Tetamu Umrah
Alhamdulillah, saya sangat teruja menerima pertanyaan daripada ramai rakan-rakan yang ingin menziarahi kami di Jabal Ohud. Rumah kami sentiasa terbuka.
Setiap malam – selepas Isya – kami akan menerima 4 orang tetamu. Pertama, itulah yang dapat kami bawa dengan kenderaan yang ada.
Kedua, saya perlu menjaga jiran tetangga yang hampir kesemuanya merupakan penduduk tempatan. Ada beberapa sentimen yang perlu dijaga.
Hubungi saya di muhdkamiltaibah@gmail.com atau mki@muhdkamil.org atau SMS +966502127721 dan jika sudah sampai di Madinah hanya dail 0502127721.
Jika mahu saya menyampaikan tazkirah bagi kumpulan yang besar, mohon aturkan dengan pihak hotel, free of charge! Saya sangat berbesar hati. Tiada tazkirah boleh dilakukan di masjid kecuali untuk 2-3 orang.
Jika ia jatuh pada hari Khamis dan Jumaat, InsyaAllah ia boleh dilakukan pada siang hari atau selepas Isya. Jika hari-hari lain ia hanya boleh disampaikan selepas solat Isya, Insya Allah.
Allahu Akbar, tetamu untuk bulan Februari sudah penuh. Saya sangat sudi berjumpa dengan jemaah lelaki pada setiap hari mulai jam 5.10 petang (usai kelas bahasa Arab dan Tajwid di Haram) sehingga Magrib. InsyaAllah kita boleh melakukan sedikit majlis ilmu.
Saya mohon keredhaan dan keampunan Allah.
Bohong
Acap kali saya berbohong kepada diri sendiri.
Beberapa tahun yang lampau saya cuba menenangkan diri, "tidak mengapa saya tidak pandai membaca al-Quran. Saya bukan orang jahat, saya suka membantu orang lain. Allah akan pandang kepada kebaikan yang lain".
Saya memujuk diri supaya bertenang. Dan saya mahu diri saya menerima pujukan tersebut. Dan saya fikir hati dan jiwa saya tenang. Saya berpura-pura tenang.
Orang sering berkata tetapi saya nyatakan dalam bahasa sendiri, "ulangan yang sentiasa menjadi biasa," sangat relevan. Ulangan berbohong pada diri sendiri menyebabkan hati menjadi keras membatu.
Hilang rasional antara realiti dengan apa yang diimpikan.
"Prof, saya mahu meninggalkan dosa-dosa besar yang telah saya lakukan. Namun hati saya tenang dan tidak bermasalah setiap kali saya melakukan dosa tersebut. Saya tidak rasa bersalah".
Itulah pembohongan pada diri yang tidak kita sedari. Jika hati tenang maka tidak mungkin kenyataan itu dikeluarkan. Hakikatnya, kita memujuk diri agar menerima justifikasi kenapa kita tidak mahu atau perlu berubah.
Kisah-kisah seumpama ini diulang-ulang di dalam al-Quran. Apabila sampai seruan, ramai yang berdolak-dalih dengan pelbagai alasan.
Ada yang menuntut, "kenapa tidak diturunkan para nabi daripada Malaikat?". Malah ada yang berkata, "tunjukkanlah kelebihan yang ada pada mu supaya kami mempercayai apa yang kamu sampaikan".
Mencipta pembohongan diri menjadi lebih canggih pada zaman manusia ke universiti. Benar, ia perlu canggih kerana mereka yang mahu berbohong terdiri daripada orang-orang Islam sendiri. Dan mereka cerdik-cerdik belaka!
Jika ada yang berkata, "marilah kita solat berjemaah di masjid, Baginda SAW tidak pernah meninggalkannya….." maka kita perlu mencari jalan untuk mengatakan tidak. Ia pasti bohong kerana janji Allah begini,
Wahai anak Adam!
Lapangkanlah masa untuk beribadat kepadaKu, nanti Aku akan penuhkan dadamu kekayaan, dan aku akan menutup kemiskinanmu. Jika engkau tidak melakukan yang demikian, nanti Aku penuhkan tanganmu dengan urusan dan kerja, dan aku tidak menutup kemiskinanmu! (Hadis Qudsi, riwayat Ahmad).
Malah jika ada yang mengajak. "bangunlah solat malam, ia menguatkan rohani kita…." maka lihatlah ciptaan alasan yang menarik. Ia bukan untuk orang lain tetapi untuk memberikan rasa lega kepada diri sendiri.
Hakikatnya, kelegaan yang dicari tidak ditemui. Dan kita terus berbohong pada diri sendiri.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
