Rezeki
Saya suka berdoa. Saya tahu dan yakin Allah Maha Mendengar. Namun berdoa ada prinsip-prinsip tertentu misalnya,
1. ia satu ibadat untuk mengingatiNya, pada setiap ketika samada di tikar solat atau ketika berjalan,
2. Allah boleh memberi yang lebih baik kerana Dia Maha Berkuasa
3. Allah memberi sesuatu yang kelihatan kurang di mata kita tetapi elok di sisiNya kerana Dia Maha Mengetahui
4. bila Dia mahu makbulkan terpulanglah kepadaNya samada, serta-merta, sejam, sehari, sebulan, setahun atau berpuluh tahun
5. jika tidak dimakbulkan di dunia, Dia akan bagi kemuliaan di akhirat.
Di atas segalanya, kita tidak boleh berburuk sangka dengan Allah. Kata kunci utama ialah redha!
Pagi tadi kami agak lewat turun rumah untuk solat subuh di Haram. Lalu kami berdoa, "Ya Allah permudahkanlah urusan kami. Kami ingin bersolat di Haram. Mudahkanlah perjalanan kami. Kami ingin pergi semata-mata kerana Mu ya Allah".
Tiba-tiba berhenti sebuah kereta besar. Masyallah, seorang pegawai polis berpangkat berhenti mengambil kami. Menggunakan bahasa Arab yang tersekat-sekat kami berbual-bual.
"Isteri saya pandai berbahasa Inggeris," kata beliau.
"Oh.. OK.. nanti jemputlah ke rumah, kita makan makanan Malaysia," saya mempelawa.
Bayangkan kesukaran saya dan Roza untuk menyatakan kenyataan di atas. Keluarlah al-Bait, Mata'am, Tafadol… opppps… sukarnya!
Beliau teruja. Dan kami bertukar-tukar nombor telefon. Allahu Akbar, beliau bertugas di bahagian Imigresyen menjaga Visa dan Iqamah. Kami dihantar ke Haram dan berkenalan pula dengan orang Madinah.
InsyaAllah, kami sudah mempunyai beberapa kenalan penduduk setempat. Ia rezeki Allah. Mudah-mudahan ia membawa kebaikan.
Milik Allah
Di depan mata, saya melihat seseorang bersedekah kepada pekerja-pekerja di sekitar Haram. Di mana beliau lalu, beliau akan menghulurkan wang kepada pekerja yang ada di hadapan beliau.
Kebanyakannya sedang menyapu. Mereka bekerja.
Terdapat seorang pekerja yang berjauhan dengan laluan beliau. Pekerja tersebut berlari mahu berada di hadapan beliau. Tidak, tidak, beliau tidak nampak pekerja tersebut.
Pekerja tersebut masih berusaha mahu berada di hadapan beliau. Tidak, tidak, beliau sudah tutup buku untuk hari tersebut.
Allahu Akbar, subhnallah, rezeki datangnya dari Allah. Jika bukan milik kamu, ia bukan milik kamu!
Raudhah
[image error]
InsyaAllah ada ruang untuk solat dan berdoa di sini
Raudhah senang untuk dimasuki. Ada ruang. Agak saya ia akan berlanjutan untuk tempoh seminggu.
Berbuka puasa juga meriah. Hampir setiap saf ada orang menyediakan juadah berbuka. Mereka berebut-rebut mengajak jemaah berbuka. Puasa atau tidak sudah tidak musatahak bila jemaah berkurang.
Semua dijemput. Ia juga satu rezeki, solat di Raudhah dan berbuka.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
