Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 50

August 31, 2011

Akad Nikah

Mahukah abang nikahkan Na dengan Mohd Razali?


Ya Allah, biarlah pasangan ini berkasih-sayang sehingga ke syurga Mu ya Allah.....


Saya mahu melakukannya kerana sayalah wali Azlina. Namun Allahlah yang memberi kekuatan untuk melaksanakan tanggungjawab ini yang boleh diserahkan kepada jurunikah rasmi Jabatan Agama Islam Terengganu.


Azlina juga begitu. Beliau mahu abangnya yang menikahkan beliau.


Alhamdulillah, Razali dan Azlina selamat diijab-kabul tepat jam 11.24 pagi semalam. Kami berdoa agar mereka menjadi pasangan yang diberkati, dirahmati dan diberi perlindungan oleh Allah SWT.


Namun kekuatan sebenar yang Allah pinjamkan kepada saya adalah mengajak adik-ipar bongsu untuk sama-sama solat zuhur berjemaah di masjid Alor Lintang ketika mereka masih di meja pengantin.


Biarlah beliau bermula dengan redha Allah. Dan pastinya, itulah ujian pertama. Dan Razali melepasinya bersama abang ipar, biras, Azrai dan Roza meskipun ia sesuatu yang sangat sukar.


Dan tiada kesukaran buat Dia yang Maha Berkuasa.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 31, 2011 09:11

August 30, 2011

Raya 2011

Bagaimana raya 2012?



Kakak pertama dengan tiga anak lelaki. Di sinilah rumah kami menginap. Kak Yahlah yang memasak nasi dagang di bawah.


Sebahagian daripada keluarga besar di Besut


Roza sedang menulis buku Travelog Masakan: Ia bukan Sekadar Resepi. Sedikit pelaburan, beliau membeli kamera baru berharga hampir RM3000. Kamera lama semuanya lemas akibat banjir besar di Segamat.


Gambar-gambar masakan terdahulu juga habis musnah. Kini, Roza dan tim sedang mengambil semula beberapa gambar penting untuk digunakan di dalam buku tersebut.


Saya fikir konsep buku yang cuba diketengahkan mempunyai kekuatan tersendiri. Ia bukan soal resepi tetapi beberapa kisah kehidupan di sebalik resepi tersebut.


Khalayak sepatutnya membaca sebuah cerita ringkas yang sangat signifikan. Sambil-sambil itu mereka boleh mencuba pelbagai resepi yang mempunyai kaitan menarik dengan kehidupan mereka sendiri, InsyaAllah.


Saya pula mencuba dengan gambar-gambar raya pertama dengan kamera yang kelihatan canggih. Dan inilah hasilnya.


Nasi Dagang


Inilah menu utama pada hari raya pertama bagi keluarga kami di Besut. Nasi dagang tetap nasi dagang. Resepinya hampir sama. Namun bagaimana Wan (ibu saya)  memperolehi resepi asal daripada penjual nasi dagang tersohor di daerah Besut merupakan kisah kehidupan.


Ia kisah sayu kesungguhan seorang ibu yang mahu membesarkan anak-anaknya yang kuat makan nasi dagang. Di tangan Roza, ia menjadi kisah yang boleh dijadikan panduan.


Inilah nasi dagang yang dihidangkan – semalam – oleh anak sulung Wan yang mewarisi secebis kisah resepi nasi dagang tersebut.


Nasi dagang dirakam menggunakan kamera baru...

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 30, 2011 09:03

August 29, 2011

Pertunangan

Berpuluh tahun yang lampau saya menghadiri majlis pertunangan sepupu di sebelah ayah. Ayah Wa - pengerusi majlis – ketika menutup majlis berpesan, "pertunangan hanyalah satu adat. Ia tidak membenarkan mereka yang bertunang untuk melakukan sesuatu seolah-olah mereka sudah berkahwin".


Saya masih kecil. Namun kata-kata ini melekat di dalam minda. Melekat kemas.


Kini, menilai kembali kata-kata tersebut, barangkali terlalu sukar untuk mencari pasangan bertunang yang tidak bebas keluar rumah. Istilah "dating" bersama tunang menjadi lumrah. Mereka keluar makan di luar, shopping bersama, menonton wayang dan pelbagai kegiatan lain bukanlah satu kepelikan.


Ia seolah-olah tiada halangan atau sempadan.


Namun saya bersyukur kerana Azlina dan Razali tidak begitu. Sepanjang pertunangan mereka ia sangat-sangat terbatas. Mereka tidak pernah keluar bersama. Hubungan pun hanya melalui hp, SMS, FB dan pertemuan bersama keluarga.


Semalam, mereka berbuka puasa bersama. Bersama dalam erti kata yang sangat sempit. Razali berkunjung ke rumah tunangnya bersama ibu dan ayah. Rasa saya, inilah pertemuan pertama mereka.


Besok mereka akan diijabkabulkan.


Bagi sesetengah orang, ia kelihatan pertunangan yang membosankan. Di sisi Allah, ia mungkin sangat-sangat berlawanan. Mudah-mudahan mereka dirahmati dan diberkati Allah sesudah dinikahkan. InsyaAllah, mereka akan dating di syurga Firdaus.


Ayah Razali, Kanda, Razali, ibu dan Siputih Kuning


Selamat Hari Raya, maaf zahir batin.


Itulah ucapan saya kepada semua pembaca KRTS. InsyaAllah persahabatan ini akan berkekalan sehingga ke FIRDAUS.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 29, 2011 10:21

August 28, 2011

Musnah

30 – 50 hari di Mekah dan Madinah kerana menunaikan fardhu haji musnah pada hari pertama pulang ke Malaysia. Solat subuh pertama gagal dilaksanakan berjemaah di masjid tanpa sebab yang melangkaui "kemungkinan rumah di bakar".


Akibatnya, fardhu haji – sekali seumur hidup – tidak berupaya mengubah sempadan iman.


Begitu juga dengan bulan Ramadhan yang bakal kita tinggalkan musnah dek satu hari yang dinamakan 1 syawal! Latihan bagi menjadi insan yang lebih baik pada bulan Ramadhan melalui ibadat puasa, membaca al-Quran, solat berjemaah di masjid, bangun malam dan menjaga hati dan perasaan melalui keengganan mengumpat dan mengeji terhenti serta merta.


Jaga-jagalah ketika beraya. Jaga-jagalah ketika beraya. Jaga-jagalah ketika beraya.


1 syawal dan beberapa hari selepasnya adalah waktu bercuti untuk majoriti rakyat Malaysia. Tiada lagi alasan untuk tidak solat subuh berjemaah di masjid. Tiada anak yang boleh dipersalahkan kerana perlu menghantar mereka ke sekolah. Tiada lagi kesesakan jalan raya yang perlu diutamakan untuk hadir bekerja.


Hati-hati, solat zuhur dan asar berjemaah di masjid yang sering ditinggalkan ketika sambutan 1 Syawal. Alahai… apa lagi yang mahu dijadikan alasan, mesyuarat?


Bagaimana mahu terus istiqamah?


Bermulalah dengan hari penghabisan ramadhan. Pertama, marilah kita teruskan berqiamullail di masjid atau di rumah sebagaimana yang dilakukan oleh ramai orang semasa 10 malam terakhir.


Kita bukan mengejar Lailatul-Qadar. Kita lakukan semata-mata kerana Allah, bersyukur di atas segala nikmat yang telah diberikan sepanjang bulan Ramadhan yang lepas.


Fikirkan begini, 1 dan 2 syawal adalah hari cuti. Mari kita teruskan untuk melatih kita istiqamah.


Kedua, marilah kita terus berjemaah di masjid untuk lima waktu tersebut. Inilah waktu yang paling sukar. Jadi, binalah kekuatan ketika waktu cuti 1 dan 2 syawal. Jika waktu ini kita berupaya, InsyaAllah, Dia akan memberi kekuatan dan jalan untuk hari-hari yang bakal kita lalui.


Ketiga, marilah kita teruskan berpuasa. Bezanya, kali ini kita hanya berpuasa 8 hari sahaja berbanding 29 atau 30 hari pada bulan Ramadhan. Marilah kita berpuasa sunat Isnin dan Khamis untuk seluruh kehidupan kita, InsyaAllah.


Fikirkan begini, 30 hari dapat aku lalui, apalah sangat dengan 8 hari sebulan! InsyaAllah, kita boleh istiqamah.


Biar syawal kali ini sangat-sangat berbeza dengan syawal yang telah berlalu.


"Ya Allah, aku mohon keampunan Mu. Ya Allah, berikanlah kekuatan kepada kami untuk menjadi manusia yang lebih baik".

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 28, 2011 15:34

August 27, 2011

12

Roza dan bakal pengantin. Gubahan sireh dilakukan oleh Roza. Agaknya zaman sekarang menggunakan daun sireh plastik!


Itulah jumlah anak-anak Wan dan Ayah.


Wan berkahwin ketika usianya 13 tahun. Anak yang lahir hampir setahun satu. Hampir seluruh kehidupannya berkisar dengan anak-anak ini.


Kini, ayah dan wan telah tiada. Ayah pergi pada 1995. Wan pula pada 2003. Kemudian, Haniza – adik saya – dipanggil Allah ketika usianya 35 tahun pada 2006.


Hari ini kesemua 11 adik beradik yang tinggal berkumpul di rumah Wan dan Ayah sempena menyambut hari raya idil fitri. Lebih mustahak lagi bagi meraikan Azlina adik beradik terakhir yang akan melangsungkan perkahwinan pada hari raya kedua.


Agaknya Wan dan Ayah tenang menunggu hari dibicarakan. Anak-anak yang ditinggalkan mereka berkasih-sayang di antara satu sama lain. Tiada sengketa. Sangat rapat. Malah sepakat.


"Wan dan Ayah, kami merindui mu. Kami di sini mendoakan agar kita dapat bertemu dan bertamu di syurga Firdaus. Ya Allah, perluaskan kubur Ayah, Wan dan Haniza. Pancarkan nur kasih sayang Mu kepada mereka. Ampunilah dosa-dosa mereka ya Allah".


Berseorangan


Saya tiba di masjid di sekitar jam 3.45 pagi.


Orang pertama sampai. Jika ruang masjid kosong, maka kesukaan saya mencari pusat masjid, berdiri di tengah-tengahnya seolah-olah seluruh masjid itu berpusat kepada diri ini.


Gila manusia pelbagai cara. Itu kegilaan saya.


Namun saya berasa sangat kerdil, kecil dan terlalu halus berbanding dengan ruang masjid yang besar itu.


4.55 pagi saya meninggalkan masjid untuk bersahur, menjemput Roza, Sara dan Sofea untuk solat subuh berjemaah. Dan ruang solat menjadi kosong. Saya yang pertama dan saya jua yang terakhir.


Orang gila?


Kami terus ke bandar Jertih setelah selesai solat subuh. Tujuannya satu, masukkan cek royalti VCD Motivasi Haji ke akaun Maybank melalui mesin ATM.


Sudah 2-3 hari saya gagal pada waktu-waktu siang akibat jumlah manusia yang terlalu ramai. Tidak kuasa untuk beratur dan menunggu.


Di pintu ruang ATM berdiri seorang anak muda yang membuka dan menutup pintu. Beliau tersenyum membuka pintu sambil mempersilakan saya masuk. Bila keluar, saya hulurkan RM5.00 sebagai hadiah di pagi hari.


"Terima kasih," katanya. Beliau beredar pergi. Mata saya memerhatikan beliau. Setiap kali berjumpa dengan sampah sarap, beliau mengutip dan membuangkannya ke dalam tong sampah.


Kami sama-sama memasuki kedai surat khabar. Saya membeli akhbar, beliau juga begitu.


Adakah beliau gila?


Ketika keluar, beliau dan saya berjumpa dengan sampah sarap. Saya beredar pergi. Beliau mengutip sampah tersebut dan terus membuangnya ke tong sampah yang berhampiran.


Terencat Akal


Udin terencat akalnya semenjak dilahirkan.


Semalam, beliau mendengar tazkirah saya di surau di salah sebuah Kg di Pasir Hor. Di sebelah pagi beliau berkunjung ke rumah Ayah Su saya, juga Pak Ngah beliau. Dalam pelat-pelat beliau memberitahu saya,


"Ustaz, Udin puasa. Masuk syurga. Tapi kalau puasa kita umpat, masuk neraka".


Alhamdulillah, kita yang tidak terencat akal tidak mengumpat di bulan ini. Kalau tidak…. Udin lebih baik nampaknya!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 27, 2011 17:24

August 26, 2011

Pasir Hor

Ia perkampungan di pinggiran bandar Kota Bharu. Melihat dari sudut yang berbeza, ia terletak di tengah-tengah antara bandar Kota Bharu, Kubang Kerian, Wakaf Che Yeh dan beberapa pekan-pekan baru yang lain.


Di sinilah tinggal satu-satunya mak saudara – Cik Su – di sebelah Wan, arwah ibu.


Kami bermalam di rumah beliau kerana mahu menjemput Azrai yang pulang ke Besut melalui Kota Bharu. 


"Mil, boleh bagi tazkirah di surau Ayah Su?," soalan yang dijawab spontan, "InsyaAllah, Cik Su". Saya tidak pula memikirkan jam ketibaan Azrai. Tidak pula saya terlintas yang perjalanan Pulau Pinang – Kota Bharu akan berakhir di sekitar 5 pagi.


Saya bersetuju kerana ia peluang untuk saya meneruskan ceramah dan tazkirah sebelum berangkat ke Bandaraya Madinah.


"Azrai, ayah dijemput untuk menyampaikan tazkirah di sini, SMS ayah bila sampai di KB. Tunggulah… hingga ayah habis ceramah," saya maklumkan kepada Azrai.


Namun Allah permudahkan. Saya selesai ceramah dan barulah Azrai sampai.


"Solat subuh di mana?," soalan pertama saya.


"Bas tidak berhenti. Azrai hanya solat hormat waktu," jawapan yang sangat-sangat mengejutkan. Saya bukanlah orang yang mempercayai anak 100%.


"Bas tidak berhenti atau Azrai yang tidak terjaga?," soalan yang menggambarkan saya tidak yakin dengan jawapan sebelumnya.


Tentu sekali saya sangat-sangat berdukacita jika ia benar-benar berlaku terutamanya di bulan Ramadhan. Apatah lagi kesemua penumpang dan pemandunya beragama Islam.


"Ya Allah ampumilah kami….. ya Allah".


Tazkirah penutup? Agak saya begitu. Pasir Hor pastinya yang terakhir (nota: agakan manusia memang begitu, rencana Allah pastinya berbeza) .


Namun ia tazkirah yang sangat berbeza. Pertama kali saya bercakap menggunakan bahasa "kelate"  bercampur-campur dengan bahasa biasa. Ia kuliah subuh yang menyenangkan.


Mudah-mudahan khalayak yang hadir akan mendapat sedikit ilmu yang boleh dimanfaatkan.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 26, 2011 18:34

August 22, 2011

Puasa

NotaMKI: Artikel ini telah disiar melalui ANIS bulan Ogos 2011


Ramadhan tiba lagi.


Jika Ramadhan dikaitkan dengan amalan berpuasa, maka pastinya ia bulan yang sentiasa memenuhi kotak kenangan saya sebagai seorang remaja. Saya tidak suka berpuasa tetapi saya tetap melaksanakan amalan ini. Menunggu bulan Ramadhan berakhir merupakan satu penyiksaan. Namun ia penantian yang sangat berharga.


Tamat Ramadhan akan muncul Syawal. Syawal dengan segala keseronokannya menyambut hari raya, berkumpul dengan sepupu-sepupu sebaya, bersedia untuk makan-minum yang sedap-sedap, dan dapat pula mengumpul wang raya menghilangkan segala rasa lapar dan dahaga sebulan berpuasa.


Begitulah, berpuasa di bulan Ramadhan menjadi sebahagian budaya masyarakat Melayu Islam di Malaysia yang diajar kepada anak-anak zaman berzaman. Ia satu peristiwa penting dalam diari kehidupan kita sebagai seorang manusia yang beragama Islam.


Puasa merupakan salah satu rukun Islam yang lima. Ia wajib pada setiap bulan dalam bulan Ramadhan. Amalan berpuasa bukan sahaja difardhukan kepada umat Nabi Muhammad tetapi telah menjadi amalan daripada zaman sebelumnya.


Allah SWT melalui surah al-Baqarah ayat 83 ada menyatakan, Telah difardukan ke atas kamu berpuasa seperti mana telah difardukan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu.


Di Malaysia, kanak-kanak telah diajar berpuasa semenjak kecil. Mereka dilatih untuk puasa separuh hari, ¾ hari dan akhirnya cukup sehari penuh. Kanak-kanak yang tidak berpuasa diugut walaupun dengan nada bergurau yang mereka tidak boleh berhari raya.


Malah ada sesetengah ibu bapa [nota: termasuk saya] memberi upah kepada anak-anak kecil yang berjaya berpuasa penuh. Ada kanak-kanak yang menangis apabila dimaklumkan yang mereka tidak boleh menyambut hari raya kerana meninggalkan puasa. Apatah lagi jika dikaitkan dengan duit raya.


Itulah kegembiraan ibadat puasa dan hari raya yang diajar semenjak kecil. Puasa wajib ini kelihatan mempunyai kelebihan di dalam amalan masyarakat Malaysia. Misalnya, amalan berpuasa diajar dan diberatkan tetapi meninggalkan solat tidak pula dimarahi. Berpuasa dan merayakan tamatnya hari berpuasa sangat meriah.


Namun persoalan yang lebih penting tentang ibadat puasa ialah, "benarkah ibadat tersebut yang diamal kita sesuai dengan ajaran dan kemahuan Allah SWT". Imam Ghazali berpendapat ibadat ini terbahagi kepada tiga tahap iaitu puasa umum, puasa khusus dan puasa khusus al-khusus.


Puasa umum ialah menahan perut dan kemaluan daripada memenuhi kehendak syahwat. Inilah yang dikatakan tahap terendah dan dikatakan puasa orang ramai-ramai. Manakala puasa khusus pula ialah menahan pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota badan daripada melakukan dosa.


Sementara puasa tertinggi ialah menahan hati daripada keinginan yang buruk dan daripada memikirkan sesuatu selain daripada Allah sepenuhnya. Bolehkah kita mencapai tahap amalan tertinggi? Bagi orang biasa-biasa – seperti saya – yang terdidik dalam keadaan serba kekurangan maka ia kelihatan sebagai sesuatu yang hampir mustahil.


Namun pengalaman menunaikan fardhu haji telah mengubah persepsi saya tentang ibadat ini. Saya fikir ia merupakan satu ibadat yang disyariatkan oleh Allah SWT bagi mengajar manusia supaya sentiasa "berhijrah" untuk mencari yang terbaik di sisiNya.


Bulan Ramadhan yang diangkat sebagai bulan yang paling mulia – penghulu segala bulan – mengandungi pelbagai keistimewaan yang boleh mengajak manusia untuk menjadikan ia sebagai bulan untuk berubah.


Soalnya, bagaimana kaedahnya jika mahu atau bercita-cita mahu mencapai yang terbaik dalam melaksanakan amalan berpuasa dan seterusnya menjadikan ia sebagai bulan permulaan untuk melakukan perubahan-perubahan yang signifikan.


Pertama – saya fikir – kita perlu mengkaji terlebih dahulu bagaimana yang dikatakan sebagai puasa yang terbaik. Misalnya, dikatakan manusia yang berpuasa perlu mengawal pandangan dan menahan daripada melihat perkara tercela dan dibenci Allah. 100% wajib mengingat Allah.


Kedua, Mereka perlu memelihara lidah daripada menuturkan kata-kata buruk seperti mengumpat dan berdusta. Sebaliknya, amalan semasa berpuasa dengan sebaik-baik puasa hendaklah lebih banyak berdiam diri, bersolat sunat, berzikir dan membaca al-Quran.


Ketiga, di hujung hari mereka juga tidak berlebihan ketika berbuka dengan memakan makanan halal sekadar untuk berbuka dan meneruskan solat maghrib berjemaah.


Kemuncak di atas segalanya, puasa tertinggi akan menjadi milik mereka yang sentiasa takut dan mengharapkan belas kesihan Allah supaya menerima puasa yang telah dilaksanakan sepanjang hari.


Lalu marilah kita bertanya kepada diri sendiri, termasukkah aku dalam golongan ini? Jika tidak, bolehkah sifat-sifat ini dilaksanakan semasa berpuasa di Malaysia? Benarkah ia boleh dilakukan? Alhamdulillah, inilah yang saya pelajari dan amati semasa menunaikan fardhu haji.


Kenapa?


Amalan berpuasa bukanlah rukun dan wajib haji. Bagaimanapun, ciri-ciri untuk mendapat puasa tertinggi boleh di cuba semasa menunaikan ibadat haji. Bagaimana?


Ruang masa di Mekah dan Madinah bukan untuk kita bergosip tentang pelbagai kisah, curi tulang bekerja, menonton wayang atau TV atau melepak-lepak di gedung perniagaan.


Tiada orang yang mahu mengumpat di Mekah dan Madinah. Di sana, jemaah hanya mendiamkan diri, bersolat sunat dan membaca al-Quran. Tiada yang mahu membuat dosa mata, hati, telinga dan tubuh badan semasa menunaikan fardhu haji. Jika ada yang bersifat begitu, maka tentu sekali mereka tidak perlu berfikir untuk berpuasa atau melakukan amalan-amalan sunat yang lain.


Menunaikan fardhu haji atau tidak, mereka sama sahaja. Di Malaysia atau Mekah, mereka tetap mahu mengekalkan sifat-sifat yang sudah sebati di jiwa masing-masing. Malah tiada siapa yang memikirkan juadah untuk berbuka puasa kecuali dengan tamar dan air zam-zam. Itu pun dilakukan di dalam masjid.


Pengalaman kami, kita terasa-terasa nikmat sebenar berpuasa selama berada di Mekah dan Madinah. Malah saya fikir, apa yang dilakukan selama ini hanyalah puasa yang dikelskan hanya untuk masyarakat umum semata-mata. Berpuasa semasa menunaikan fardhu haji jarang diberi penekanan kerana ia bukan sebahagian daripada rukun dan wajib haji.


Namun di sanalah suasana untuk menepati ciri-ciri puasa tertinggi terbentuk secara semulajadi. InsyaAllah, nikmat sebenar-sebenar puasa akan dikecapi dan dirasai. Belajarlah berpuasa sunat semasa menunaikan fardhu haji.


InsyaAllah bila pulang ke Malaysia, teruskanlah dengan berpuasa Isnin dan Khamis. Lebih baik lagi jika mampu berpuasa sebagaimana puasa Nabi Daud. Dan kemuncak di atas segala-galanya kita berpuasa di bulan Ramadhan dengan puasa yang sebenar-benar puasa. Itulah nikmat berpuasa di Tanah Suci.


Namun di atas segalanya, saya ingin mengajak diri sendiri, isteri, anak-anak, kaum keluarga dan khalayak pembaca untuk menjadikan bulan ini sebagai bulan untuk berubah.


Jika kita belum menutup aurat, marilah kita berpuasa dan terus menutup aurat. Jika kita bangun bersahur, mulakan sahur kita dengan bersolat malam, bermunajat dan memohon keampunan Allah. Jika kita bepuasa, di antara waktu subuh dan zohor, marilah kita melaksanakan solat dhuha.


Biar tahun ini, Ramadhan kita membawa erti yang melangkaui tahun-tahun sebelumnya, InsyaAllah. Selamat berpuasa!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 22, 2011 13:46

August 21, 2011

Tazkirah di Sura Hujung

Hari ini seisi keluarga solat subuh di Masjid UiTM Dungun.


14 – 15 jemaah yang hadir. Inilah ujian terbesar bagi hamba Allah, ujian tidur. Sebagai siswa, ada yang gagal terus bangun sehingga luput waktu subuh. Ada pula yang gagal solat berjemaah di masjid.


Ketika mahu beredar, ada yang bertanya, "prof, boleh luangkan masa 5-10 minit bagi menyampaikan tazkirah?"


Minda saya pantas berfikir bertanya-tanya topik apakah yang ingin saya sampaikan. Akhirnya saya menceritakan dapatan pertanyaan yang ditanya kepada pembaca blog dan mereka yang menghadiri syarahan intelektual UiTM Johor.


"Apakah ujian terbesar yang pernah khalayak pembaca hadapi?"


Hampir 100% memberi jawapan yang dikaitkan dengan kehilangan, kedukaan dan kegagalan. Malah ada yang merasai mereka tidak pernah menghadapi sebarang ujian. Ada juga yang menyatakan dengan yakin, "segala-galanya OK!".


Hakikatnya, mereka yang OK sebenarnya mungkin tidak OK kerana kehidupan itu sendiri merupakan suatu ujian. Misalnya, sebelum turun ke masjid saya terbaca ayat 49, surah Az-Zumar yang bermaksud,


Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Kami kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) dari Kami, berkatalah ia (dengan sombongnya): "Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku".


(Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu), bahkan pemberian nikmat yang tersebut adalah ujian (adakah ia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu).


Realitinya, jika kita OK, maksudnya kita telah diberi nikmat "kesukaan" untuk kita bersyukur kepada Allah. Bagaimana caranya? Perbanyakkan amal ibadat kepadaNya sebagaimana yang diajar melalui Surah Adh-Dhariyat ayat 56 yang bermaksud,


"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu"


Saya nyatakan kepada khalayak, "benar, kehilangan kedua orang ibu bapa merupakan satu ujian. Bagaimanapun ujian yang lebih besar adalah untuk menjadi anak yang soleh dan solehah. Itulah yang ada buat kedua-dua ibu bapa yang telah pergi".


Majlis Berbuka

Semalam, saya berbuka di sebuah surau atas jemputan ahli keluarga. Kami berbuka dan bila selesai majlis, ada jemaah yang terus pulang. Saya menunggu dan menunggu. Akhirnya saya difahamkan yang mereka akan solat "sendiri-sendiri".


Lalu saya mengajak Amirul untuk solat jamak berjemaah. Tentu sekali saya terfikir, "kenapa begitu?". Kenapa Tuan Guru bersolat di bilik bersama isteri? Ia bermain-main di fikiran sendiri.


Agaknya saya seorang yang belum cukup ilmu!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 21, 2011 16:17

August 20, 2011

Dungun oh Dungun

Kami selamat sampai di Sura Hujung, Dungun.


Perjalanan sangat lancar. Kami bermula jam 6.46 pagi, singgah di R&R Maran untuk solat Dhuha dan akhirnya tiba di hotel UiTM, sekitar jam 11.30 pagi.


Perjalanan hampir lima jam tidak terasa kerana cuaca redup. Apatah lagi pemanduan bergilir antara saya dan Roza tidak meletihkan.


"Yang, nikmatilah saat-saat terakhir memandu. Nanti di Madinah awak tidak boleh memandu lagi," saya mengecek Roza supaya mengambil-alih tugas-tugas memandu ketika sampai di Maran.


Tanpa rasa sukar, beliau memandu.Barangkali Roza tahu yang saya dalam kepenatan yang amat sangat setelah mengharungi minggu bertazkirah dan ceramah tanpa rehat.


Semalam – pada hari terakhir di Shah Alam – saya memasuki studio untuk merakamkan VCD "Motivasi Haji dan Umrah". Ia sesuai untuk didengar ketika memandu atau bersantai-santai di rumah.


VCD untuk ditinggalkan


Agak saya begitu. Namun hasil akhir nanti terpulanglah kepada khalayak untuk menilai sama ada ia berguna atau tidak. VCD ini akan diterbitkan oleh Alibi Music.


Sesi rakaman hampir dua jam. Sesi fotografi pula memakan masa hampir 45 minit.


Di sebelah petang, saya menyampaikan tazkirah terakhir di Masjid Ar-Ridhuan, Hulu Kelang. Ia pengalaman pertama bercakap panjang selepas solat asar. Subhanallah, ramainya jemaah.


Akhirnya, bila berbaring di sini, di kawasan UiTM Dungun ini, saya terasa sangat lega. Saya mengira hari. Dan hari-hari yang bakal ditunggu tentunya akan bergerak pantas.


Ia terlalu pantas!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 20, 2011 21:09

August 18, 2011

TV9

Saya dan Roza menerima pelawaan untuk siri khas TV9.


"Alahai… mohon maaf, pada ketika itu – insyaAllah – kami sudah berada di Madinah," saya terpaksa menolak kerana ia akan terlangsung pada oktober, 2011. Tentu sekali penerbit terkejut mendengar khabar yang kami akan berhijrah ke sana.


"Saya akan usahakan juga untuk melakukan sesuatu walaupun prof dan isteri sudah berada di sana," beliau mengakhiri perbualan.


Saya suka TV9 kerana kaedahnya yang simple dan santai. Ia sesuai dengan jiwa saya. Jadi, setiap kali mendapat tawaran ke udara bersama mereka, saya benar-benar teruja.


Memohon maaf


Kuliah Terakhir di UiTM Shah Alam


"Dulu saya tidak suka dengan prof," beliau berterus terang. Saya mendengar dengan tekun perjelasan yang beliau sampaikan selepas menamatkan bicara bersama warga kejuruteraan di Menara berkembar UiTM.


Beliau serius. Suaranya terketar-ketar menyampaikan apa yang terpendam.


Akhirnya saya ketawa sambil bertanya, "sekarang puan suka dengan saya?"


Dulu, barangkali saya kelihatan angkuh dengan pelbagai kejayaan yang telah saya perolehi. Saya menulis buku "PhD kecil tapi Signifikan" menceritakan pandangan sisi bagaimana mahu mencapai kejayaan tanpa mengaitkan dengan kebesaran dan kekuasaan Allah.


Saya sering diundang untuk berceramah. Beliau mungkin menjadi salah seorang pendengar yang "menyampah" dengan pelbagai teori kejayaan tanpa sempadan yang cuba saya utarakan.


Mungkin beliau tidak gemar bagaimana saya berhujah dengan menonjolkan kejayaan Fakulti Sains Sukan yang saya pimpin melonjak daripada 0 penyelidikan sehinggan berada di tangga ke3 di antara fakulti dan kampus cawangan.


Banyak kemungkinan yang tidak dapat saya telah di atas kenyataan "dulu saya tidak suka prof".


Namun satu perkara yang pasti, ada manusia  yang tidak kita kenali pernah membenci kehadiran kita di muka bumi ini. Benarlah kata orang, "baik bagi kita, buruk bagi orang, kita menyampai, orang kata menunjuk, kita bergurau, orang kata mengutuk".


Saya teringat kata-kata VC UiTM apabila beliau mahu melantik saya sebagai Pegawai Khas,


"Mil, ada orang tidak suka you dilantik sebagai Pegawai Khas l. Katanya, you suka melakukan sexual harrasment. Kenapa begitu?"


Saya tidak dapat menolak kenyataan tersebut. "Dato, saya suka memuji wanita. Mungkin kadangkala ia melampau. Ada orang tidak suka dan tidak selesa dengan keadaan tersebut. InsyaAllah, saya jaga soal ini"


Hakikatnya, kita mungkin tidak menyedari yang tingkah laku bersalahan dengan hati dan perasaan orang lain. Kita merasai yang kita "betul dan benar" sentiasa. Hinggalah ada orang menyedarkan kita!


"Saya tidak suka prof" adalah tanda-tanda yang kita sebenarnya manusia yang sangat lemah. Saya mohon maaf di atas kelemahan tersebut. Saya berdoa agar termasuk di kalangan mereka yang suka memohon keampunan Allah di atas segala kelemahan diri.


Mudah-mudahan saya tunduk dan patuh di atas segala perintahNya!


Di sisi yang lain, pemandu terakhir saya keluar kereta dan bersalam sambil berkata, "saya mohon maaf di atas segala kesalahan saya". Saya tersengih dan spontan berkata,


"Kenapa, you pernah mengutuk saya di belakang?"


"Ada prof, saya tak nak bohong".


Saya dan Roza ketawa.


Masjid Negeri


Bersama Dr terbaru Fakulti Perakaunan, Zuraeda dan keluarga. Tahniah Dr, moga lebih berjaya lagi di dunia dan akhirat.


Meriah.


Itulah kesimpulan ringkas suasana berbuka puasa di masjid Negeri Shah Alam. Ramai yang berkeluarga dengan anak-anak kecil berada di dewan berbuka.


Masing-masing membawa bekal sendiri.


Ia bukan halangan yang sering dicipta bagi menjustifikasi kenapa mereka tidak boleh solat berjemaah maghrib di masjid ketika bulan Ramadhan. Usai berbuka (dengan masa yang panjang), kami bersolat maghrib di ruang bawah.


Aduhai… ia aman dan damai!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 18, 2011 14:07

Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.