Sekali-sekala

Bila orang bertanya, "Prof sudah berniaga?," saya dapat merasai ada sesuatu yang tidak kena. Apabila Amirul memaklumkan tentang iklan di FB tentang penampilan saya melalui ibadat umrah, maka barulah saya dapat mengaitkan dengan pertanyaan terdahulu.


Mereka yang baru mengenali saya tentunya tidak dapat merasai bagaimana pandangan rakan-rakan yang mengetahui saya memperjuangkan "tiada bayaran untuk berdakwah". Saya selalu menyatakan, "Nabi dan Rasul tidak pernah mengharapkan sebarang upah".


Mereka yang membaca al-Quran, memahami apa yang saya maksudkan. Ayat tersebut diulang-ulang dalam beberapa surah yang berbeza mengikut nabi-nabi yang diceritakan.


Malah surah Yasin ayat 20 dan 21 ada menyatakan dengan jelas manual dakwah yang paling selamat,


Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya: Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu. Turutlah orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayat petunjuk.


Jadi, saya meletakkan syarat untuk menjemput saya berceramah, "tolongan jangan bayar saya," supaya ia memudahkan. Jika dibayar, saya terpaksa menerima (nota: mereka selalu menyebut, ini hadiah daripada kami dan Rasulullah tidak pernah menolak cenderamata)".


Lalu saya menjawab, "ok, ini hak saya, maka saya pulangkan kembali untuk tuan menjalankan kegiatan yang memerlukan perbelanjaan".


Akhirnya ia menjadi lebih mudah dengan kami tidak perlu berlakun "bagi dan bagi kembali".


Ia bukan soal benar atau salah, boleh atau tidak tetapi itu yang mahu saya lakukan berdasarkan premis-premis yang saya fahami melalui al-Quran.


Saya berlapang dada bila keluar berceramah, masjid besar atau kecil, kaya atau miskin kerana bayaran bukan menjadi faktor walau secalit pun.


Hanya satu faktor yang menjadi penghalang, MASA!


Seorang pelajar daripada universiti Jordan bertanya, "bagaimana mahu menjemput prof ke sini?". Jawab saya mudah, "tulis surat rasmi kepada universiti."


"Bagaimana perjalanan prof dari Madinah?"


"Saya naik kapalterbang!". Tentu sekali beliau berasa gusar dengan kos penerbangan. Lalu saya nyatakan, "jangan khuatir, kesemuanya saya tanggung".


Maksud saya, jika saya mampu dan mempunyai kelapangan masa, InsyaAllah saya cuba permudahkan. Namun ramai orang kaya-kaya yang membayar kos penerbangan. Ia wang yang tidak boleh dibawa pulang ke rumah.


Lain-lain, saya tidak kisah. Tumpangkanlah saya di rumah sesiapa, ia hanya tempat untuk kami melelapkan mata sejam-dua.


Kini saya mengerti dengan kenyataan, "jika kita lakukan semata-mata kerana Allah, InsyaAllah, DIA akan memberi kekayaan". Benar, kini saya sangat kaya. Allah ganti kesemua perbelanjaan yang telah saya tanggung kerana berdakwah di merata tempat di Malaysia.


Pada bulan pertama di Madinah, saya diberi SR25000. Di bulan kedua, SR50000. Di bulan ketiga, SR50000. Saya mengira-ngira pendapatan yang saya perolehi, barangkali boleh mencecah jutaan ringgit dalam tempoh yang singkat.


Ia kiraan yang sangat mudah. Hampir setiap bulan kami mengunjungi Mekah. Kebiasaannya 2X sebulan. Jika saya di Malaysia, pakej yang biasa saya ambil di sekitar RM24000 = SR25000. Kini ia hampir-hampir percuma. Maka itulah pendapatan yang telah Allah anugerahkan buat kami sekeluarga.


Sekali-sekala, saya merenung dengan apa yang telah kami lalui. Satu perkara yang sangat saya yakini, janji Allah sentiasa benar. Biarlah saya kekal berceramah tanpa menerima bayaran. Dan tidak usahlah menggambarkan saya sudah mula menerima bayaran.


Ia tidak berbaloi!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 09, 2012 10:16
No comments have been added yet.


Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.