Pendapatan

Beberapa orang bertanya, "Prof berapa pendapatan yang dibayar oleh Universiti Taibah?". Saya tidaklah berahsia. Namun saya memberi jawapan umum, "pendapatan saya sama sahaja dengan pendapatan di UiTM. Gaji pokok dan elaun profesor kelihatan RM1=SR1.


Maksudnya, gaji dan jumlah elaun dalam SR lebih tinggi sedikit mengambilkira perbezaan tukaran wang asing. Mengambil kira kesemua faktor tersebut pendapatan di sini sama sahaja berbanding di Malaysia.


Kemudian, bagaimana pula dengan kuasa beli? Jika saya mengambil kereta sebagai contoh, Toyota Fortuner yang dianggap mewah (dipakai oleh Pengarah UiTM Johor – dibeli semasa saya memegang jawatan tersebut) hanya SR90,000. Ia disekitar RM80,000.Toyota Camry hanya SR60000 – SR70,000.


Tiada cukai pendapatan. Tiada cukai jalan. Minyaknya sangat-sangat murah. Roti dan gandum juga murah. Emm… lain-lain kelihatan mahal atau setara dengan apa yang ada di Malaysia.


Akhirnya saya akan bertanya, kenapa mahu menginap di Madinah?


Di dalam al-Quran ada disebut dengan jelas tentang nilai pendapatan yang sebenar. Ia sangat menarik apabila Allah sendiri menyebutnya melalui ayat 60 – 61, As-Saaffat yang bermaksud,


Sesungguhnya (nikmat-nikmat kesenangan syurga) yang demikian, ialah sebenar-benar pendapatan dan kemenangan yang besar. Untuk memperoleh (kejayaan) yang seperti inilah hendaknya orang-orang yang beramal melakukan amal usahanya dengan bersungguh-sungguh (di dunia).


Pendapatan yang tinggi perlukan usaha yang bersungguh-sungguh. Begitulah perbandingan menarik di antara pendapatan dunia yang sempit dengan pendapatan hakiki yang kekal selama-lamanya.


Ketika kita sanggup berkerja bersungguh-sungguh, belajar tinggi-tinggi dan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan pendapatan tinggi RM atau SR, kita jangan pula meminggirkan satu nilai pendapatan yang sangat penting.


InsyaAllah, kita seimbangkan pendapatan tersebut. Seimbang tetapi pastinya tidak sama!


 


Apa kata mereka?


Alhamdulillah kerana saya diberi peluang olehNya untuk berkongsi pandangan mengenai kandungan buku Travelog Kehidupan: Menghadapi Ujian, karya terbaru Profesor Dr Muhd Kamil Ibrahim (MKI).


Pertama, saya melihat karya ini selari dengan pesanan As Shayid Hassan Al Banna, tokoh mujadid Islam yang sangat terkenal. Hujah beliau, "seseorang muslim sejati sentiasa menyedari tanggung jawab yang mereka pikul menjangkaui masa yang diperuntukkan oleh Allah".


MKI mempelbagaikan kaedah untuk menyampaikan risalah mengenai kebaikan, keburukan dan ancaman. Misalnya, saya terkesan dengan penyampaian syarahan, penulisan dalam blog dan penerbitan bahan bacaan. Ia dilakukan secara lemah lembut, santai dan sangat berhemah.


Travelog Kehidupan: Menghadapi Ujian, menggunakan pendekatan yang sangat unik. Beliau menggunakan pendekatan hati dan minda untuk mempengaruhi pembaca. Di Barat ia pernah dilakukan namun keistimewaan yang terdapat dalam karya MKI ialah keikhlasan dalam berbicara. Hati saya terasa buku ini penuh dengan sifat tawaduk dan keikhlasan.


Ada tiga aspek utama yang mahu saya ulas. Pertama, karya ini amat mudah untuk difahami disebabkan MKI mengambil kira aspek keperihalan keadaan. Beliau menggunakan laras bahasa mudah. Hasilnya, mesej disampaikan jelas kepada semua lapisan khalayak pembaca. Natijahnya, tulisan yang dikaitkan dengan hati dan minda menyebabkan khalayak pembaca akan mudah dipengaruhi untuk sesuatu tindakan positif berikutnya.


Kedua, saya mendapati karya ini tepat menggunakan bunyi bahasa, jelas dalam mengucapkan bunyi bahasa, tepat dalam penggunaan intonasi dan modulasi. Misalnya, dalam bab 7, Pundi Kencing, Payu Dara dan Muka, terdapat bunyi bahasa, penggunaan intonasi dan modulasi yang amat menyentuh hati dan minda. Saya petik, "Abah OK, cuma abah hendak sambung ubat sahaja," itulah permintaan beliau ketika kami membawa beliau ke Hospital Pantai.


Akhir sekali, saya berpendapat MKI amat berani dalam membicarakan hal peribadi. Itulah catatan beliau yang mahu dijadikan teladan kepada masyarakat. Misalnya ayat berikut dalam bab 14, Taubat, "Dalam kes ini, saya pernah terbaca sepucuk surat layang setebal 13 muka surat yang menceritakan keburukan kesemua profesor yang telah dilantik oleh pihak universiti".


Semoga ia menjadi amal-ibadat yang diterima Allah.


Dr. Muhammad Faizal A. Ghani

Universiti Malaya

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 19, 2011 08:02
No comments have been added yet.


Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.