Ikhlas
Berpuasa sunat amalan untuk menyucikan hati sanubari. Lakukan semata-mata kerana Allah.
Lakulah sesuatu semata-mata kerana Allah, maka jangan khuatir dengan keikhlasan perlakuan tersebut.
Di sana-sini, cubaan untuk menjadikan manusia riyak, takbur dan ujub dalam diri sentiasa ada. Maka pendinding kepada cubaan-cubaan tersebut ialah dengan sentiasa beristifar dan memohon keampunan Allah. Maka keikhlasan terpelihara.
Hanya Allah yang boleh menentukan keikhlasan ini!
Ia kenyataan yang nampak ringkas tetapi signifikan maknanya dalam kehidupan manusia. Hakikatnya, bermuhasabahlah agar kita sentiasa berada di jalan yang lurus.
Namun sifat ikhlas ini menjadi sangat bahaya apabila kita memandai-mandai cuba mengukur tahap keikhlasan seseorang yang lain. Begitu banyak percubaan manusia untuk mempertikaikan keikhlasan seseorang yang melakukan amal kebajikan, sedekah jariah atau sebarang bentuk kebaikan.
Usahlah…. ia merosakkan hati sendiri. Ia tidak membawa sebarang kebaikan.
Kata kuncinya sangat mudah, bertanyalah kepada diri sendiri dan jawapannya ada pada hati. Misalnya, saya selalu berpesan kepada adik-adik (anak-anak) di sini supaya bertanya,
Adakah kita menunaikan fardhu haji setiap tahun semata-mata kerana Allah atau kerana kita mengharapkan upah haji?
Tiada siapa yang tahu kecuali Allah dan empunya diri. Jawapan kepada persoalan ini – saya fikir - boleh dilakukan dengan memperbanyakkan solat malam, berpuasa sunat dan membaca al-Quran agar Allah membersihkan hati sanubari.
Jika tidak, kita pasti mencari jalan supaya apa yang kita lakukan dianggap suci bersih!
Saya sering diundang berceramah. Maka saya bertanya kepada diri, "kenapa saya perlu menerima undangan ini?" Jika ia semata-mata kerana Allah, maka berjalanlah saya menuju destinasi tanpa rasa gundah gulana.
Hati kita tidak akan berbohong!
Baru-baru ini saya bertemu dengan seseorang. Beliau menyataakan kepada saya, "saya berhijrah ke Arab Saudi kerana 3M, Money, Mecca and Medina. Saya fikir jika salah satu tiada – misalnya Money, maka tarikan untuk beliau berada di sini akan susut serta merta walaupun masih ada 2M yang lain.
Malah ada rakan sejawat berkata, "saya hanya akan bertugas di sini hanya setahun sahaja". Ia gambaran kesusahan dan kesulitan yang tidak menyeronokkan.
Ikhlas dengan Allah menyebabkan hati sentiasa tenang sama ada ia tidur dan baring di Shah Alam, Segamat, London atau Madinah. Jika tidak, Madinah dan Mekah tidak upaya menahan manusia beredar pergi.
Di mana-mana adalah bumi Allah tinggal lagi ada kawasan-kawasan tertentu yang telah dianugerah Allah dengan beberapa kelebihan. Saya mohon keampunan Allah.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers

