Dungun oh Dungun
Kami selamat sampai di Sura Hujung, Dungun.
Perjalanan sangat lancar. Kami bermula jam 6.46 pagi, singgah di R&R Maran untuk solat Dhuha dan akhirnya tiba di hotel UiTM, sekitar jam 11.30 pagi.
Perjalanan hampir lima jam tidak terasa kerana cuaca redup. Apatah lagi pemanduan bergilir antara saya dan Roza tidak meletihkan.
"Yang, nikmatilah saat-saat terakhir memandu. Nanti di Madinah awak tidak boleh memandu lagi," saya mengecek Roza supaya mengambil-alih tugas-tugas memandu ketika sampai di Maran.
Tanpa rasa sukar, beliau memandu.Barangkali Roza tahu yang saya dalam kepenatan yang amat sangat setelah mengharungi minggu bertazkirah dan ceramah tanpa rehat.
Semalam – pada hari terakhir di Shah Alam – saya memasuki studio untuk merakamkan VCD "Motivasi Haji dan Umrah". Ia sesuai untuk didengar ketika memandu atau bersantai-santai di rumah.

VCD untuk ditinggalkan
Agak saya begitu. Namun hasil akhir nanti terpulanglah kepada khalayak untuk menilai sama ada ia berguna atau tidak. VCD ini akan diterbitkan oleh Alibi Music.
Sesi rakaman hampir dua jam. Sesi fotografi pula memakan masa hampir 45 minit.
Di sebelah petang, saya menyampaikan tazkirah terakhir di Masjid Ar-Ridhuan, Hulu Kelang. Ia pengalaman pertama bercakap panjang selepas solat asar. Subhanallah, ramainya jemaah.
Akhirnya, bila berbaring di sini, di kawasan UiTM Dungun ini, saya terasa sangat lega. Saya mengira hari. Dan hari-hari yang bakal ditunggu tentunya akan bergerak pantas.
Ia terlalu pantas!
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
