Sentiasa begitu
Dulu saya tidak memahami bagaimana mahu mengingati Allah sepanjang masa. Ia sesuatu yang kelihatan terlalu sukar.
Bagaimana seorang yang sedang kusyuk memberi syarahan teringat kepada Dia? Atau bolehkah seorang ketua jabatan yang sedang mempengerusikan mesyuarat mengingati sang Penciptanya?
Lalu saya mencuba sesuatu yang sangat praktikal. Lakukan sesuatu keranaNya. Semata-mata kerana Allah. Namun untuk menterjemahkannya kepada amalan atau perbuatan memerlukan kesungguhan.
Misalnya amalan berdoa. Mulakan sebarang kegiatan, tidak kira rutin atau sesekali, istimewa atau tidak dengan memohon keampunan Allah. Mintalah agar ia menjadi satu amal ibadat yang diterimaNya.
Berdoa perlu dilakukan sepanjang masa. Memasak, berdoa, memandu berdoa, keluar rumah berdoa, melihat orang tidak menutup aurat berdoa….. dan senarainya berkajang-kajang.
Doa tidak perlu mengangkat tangan. Biar ia menjadi sebutan, malah sampai ketikanya ia menjadi mainan hati. Bukan mulut yang berkata tetapi hati yang mentafsir permohonan yang mahu disampaikan kepadaNya.
Pilihan di antara menyanyi di dalam kereta berbanding berzikir menyebut-nyebut nama Allah nyata tindakan yang membosankan bagi sesetengah orang.
Jika begitu pandangan hati maka mengingat Allah sepanjang masa akan menjadi lebih sukar.
Ketika berjalan-jalan – misalnya – apakah yang kita lakukan? Kosong. Ada yang membayangkan sesuatu. Ada yang memutar kembali kisah-kisah silam.
Saya fikir, alangkah baiknya jika kita menyebut nama Allah secara berulang-ulang sehingga sampai masanya kita tidak perlu lagi berbuat begitu.
Kenapa?
Bila sampau masanya – pada satu saat dan ketika – hanya hati yang berkata-kata dan menyebut-nyebut namaNya.
InsyaAllah, ia boleh dilakukan. Biar ia sentiasa begitu!
Karangkraf

Alhamdulillah, saya sangat teruja bersama mereka
Mungkin mereka tidak mengetahuinya tetapi Karangkraf sentiasa mempunyai tempat di hati saya. Kenapa? Dulu-dulu – sebelum menunaikan fardhu haji – saya ada menyebut kepada Roza,
“Yang, bila saya mahu jadi cover majalah….. bila gambar saya akan ada – besar – di lebuhraya? Wow… best kalau nama saya Dato’ Prof Dr Muhd Kamil…,” dan pelbagai impian keduniaan semata.
Tiba-tiba Majalah i menjadikan kisah saya sebagai cover story. Gambar saya besar sekali di muka hadapan majalah mereka. Alahai… masa beredar. Cukuplah sekali. Kini saya menolak banyak permintaan untuk menjadikan kami sekeluarga sebagai cover story majalah kekeluargaan.
Entah… impian yang tidak mahu saya teruskan.
Hari ini saya membuka rahsia tersebut sebelum menyampaikan tazkirah kepada staf Karangkraf. Juga saya ceritakan, “saya kecil hati apabila diminta berhenti menulis di Majalah MIDI, saya terasa hati kerana ditamatkan khidmat saya di l Luv Islam… dan…”.
Namun saya ketawa kerana kecil atau terasa hati saya tidak berpanjangan. Ia tidak menjadi luka yang meninggalkan parut. Tidak. Saya bukan begitu.
Lalu bila Majalah i mahu saya menjadi kolumnis mereka, saya langsung tidak fikir untuk menolak walaupun sudah sekian lama menulis untuk majalah ANIS.
Hari ini saya dikenalkan dengan ramai editor di pelbagai jenama majalah keluaran Karangkraf. Bertimbun business card yang dibekalkan.
Namun di antaranya, saya sangat teruja bertemu muka dengan insan yang bernama Sri Diah……
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
