Anugerah Allah

Al-Quran merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai kepada hambaNya. Seorang ulamak terkenal Muhammad Abduh menyatakan,


"teruslah membaca al-Qur'an dan memahami kandungan nilai, perintah, larangan, nasihat, dan pelajaran (ibrah) sebagaimana al-Qur'an dibaca pertama kali, oleh orang-orang Islam pada masa-masa awal diturunkannya…..


Dan bacalah tafsir terdahulu, ketika mengalami kesusahan dalam memahami kaedah-kaedah atau makna ayat dan bawa diri kepada keperibadian yang dibentuk oleh al-Qur'an.


Selama akal manusia bersih dan sihat, selama manusia masih menikmati indahnya kemampuan daya akalnya yang sihat, maka dia memiliki hak untuk membuka rahsia-rahsia yang tersimpan dalam al-Qur'an tanpa harus menjadi pengikut".


Saya berusaha membaca al-Quran sekurang-kurangnya semuka sehari berserta terjemahannya. Benar sekali, hati terasa lapang, ia menjawab banyak persoalan yang berliku di minda, kerumitan kehidupan terungkai dan pelbagai perkara dipermudahkan.


Allahu Akbar!


Namun terjemahah dan tafsir acapkali menyebut-nyebut, Allah itu Maha Berkuasa, Dia mampu melakukan apa sahaja tetapi setiapnya mempunyai aturan tertentu. Berulang-ulang ditulis dan ditafsir begitu.


Aturannya mudah. Api panas. Hulurlah tangan ke dalam api, ia pasti membakar tangan kita. Bagaimanapun, Allah itu Maha Berkuasa, api yang sama – menjulang ke langit – tidak membakar Nabi Allah Ibrahim.


Lihatlah aturan bulan dan bintang, peredaran matahari, malam dan siang, muda dan tua, hidup dan mati ia mempunyai aturan tertentu. Allah Maha Berkuasa, tunggulah nanti apabila matahari diterbitkan daripada Barat. Allahu Akbar!


Itu aturan yang besar-besar.


Ia juga jelas dalam kehidupan manusia itu sendiri. Jika mereka bersungguh untuk melakukan sesuatu, InsyaAllah, Allah tunaikan. Orang yang mahu bangun malam menyaksikan livetelecast bolasepak mampu bangun kerana beliau berusaha ke arah itu.


Begitu juga dengan amal ibadat khusus, jika mereka bersungguh-sungguh mahu melakukannya, InsyaAllah Allah akan perkenankan. Bersungguh-sungguh ini pula sangat subjektif.


Ramai orang berasa mereka sudah bersungguh-sungguh tetapi dalam bersungguh itu mereka berburuk sangka dengan Allah SWT. Tahap keyakinan kepada Allah pudar – tanpa disedari – apabila permohonan mereka belum termakbul. Tidak termakbul pun bukanlah dalam konteks yang mutlak.


Lalu mereka berkata, "segala-galanya anugerah Allah, saya tidak mampu melakukannya", sedangkan mereka belum menemui ajal lagi.


Allahu Akbar. Mari saya permudahkan.


Hampir seluruh anggota keluarga GOSOK GIGI setiap hari. Sekurang-kurangnya sekali sehari. Ada pula yang menggosok gigi mereka 3X sehari atau setiap kali selepas makan.


Kenapa mereka mampu melakukannya? Hampir semuanya! Ya Allah.. hampir semua sekali. Ia anugerah Allah…. hampir semua sekali. Ya Allah, Allah anugerahkan hampir semua orang nikmat gosok gigi.


Kenapa bila solat malam tidak begitu?


Ia ada aturannya!


Dan aturan yang paling asas, mahu melakukan segala-galanya kerana Allah. CintakanNya dan mahu bersyukur di atas segala nikmat yang telah dianugerah kepada kita. Ia berputar-putar dalam kehidupan antara nikmat dan bersyukur sehinggalah kita dipanggil mengadapNya.


Semoga Allah memudahkan kehidupan, pemikiran dan pemahaman kita.


Tetamu Allah


Tetamu Allah dari UiTM


Hari-hari terakhir jemaah haji di Madinah.


Malam tadi, dua pasangan suami-isteri daripada UiTM berada di rumah kami. Profesor Dr Syed Hassan dan isteri daripada fakulti perubatan serta Dr Hanafiah dan isteri daripada fakulti Sains Gunaan.


Sejurus bertentang mata dengan Prof Syed, beliau bertanya saya, "Prof, tidakkah ia menyusahkan prof?". Jawapan saya, "Ia menyusahkan. Kesusahan yang saya suka. Ia lebih susah jika mereka berjanji hendak hadir tetapi membatalkannya di saat-saat akhir".


Saya bercerita lagi, "ia lebih susah jika ada jemaah yang membuat panggilan dan berkata, boleh saya ziarah prof, saya akan balik dua hari lagi".


Tentu sekali kami sangat gembira apabila jemaah tiba di Madinah terus membuat panggilan dan secara spesifik menyatakan, "kami ingin ke rumah prof". Alhamdulillah ia memudahkan saya dan Roza menyusun jadual.


Semalam, saya bertemu ramai jemaah haji Malaysia yang mahu pulang ke Malaysia. Tuan Haji Amir saya bawa bersama belajar al-Quran bersama Tok Sheikh Mutiuallah. Merasai bagaimana kehidupan saya di Madinah. 


Ha… ha… menyaksikan bagaimana saya diketuk tangan dengan tongkat Tok Sheikh kerana menggunakan jari hantu untuk menunjukkan baris-baris ayat al-Quran.


Ada juga yang berjumpa di Parking 11A, mengucapkan selamat tinggal.


Kami akan merindui suasana ini.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 05, 2011 18:24
No comments have been added yet.


Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.