Tetamu

Saya dipakaikan serban. Ia satu gesture menarik!
Saya meraikan 4 tetamu. 2 penduduk tempatan dan selebihnya dari Somalia. Ia suatu perkenalan yang membawa kepada perhubungan yang lebih mesra.
Abdul Walid (Somalia) sedang menuntut di Universiti Islam Madinah di peringkat sarjana. Beliau sedang menyiapkan tesis. Di sebelah petang beliau mengajar saya bahasa Arab, 4X seminggu.
Muhammad Hearsi juga berasal dari Somalia tetapi mempunyai tiga pasport, Amerika, Canada dan Somalia. Kini menetap di Canada bersama isteri dan anak-anak.
Beliau meninggalkan Canada berseorangan kerana mahu belajar al-Quran dan mempedalami bahasa Arab. Beliau rakan sekelas saya dikedua-dua kelas. Malah beliaulah yang sering menterjemahkan apa yang dikhabarkan oleh Syeikh kepada saya.
Kemudian Jaseem dan Ahmad merupakan pegawai Masjidil Haram. Allah temukan kami dalam keadaan mereka mahu berkenalan dan berkawan dengan saya. Malah bersedia pula membantu saya dan keluarga dalam urusan di masjid.
Saya fikir begitulah caranya Allah membantu hambaNya. Ia sesuatu yang tidak pernah saya fikirkan.
Allahu Akbar.
Kami hidangkan Nasi Arab berlaukan briyani Johor. Ini merupakan cubaan ketiga kami menilai penerimaan orang luar terhadap masakan Malaysia. Alhamdulillah mereka menghirup kuah briyani Johor sehingga habis.
Saya membuat kesimpulan, "Yang, sudah dua kali saya menyaksikan orang Arab menerima lauk briyani Johor awak. Ia boleh diketengahkan". Orang luar yang telah mencuba lauk ini di rumah kami datangnya dari Arab Saudi, Jordan, Palastine, Pakistan dan Somalia.
Makanan merapatkan hubungan. Ia alat komunikasi yang sangat berkesan. Bila pulang, Ahmad memeluk saya mengucapkan terima kasih yang disebutnya berulang-ulang. Cuma saya terkedu memikirkan bagaimana mahu membalas ucapan dan doa yang tidak henti-henti.
"Afwan… afwan… afwan….," itu sahaja yang ada di kepala sedangkan saya sudah mempelajari bagaimana mahu menjawab mengikut tahap-tahap tertentu yang berbeza-beza.
Di luar dugaan, beliau membuka serban dan memakainya ke kepala saya. Kemudian, beliau memasuki kereta dan keluar kembali dengan sebotol kecil minyak wangi.
Agaknya beliau sangat gembira dengan apa yang telah beliau lalui. Allahu Akbar, saya tersentuh dan bersyukur kepadaNya. Ia hari yang sangat mengujakan!
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
