Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 30
February 21, 2012
Bimbang
Kebimbangan – barangkali – tidak dapat menyelesaikan masalah hari esok. Namun ia mungkin meragut kegembiraan hari ini.
Hati bimbang atas banyak perkara. Isu-isu kewangan, kerjaya, jodoh, anak-anak dan pelbagai lagi. Kebimbangan tidak akan ada penghujung.
Kebimbangan membawa manusia berusaha agar mereka dapat mengatasi apa yang mereka bimbangkan. Kadangkala, penyelesaian ada di tangan. Selebihnya perlu bergantung kepada banyak faktor di luar jangkauan sendiri.
Bagaimana dengan kebimbangan untuk menghadapi hari yang kekal abadi. Persoalan syurga atau neraka. Perlukah kita dihisab? Dan banyak lagi. Tentu sekali ia melintas di hati.
Namun ia boleh (berpura-pura) diketepikan kerana ia hanya perlu dihadapi pada satu ketika yang tidak diketahui masanya.
Bimbang, ia diperlukan. Namun bimbang kekal begitu jika ia tidak ditangani dengan cara yang hakiki.
Allah, Allah, Allah, saya berkata kepada diri sendiri, "hendaklah daku sabar dan solat, dan solatlah dengan kusyuk". Ia kata-kata yang mencipta kebimbangan yang lain.
Misalnya, "bagaimana mahu kusyuk?".
Kita bimbang sebelum melakukannya!
Tetamu Umrah

Dr Arun bersama kakak dan Bukhari bersama isteri
Malam tadi kami menerima Dr Arun dan kakak di rumah kecil kami di Jabal Uhud. Arun menyerahkan tesis PhD beliau yang telah siap dibinding.
Saya bertanya, "Run, bagaimana rasanya apabila berjaya menamatkan pengajian PhD?"
Saya tidak memerlukan jawapan. Saya sendiri boleh bercerita kerana telah melalui saat-saat tersebut.
Ia rasa lega yang amat sangat. Namun kepuasannya tidak berpanjangan. Melihat ke belakang, kita akan terbayang bagaimana rasa ketika di kemuncak tempoh pengajian, menanti saat-saat divivakan (mempertahankan tesis).
Bayangkan kembali bagaimana seluruh jiwa dan perasaan bergantung harap kepada Allah SWT.
Saya tidak tahu mereka yang lain, tetapi kesemua pelajar-pelajar PhD di bawah pengawasan saya akan diminta bangun malam, berdoa dan bermunajat. Setiap kejayaan adalah anugerah Allah kepada hambanya.
Ada satu kepastian, kita akan merindui saat-saat kita begitu hampir dengan Allah kerana benar-benar mengharapkan kasih-sayangNya.
Tahniah Arun, saya mohon maaf kerana tidak dapat bersama-sama meraikan kejayaan di Malaysia.
Sebelum berpisah saya sempat bertanya, "Run, mahu saya carikan pasangan?".
Beliau tersenyum. Saya memilih untuk mentafsir, "senyum tanda setuju!".
Kami juga sangat teruja menyambut kedatangan "Yuk dan Bukhari", sepupu Roza di sebelah keluarga Abah. Bertemu sanak-saudara yang hampir memberikan rasa yang luar biasa.
Barangkali, itulah unsur-unsur rindu kepada keluarga yang tidak dapat disembunyikan. Dan kami menanti lebih ramai lagi adik-beradik, sepupu-sepupu, mak saudara dan bapa saudara untuk mengunjugi kami di sini.
InsyaAllah, ia pasti mengubat rindu.
February 20, 2012
Siapakah rakan?
Jika orang memanggil saya Wen, maka saya tahu yang mereka pernah berkenalan dan menjadi rakan sejak MRSM. Ia tahun 1976 – 1980.
Kemudian saya mempunyai rakan UiTM. Mereka memanggil saya Mat Lu'E. Jika ada yang menyebut Abang Lu'E maka saya tahu rakan-rakan sebaya dengan Roza yang pernah belajar di UiTM Terengganu.
Kini ramai yang memanggil dengan pangkat dan jawatan. "Prof atau Dr". Jika begitu, ia generasi baru. Kebanyakannya adalah pensyarah UiTM, pembaca buku, blog dan FB.
Masa berubah. Ada juga yang mula memanggil "Ustaz" bila berbicara. Kini, di sini… saya dipanggil Mohammed! Ya Mohammed!
Namun ada sekelompok yang memanggil saya "Kamil" atau "Mil". Sudah lama saya tidak mendengar rakan-rakan yang memanggil nama ini.
Sesekali saya membuat panggilan ke Kuching, maka penerimanya akan bertanya, "Mil, apa khabar? Aku pun teringat nak call…" atau beliau kerap menyebut, "Ya Sheikh, mu ni memang orang terpilih".
Rupa-rupanya panggilan "Kamil atau Mil" sangat-sangat susut berbanding 5 - 6 tahun yang lampau. Ia hilang. Menginsut-insut ia jadi nama yang dilupakan.
Begitulah, persahabatan tidak akan kekal. Ia berubah kerana beberapa faktor besar dan kecil. Bijak pandai ada menyatakan, "persahabatan umpama buku. Membakarnya hanya memerlukan beberapa saat. Menulisnya memerlukan masa yang panjang!"
Namun ada masanya buku-buku tersebut perlu dibakar. Jika tidak, ia mungkin membawa mudarat.
Bijak pandai yang lain juga pernah berkata, "teman-teman lama umpama emas, teman-teman baru umpama berlian. Namun sebutir berlian memerlukan emas untuk diikat. Jadi, ada berlian jangan lupakan emas".
Namun ada masanya, emas dan berlian tidak lagi menarik minat. Ia sudah tidak bernilai lagi.
Tetamu Umrah
Ajaib.
Bila menyampaikan tazkirah demam dan batuk tidak muncul. Ia terapi semulajadi. Bercakap. Bila tetamu pulang, "seram-sejuk" cuaca yang tidak menentu muncul kembali.
Tekak berdarah. Hidung juga begitu.
Namun semangat menyampaikan sedikit ilmu sebagai peringatan kepada diri sendiri dan tetamu yang hadir tidak pernah padam.
Mudah-mudahan dua pasangan yang bercinta semula di Madinah dan Mekah diberkati Allah.
Berguru dengan Sheikh Muttuollah

Belajar di Haram
"Haji, mari ikut saya belajar bersama Tok Sheikh"
Tuan Haji Omar, Bandar Baru Bangi mendapat pengalaman paling manis. Beliau mengikut saya belajar bersama Tok sheikh di Haram, antara Maghrib dan Isya.
To sheikh memuji-muji saya di hadapan Tuan Haji Omar. Ha… ha… Saya tidak fikir Haji Omar faham dengan apa yang dikhabarkan oleh beliau.
Belajar di Haram? Ia sesuatu yang tidak pernah beliau fikirkan!
Saya tahu beliau sangat-sangat teruja.
Video Menarik
Linknya di SINI. Percepatkan video ini ke minit 15.20 dan perhatikan dengan mata yang segar sehingga minit 15.40. Apa yang luar biasa yang dapat dilihat?
February 19, 2012
Mengingat diri
Bila menulis, menyampaikan tazkirah atau memberi kuliah saya selalu berpesan, "tulis, sebut dan berkata hanya yang diamal". Malah saya mengingati diri agar tulisan dan kata-kata itu merupakan ingatan kepada diri sendiri.
Ia sangat penting kerana mereka yang berilmu, bercakap atau berhujah tetapi tidak mengamalkannya akan mendapat kemurkaan Allah.
Kemurkaan yang amat sangat!
Ada rakan FB yang memberitahu saya tentang hadis betapa doa mereka yang berpuasa, dizalimi dan ibubapa yang mendoakan anaknya akan dimakbul Allah.
Menarik!
Beliau menulis lagi, "tuan berpuasa Nabi Daud, mohon doakan saya………. kerana doa mereka yang berpuasa akan dimakbul Allah".
Lagi menarik kerana listnya agak panjang.
Ia membuat saya merenung sejenak. Saya menjadi amat takut dengan kesan sampingan (nanti di satu hari yang akan saya menulis soal ini) yang bakal ditanggung oleh saya dan mereka yang memohon supaya saya berdoa.
Pertama - insyaAllah – saya mempunyai masa yang panjang di Masjid Nabawi untuk memohon kepada Allah SWT agar Allah memakbul segala permintaan hambaNya terutamanya sanak-saudara, rakan KRTS dan FB.
Namun saya panjangkan lagi doa agar Allah membuka hati dan perasaan saya dan rakan-rakan agar meyakini sepenuh hati dan perasaan betapa Allah sangat hampir.
"Ya Allah kuatkanlah hati hati kami dan mereka untuk meyakini betapa Engkau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang".
Kedua, saya selalu mengingatkan diri sendiri dan rakan-rakan yang memohon berdoa terhadap anak-anak mereka betapa doa ibu bapa sangat mustajab. Bangunlah 1/3 malam yang tersisa dan berdoalah kerana janji Allah begitu. Lakukan secara konsisten.
Logik akal, ibu bapa yang berpuasa juga menjadi sangat-sangat mustajab. Kenapa tidak, sudahlah berpuasa, bergelar ibu bapa dan berdoa pula untuk anak yang dikasihi.
Ia menjadi sangat kusyuk.
Namun jauh-jauh saya berharap berdoa menjadi amalan atau amal ibadat atas sifat pergantungan manusia kepada Allah SWT.
Namun respons yang saya terima sangat menarik. Ada yang menyebut, "terima kasih Prof kerana mengingatkan saya". Namun ada juga yang memulakan kata-kata dengan menyebut, "itu memang saya tahu…..".
Malah ada yang menyebut, "saya sudah berdoa tetapi Allah belum makbulkan lagi". Ia makin menakutkan bila ada yang berkata, "Allah tidak makbulkan doa saya".
Ada banyak isu di sini. Biar saya membiarkan begitu untuk kita berfikir.
Tetamu Umrah
"Prof, bagaimana prof tentukan tetamu ke rumah?"
Dulu-dulu, saya maklumkan kepada mereka yang berhubung agar bila sampai sahaja ke Madinah, terus hubungi saya. Jangan buat terkejut kerana saya agak jadual agak padat akibat masa yang sangat suntuk.
Kemudian, ramai yang menghantar e-mel dan SMS mengesahkan tarikh hadir mereka di Madinah, maka saya terus sahaja menulis di kalendar.
Maksudnya, "nama siapa yang ada di kalendar Google!"
Namun saya tidak berbohong kerana ada kumpulan manusia yang "kena layan". Mereka, kaum keluarga – adik beradik, mak saudara, bapa saudara, sepupu-sepupu…."
Ya Allah, saya sangat teruja menanti kedatangan mereka!

RKDJO dibuka waktu tengahari semalam.... Briyani Udang Madinah

Tetamu selepas Isya, Haji Omar dan rakan serta keluaga Atie Madinah

Malam Briyani Ayam
February 18, 2012
11 A

Di sini kita bertemu
Di sini tempat kami – saya, Roza, Amirul dan Sofea – menunggu tetamu yang akan dibawa ke rumah kecil kami di Jabal Uhud.
Bila saya SMS atau e-mail, "tunggu saya di parking No 11A, berhampiran pagar, berhadapan dengan Dar al Taqwa Hotel, lepas Isya," ramai yang tidak dapat membayangnya terutama mereka yang pertama kali tiba di sini.
Malah ada yang keliru kerana setiap kawasan – biasanya – mempunya dua lokasi setentang yang bernombor sama. Satu sangat hampir dengan Haram, manakala yang kedua berhampiran pagar.
11 A di kawasan pagar tidak mempunyai tandas dan tempat berwudhu. Ia hanya tempat letak kereta semata-mata.

Ia pertemuan pertama kali
Ada sesuatu yang menarik tentang menjamu tetamu di rumah. Makanan sentiasa cukup. Jika kita risau sekalipun, Allah akan bantu dengan cara yang tidak dapat kita duga.
Saya rasa begitu.
Barangkali itulah yang dinamakan keberkatan.
Malam tadi kami menerima lapan tetamu. Inilah kali pertama saya bertemu mereka. Alhamdulillah, saya dapat rasakan ada chemistry dengan kumpulan ini. Ia rasa yang bukan dicipta.
"Apakah 5 perkara yang tuan-puan ingin lakukan selepas pulang ke Malaysia?"
Tentu sekali ia memerlukan masa untuk berfikir dan memberi jawapan. Kenapa? Hampir kesemua jemaah haji atau umrah hanya fokus kepada persiapan sebelum dan semasa menunaikan haji atau umrah tetapi tidak selepas.
Bila pulang, apa yang diceritakan berulang-ulang, "rindu dengan Raudhah, rindu dengan Haram, rindu… rindu..," dan tidak menterjemahkan rindu tersebut dengan solat berjemaah sebagaimana yang dilakukan di Haram, berdoa dan bermunajat pada 1/3 malam tersisa sebagaimana yang dilaksanakan di Raudhah, Hijir Ismail, menutup aurat sebagaimana mahu bertawaf….
Maka umrah atau haji menjadi rutin biasa. Ia tidak membawa perubahan diri yang signifikan. Tazkirah malam tadi memberi sedikit cadangan "bagaimana mahu berubah" menjadi manusia terpilih melalui ibadat umrah.
Moga ia menjadi ilmu yang bermanfaat.
February 17, 2012
Pencen
Demam.
6-7 bulan di sini, hanya sekali saya berhadapan dengan rasa kurang sihat yang melemahkan tulang dan sendi-sendi. Itu pun ketika awal ketibaan kami di Madinah.
Agak saya ia akibat perubahan musim. Mereka yang tubuhnya tidak kuat akan menerima akibat. Dan saya termasuk dalam kategori tersebut.
Namun saya lebih suka mengagak yang ia sebagai satu ujian Allah bagi menguji ketahanan dalaman hambaNya. Bolehkah kita meneruskan solat berjemaah akibat demam tersebut?
Bagaimana dengan puasa yang biasa dilakukan?
Saya memilih untuk terus ke masjid berjemaah. Tinggal lagi saya hadir di masjid yang paling hampir dengan rumah.
Kemudian, saya memilih untuk tidak meneruskan puasa selang-sehari. Biarlah saya merawat "seram-sejuk" yang sampai ke tulang.
Demam yang sedikit membawa saya berfikir. Bagaimana jika terlantar di katil? Bagaimana jika mata hanya boleh memandang dan bibir tidak dapat berkata?
Namun ada hadis berkaitan yang mahu saya amalkan. Ia satu hadis yang telah laporkan daripada Anas R.A yang bermaksud,
Apabila seseorang mukmin diuji oleh Allah dengan sesuatu bencana pada tubuhnya, Allah Taala berfirman kepada malaikat penulis amalnya: "Tulislah juga untuknya amal-amal soleh yang biasa ia lakukan;" kemudian jika Tuhan hilangkan bencana yang menimpanya itu, Tuhan jadikan ia hidup berkeadaan baharu – bersih suci dari dosanya; dan jika Tuhan mengambil nyawanya, diberikannya keampunan serta dikurniakan rahmat kepadanya"
Apakah maksudnya? Ketika sihat beramal ibadatlah sepenuhnya. Kemudian, jika sakit teruk menimpa, terimalah pencen ibadat yang telah dilakukan semasa sihat.
Jika sihat kita hanya bersuka-suka - agaknya – banyak manalah pencen yang boleh diterima?
Ya Allah berikanlah kesembuhan agar ia tidak berbekas lagi!
Tetamu dari Pahang

Puan Zainab bersama dua puterinya
Tazkirah ringkas ditujukan kepada dua puteri beliau yang comel dan bertuah. Bertuah kerana mempunyai mama dan papa yang berkemampuan membawa mereka ke Tanah Haram.
Isunya menjadi insan terpilih di sisi Allah.
Jaga aurat.
"Ramai orang yang menutup kepala tetapi memakai t-shirt berlengan pendek. Memakai seluar yang…. Allahu Akbar…. pastinya ia tidak akan termasuk dalam golongan terpilih".
Lalu saya juga berpesan, "berdoalah agar Allah temukan jodoh dengan lelaki yang soleh yang dapat membantu kita ke Jannah".
Bila sampai berhampiran hotel kediaman, saya bertanya, "Zarina sudah ada boyfriend?," dan beliau terus menjawab, "belum lagi prof…".
Saya doakan agar Zarina dan adiknya berjaya di dunia dan akhirat. "Ya Allah, temukanlah jodoh yang soleh, jadikan mereka sebagai anak yang solehah. Nanti, temukan kami semua di syurga Firdaus".
Kek Coklat
Tiba-tiba muncul Lara dan Fadi, tersengih-sengih di muka pintu.
"Ayah ada di bawah?," saya turun dan berpeluk Arab dengan Sheikh Khalid. Mereka tahu yang setiap malam saya meraikan tetamu. Hari ini dibekalkan dengan sesuatu yang kelihatan sangat menyelerakan.
Hajah Zainab berkata, "Roza, kami sudah kenyang… tetapi bungkuslah… eh… ehh… tak malu pulak!". Itu tandanya kek Iman tidak mampu ditolak.

Ia hubungan keluarga?
Kek coklat… ia lambang persahabatan.
February 16, 2012
Puasa Nabi Daud?

Mendoakan pemergian Aizat.....
Tidak kira apa alasan sekali pun, meninggalkan Madinah akan menyesakkan dada. Sebak, sayu dan hiba. Benar, sekali-sekala kita mampu kembali tetapi ia tidak mungkin sama sebagaimana kita bermukim di sini.
Malam tadi, Ustaz Aizat meninggalkan Madinah setelah menamatkan pengajian beliau. Saya fikir beliau akan merenung kembali hari-hari yang telah beliau lalui kurang-lebih tujuh tahun di sini sepanjang perjalanan Madinah – KLIA.
Kehidupan di Madinah itu sendiri mempunyai keistimewaan tersendiri. Namun ia hanya akan jadi istimewa jika manusia yang berada di dalamnya memanfaatkan keistimewaan Madinah.
Jika tidak, Madinah dan Shah Alam akan "kelihatan" sama jika roh manusia itu sendiri tidak mahu menuju ke arah kebaikan yang hakiki dengan mengambilkira peluang bersama keistimewaan Madinah.
Kenyataan ini tentunya bersebab. Ramai yang tidak dapat bersabar dengan suasana Madinah. Gaji di Madinah jauh lebih rendah berbanding dengan tempat-tempat lain di dunia. Kesukaran anak-anak belajar (sekolah biasa) di sini nyata memeningkan kepala ibu bapa.
Malah banyak persoalan atau isu-isu jika mahu disenaraikan akan membawa mereka yang berpeluang berada di sini meninggalkan Madinah. Dan ia sememangnya berlaku.
Barangkali ia sesuai dengan suasana yang disabda Rasululullah yang dilaporkan oleh Muslim, bermaksud,
Sesiapa yang bersabar dengan kesukaran tinggal di Madinah, maka aku akan memberi syafaat dan menjadi saksi kepadanya pada hari kiamat.
Namun Ustaz Aizat tidak melarikan diri dari Madinah. Beliau mahu pulang ke Malaysia kerana mahu menguruskan Baitul Ehsan, rumah anak-anak yatim dan anak-anak terbiar yang diuruskan oleh keluarga beliau.
Ramai khalayak KRTS dan FB sudah mengenali Aizat dan rumah ini melalui sumbangan yang berjumlah hampir RM35 000 pada suatu masa dahulu.
Pesan saya, "jadilah pendakwah yang dirahmati dan diberkati Allah".
Allahu Akbar…. ramai yang bertanya saya tentang puasa Nabi Daud. Malah sudah ada yang memula dan mengamalkannya. Alhamdulillah, moga ia menjadi ilmu yang bermanfaat.
Seorang hamba Allah dari Brunei bertanya, "prof, bagaimana amalan prof apabila selang-sehari itu bertembung dengan puasa Isnin dan Khamis dan ia jatuh pada hari yang tidak sepatutnya kita berpuasa cara Nabi Daud?"
Jawapan saya, "Saya puasa Nabi Daud, saya puasa Isnin dan Khamis serta saya puasa 3 hari pada pertengahan bulan. Ia akan bertindih tetapi itulah amalan saya. Nanti saya akan semak dengan mereka yang mengetahui".
Semalam ketika meraikan Ustaz Aizat saya sempat memohon Ustaz Abdul Rahman menyemak kitab tentang persoalan ini. Inilah jawapan hasil bacaan beliau yang selari dengan amalan yang saya lakukan, insyaAllah,
Persoalan berkenaan dengan orang yang berpuasa dan berbuka secara selang sehari, kemudian pada hari dia berbuka bertembung dengan hari Isnin atau Khamis atau hari-hari yang disunatkan berpuasa.
Ada dua pendapat ulama dalam persoalan ini.
Pendapat pertama: Paling utama adalah berpuasa.
Al-Allamah Syihabuddin ar-Ramli as-Syafie pernah ditanya tentang orang yang berpuasa dan berbuka selang sehari, kemudian pada hari dia berbuka bertembung dengan hari Isnin atau Khamis, adakah berbuka lebih utama, atau berpuasa dan tidak mengeluarkannya daripada puasa sehari dan berbuka sehari?
Beliau menjawab: Yang paling utama adalah berpuasa, dan ini tidak mengeluarkannya daripada puasa sehari dan berbuka sehari.
Pendapat kedua: Paling utama adalah berbuka
Sebahagian ulama mazhab Syafie -seperti Syaikh al-Qalyubi- berpendapat bahawa yang paling utama adalah berbuka supaya dia mendapat kelebihan berpuasa sehari dan berbuka sehari.
Bagaimana Prof boleh terpilih ke sini?

Saya mengemuka soalan yang sama, bagaimana u berdua boleh berada di rumah kami?
Husaini dan Mashitah baru sahaja melangsungkan majlis perkahwinan. Mereka berada di Madinah menunaikan umrah. Allahu Akbar, hadiah perkahwinan yang sangat bermakna.
Usai solat Zuhur, kami bersuai-kenal di kawasan parking 11 A. Mereka tidak mengenali kami dan kami juga tidak mengenali mereka. Jadi, ia perbualan santai yang tiada kena mengena dengan berziarah ke rumah kecil di Jabal Ohud, Travelog Haji atau apa-apa sahaja yang dikaitkan dengan KRTS atau rakan FB.
Kemudian di hujung perbualan saya bertanya, "apa yang you all lakukan selepas solat zuhur. Jika sudi ikut kami pulang ke rumah, kemudian kita datang semula sebelum waktu asar".
Mereka tidak menolak.
Ketika menuju ke kereta, Mashitah bertanya, "bagaimana prof boleh terpilih berada di Madinah?"
Saya tidak memberi penjelasan yang tepat.
Bila tiba di rumah, saya bercerita, menyampaikan tazkirah secara perbualan dan tiba-tiba beliau berkata, "ini prof Dr Kamil yang tulis buku Travelog Haji?"
Lalu saya bertanya, "bagaimana u boleh berada di rumah saya?, itulah jawapan kepada pertanyaan u kenapa saya terpilih ke Madinah".
Kumpulan Ceria

Bukan main sibuk mahu bergambar!
Inilah kumpulan pertama dari siri yang panjang. Mulai ketibaan kumpulan ini maka bermulalah siri ziarah rakan KRTS dan FB ke rumah kami di Jabal Ohud.
Mana satu Faizah, mana satu Laila, mana satu Jamaliah dan mana satu Salmah?
Setiap hari saya akan menyemak kalendar google untuk mengingati nama-nama yang sudah sah akan menunggu kami di parking 11A.
"Ya Allah, berikanlah kemudahan, kelapangan dan kekuatan untuk kami meraikan tetamu-tetamu Mu ya Allah"
February 15, 2012
Marah
Sedikit-sedikit saya mula mengajak rakan sejawat memikirkan kenapa mereka berada di Madinah. Ia dakwah yang dilakukan dengan cara yang sangat berhati-hati.
Kenapa?
Kesemua rakan sejawat saya adalah lulusan PhD. Masing-masing mempunyai ego yang sangat tinggi. Malah kerana mereka berdarah Arab maka perasaan kelebihan mungkin ada di hati.
Alahai… siapa kita?
Agak saya begitu. Namun ia tidak selalunya benar.
Semalam saya berpeluang bercakap dengan seseorang yang berjawatan. Asalnya dari bumi Mesir. Beliau bertanya, "bagaimana kehidupan di Madinah?".
Ringkasnya saya nyatakan, "saya bahagia di sini. Saya bahagia kerana dapat solat subuh di Haram hampir setiap hari. Saya bahagia kerana dapat solat Asar, Maghrib dan Isya di Haram. Juga saya bahagia kerana 60 peratus dapat solat Zuhur juga di Haram.
Malah saya bahagia kerana saya dan keluarga dapat belajar Quran selepas Asar dan Maghrib di Haram. Allahu Akbar, apa lagi yang saya kehendaki dengan berada di Madinah.
Malah saya bahagia kerana dapat memberi tazkirah kepada jemaah umrah dan Haji dari Malaysia hampir setiap malam".
Beliau merenung saya dan bertanya lagi, "bila masa Dr menulis?".
Beliau bercerita tentang kehidupan beliau sebelum saya sempat menjawab pertanyaan tersebut. Akhirnya beliau berkata.
"saya marah dengan diri saya kerana hendak membaca quran pun tidak sempat….. sibuk dengan kerja".
Lalu saya nyatakan, "saya mohon keampunan Allah, mahu saya bagi jalan?"
Saya meneruskan kata-kata tanpa menunggu jawapan beliau, "satu perkara yang membeza saya dengan you adalah waktu tidur. Saya hanya tidur 4-5 jam sehari semalam. Mari kita bangun solat malam, saya lakukan 6 rakaat, 3 kali salam dan solat witir. Berdoa dan bermunajat kepadaNya.
Jika kita bangun pukul tiga pagi, mengadap Allah secara spesifik selama satu jam, saya mempunyai 1 1/2 jam sebelum bergerak ke Haram untuk solat fajar. 6.40 saya sudah berada di rumah.
Saya mengadap komputer sehingga 9.00 pagi. Di antaranya, banyak perkara boleh dilakukan termasuklah menemani isteri ke mana-mana tempat yang beliau kehendaki".
Lalu saya membaca Al-Quran surah Al-Baqarah, ayat-ayat terakhir dengan bersungguh-sungguh. Bila berakhir saya nyatakan kepada beliau, "saya sudah tua, sukar belajar Quran ketika usia sebegini. Namun Allah akan bagi kelapangan di atas kesungguhan kita, InsyaAllah".
Hakikatnya, saya mengajar beliau "marilah ke Haram, marilah membaca al-Quran, marilah kita bangun malam… kita berada di Madinah… kita berada di Madinah…. ini kampung Rasullullah SAW… Allah… Allah… "
Itu yang tersirat. Saya mohon keampunan Allah.
February 14, 2012
Tetamu Umrah
Alhamdulillah, saya sangat teruja menerima pertanyaan daripada ramai rakan-rakan yang ingin menziarahi kami di Jabal Ohud. Rumah kami sentiasa terbuka.
Setiap malam – selepas Isya – kami akan menerima 4 orang tetamu. Pertama, itulah yang dapat kami bawa dengan kenderaan yang ada.
Kedua, saya perlu menjaga jiran tetangga yang hampir kesemuanya merupakan penduduk tempatan. Ada beberapa sentimen yang perlu dijaga.
Hubungi saya di muhdkamiltaibah@gmail.com atau mki@muhdkamil.org atau SMS +966502127721 dan jika sudah sampai di Madinah hanya dail 0502127721.
Jika mahu saya menyampaikan tazkirah bagi kumpulan yang besar, mohon aturkan dengan pihak hotel, free of charge! Saya sangat berbesar hati. Tiada tazkirah boleh dilakukan di masjid kecuali untuk 2-3 orang.
Jika ia jatuh pada hari Khamis dan Jumaat, InsyaAllah ia boleh dilakukan pada siang hari atau selepas Isya. Jika hari-hari lain ia hanya boleh disampaikan selepas solat Isya, Insya Allah.
Allahu Akbar, tetamu untuk bulan Februari sudah penuh. Saya sangat sudi berjumpa dengan jemaah lelaki pada setiap hari mulai jam 5.10 petang (usai kelas bahasa Arab dan Tajwid di Haram) sehingga Magrib. InsyaAllah kita boleh melakukan sedikit majlis ilmu.
Saya mohon keredhaan dan keampunan Allah.
Bohong
Acap kali saya berbohong kepada diri sendiri.
Beberapa tahun yang lampau saya cuba menenangkan diri, "tidak mengapa saya tidak pandai membaca al-Quran. Saya bukan orang jahat, saya suka membantu orang lain. Allah akan pandang kepada kebaikan yang lain".
Saya memujuk diri supaya bertenang. Dan saya mahu diri saya menerima pujukan tersebut. Dan saya fikir hati dan jiwa saya tenang. Saya berpura-pura tenang.
Orang sering berkata tetapi saya nyatakan dalam bahasa sendiri, "ulangan yang sentiasa menjadi biasa," sangat relevan. Ulangan berbohong pada diri sendiri menyebabkan hati menjadi keras membatu.
Hilang rasional antara realiti dengan apa yang diimpikan.
"Prof, saya mahu meninggalkan dosa-dosa besar yang telah saya lakukan. Namun hati saya tenang dan tidak bermasalah setiap kali saya melakukan dosa tersebut. Saya tidak rasa bersalah".
Itulah pembohongan pada diri yang tidak kita sedari. Jika hati tenang maka tidak mungkin kenyataan itu dikeluarkan. Hakikatnya, kita memujuk diri agar menerima justifikasi kenapa kita tidak mahu atau perlu berubah.
Kisah-kisah seumpama ini diulang-ulang di dalam al-Quran. Apabila sampai seruan, ramai yang berdolak-dalih dengan pelbagai alasan.
Ada yang menuntut, "kenapa tidak diturunkan para nabi daripada Malaikat?". Malah ada yang berkata, "tunjukkanlah kelebihan yang ada pada mu supaya kami mempercayai apa yang kamu sampaikan".
Mencipta pembohongan diri menjadi lebih canggih pada zaman manusia ke universiti. Benar, ia perlu canggih kerana mereka yang mahu berbohong terdiri daripada orang-orang Islam sendiri. Dan mereka cerdik-cerdik belaka!
Jika ada yang berkata, "marilah kita solat berjemaah di masjid, Baginda SAW tidak pernah meninggalkannya….." maka kita perlu mencari jalan untuk mengatakan tidak. Ia pasti bohong kerana janji Allah begini,
Wahai anak Adam!
Lapangkanlah masa untuk beribadat kepadaKu, nanti Aku akan penuhkan dadamu kekayaan, dan aku akan menutup kemiskinanmu. Jika engkau tidak melakukan yang demikian, nanti Aku penuhkan tanganmu dengan urusan dan kerja, dan aku tidak menutup kemiskinanmu! (Hadis Qudsi, riwayat Ahmad).
Malah jika ada yang mengajak. "bangunlah solat malam, ia menguatkan rohani kita…." maka lihatlah ciptaan alasan yang menarik. Ia bukan untuk orang lain tetapi untuk memberikan rasa lega kepada diri sendiri.
Hakikatnya, kelegaan yang dicari tidak ditemui. Dan kita terus berbohong pada diri sendiri.
February 13, 2012
Pilihan
Musim umrah rakyat Malaysia bermula. Kami sangat teruja.
Mulai minggu hadapan kalendar google saya dipenuhi dengan jadual ziarah rakan KRTS, FB, pembaca buku dan kenalan serta saudara-mara ke rumah kecil kami di Jabal Ohud.
Berbeza dengan musim haji, saya dan Roza menghadapi sedikit kesulitan mengatur jadual tetamu kerana kehadiran mereka di Madinah terlalu singkat.
Hampir kesemua jemaah umrah akan tinggal di Madinah selama tiga hari termasuk hari perjalanan. Ia jadual yang sangat padat. Jadi pilihan harinya agak terbatas.
Umrah juga membawa kesan besar kepada pelajar-pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Madinah. Tenaga mereka diperlukan untuk menjadi "pemandu ilmu" kepada jemaah umrah yang akan berziarah di beberapa tempat bersejarah di sekitar Haram.
"Jangan ponteng kelas kerana mengejar ganjaran dunia".
Itulah pesan saya kepada beberapa pelajar yang hampir dengan saya di Haram semalam. "Biar kita jadi manusia terpilih. Hanya segelintir manusia sahaja yang akan membuat pilihan yang tepat. Kebanyakannya tewas dengan permainan dunia yang disebut-sebut di dalam al-Quran".
Ia kenyataan ringkas yang sangat besar kesannya kepada kehidupan mereka apabila pulang ke Malaysia. Saya mahu mereka berfikir dan menilai erti kehidupan di sisi Allah SWT.
Ada pilihan sukar yang perlu dilakukan.
Sofea mahu nangis
"Kenapa?," saya bertanya.
Sofea gembira cikgu celebrate birthday Sofea.
Lalu Roza berkata, "itulah bagusnya jika sekolah kecil. Sofea kena belajar rajin-rajin supaya cikgu bangga dengan Sofea".
Dan malam tadi, Sofea diraikan oleh keluarga Khalid di salah satu Mall yang berhampiran dengan rumah. Fadi, Lara, Shahad dan Mohamed bersama Amirul dan Sofea kelihatan seperti keluarga besar.
Allahu Akbar. Saya pula yang mahu menangis!

Sofea, Shahad dan Lara

Sheikh Khalid sendiri mengagih-agihkan kek untuk anak-anak
February 12, 2012
Ia tidak berkurang

Umur tidak pernah berkurang
Hari ini genap usia Sofea 9 tahun. Tan Sri Dr Abdul Rahman dan Puan Sri melayani Sofea di Panda salah satu shopping Mall terbesar di Madinah.
"Sofea suka umur 9 tahun?," saya bertanya. Beliau hanya tersenyum. Semakin banyak usianya maka semakin tipis peluang untuk tidur di tengah-tengah antara ayah dan mama.
Malah semakin sukar untuk didukung oleh Ayah.
Usia bertambah, banyak perkara yang terpaksa ditinggalkan. Dan ia bukan satu pilihan. Ia perlu dihadapi.
Ketika Amirul dan Sofea bersuka-suka dengan hiburan dalam mall, kami – saya, Roza, serta Puan Sri – mengenangi kisah lampau Tan Sri.
"Jika menoleh ke belakang, saya melihat bagaimana Allah mengatur kehidupan manusia. Banyak perkara yang berlaku dalam hidup saya yang tidak mampu saya fikirkan dengan akal biasa," kesimpulan daripada kisah panjang beliau.
"Tan Sri, bagaimana pendapatan Tan Sri selepas bersara berbanding dengan sebelumnya?,' soalan nakal saya.
"Kita jangan melihat jumlah pendapatan. Namun ia jumlah yang tidak berkurang. Allah cukupkan jumlah tersebut dengan kadar yang tertentu. Lakukan sesuatu dengan ikhlas. Lakukan semata-mata keranaNya. Jumlah pendapatan akan sentiasa mencukupi. Ia tidak berkurang".
Allah, Allah, Allah….
Apa yang hendak saya katakan?
"Mil… saya mencari sebab kenapa wanita Saudi menutup muka. Hanya nampak mata dan tapak tangan. Jawapannya ada di dalam surah Al-Ahzab, ayat 59. Nanti bila sampai di hotel saya tunjuk…"
Tan Sri benar-benar serius. Saya melihat quran beserta terjemahan yang dipenuhi dengan pelbagai lipatan kecil.
"Bacalah quran dengan ilmu. Fahami apa yang disampaikan," sambil mencari-cari ayat tersebut beliau menasihati saya.
Allah, Allah, Allah… apa yang hendak saya katakan?
Tan Sri banyak berjasa kepada umah Malaysia. Tidak perlulah saya nyatakan di sini. Namun biarlah saya berdoa dan memohon kepada Allah agar beliau, Puan Sri dan kita semua bertemu di Jannah.
Ia malam meraikan Sofea. Ia berakhir dengan hari yang sangat bermakna buat saya dan Roza.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
