Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 39

December 5, 2011

Anugerah Allah

Al-Quran merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai kepada hambaNya. Seorang ulamak terkenal Muhammad Abduh menyatakan,


"teruslah membaca al-Qur'an dan memahami kandungan nilai, perintah, larangan, nasihat, dan pelajaran (ibrah) sebagaimana al-Qur'an dibaca pertama kali, oleh orang-orang Islam pada masa-masa awal diturunkannya…..


Dan bacalah tafsir terdahulu, ketika mengalami kesusahan dalam memahami kaedah-kaedah atau makna ayat dan bawa diri kepada keperibadian yang dibentuk oleh al-Qur'an.


Selama akal manusia bersih dan sihat, selama manusia masih menikmati indahnya kemampuan daya akalnya yang sihat, maka dia memiliki hak untuk membuka rahsia-rahsia yang tersimpan dalam al-Qur'an tanpa harus menjadi pengikut".


Saya berusaha membaca al-Quran sekurang-kurangnya semuka sehari berserta terjemahannya. Benar sekali, hati terasa lapang, ia menjawab banyak persoalan yang berliku di minda, kerumitan kehidupan terungkai dan pelbagai perkara dipermudahkan.


Allahu Akbar!


Namun terjemahah dan tafsir acapkali menyebut-nyebut, Allah itu Maha Berkuasa, Dia mampu melakukan apa sahaja tetapi setiapnya mempunyai aturan tertentu. Berulang-ulang ditulis dan ditafsir begitu.


Aturannya mudah. Api panas. Hulurlah tangan ke dalam api, ia pasti membakar tangan kita. Bagaimanapun, Allah itu Maha Berkuasa, api yang sama – menjulang ke langit – tidak membakar Nabi Allah Ibrahim.


Lihatlah aturan bulan dan bintang, peredaran matahari, malam dan siang, muda dan tua, hidup dan mati ia mempunyai aturan tertentu. Allah Maha Berkuasa, tunggulah nanti apabila matahari diterbitkan daripada Barat. Allahu Akbar!


Itu aturan yang besar-besar.


Ia juga jelas dalam kehidupan manusia itu sendiri. Jika mereka bersungguh untuk melakukan sesuatu, InsyaAllah, Allah tunaikan. Orang yang mahu bangun malam menyaksikan livetelecast bolasepak mampu bangun kerana beliau berusaha ke arah itu.


Begitu juga dengan amal ibadat khusus, jika mereka bersungguh-sungguh mahu melakukannya, InsyaAllah Allah akan perkenankan. Bersungguh-sungguh ini pula sangat subjektif.


Ramai orang berasa mereka sudah bersungguh-sungguh tetapi dalam bersungguh itu mereka berburuk sangka dengan Allah SWT. Tahap keyakinan kepada Allah pudar – tanpa disedari – apabila permohonan mereka belum termakbul. Tidak termakbul pun bukanlah dalam konteks yang mutlak.


Lalu mereka berkata, "segala-galanya anugerah Allah, saya tidak mampu melakukannya", sedangkan mereka belum menemui ajal lagi.


Allahu Akbar. Mari saya permudahkan.


Hampir seluruh anggota keluarga GOSOK GIGI setiap hari. Sekurang-kurangnya sekali sehari. Ada pula yang menggosok gigi mereka 3X sehari atau setiap kali selepas makan.


Kenapa mereka mampu melakukannya? Hampir semuanya! Ya Allah.. hampir semua sekali. Ia anugerah Allah…. hampir semua sekali. Ya Allah, Allah anugerahkan hampir semua orang nikmat gosok gigi.


Kenapa bila solat malam tidak begitu?


Ia ada aturannya!


Dan aturan yang paling asas, mahu melakukan segala-galanya kerana Allah. CintakanNya dan mahu bersyukur di atas segala nikmat yang telah dianugerah kepada kita. Ia berputar-putar dalam kehidupan antara nikmat dan bersyukur sehinggalah kita dipanggil mengadapNya.


Semoga Allah memudahkan kehidupan, pemikiran dan pemahaman kita.


Tetamu Allah


Tetamu Allah dari UiTM


Hari-hari terakhir jemaah haji di Madinah.


Malam tadi, dua pasangan suami-isteri daripada UiTM berada di rumah kami. Profesor Dr Syed Hassan dan isteri daripada fakulti perubatan serta Dr Hanafiah dan isteri daripada fakulti Sains Gunaan.


Sejurus bertentang mata dengan Prof Syed, beliau bertanya saya, "Prof, tidakkah ia menyusahkan prof?". Jawapan saya, "Ia menyusahkan. Kesusahan yang saya suka. Ia lebih susah jika mereka berjanji hendak hadir tetapi membatalkannya di saat-saat akhir".


Saya bercerita lagi, "ia lebih susah jika ada jemaah yang membuat panggilan dan berkata, boleh saya ziarah prof, saya akan balik dua hari lagi".


Tentu sekali kami sangat gembira apabila jemaah tiba di Madinah terus membuat panggilan dan secara spesifik menyatakan, "kami ingin ke rumah prof". Alhamdulillah ia memudahkan saya dan Roza menyusun jadual.


Semalam, saya bertemu ramai jemaah haji Malaysia yang mahu pulang ke Malaysia. Tuan Haji Amir saya bawa bersama belajar al-Quran bersama Tok Sheikh Mutiuallah. Merasai bagaimana kehidupan saya di Madinah. 


Ha… ha… menyaksikan bagaimana saya diketuk tangan dengan tongkat Tok Sheikh kerana menggunakan jari hantu untuk menunjukkan baris-baris ayat al-Quran.


Ada juga yang berjumpa di Parking 11A, mengucapkan selamat tinggal.


Kami akan merindui suasana ini.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 05, 2011 18:24

December 4, 2011

Ia berubah lagi

Inilah sheikh saya. Guru Quran ke 4


Kehidupan kami sekeluarga berubah lagi. Saya dan Amirul memulakan pengajian al-Quran di Haram. Roza dan Sofea akan menyusul.


Inilah guru Quran saya. Ia guru ke 4 selepas Ustaz Hafizi, Idris dan Azrul. Sudah 2 malam saya bersama beliau. Orangnya sudah tua, menggunakan kerusi roda untuk bergerak dan boleh sedikit-sedikit berbahasa Inggeris.


Ia satu pengalaman luar biasa berguru bersama beliau. Sangat berbeza berbanding sebelumnya. Orangnya garang tetapi hanya pada zahir sahaja. Ia unik.


InsyaAllah, saya sedang menghayati pengalaman baru ini dengan sabar dan tekun. Siapa tahu, 3-4 tahun nanti saya dapat menghafal al-Quran di bawah bimbingan beliau.


Lalu saya ceritakan kepada rakan sejawat di universiti. Ramai yang sudah berada di sini melebihi 2 tahun dan tidak pernah terfikir untuk mengambil peluang di atas nikmat yang Allah berikan.


Salah seorang merenung wajah saya dalam keadaan terpinga-pinga. Agaknya beliau terfikir, "kenapa aku tidak terfikir begitu?".


Allah… Allah… Allah itulah dakwah yang paling halus yang boleh saya sampaikan kepada mereka. Belajarlah…. kita tidak pernah pandai dan sampai bila-bila kita tidak akan pandai berbanding dengan ilmu Allah hatta beliau seorang profesor.


Akhirnya ada dua pensyarah yang mengikut jejak. Mudah-mudahan ia bermanfaat.


Tetamu Allah


Nurli serta kaum keluarga


Mudah-mudahan mereka mendapat haji mabrur


Ini minggu terakhir kami menerima tetamu di rumah kecil di Jabal Ohud. Ada dua hari lagi – malam ini dan esok – dan mungkin juga jika berkesempatan pada hari Jumaat.


Kami mohon maaf kerana terpaksa menolak beberapa permintaan kerana akan menunaikan umrah pada hari Rabu ini.


Kami berdoa agar tetamu-tetamu kami dan semua jemaah haji mendapat haji mabrur.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 04, 2011 18:31

December 3, 2011

Saya mahu

Ada beberapa soalan popular yang ditanya oleh jemaah haji. Misalnya, saya mahu bangun malam tetapi tidak mampu. Bagaimana caranya Prof?


Jika memberi kuliah, saya akan sampaikan teori dan kaedah yang sangat praktikal terutamanya buat mereka yang sampai ke Madinah terlebih dahulu. Ibadat Hajilah yang boleh mengubah sempadan iman kerana keadaannya sangat kondusif untuk memulakan sesuatu amalan baru.


Kedua, ketika bulan Ramadhan, dan seterusnya….


Jika kami berseorangan – F2F – ditanya soalan yang sama maka saya terus nyatakan, "you bohong… you tidak mahu bangun malam!"


Tentu sekali beliau akan terkejut dengan jawapan tersebut.


"Bangun malam serupa sahaja bangun pagi. Kalau hendak bangun, bangun ajelah… kenapa ada cara pula?"


"Saya cuba tetapi tidak boleh…"


"Kunci jam… cari jam loceng yang bunyinya bergema satu bangunan…"


Beliau bosan dengan jawapan saya. Lalu saya bertanya lagi, "sudah berapa ustaz yang you tanya soalan yang sama?"


Diam.


"Itulah ramai di antara kita berdolak-dalih. Kisah-kisah ini diceritakan di dalam al-Quran. Bacalah. Saya bagi contoh bagaimana orang munafik meminta dengan Nabi supaya Allah arahkan mereka pergi berperang, bila berlaku demikian merekalah yang pertama meninggalkan Rasululullah"


Lalu saya berkata, "jujurlah kepada diri sendiri. Ia bukan untuk Dia, Allah tidak memerlukan apa-apa daripada kita. Jujurlah kepada diri kita, apakah yang kita kehendaki?".


Ada masanya berbicara seumpama ini meninggalkan kesan. Ada berpuluh yang berbual dengan saya sebegini dan ia menjadi rahsia yang kekal selamanya.


Ia semata-mata kata kerana Allah!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 03, 2011 08:54

December 2, 2011

Tetamu istimewa

Ayah saya meninggal dipangkuannya.


Ustaz Mat merupakan dua pupu ayah. Umur beliau sudah 75 tahun. Ayah selalu berurut dengannya. Kali terakhir arwah berkunjung ke rumah beliau, juga mahu berurut. Belum sempat berurut, ayah memberitahu Ustaz Mat, "saya sesak nafas, saya rasa umur saya sudah sampai".


Lalu Ustaz Mat berkata, "marilah duduk di riba saya. Mengucap…..".


Dan itulah akhir ayah!


Ustaz Mat sudah tidak boleh mendengar. Kata beliau, "pergi ke Bangkok membeli Kuali, saya sudah pekak dan tuli". Di kampong, Ustaz Mat sering diminta untuk mengubat orang hatta penyakit doktor. Saya sering mengusik, anak sendiri doktor tetapi ayahnya juga seorang doktor.


Saya bertanya Kak Lah (isteri beliau), apa amalan beliau sehingga Allah sangat memakbulkan doa-doanya. Allahu Akbar, beliau sangat konsisten bangun malam. Setiap hari beliau akan terjaga dan bangun sekitar jam 3 pagi.


Saya ketawa bila Kak Lah bercerita, "rakan sebilik marahkan Ustaz Mat kerana bangun jam 3 pagi, mengganggu tidur mereka".


Allah, Allah, Allah, saya fikir Ustaz Mat sudah tua, pekak dan tuli dan bila berzikir mungkin beliau menyangka ia dilakukan secara perlahan. Tentulah dimarah orang!


Alangkah ruginya mereka yang terjaga kerana Ustaz Mat berjaga tidak berwudhu dan terus ke Haram.


Tetamu kedua ialah Wan Nazmi dan isteri. Isteri beliau – Hanida – anak kepada guru saya semasa belajar di Sekolah Rendah Tengku Mahmood. Sengaja saya kumpulkan mereka berempat untuk hadir ke rumah.


Roza pula menyediakan menu yang baru diplajari daripada Iman, rakan Arab yang telah saya ceritakan dalam entri terdahulu dengan sedikit modifikasi. Alhamdulillah, ia sudah boleh diketengahkan dengan sekali percubaan.


Ayam Tandoori, rempah yang dibawa oleh jemaah dari Brunei, tentunya dikirim oleh orang Brunei.


Nasi Gidra yang baru dipelajari. Ubahsuai dimakan bersama ayam tandoori.


Ustaz Mat, Wan Nazmi dan Amirul menikmati nasi resepi baru


Roza dan Sofea melayani Hanida dan Kak Lah menjamu selera

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 02, 2011 19:42

December 1, 2011

Berkenalan

Salah satu doa yang sering dimohon, "ya Allah jalinkanlah hubungan yang baik antara kami dengan penduduk setempat, berikanlah perasaan kasih-sayang, cinta mencintai dan saling hormat-menghormati".


Kami berada di negeri asing. Benar, ia bumi Allah tetapi rasa cinta dan kasih agar hati kami sentiasa teguh mahu berada di Madinah bergantung atas banyak faktor. Salah satunya, keseronokan kerana diterima oleh penduduk setempat.


Di atas segalanya, ia anugerah Allah.


"Pada saat Dr memasuki bilik saya, saya melihat wajah Dr, hati saya terus berkata yang Dr boleh dibuat kawan," itulah pengakuan Mr Khalid, pengurus United Motors.


Saya bersyukur. Saya fikir itulah cara Allah membantu hambaNya.


"Tuan mahu mencuba masakan Malaysia? Jemputlah ke rumah, bawa isteri dan anak-anak. Nanti saya tetapkan tarikh. Jangan risau, jika mencuba dan tidak sesuai, tuan boleh ketepikan makanan tersebut".


Saya mahu makanan menjadi fokus penceritaan. Allah… Allah… Allah… seisi keluarga berkunjung ke rumah kami. Anak-anak mereka Walad, Lara, Honey (nama Arabnya saya lupa) dan Ahmad terus boleh berkawan dengan Sofea dan Amirul. 


Allahu Akbar, Iman – isteri beliau juga seiras Roza. Gemar memasak. Baik budi pekertinya. Mereka mempunyai minat yang sama dan menjadikan hubungan lebih pantas terjalin. 


Benarlah janji Allah, Dia jadikan manusia dengan pelbagai rupa, bahasa dan budaya untuk kita saling kenal-mengenali dan kemudian menjalinkan hubungan atas dasar taqwa.


Dua hari lepas kami pula berkunjung ke rumah mereka. Ia pengalaman yang sangat menarik. Iman bersungguh-sungguh melayani kami. Ia rasa istimewa yang tidak tertulis dek keyboard. Kami semua teruja.


"Tuan Khalid, kami mahu masakan yang tidak pernah kami cuba," jawapan saya kepada pertanyaan beliau. Akhirnya, inilah yang kami terima,


Nasi bawang putih bersama laham (daging) = GIDRA


Musaka'a: Terung hitam dimasak bersama daging cincang


Ayam dan potato: Sania


Ikan


Fattoush: Salad yang sangat enak


Hommush


Manisan: Basbusa


Allahu Akbar, saya terlupa mengambil gambar ketika kami menikmati rezki yang sungguh hebat ini. Sebelum beredar, gambar kenangan abadi Roza dan Sofea bersama Iman dan Lara


Ia satu perkenalan di dunia. Moga ia kekal sehingga ke jannah.


Alhamdulillah…. ia masakan yang meresap di hati. Terima kasih Iman, Lara, Khalid dan seisi keluarga!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 01, 2011 19:33

Kehilangan

Maznah Salamin merupakan jurutera UiTM Johor. Beliau juga jiran saya yang paling hampir ketika tinggal di Ar-Raudhah, Segamat. Maka hubungan kami sangat rapat, sebagai staf ketika saya menjawat pengarah kampus dan juga sebagai jiran tetangga.


12 malam waktu Saudi, saya mendapat khabar yang Azizi suami beliau telah dijemput Allah.  Beliau mengadu sakit di sekitar jam 8.00 malam,. Tiga jam kemudian beliau pergi buat selama-lamanya. Agak saya, mereka berusia di pertengahan 30an.


Begitulah janji Allah, tidak cepat dan tidak lambat sesaat. Kehilangan beliau memberi kesan besar kepada hati dan perasaan saya. Mereka jiran yang baik dan sering mendengar tazkirah yang saya sampaikan di rumah.


Saya terus membuat panggilan untuk menyatakan rasa sedih, sayu dan juga ingin berpesan kepada Maznah, "ia ujian Allah dan Allah telah mengajar manusia bagaimana hendak menghadapi ujian, iaitu dengan cara bersabar dan solat".


Kami juga terbayang Maria dan Mia, kedua-dua anak mereka yang masih kecil. Maria, anak sulung mereka sentiasa tersenyum bila bertandang ke rumah kami.


Allahu Akbar, hanya kepada Allah, Maznah, kita menyerahkan jiwa dan perasaan. Hanya padaNya jua tempat mengadu agar ujian yang menimpa diri mu dan keluarga dilepasi dengan menjadi manusia yang lebih hampir kepadaNya.


Berat hati merasa, berat lagi bahu memikul. Kami hanya mampu berdoa.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 01, 2011 08:15

November 30, 2011

Sedikit

Di sini, saya selalu berpesan kepada anak-anak (anak saya – Sara dan Azrai – sebaya dengan mereka) betapa yang membezakan seseorang dengan seseorang yang lain ialah amalannya.


Mereka yang menadah ilmu di Madinah akan pulang menjadi pemimpin masyarakat.


Jika kita berilmu tetapi tidak mengamalkan apa yang kita pelajari maka ia menjadi kemurkaan Allah. Bagaimana kita mahu mengajak isteri dan anak-anak bersolat malam kalau kita sendiri gagal membebaskan diri dari ikatan syaitan.


Apatah lagi untuk mengajak masyarakat.


Bagaimana mahu kita menyuruh anak-anak dan isteri membaca al-Quran setiap hari jika kita sendiri tidak melakukannya. Atau bagaimana mahu memaksa anak yang berusia 10 tahun solat berjemaah di masjid jika kita sendiri tidak konsiten melaksananya.


Begitulah dua – tiga contoh mudah tentang amalan dan kaitannya dengan mereka yang kita sayangi. Begitulah juga pengalaman kehidupan lampau yang telah saya lalui, tidak pernah mengajak anak-anak atau isteri solat malam kerana diri sendiri alpa dengan amalan tersebut.


Namun ada sesuatu yang menarik tentang amalan dan respons masyarakat terhadap amalan itu sendiri. Bila kita mengajak khalayak untuk melakukan amalan-amalan yang dituntut (bukan amalan wajib) maka adalah yang akan menyebut, "amalan yang sedikit tetapi berterusan itu lebih disukai Allah". Benar, ia satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.


Penonjolannya, janganlah khuatir jika kita tidak mampu melakukan amalan yang banyak kerana yang sedikit itu lebih baik daripada yang banyak tetapi tidak berterusan.


Allahu Akbar….. secara psikologinya, perkataan sedikit itulah yang mahu diuar-uarkan. Mari kita melihat pertanyaan-pertanyaan berikut:


1. Amalan yang banyak dengan yang sedikit, mana yang lebih baik?


2. Amalan yang banyak berterusan dengan amalan yang sedikit berterusan, mana yang lebih baik?


3. Amalan yang banyak tidak berterusan dengan amalan yang sedikit berterusan, mana yang lebih baik?


4. Amalan yang banyak berterusan dengan yang sedikit tidak berterusan, mana yang lebih baik?


Saya bertanya diri, agaknya banyak manalah amalan kita sehingga kita mahu menyukat sedikit dan banyak itu. Alahai… dengan kadar yang kita amalkan, ia hanya secalit daripada istilah sedikit. Entah-entah hanya sebesar zarah.


Saya fikir, ia hanyalah merupa perbandingan atau penekanan agar kita melakukan amal ibadat secara berterusan.


Akhirnya, nilai berterusan itulah yang lebih perlu ditonjolkan berdasarkan 4 soalan yang telah saya kemukakan.


Bagaimana pula dengan kegemaran masyarakat menyebut, "kita lakukan amalan ibadat setakat mana yang termampu. Allah tidak memberati kita". MasyaAllah, jika kita tidak mampu bangun malam kerana membesarkan tidur maka saya fikir ia tidak termasuk dalam kategori "termampu".


Fikiran bodoh saya berfikir, jika kita biasa solat berjemaah, tiba-tiba kita ditimpa bencana badan yang menyebabkan kita tidak boleh bangun atau bergerak berjemaah ke masjid maka itulah yang dimaksudkan dengan "termampu".


Allahu Akbar. Allah tetap memberi pahala berjemaah jika itulah keadaannya.


Marilah kita berfikir dan berusaha untuk menjadi manusia yang sentiasa ingin memperbaharui dan bergerak agar menjadi manusia yang lebih baik. Ia bukan hanya dengan niat dan kata-kata tetapi dengan amalan.


Mudah-mudahan Allah memudahkan keinginan tersebut, InsyaAllah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 30, 2011 08:01

November 29, 2011

Teman MRSM

Tetamu malam Rabu


Dr Kie Jusuh dan isteri berkunjung ke rumah kami di kaki Jabal Ohud. Beliau rakan MRSM Kota Bharu kumpulan 1980. Ikut serta Azwan, isteri dan ibu mertua.


Azwan tidak pernah saya kenali. Namun kesemua tetamu saya boleh duduk dalam majlis yang sama. Aturcaranya mudah. Saya mengambil mereka di tandas dan parking No 11A di Haram usai solat Isya.


Sampai di rumah, saya mempersilakan mereka duduk bersila kerana takut sofa di belakang roboh. Kemudian saya memohon izin untuk menyampaikan sedikit tazkirah. Kata saya, "saya ingin menjemput malaikat datang ke rumah".


Roza terus ke dapur menyediakan makanan. Beliau akan pastikan saya dapat bercakap sekurang-kurangnya 20 minit. Amirul dan Sofea akan menghidangkan jus serta teh nak-nak.


Allahu Akbar, hari ini menunya nasi Arab terbalik dan pencuci mulut yang saya suka, Vanilla Cheese Cake!


Usai makan, saya sambung sedikit lagi perbincangan berkaitan dengan kehidupan yang dikaitkan dengan sisa kehidupan yang perlu kita fikirkan.


Saya melihat jam. Hampir 10 malam dan saya berkata, "tuan-tuan saya perlu menghantar tuan-tuan ke hotel, ini sahaja masa yang ada. Biasanya jam 9.30 saya sudah mempersilakan tetamu pulang ke hotel".


Kie Jusoh ketawa. 30 minit xtra kerana beliau adalah alumni MRSM.


Agaknya, inilah rutin malam kami – saya dan Roza – sepanjang di Madinah (mudah-mudahan sampai ke penghujung kehidupan).


Roasted Beef


Gambar terakhir untuk buku Travelog Masakan


Menu makan tengahari agak istimewa. Roasted Beef, resepi yang dipelajari semasa di Luar Negara.


Di sini, harga sekilo daging batang pinang SR45. Harga daging di atas hampir SR90. Ia selesai dimakan dua beradik – Amirul dan Sofea – yang baru pulih dari demam.


Saya melihat ada 36 shot yang diambil oleh Roza. Ia tanda beliau menggemari masakan sendiri. Alhamdulillah!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 29, 2011 12:11

November 28, 2011

Sejuk

Sofea demam.


Amirul juga tidak sihat tetapi masih bertahan. Sejuk di Madinah agak melampau. Ia boleh sampai ke tulang. Namun yang lebih menyukarkan ialah cuacanya tidak menentu.


Sejuk kemudian panas. Sekali kena pakai termal, pada masa yang lain ia panas meruap.


Perubahan cuaca, tahun baru dan sedikit perubahan berlaku dalam keluarga kami. Amirul dan Sofea akan memulakan pengajian quran di Haram. Proses pendaftarannya agak mudah. Ada iqamah (permit kerja) membolehkan kami mendaftar mereka.


Saya dan Roza juga akan memulakan pengajian di Haram dalam kategori orang tua. Roza nyatakan kepada saya, "impian jadi kenyataan". Beliau pasti seronok dengan rutin belajar, menulis dan memasak.


Sofea dan Amirul akan belajar selepas solat Asar. Saya dan Roza pula akan belajar selepas solat Maghrib. Jadi kami akan berada di Haram daripada Asar sampailah ke Isya.


Allah, Allah, Allah…. syukur kami kerana Dia memberi ruang masa untuk kami terus membaiki diri agar hampir kepadaNya.


Puasa Nabi Daud


Hari semalam sangat menarik.


Ini hari kedua berpuasa selang sehari seumpama yang diamalkan oleh Nabi Daud. Ia juga jatuh pada hari Isnin. Maksudnya, ia juga jatuh pada hari puasa sunat Isnin dan Khamis.


Jika selang-seli ini saya ikut maka hari ketiga berpuasa jatuhnya pada hari Rabu. Dan bagaimana dengan puasa sunat hari Khamis. Jika saya berpuasa sunat hari Khamis, maka selang-seli seterusnya ialah pada hari Jumaat.


Dan begitulah hari-hari berikutnya.


Akhirnya, dalam seminggu saya akan berpuasa sebanyak 5 hari. Wah… ia sangat menarik!


Bolehkah begitu?

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 28, 2011 10:59

November 27, 2011

Tetamu Allah

Pertemuan pelajar U Madinah dengan Pengarah CITU UiTM


Makan


Habiskah sedulang dimakan berdua?


Tetamu dari Bangi dan Shah Alam. Muda-muda lagi sudah menunaikan fardhu haji. Tahniah semoga mendapat haji Mabrur


Semalam, saya duduk di tempat biasa.


Tiba-tiba jemaah haji Malaysia muncul dengan jumlah yang melebihi 15 orang. Barangkali mereka berbisik-bisik untuk mendengar tazkirah yang bakal saya sampaikan.


AKhirnya saya telah diberi isyarat oleh pegawai masjid untuk tidak berceramah di situ.


OK, malam tadi saya tidak lagi mahu berada di kawasan tersebut. Saya berbalik kepada rutin asal, bertemu dengan jemaah secara F2F. Ia lebih memudahkan.


Hari ini saya akan menyampaikan kuliah di hotel Hilton, selepas Isya. Jemputlah jika ada yang berdekatan.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 27, 2011 11:58

Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.