Jejak Rasul

Bersahur bersama Fedtri dan krew Jejak Rasul di RKDJU
“Itu Fedtri MHI?,” tanya mak.
Saya ketawa kerana buta huruf. Rupanya selama ini saya berurusan dengan selebriti TV terkenal. Wajahnya dekat di ingatan apabila beliau turun GMC bersalam dan memperkenalkan diri.
Saya mengingati wajahnya ketika detik awal beliau dengan TV3. Ketika itu – anak muda ini – nampak tidak sesuai apabila mengendalikan rancangan sukan. Saya fikir beliau lebih sesuai dengan rancangan pop-remaja!
Penggambaran siri Jejak Rasul 2013 bermula dari kami bersalam dan bergerak menuju ke rumah. Saya sendiri tertanya-tanya kenapa kami di Jabal Uhud? Apa kaitannya siri ini dengan kehidupan kami di Madinah?
Saya ditanya, “bagaimana mahu membesarkan sahur?”
Maka jawapan saya tanpa skrip lancar kecuali gangguan penyaman udara yang dikatakan merendahkan mutu audio. Ulang soalan dan jawapan. Itulah kisah penggambaran TV. Soalan yang sama, jawapannya mungkin sedikit berbeza apabila dilakukan kali kedua.
“Sahur bukan hanya membantu berpuasa pada siang hari. Ia mengandungi seribu rahsia. Bayangkan bagaimana jika sebulan kita bangun sahur, ambil wudhu terlebih dahulu, solat 4-6 rakaat, berdoa, bertaubat dan meminta denganNya.
Allah.. Allah… kita melatih diri untuk bangun malam bagi tempoh 11 bulan yang akan datang. Pada hujung bulan Ramadhan, mudah-mudahan kita merasai nikmat bangun malam, bersahur dan berpuasa. Lalu teruskanlah dengan puasa Nabi Daud apabila tamat bulan Ramadhan”.
Agak saya, sahur menjadi amalan yang boleh memberi natijah besar. Ia bermula dengan sahur, merebak pada soal bangun malam, berpuasa nabi Daud dan akhirnya menjadi amalan golongan terpilih.
Kemudian saya dan Roza diminta berlakun beberapa shot menggambarkan beberapa kegiatan kami di rumah. Emmm.. ia penggambaran yang memakan masa hampir dua jam.
Akhirnya – he, he, he – ia akan ke udara untuk selama 2 minit!
Bahagia

Moga Mak gembira di sini
“Mak mahu ke Raudhah?,” saya terdengar Roza bertanya.
Itulah kegiatan kami sejak 2-3 hari yang lalu. Setiap pagi di sekitar jam 8 pagi, kami akan kembali untuk solat dhuha di Masjid Nabawi setelah berehat sekitar usai solat subuh.
Di sebelah petang – InsyaAllah – Mak juga akan solat Asar, berbuka puasa, Isya dan berterawih di Haram. Ia tempoh yang sangat panjang.
“Mak OK?,” kami sentiasa bertanya. Kami mahu beliau gembira dan teruja mengisi masa sebulan di sini.
Saya tidak pernah bercerita betapa laluan Mak ke Madinah dipenuhi dengan ranjau. Ia ujian Allah untuk “bersabar dan bersolat”.
Allah.. Allah… saya sudah menguruskan pengeluaran visa ziarah keluarga untuk Mak, Sara dan Azrai hampir dua bulan sebelum pulang bercuti. Beberapa minggu kemudiankami menerima keputusan yang visa ziarah diluluskan untuk Sara dan Azrai sahaja.
“Kenapa?,” saya bertanya
“Permohonan ibu mertua tidak boleh dilakukan dalam satu borang permohonan,” jawab pegawai yang menguruskan urusan ini.
Apa yang hendak saya ucapkan? Saya sudah melalui suasana seperti ini dalam banyak keadaan yang lain. Lalu saya bertanya, “apa yang perlu saya lakukan?”
Beliau menyerahkan borang baru. Allah… Alah… sekali lagi. Masa untuk pulang bercuti kian hampir.
Tiga hari sebelum berangkat tiada tanda-tanda permohonan saya diluluskan. Saya bertanya dan jawapannya, “besok”. Saya pergi lagi, masih jawapannya, “besok”.
Allah.. Allah… hari terakhir dan saya sudah nyatakan kepada Allah SWT, “Ya Allah Kaulah yang Maha Berkuasa, kami redha dengan segala ketetapanMu ya Allah”.
Namun saya masih ke universiti bertanya khabar. Beliau melambai-lambaikan tangan dan menyerahkan salinan kelulusan Visa Ziarah buat Mak. Hati saya dan Roza berbunga-bunga.
Hanya tinggal formaliti di kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur.
“Prof ada sedikit masalah, kami tidak dapat key-in visa ziarah Mak prof kerana bangsa yang direkodkan di dalam sistem bukan Malaysia. Etopia,” jelas agen yang menguruskan permohonan kami.
“MasyaAllah…”
Dan ia kekal begitu kerana saya tidak mampu membuat permohonan baru dari Shah Alam. Ia kekal begitu walaupun diusahakan bersungguh-sungguh oleh agen kami untuk menukarkan sedikit kesilapan yang mereka sendiri lakukan.
Dan kami semakin berdebar apabila melihat Mak sudah bersedia dengan beg besarnya 10 hari lebih awal dari tarikh penerbangan.
Allah.. Allah.. benarlah, Dialah yang Maha Berkuasa di atas segala-galanya.
Mak berada bersama kami di sini.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
