malam… lakukan… lakukan dan rasailah nikmat tidak tidur yang sama manisnya dengan nikmat tidur. Ia hanya berlaku (mengikut aturannya) selepas melepasi tahap-tahap tertentu. Pastinya ia memerlukan langkah pertama sebelum ada langkah kedua.
January 2, 2012
Tabung KRTS untuk Baitul Ehsan

Ruang atas Baitul Ehsan selepas berbumbung

Bumbung dalam proses pembikinan

Pemasangan Tiles
Ingat lagi dengan sumbangan khalayak KRTS dan rakan FB kepada Baitul Ehsan?
Alhamdulillah, Baitul Ehsan kini mempunyai bumbung di bahagian atas rumah mereka. Ia kawasan lapang yang boleh digunakan untuk solat berjemaah, kuliah dan pelbagai kegiatan lain.
Ia seharusnya kekal begitu buat masa yang panjang.
Terima kasih daripada mereka di Baitul Ehsan kepada kesemua mereka yang telah menyumbang.
Alhamdulillah….
Bertanya atau berbincang
Guru bahasa Arab saya ialah pemuda Somali. Beliau masih lagi mengikuti pengajian Hadis di peringkat sarjana. Minggu ini saya sepatutnya terlepas dua kelas akibat dijadualkan menjaga peperiksaan di Universiti.
Semalam beliau mencadangkan, "Jika Dr boleh kita awalkan kelas sebelum waktu zohor….". Beliau bersungguh mahu mengajar. Beliau juga seorang guru yang baik, sabar dan menjaga masa.
Alhamdulillah.
Selain belajar bahasa Arab, saya suka berbincang beberapa isu yang menarik perhatian. Memandangkan beliau seorang lulusan pengajian hadis maka saya gemar bertanya tentang kepakaran beliau.
Misalnya, saya pernah bertanya tentang hadis ini,
Rasulullah bersabda: "Puasa yang paling Allah cintai ialah puasa Nabi Daud, iaitu dia berpuasa satu hari dan berbuka satu hari. Solat yang paling Allah sukai ialah solat Nabi Daud, iaitu dia tidur hingga pertengahan malam lalu bangun mendirikan shalat pada sepertiga malam dan tidur lagi di akhir seperenam malamnya." [Shahih al-Bukhari, no: 3167].
Soalan saya agak kritikal, kenapa agaknya Allah mencintai puasa nabi Daud? Ia mesti ada penjelasan yang boleh difikirkan.
Dan ia sangat menarik!
January 1, 2012
45
Ia hanya satu tanda betapa masa untuk meninggalkan dunia ini semakin hampir. Tanda yang terletak kepada diri sendiri.
Ia tidak perlu matahari naik dari sebelah Barat atau menyaksikan mereka yang menunaikan fadhu haji atau umrah umpama berjalan-jalan ke Paris atau London.
Kita tidak perlu menunggu atau menyaksikan bagaimana orang menjual agama dengan harga yang sangat murah.
Mungkin juga tidak perlu melihat begitu banyak tanda-tanda lain betapa masa kita sebenarnya sangat dan kian suntuk.
Akhirnya, ada tanda-tanda yang sangat hampir dengan diri sendiri. Umur kita tidak akan berganjak ke belakang.
"Yang, saya doakan awak agar semakin hampir dengan Allah. Tiada yang lebih bermakna selain dapat berkumpul semula di syurga yang paling istimewa.
Dan saya doakan agar kita ke sana tanpa dihisab dengan rahmatNya. Penuhilah sisa-sisa kehidupan menjadi wanita solehah".
Allahu Akbar.
December 31, 2011
2012
2011 berakhir dan 2012 bermula.
Di sini juga ada sedikit sambutan menyambut tahun baru Masihi. Sekolah Sofea dan Amirul cuti.
Itu sahaja.
Namun saya meninggalkan Malaysia pada 2011. Cukup banyak peristiwa besar yang telah kami lalui pada tahun tersebut.
Pertama, kami bermula dengan banjir besar yang telah melanda Segamat. Rumah kami ditenggalami air paras dada. Engin Kereta NAZA tidak dapat dibaik-pulih. Ia perlu digantikan.
Hampir seluruh pakaian, perabut dan peralatan lain musnah. Kitab-kitab kesayangan mengembang sampai 2-3 kali ganda.
Ia ujian kedukaan.
Kemudian, Abah pergi buat selama-lamanya. Sebulan kemudian Ayu (adik) menyusul. Kami kehilangan ahli keluarga yang hampir.
(bersambung)
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
