Jemputan kahwin
10x mengawas peperiksaan saya telah dipadankan dengan 7 pensyarah yang berbeza. Seorang dari Algeria, tiga dari Jordan, dua dari Arab Saudi dan seorang dari Maghribi.
Mereka merupakan kenalan baru daripada pelbagai fakulti yang berbeza.
Malam tadi saya berpeluang berkenalan dengan Dr Mohammed dari Arab Saudi. Beliau dilahirkan di Madinah, dibesarkan di Madinah, belajar di peringkat PhD di Universiti Ohio dan pernah bekerja di Riyadh sebelum berkhidmat di Taibah Universiti.
Dr Mohamad mempunyai tiga pasang anak hasil perkahwinan dengan sepupu beliau yang beliau pilih sendiri. Kisah perkahwinan ini diceritakan kepada saya dalam senyum dan tawa.
"Tidak bagus kahwin dengan keluarga yang hampir tetapi itu yang saya nampak".
Anak sulung beliau – lelaki – menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan komputer. Anak bongsu pula berusia 9 tahun.
Emmm…. beliau hanya mempunyai seorang isteri. Kenyataan beliau, "saya takut isteri" dan ketawa besar apabila ditanya kenapa tidak dua, tidak tiga dan tidak empat.
Benarkah orang Arab Saudi "reserve" dengan diri dan keluarga mereka? Masakan begitu dengan maklumat yang saya perolehi dalam tempoh tidak sampai pun 30 minit.
Entah… setakat ini kami – saya dan Roza – mempunyai pengalaman yang sangat berbeza dengan kenalan baru. Mereka kelihatan OK-OK sahaja. Barangkali rasa takut dengan cerita-cerita orang menyebabkan saya sangat-sangat bergantung kepadaNya.
Salah satu doa yang sering diungkapkan, "jalinkan hubungan yang baik dengan dengan penduduk setempat….. berikanlah rasa kasih, sayang dan cinta di antara kami…..".
Allahu Akbar…. selepas sejam bersama barulah beliau bertanya nama saya.
"Ana Mohd Kamil min Malaysia. Laughatul Arabia shuwei-shuwei". Itu sahaja permulaannya. Kemudian saya bertanya dalam bahasa Inggeris.
"Adakah tuan orang Saudi?"
"Ya.. saya orang Madinah"
"Maulid Madinah? Wajah tuan berbeza. Kulit tuan berbeza".
Benar sekali. Itulah yang Allah lembutkan lidah untuk memulakan perbualan. Wajah beliau sangat berbeza dengan orang-orang Saudi yang pernah saya berbual.
Merah padam muka beliau. Beliau tersenyum. Akhirnya beliau bercerita yang asal-usulnya keturunan Nabi Muhammad SAW. Kemudian beliau bercerita tentang keberkatan Madinah, keluarga, budaya Arab dan tentang pendidikan orang-orang Saudi.
Kami berpisah dengan saya berkata, "saya gembira bertemu dan bercakap dengan tuan. Satu hari nanti – saya harap – tuan sudi menerima jemputan untuk makan malam di rumah saya, kita makan makanan Malaysia.
Opps… kami berjumpa semula di kawasan letak kereta dan beliau memanggil saya,
"Dr… 18hb nanti, 24 Safar anak saya akan melangsungkan perkahwinan. Ini kira jemputan daripada saya untuk Dr.."
"Allahu Akbar, MasyaAllah, Alhamdulillah… gembira saya dengan jemputan ini. Maaf saya bertanya, boleh saya bawa isteri?"
"Boleh… boleh… bawa anak-anak sekali… majlis selepas Isya… datanglah dalam pukul 10 malam dan bersiap sampai jam 3 pagi. Wanita dipisahkan sesama wanita.
Beliau memberikan nombor telefon untuk saya menghubungi beliau.
Saya fikir bertambah seorang lagi kenalan dengan penduduk tempatan!
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
