Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 49

September 10, 2011

Sofea

Ia memadai


 Masuk hari ke 4.


Tiga hari saya dan Roza berpuasa syawal dan berbuka di Haram. Inilah juadah berbuka. Kurma, roti, sedikit manisan, air zam-zam dan air halia Arab. Ia suasana yang kusyuk.


Kemudian, solat berjemaah. Allah… Allah… ya Allah… Ia sangat tenang. Imam membaca ayat-ayat suci dengan suara yang unik. Serak-serak basah yang garau. Berhenti di antara rukun dan pergerakkannya dengan jelas. Ia seolah-olah tidak rushing ketika mengadap Allah SWT.


Di antara Maghrib dan Isya, saya cuba sedaya upaya untuk menghafal beberapa baris ayat-ayat suci al-Quran. Malah pada setiap waktu terluang, itulah yang ingin saya lakukan. Petua Ustaz Idris, Ustaz Hafizi dan beberapa guru yang lain nampak berhasil.


Saya bersemangat.


Di sini, masa lincah mereka selepas waktu isya. Hampir setiap malam saya tidur di sekitar 1 pagi. Semalam, hampir jam 12.00 malam pihak kedai menghantar peti sejuk, dapur dan mesin basuh. Khabarnya, mereka bekerja sehingga lewat pagi. Siang hari, masa rehat mereka kerana cuaca yang berbahang.


3.30 sudah mula beredar ke Haram. Benar sekali, ketika ini ruang solat di saf-saf hadapan terbuka luas. Datang awal, saf pertama atau kedua boleh dipilih dengan mudah.


Namun manusia tetap manusia. Ramai yang suka bersolat di luar masjid. Mereka lebih seronok di situ. Entah… ia pilihan terakhir saya!


Di hadapan makam Rasulullah (selawat dan salam kepada baginda, kaum keluarga dan para sahabat)


Bahasa Arab


"Maaf, saya tidak pandai berbahasa Arab," saya memberitahu Arab Mesir yang tinggal di hotel yang sama.


"Habis bagaimana tuan membaca al-Quran?"


"Boleh…"


Beliau tersenyum. Barangkali memikirkan kerugian yang sedang saya alami.


Mahu sahaja saya bertanya, "tuan menghafal al-Quran?"


Jika jawapannya tidak, mahu sahaja saya menyatakan, "ruginya tuan… ramai orang Malaysia yang buta bahasa Arab mampu bergelar hafiz atau hafizah".


Al-Quran dan bahasa Arab dua isu yang berbeza. Al-Quran adalah anugerah Allah kepada seluruh umat manusia. Bahasa Arab asalnya untuk orang-orang Arab. Allah menjadikan manusia berbeza-beza – bahasa, budaya dan lokasi – untuk saling kenal mengenali di antara satu sama lain.


Namun ia tidak jadi begitu. Saya tidak mahu bertanya soalan tersebut kerana saya mahu mempelajari bahasa tersebut. Bahasa Arab adalah bahasa al-Quran. Menguasai bahasa Arab akan memudahkan saya menguasai ilmu yang terkandung di dalamnya.


Ketika melapor diri, saya terpinga-pinga kesusahan. Semuanya berbahasa Arab. Seorang rakan pensyarah dari Malaysia berkata, "pening, pening,…..". Namun Alhamdulillah, seorang pemuda Sudan yang sudah 14 tahun di sini menjadi pembantu. Beliau menguruskan segala-galanya.


Alahai… cepat-cepatlah lidah saya lembut untuk berbahasa Arab. Saya perlukannya!


Sofea


Jangan menangis Sofea.... gambar EKA


Beliau sudah OK di sini. Tersengih bila pulang dari Haram. Di tangannya ada roti dan yogut. Semua orang melayani Sofea. Semalam, doktor Arab wanita menghadiahkannya 20 riyal.


"Cantik Farah Sofea….."


Ia menghiburkan Sofea!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 10, 2011 11:49

September 9, 2011

Bukit Uhud

Itulah Bukit Uhud. Kami melawat ketika menunaikan fardhu haji tetapi tidaklah masuk di kepala.


Kisah Bukit Uhud sangat signifikan dalam sejarah Islam. Tidak pula saya terfikir ia akan hampir dengan kami sekeluarga. Sungguh, tidak terlintas yang rumah kami akan berlatarbelakangkan bukit tersebut.


Ia mempunyai 6 ruang utama. Mengikut plan Arab, rumah mereka mempunyai dua ruang tamu, satu untuk tetamu wanita dan satu untuk tetamu lelaki. Maksudnya, kami akan mempunyai 3 bilik tidur, 2 ruang tamu dan dapur.


Sewanya RM20000 setahun. Jarak ke Haram hanya 3km. Dan mungkin jarak yang sama untuk saya berulang-alik ke universiti. Jemputlah, rumah kecil kami sentiasa terbuka untuk dikunjungi.


Pada sudut yang berbeza, di dalam dunia ini – rupanya – ramai manusia yang sangat baik hati dan perasaan. Saya belum tiba di Madinah tetapi Dr Rahim dan keluarga telah lama membantu. Kami telah berkomunikasi semasa kami masih di Malaysia.


Setiba di lapangan terbang, anak-anak muda (bakal-bakal ulamak Malaysia, InsyaAllah) yang menguruskan ketibaan kami. Ia bukan dirancang tetapi mereka bersedia atas dasar persaudaraan.


Sedikit kesukaran dapat diatasi dengan bantuan mereka. Beberapa nama yang melekat di minda - Aizat dan Nasiri – dan beberapa yang lain akan saya kenang seumur hidup.


Semalam, mereka inilah yang membawa saya untuk berjumpa dengan tuan rumah, juga seorang insan yang tidak seumpama karektor Arab yang banyak dicerita orang.


Abdul Aziz dan Aizat dua pelajar dari Universiti Islam Madinah,


Di sebelah malam, pasangan Norhan dan Ani menjemput kami makan malam di rumah mereka. Saya sangat-sangat berterima kasih di atas sambutan yang diberikan. Pesar Dr Norhan, "di Madinah hanya perlu bersabar. Mereka yang sabar akan melepasi rintangan dan ujian. Mereka tidak akan meninggalkan Madinah".


Emmm... Amirul kepenatan


Namun di atas segalanya, nikmat berpuasa dan berbuka di Masjid Nabawi tiada bandingan. Kisah-kisah berpuasa sebagaimana yang pernah saya catatkan melalui buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman dan 50 Tips Motivasi Haji, mudah-mudahan terlaksana.


Di sini, gangguan menjaga mata, telinga dan mulut nyata sangat minimum. Malah kami tidak kisah dengan juadah berbuka. Apa yang disediakan oleh penyumbang sudah lebih daripada mencukupi. Buah tamar yang sangat sedap, air zam-zam, air halia berserta dengan roti Arab menjadi hidangan kami – insyaAllah – sepanjang bulan syawal ini.


Bukit Uhud di belakang kami. Mampukah saya mendaki ke puncak?

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 09, 2011 10:17

September 8, 2011

Hidup baru

Subuh di Madinah, gambar HP......


"Kenapa Sofea menangis?," terkejut saya melihat beliau bergenang air mata. Tentu sekali saya tidak menyangka Sofea akan terasa begitu terharu untuk meninggalkan Malaysia.


"Tidak tahu… Sofea rasa sedih".


Beliau berdiam diri sehinggalah Saudi Air-lines beredar meninggalkan KLIA. Itu pun bersebab. Beliau terhibur dengan entertainment di dalam pesawat.


Saya sendiri sebak. Saya mahu berhijrah. Ia pilihan yang pasti. Namun akhirnya, air mata berderai juga. Ia perjalanan yang sangat berbeza.


Melihat teman-teman yang datang ke KLIA sudah memadai untuk berasa sebak. Saya ketawa melihat Dato' Zaini dan Datin membekalkan ayam kampong goreng.


Roza bergurau dengan datin, "nampak macam moden sangat tapi masih ada lagi sifat kekampungan. Bila berjalan berbekal".


Hakikatnya, ayam goreng inilah yang menjadi pengalas perut kami sebelum menaiki pesawat. Ayam goreng inilah yang menjadi penyelamat ketika menanti makanan disediakan. Kami terasa lapar yang amat sangat!


Mungkin kami keletihan dan terlupa untuk menjamah sarapan pagi.


Malah saya bersyukur kerana ada yang membekalkan Tart Nenas dan mangga potong yang memudahkan kami mengalas perut.


Perjalanan 9 jam 30 minit akhirnya berakhir di sekitar jam 19.30 malam. Lama saya berfikir, "bagaimana saya mahu sujud syukur dan solat di masjid Nabawi sebelum dihantar ke rumah Universiti?". Itulah dilema saya.


Namun Allah Maha Berkuasa. Kebiasaannya, Universiti Taibah akan menempatkan staf baru mereka di rumah universiti. Ia 3 KM daripada masjid.  Ia terkecuali buat saya dan rakan-rakan seangkatan.


Saya ditempatkan di hotel berhampiran dengan masjid Nabawi. MasyaAllah, Subhanallah, Allah hu Akhbar. Kami campak bag-bag pakaian dan terus ke masjid. Roza melalui laluan lain, saya pula pantas ke pintu Salam.


Ya Allah, Raudhah sudah tersedia untuk saya solat di dalamnya. Malah saya berpeluang untuk berlama di sana. Banyak perkara yang saya pohon dan pinta.


"Ya Rasulullah, ramai sahabat-sahabat ku, khalayak pembaca KRTS, anak-anak murid ku, sanak saudara ku dan rakan-rakan FB ku berkirim salam kepada mu. Mereka menyebut "Assalam……." ya Rasulullah.


Ya Allah, ramai juga yang mahu aku berdoa supaya mereka dijemput ke sini ya Allah. Malah banyak permintaan daripada mereka ya Allah. Tidak mampu untuk aku menyebut satu persatu ya Allah. Kau tunaikanlah permohonan mereka ya Allah"


"Ya Allah, anak-anak murid ku akan menghadapi VIVA PhD mereka ya Allah. Kau permudahkanlah Arun, Radziah, Halim dan Shatari ya Allah. Mudahkan laluan mereka".


Ya Allah seronoknya. Tidak henti-henti saya dan Roza berbicara mengucap syukur kepadaNya.


3.20 pagi, kami sudah beredar untuk solat subuh. Ya Allah, inilah hidup baru kami. Saya sudah memulakan niat asal mahu menghafal ayat-ayat suci al-Quran. Alhamdulillah, saya membaca 70X setiap ayat yang mahu dihafal. Ia sangat-sangat berbeza sewaktu mencuba di Malaysia.


Ia kelihatan lebih mudah.


Dan yang lebih penting, Sofea tidak lagi sayu dan sebak. Beliau dan Amirul tersengih menuju ke masjid!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 08, 2011 10:37

September 7, 2011

Semoga bertemu lagi

Bertolak dari Kondo Kemuncak


"Kami tidak tinggalkan mak, kami menanti kedatangan mak"


Sham? Salah seorang yang awal tiba... moga bertemu lagi


Mereka datang dari JB


Aishah datang dari Segamat


Saya sangat kecil di sisi mereka yang tinggi


Suria bersama suami dan Haji Sabtu


Henny, Maz dan Ain serta Eka (harap betullah tu..)


Ju mahu temukan saya dengan ayahandanya


Terima kasih kerana datang. Saya rasa terhormat!


Kami pernah bertemu di Sarawak


Ustaz Wan Yunus dan Ina (harap benar nama-nama yang saya tulis. Hanya berdasarkan ingatan semata-mata)


 


Kami akan kehilangan nasi kerabu puan...


ss


ssssss

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 07, 2011 10:13

September 6, 2011

Emosi

Meninggalkan negeri Terengganu, di LT Kuala Terengganu


Bersama Kak Long dan Abang Long


Sofea demam. Amirul juga begitu. Akhirnya ia berjangkit kepada saya dan Roza. Saya fikir ia berkait dengan emosi. Ketika berbaring, Sofea bertanya mamanya,


"Dulu mama pergi Mekah, mama tinggal di hotelkan? Di Madinah, kita tinggal rumah sendiri?"


Kenapa beliau bertanya begitu? Sofea tahu yang beliau akan pergi lama. Ada sedikit kerisauan terutamanya apabila dikaitkan dengan bahasa Arab.


"Sofea boleh sekolah Inggeris?"


"Boleh tetapi kena tinggal di Malaysia," sesuatu yang sukar dilakunya, berpisah dengan ayah dan mama.


"Sofea, mak cik Yah tak ada anak lelaki perempuan. Mahu jadi anak Mak Cik Yah?," usikan Kak Long kami yang hanya mempunyai 4 anak. Kesemuanya lelaki.


Dulu – ketika menunaikan fardhu haji – saya tidak membenarkan kaum keluarga menghantar kami ke Kelana Jaya. Cukuplah sekadar berjumpa, bersalam dan berpeluk di rumah.


Ia bersebab (nota: ia satu bab di dalam buku Travelog Haji).


Kali ini berbeza. Ramai yang bertanya, "boleh saya hantar prof ke airport?". Jawab saya, "silalah, saya akan berada di lapangan terbang mulai jam 11 pagi".


Malah ramai pula yang sudi menawarkan kereta dan membantu kami bertolak ke KLIA. Saya terhutang budi.


Malah saya menghargai mereka yang telah membersihkan rumah kami di sana, membantu membayar sewa awal dan menyediakan segala contact yang perlu saya hubungi apabila mendarat di Madinah.


Pastinya ia permulaan yang sangat baik.


Saya seronok dan teruja kerana bertemu dengan hari ini, 7.9.11. Namun saya tidak boleh berbohong untuk menyatakan yang tiada terselit emosi yang akan merindui kehidupan di Malaysia.


Dan saya ulang sekali lagi, "rumah kami mungkin kecil tetapi hati saya dan Roza sangat besar untuk menerima ziarah khalayak KRTS apabila tiba di sana. Mudah-mudahan kami mendapat rahmat Allah kerana melayani tetamuNya".

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 06, 2011 11:41

September 5, 2011

Bila sampai masanya…..

Ia pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Saya disediakan ruang untuk berceramah di Masjid/surau Bukit Jelutong, Shah Alam. Topiknya, "Mengubah Sempadan Iman".


Saya beremosi. Air mata mengalir pada ketika-ketika tertentu. Bersungguh-sungguh saya bercerita. Dan ia sentiasa bermain-main di hati.


Itulah pengalaman pertama berceramah pasca terbitnya buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman.


Ramai yang datang memeluk saya. Ada juga yang berderai airmata. Ada yang berkata, "Prof, kenapa sekarang baru saya berjumpa dengan prof". Tidak pandai saya menjawab kata-kata tersebut.


Diam.


Saya tidak tahu apa  yang perlu dijawab. Saya hanya menceritakan pengalaman yang telah saya lalui, betapa saya telah bertemu dengan kasih-sayang Allah kepada hambaNya yang sangat lemah.


Di situlah bermula. Ia membawa saya menjelajah hampir ke seluruh pelusuk tanah air. Hampir setiap hujung minggu yang terluang dan di antara minggu yang berkesempatan, saya mengabadikan seluruh jiwa raga berdakwah mengajak sesiapa yang sudi mendengar untuk mendekatkan diri kepada Dia yang Maha Berkuasa.


Premis saya sangat mudah, "biar kita jadi golongan terpilih, kumpulan akhir zaman yang sedikit. Marilah kita solat berjemaah, marilah kita berpuasa sunat Isnin dan Khamis, marilah kita bangun malam bertahajud, marilah kita membaca al-Quran dan memahami makna dan tafsirnya, dan dahlah…. kita sudah tua, masa mati kita sangat hampir, marilah kita jadi manusia yang lebih baik".


Dalam proses tersebut saya cuba membuktikan yang ia boleh dilaksanakan – InsyaAllah – dengan kemahuan dan permohonan kepada Dia yang Maha Berkuasa.


"Ya Allah, ampunilah daku. Sesungguhnya aku tiada upaya melainkan di atas kekuasaan Mu belaka".


Kadangkala, saya keliru dan berfikir, akukah ini?


Ada di persimpangan, saya bertanya abah, "abah, bolehkah saya lakukan sebagaimana yang sedang saya lakukan sekarang?"


Jawapan abah sangat mudah, "Mil, lakukan kerana Allah. Jangan peduli. Abah melihat Kamil berjaya menarik khalayak untuk berfikir. Nanti, bila sampai masanya, Allah akan pandu Kamil ke satu tahap yang berbeza".


Ia perbualan terhenti tanpa nokhtah. Namun setiap malam saya memohon keampunanNya. Jika ada yang risau, saya lebih-lebih lagi. Saya tidak mahu menjadi manusia riyak, takbur, sombong dan angkuh. Ia tidak berbaloi. Masa saya terlalu hampir. 


Dan Abah, masa beliau telah tiba. Abah pergi buat selama-lamanya.


Hari ini, saya terfikir – agaknya masa saya juga sudah sampai. Sekejap lagi, saya dan keluarga akan meninggalkan Besut, Terengganu setelah menyampaikan ceramah di Sekolah Menengah Agama Setiu dan sedikit tazkirah di Masjid Batu Tumboh.


Barangkali, itulah penutup di atas segala-galanya yang telah dimulakan di Jelutong, Shah Alam sebelum kami melangkah menaiki pesawat Saudi menuju Madinah. Besok, barangkali ketika berada di dalam pesawat, saya akan berdiam diri dan merenung langkah-langkah yang bakal saya dan keluarga tempuhi.


Ia fasa 1/3 terakhir – itu pun jika berkesempatan – dalam kehidupan menunggu saat-saat dijemput Allah. Barangkali Allah mahu saya bertenang di sana. Ia berlaku secara semulajadi, di dalam pengetahuan Dia, jauh dari perancangan manusia biasa. 


Saya fikir, bila sampai masanya - bukan ditentukan oleh saya – biarlah saya disemadikan di tempat yang terbaik di sisiNya.


Roza oh Roza


Beliau dilahirkan pada tahun kuda. Beliau berkuasa kuda.


Kisah kuda ini sangat menarik…. kata saya, "kuda boleh ditunggang….".


Jawab Roza, "kalau kena gayanya. Kuda kalau naik syeikh, habis penunggangnya dicampak ke tanah"


He… he…. kuda selalu perlu dibelai!


Seharian beliau berkemas. Seharian juga beliau melakukan penggambaran buku Travelog Masakan: Ia bukan sekadar Resipi. Tinggal lagi Roza tidak dapat mengikut saya berceramah di Setiu.


Inilah hasilnya…..


Bubur keledek buat Sofea yang sedang demam ketakutan bahasa Arab


Kata Roza, ikan percik ini sampai bila-bila pun tidak dapat menandingi ikan percik yang pertama kali makan di Dungun bersama Abah, Mak, Mak Wa dan adik-adik pada 1985.


Sambal ikan bilis dan Kerabu Mengkudu. Kak Yah kata, "sedap Roza," ia ciptaan terbaru Roza. Saya nampak Roza tersengih. Pujilah wanita dengan masakannya, InsyaAllah mereka akan kalah. Wahai suami, ia tidak memerlukan bayaran.


Cubalah nasi goreng ini... ia bukan sekadar resipi


Sekaya labu. Salah satu pemanis mulut yang menjadi kesukaan saya.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 05, 2011 10:51

September 4, 2011

Tom Yam

Apakah yang ada di sebalik tom yam campur?


Mohon maaf.


Saya kegilaan membantu Roza menyiapkan buku Travelog Masakan: Bukan Sekadar Resepi. Saya sukakan penghasilan buku ini.


Bagaimana saya membantu?


Pertama, memberi semangat. Bila saya memberi semangat, Roza pun naiklah semangatnya. Lalu dapatlah kami makan makanan yang sedap-sedap untuk penggambaran ini.


Kedua, saya nyatakan secara jujur, apakah kekurangan hidangan yang telah disajikan untuk kami seisi keluarga.


Ketiga, saya bertanya, apakah rahsia atau cerita di sebalik sajian beliau?


Semalam, kami dijamu dengan tom yam campur. Roza kisahkan yang beliau membesar bersama Mak Wa. Mak Wa mengajar beliau supaya memasak satu lauk utama sehari.


"Kenapa?," tanya beliau. "Hari ini kita boleh makan ikan. Besok kita boleh makan udang. Kalau dimasak kedua-duanya, ia hanya boleh dimakan sehari sahaja"


Beliau diperkenalkan dengan Tom Yam di Hotel Tanjung Jara oleh keluarga rakan seUiTM. Roza menangis melihat makanan yang boleh dicampur dengan begitu banyak lauk serentak. Ada ayam, udang, sotong, ketam dan ikan. Ketika inilah beliau melihat nikmat Allah yang ditunjukkan melalui Tom Yam.


Beliau dapat merasai nikmat tersebut tetapi tidak pada Mak Wa dan adik beradik yang lain.


Alahai… saya tidak pandai bercerita. Ia kisah Roza dan Travelog Masakannya.


Di sebelah malam, Roza menyediakan pizza segera. Ia hidangan untuk majlis-majlis di sebelah petang ataupun jamuan hari jadi.


Resepi ini sangat-sangat saya suka dan pandai. Pizza boleh dibakar dalam tempoh 1 atau 2 minit. Ia sangat lazat.


Ceramah sebelum Berangkat


Puteri-puteri


Putera-putera


Bersama adik Nurusyahamah Taqiah Nurunnajmi, murid Tahun 6 SK Lubuk Kawah, Jertih yang mendapat tempat ke-3 dalam Majlis Tilawah Al-Quran Kanak-Kanak Peringkat Antarabangsa di Doha, Qatar.


Di sebelah pagi, saya berpeluang bercakap dengan staf SMK Tengku Mahmood 2. Bilik mesyuarat penuh dengan pengetua serta dengan anak buahnya, hampir 70 orang.


Saya ulang balik bicara saya bertajuk "Menghadapi Ujian".


Di sebelah malam, saya berceramah kepada pelajar-pelajar Sekolah Agama Wataniah. Wajah-wajah ceria ini menyukakan hati saya.


Saya rasa sangat teruja!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 04, 2011 10:20

September 3, 2011

Makan-makan

Sup labu, cendawan dan lobak + kentang


Ia tujuan penggambaran. Namun rezeki semua orang di rumah Kak Yah untuk merasai tiga sup serentak sebagai sarapan pagi. Susun atur dan gambar ini diambil oleh Roza menggunakan NIKON D5100.


Juga dirakamkan lawan sup di atas, pelbagai jenis roti.


Roti biasa dicicah dengan sup penuh krim


Di sebelah malam, kami di hidang pula dengan masakan ini. Juga ia dimasak sebahagian daripada proses penulisan Travelog Masakan: Ia Bukan sekadar Resepi. Habis licin di makan oleh anak-anak dan anak saudara.


Masakan Barat yang dipelajari semasa menuntut di sana


 


Restoren WAU


Bersama tuan punya restoren (tengah). Bersih, sedap dan ada kelas.


WAU atau WOW?


Kami diraikan di restoran tersebut oleh Dato' Zakee dan Datin. Ia sebuah restoren yang sangat hampir dengan Masjid Muhamadiyah, Kota Bharu. Kurang lebih, 300 meter.


Makanannya pelbagai. Apa yang kami order dan makan sedap-sedap belaka.


Terima kasih Dato' dan Datin.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 03, 2011 10:33

September 2, 2011

Beza

Pertama kali kami meninggalkan Malaysia pada September, 1993. Hampir 18 tahun yang lampau. Ketika itu saya baru berusia 29 tahun, beristeri dan mempunyai dua anak yang masih kecil.


Destinasinya adalah Dundee, Scotland.


Kami sangat-sangat teruja. Segala-galanya merupakan pengalaman pertama.


Kami membayangkan keseronokan udara sejuk, salji, London dan negara-negara Eropah yang lain. Impian kami mungkin sama dengan ribuan rakyat Malaysia yang berada di UK.


Misalnya, mahu menamatkan pengajian dengan membawa pulang Mercedes bermata bulat. Mahu berjalan meneroka bumi UK sebanyak mungkin. Kalau boleh biarlah dapat menjejak kaki di John'o Groats di hujung utara UK. Dan dapat pula berpandangan di Plymouth, bandar paling selatan di negara tersebut.


Alangkah bangganya kami jika dapat berada di Harrod London, bermain-main dengan merpati di Trafagar Square ataupun berehat-rehat Hyde Park.


Malah anak-anak biar berabuk fasih berbahasa Inggeris.


Jika berpeluang, mahu pula bekerja sambilan kerana mengharapkan tukaran kewangan yang tinggi.


5 hari lagi – 7.9.11 –  kami akan berangkat ke Madinah. Madinah sudah dua kali kami kunjungi. Rasa teruja kali pertama mungkin sudah tiada. Namun ada sesuatu yang ada di Madinah memanggil-manggil hati dan perasaan.


Pertama, ia tanah haram. Kegahairahan untuk berada di sana tidak dapat digambarkan. Hampir setiap 1/3 malam tersisa saya memohon kepadaNya,


1. Agar dapat solat 5 waktu berjemaah di masjid Nabawi.


2. Agar dapat bersolat di Raudah


3. Agar dapat bersolat di saf-saf hadapan


4. Agar dapat berqiamullail setiap hari


5. fasih berbahasa Arab


6. dapat menghafal al-Quran


Kedua, corak kehidupan kami pastinya sangat berbeza dengan rutin harian di Malaysia. Ia berkisar kepada Masjid Nabawi. Saya dapat membayangi bagaimana kami mahu mencorakkan kehidupan harian.


Mudah-mudahan "beza" yang kami harapkan merupakan perbezaan yang sangat signifikan. Ia memerlukan bantuan Allah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 02, 2011 10:37

September 1, 2011

Selamat berangkat Arif dan Ros

Doa kami agar hijrah ini semata-mata kerana Allah


Dr Arif dan Dr Ros merupakan bekas pelajar di peringkat sarjana. Ros pula memilih untuk meneruskan pengajian di peringkat PhD di bawah seliaan saya.


Pagi semalam – saya dan Roza – berada di lapangan terbang Kota Bharu menghantar mereka berlepas ke KLIA. Besok, mereka akan berlepas pula ke UAE bagi memulakan kerjaya baru sebagai pensyarah perakaunan di universiti Ajman.


Mereka adalah sebahagian daripada kisah bagaimana saya berhijrah ke Madinah. Asalnya, merekalah yang mendapat tawaran untuk bekerja di sana. Di atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan, Arif memberitahu saya,


"Prof, Taibah university benar-benar memerlukan pensyarah perakaunan. Kami terpaksa menolak. Prof, prof mintalah. Saya tahu prof mahu ke sana".


Lalu secara bergurau saya berkata, "Arif, saya sudah tua. Memang saya mahu ke sana tetapi malas mengisi borang. You tolonglah maklumkan kepada dekan yang saya berminat. CV ambil di blog saya".


Saya bergurau, Arif ingat bersungguh. Beliau menghantar e-mel kepada dekan universit Taibah yang di bcc kepada saya. Tentu sekali saya berfikir yang saya tidak beradab dan bersopan. Cepat-cepat saya menghantar e-mel susulan kepada dekan tersebut.


Tiga jam kemudian saya menerima khabar yang mengujakan, "CV tuan menarik, cuma mohon isi semuka borang permohonan yang saya sertakan".


Akhirnya – selepas tiga hari - saya menerima surat tawaran bekerja.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 01, 2011 10:07

Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.