Dungun
Kami selamat tiba di Hotel UiTM Dungun di sekitar jam 2.30 petang.
Idea asalnya solat subuh di masjid UiTM Segamat dan terus beredar pergi. Bila Iman Azrul bertanya, “Prof, boleh bagi tazkirah selepas subuh?,” maka tentu sekali saya memhon maaf.
Namun ia tidak jadi begitu. Bila beliau mahu ke ruang Iman, saya terus berkata, “OK Ustaz, sekejap boleh”.
Allah… Allah… saya terasa ada sesuatu yang boleh saya sampaikan kepada mereka.
“Saya percaya di dalam kampus ini ada lebih 5,000 pelajar. Saudara-i merupakan golongan terpilih. Tidak sampai satu saf yang sanggup hadir ke masjid. Maka benarlah janji Allah apabila memperkatakan tentang kumpulan akhir zaman”.
Maka tazkirah selepas subuh, sebelum bertolak ke Terengganu adalah untuk memberi motivasi betapa ia merupakan nikmat Allah kerana terpilih untuk berbeza dengan yang lain.
Saya menerangkan secara ringkas perbezaan di antara mereka yang berdoa dengan tidak berdoa. Mengulas kejayaan yang turut dicapai oleh mereka yang tidak mengaku dan mempercayai kekuasaan Allah SWT.
Mudah-mudahan mereka akan istiqamah untuk hadir ke masjid!
Shima

Kami doakan agar Shima dirahmati dan diberkati Allah sentiasa
Semalam adalah hari ziarah.
Pagi-pagi lagi Khairul dan Wan Adibah meraikan kami dan keluarga Sheikh Khalid makan murtabak Hindustan. Kemudian, mereka juga menjamu makan tengahari – Briyani Gam – di rumah mereka.
Tentu sekali Sheikh Khalid kepelikan. Lalu saya terangkan, “mereka berdua adalah bekas pelajar saya. Khairul tinggal bersama saya ketika mahu menyudahkan tesis sarjananya. Dan Wan juga supervisee saya di peringkat yang sama… agaknya mereka gembira kerana berjaya mendapat PhD dan mahu berkongsi kegembiraan bersama saya dan tuan”.
Hakikat sebenar, hubungan saya dan mereka melangkaui hubungan bekas pelajar, rakan sejawat atau kenalan. Saya merasakan seluruh keluarga dari anak-anak, mak dan arwah abah serta kaum keluarga saya di Besut mengenali Khairul dan Wan.
Ketika Sheikh Khalid dan keluarga bersama anak-anak saya menjelajah Gunung Ledang, saya pula melayani rakan-rakan yang sudi melawat saya di rumah mak.
Di sebelah petang, kami diraikan oleh Ustaz Sidek dan keluarga. Agak saya, Sheikh Khalid dan keluarga terkedu dan tersedu melihat kesungguhan keluarga ini meraikan kami.
Kami dijamu dengan nasi briyani, sate dan lompat tikam.
“Mereka nyatakan minum petang. Itu bukan minum petang,” kata Sheikh Khalid. Saya tersenyum. Tidak perlulah saya membuat sebarang alasan.
Saya tinggalkan mereka kerana mahu berkunjung ke rumah Shima. Beliau pelajar seliaan, jiran yang paling hampir dan rakan sejawat. Malah suaminya Adib banyak membantu kami ketika banjir besar melanda Segamat.
Di Madinah, saya dikhabarkan yang Shima diuji dengan ujian badan yang hebat. Salur darahnya di kawasan otak abnormal. Saya tidak pandai bercerita tetapi memadailah jika saya khabarkan ia sesuatu yang kronik.
Apa yang boleh kami lakukan? Berdoa agar beliau disembuhkan agar penyakitnya tidak berbekas lagi.
Allah… Allah… sayunya hati saya melihat keadaan beliau. Shima kelihatan biasa-biasa sahaja di mata umum. Namun saya tahu beliau sedang berhadapan dengan ujian yang sangat besar.
Benar, ia hari bertemu rakan-rakan.
Akhir sekali, saya menyampaikan Kuliah Maghrib di Masjid Bukit Siput. Di sinilah tempat saya menyampaikan kuliah bulanan hampir dua tahun sebelum berlepas ke Madinah.
Mereka juga adalah rakan-rakan saya perlu saya ziarahi. Kini, pantai Dungun menyambut kedatangan kami sekeluarga. Saya damai dan bahagia di sini.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
