Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 5
October 6, 2012
Motivasi Pagi TV3
10 episod, 5 motivasi haji dan sebahagian lagi Bersyukur Saat Diuji tamat di sebelah pagi tadi. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana diberi peluang untuk bertemu dengan khalayak walaupun berada jauh di bumi Madinah.
Sepanjang membuat rakaman, Nurul – saya fikir producer – selalu menjaga saya. Awal-awal lagi beliau membuat panggilan, “Prof hari Isnin nanti prof puasa atau tidak?
“Kenapa,” saya bertanya.
“Kami tahu Prof berpuasa. Jika tidak, kami mahu sediakan air minuman dan makanan”.
Di lokasi, bila tiba masanya beliau berkata, “Prof, kita hentikan dulu rakaman. Saya tahu Prof mahu ke masjid”.
Begitulah Allah menjaga kita. Itulah pendapatan pasif yang dikejar ramai orang. Saya tidak perlu menagih untuk bersolat berjemaah. Saya terfikir betapa Allah menjaga saya melalui Nurul, staf TV3.
Hakikatnya, menyeru manusia ke arah kebaikan dapat dicapai melalui pelbagi cara. Kadangkala tidak perlu kita ucapkan. Di lokasi inilah saya berinteraksi dengan cameraman, tukang lampu dan pereka set.
Ia peristiwa kecil tetapi saya sentiasa sebak bila memikirkannya.
NotaMKI: Terima kasih kepada semua yang menghantar komen dan pandangan. Moga ia memberi manfaat.
Nasihat
Ada yang bertanya,
“Prof nasihatkan kami supaya berpuasa sunat semasa berada di Mekah dan Madinah. Ada juga yang nasihatkan kami supaya jangan berpuasa. Ada dalam majalah”.
Saya tersenyum. Susah juga mahu memberi jawapan.
“Puasa sunat. Ia tidak wajib. Saya nasihatkan berpuasa dengan alasan-alasan yang telah saya kemukakan. Mereka yang memberi nasihat sebaliknya juga mempunyai alasan. Puan yang dengar dan baca, pilihlah yang mana mahu ikut”.
Lalu ada juga yang memberi nasihat, “jangan bersungguh sangat membuat ibadat di sini. Jaga kesihatan. Kita datang mahu membuat haji. Sempurnakan haji”.
Kemudian datang pula mendengar tazkirah yang saya sampaikan, “jika mati di Mekah dan Madinah pun tidak mengapa. Kita datang semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah”.
Gila. Saya menganjurkan hanya tidur 4-5 jam sehari.
Pilihlah. Jika mahu banyak berehat di hotel pun boleh. Jika mahu berada di masjid pun boleh. Kita yang membuat pilihan dengan izin Allah.
October 5, 2012
Friend
Itu maknanya rakan. Disebut rakan FB.
Isu utama rakan FB – terutamanya wanita – adalah aurat. Mempamerkan aurat sendiri satu hal, upload aurat orang lain satu hal yang berbeza. Jika berjuta orang menyaksikan apa yang kita pamerkan maka berjuta jugalah yang perlu ditanggung.
Saya pernah menyaksikan gambar Roza berpakaian tidur kerana ia diupload oleh rakan seasrama. Ia gambar lampau. Mereka melihat nolstagia. Kita melihat pengilangan dosa-dosa yang tidak berbaloi.
Pertama, ia mengaibkan orang. Kedua, ia tidak sepatutnya dipertomtonkan kepada khalayak. Ia privacy individu yang telah dicemarkan. Tiada satu manfaat pun yang diperolehi.
Saya juga pernah terkhilaf. Lalu saya ditegur. Alhamdulillah dan terima kasih. Rakan adalah rakan meskipun di alam maya. Jika terlepas pandang, tegurlah. Public FB atau di ruangan komen KRTS tidak mengapa.
Parking 11A
Penuh sesak. Kini kami menanti tetamu sambil menyandar di pagar. Masih di parking 11A. Di belakang kami Dar-Al-Taqwa.
Pagi ini siri Motivasi Pagi TV3 diteruskan. Kami bertanya, “topik apa yang saya perkatakan di Motivasi pagi TV3?”. Saya pun sudah terlupa samada minggu ini merupakan siri terakhir atau masih ada pada minggu hadapan.
Bagaimanapun, saya berdoa ia boleh menjadi ilmu yang bermanfaat.
Semalam saya menyampaikan ceramah motivasi Haji kepada sebilangan jemaah Haji di Hotel Al-Haram. Dewan ceramah penuh. Ramai yang berdiri. Saya melihat ramai wanita yang berdiri.
Sambil ketawa-ketawa saya menyebut, “mana-mana wanita yang tidak upaya, lenguh, minta kaum lelaki memberi tempat….”
Semacam di dalam bas atau komuter di KL, “beri tempat duduk kepada wanita”.
Ia tidak semudah itu!
October 4, 2012
Semakin tua
Saya mendapat khabar beberapa kenalan ditimpa ujian badan. Pankreas, Bell Palsy, sindrom kecelaruan antibodi dan beberapa kategori yang mungkin tidak terlalu kronik. Ia bukan suatu kepelikan dengan usia yang semakin meningkat.
Saya telah melalui beberapa ketika yang mendebarkan apabila ditimpa bencana tubuh ini. Batu Karang, jantung dan akhir sekali Bell Palsy. Saya telah melalui proses Angiogram di Subang Jaya Medical Center. Seingat saya telah saya dokumenkan melalui Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman.
Agak saya ia sinonim dengan semua orang. Bila terjadi bencana badan maka ingatan kepada Allah SWT muncul dengan begitu pantas sekali. Lalu kita bertaubat kerana memikirkan masa kita semakin hampir.
Misalnya, ramai kawan-kawan golfer saya mula berniat meninggalkan permainan ini, tambah-tambah lagi jika ia terselit dengan unsur-unsur pertaruhan.
Mereka yang gila golf akan bermusafir kerana permainan ini. Mereka sanggup memandu beratus KM kerana mahu menyertai suatu pertandingan.
Lalu bila bencana badan menimpa, itu semua terpaksa dan mahu ditinggalkan. Masa kelihatan suntuk. Alangkah ruginya menghabiskan puluhan jam untuk bermusafir dan menghabiskan beberapa jam lagi di lapangan.
Namun Allah sering mengingatkan betapa lemahnya kita. Dipesannya kepada kita, “Kau ingat Aku semasa susah, lupa ketika senang”. Tanda-tandanya sangat jelas dalam kehidupan seharian kita.
Allah… Allah… Allah Dia bagi sedikit kelegaan kepada ujian badan tersebut supaya kita berpeluang hampir kepadaNya bagi mereka yang mahu berfikir. DIA mahu kita memikirkan pola kehidupan yang harus kita rencanakan dengan sisa kehidupan.
Namun kita jadi alpa kerana memikirkan ia kesembuhan yang tidak berbekas lagi.
Pendapatan Pasif
Saya selalu tersenyum memikir begitu ramai mahu mempunyai pendapatan pasif dalam dunia perniagaan. Lakukan sesuatu kemudian hasilnya akan sentiasa muncul tanpa perlu berbuat apa-apa yang signifikan.
Di dalam Quran dan hadis dinyatakan beberapa kali istilah perbandingan perniagaan yang menguntungkan (nota: saya telah menulis istilah ini di dalam buku yang telah diterbitkan. Saya mohon maaf tidak dapat membuat rujukan kembali pada hari ini). Ia dikaitkan dengan sedekah dan zakat.
Malah konsep “beramal ketika sihat” juga melambangkan pendapatan pasif bakal kita terima ketika sakit. Misal, jika kita sentiasa solat berjemaah di masjid ketika segar bugar, maka Allah telah memerintahkan para malaikat terus juga menulis amalan tersebut walaupun insan tersebut gagal ke masjid atas sebab penyakitnya.
Tentu sekala saya sangat bersimpati dengan mereka yang mahu bekerja bersungguh-sungguh mencari pendapatan ketika muda dan mahu ia menjadi pendapatan pasif tetapi tidak mampu melakukan amal ibadat semaksimumnya.
Misalnya, kegagalan solat berjemaah di masjid akibat kekangan kerja yang dicipta sendiri.
Carilah kekayaan tetapi jangan menjadi hamba kepada kekayaan tersebut. Hakikatnya, kekayaan yang dijana bersama dengan prosedur tepat di sisi Allah merupakan pakej pendapatan pasif.
Pendapatan pasif yang paling saya ingini ialah sebagaimana yang dinyatakan melalui hadis berikut:
Wahai anak Adam!
Lapangkanlah masa untuk beribadat kepadaKu, nanti Aku akan penuhkan dadamu kekayaan, dan aku akan menutup kemiskinanmu. Jika engkau tidak melakukan yang demikian, nanti Aku penuhkan tanganmu dengan urusan dan kerja, dan aku tidak menutup kemiskinanmu! (Hadis Qudsi, riwayat Ahmad).
MasyaAllah, Subhanallah, Allahu Akhbar, kami mohon keampunan Mu.
October 3, 2012
Tazkirah di Hotel Al-Haram

Bersama Prof Dr Rahman dan isteri dari UiTM Shah Alam di Al-Noor, Madinah
Saya akan menyampaikan ceramah Motivasi Haji di Hotel Al-Haram, Madinah pada hari Jumaat, 5 Oktober, 2012, jam 9 pagi. Semua dijemput hadir.
Motivasi Pagi TV3
Sambungan topik Bersyukur Saat Diuji akan ke udara – InsyaAllah – pada hari Sabtu dan Ahad, jam 7.00 pagi. Semoga ada manfaatnya.
Rindu Madinah
Haji Mabrur tiada balasan kecuali syurga. Lalu kita perlu mempertahankan haji mabrur sehingga ke akhir hayat. Lalu tanda haji mabrur itu bukan hanya ketika di Mekah dan Madinah.
Kesemuanya ada aturannya. Ibarat api, ia membakar. Namun api yang menggunung tinggi tidak dapat membakar nabi Allah Ibrahim. Itulah gambaran betapa Allah Maha Berkuasa.
Api membakar adalah aturannya. Namun ia di luar aturan di atas sifat kekuasaan Allah.
Kini ramai yang sudah beredar meninggalkan Madinah. Mereka yang berada di sini – InsyaAllah – akan merindui kehidupan di sini walaupun hanya berada di sekitar 8-10 hari.
Juga, bila pulang ke Malaysia, rasa rindu pada kedua-dua Tanah Haram dikatakan muncul. Inilah sedikit petikan buku terbaru yang hampir siap sepenuhnya berkaitan rindu Madinah.
Petikan Buku yang belum bertajuk
Kami merindui Mekah dan Madinah.
46 hari menunaikan fardhu haji menggamit rasa tersebut. Saya dan Roza termasuk dalam jutaan manusia sentiasa bercerita tentang pengalaman holistik yang menakjubkan. Ia kisah yang tidak jemu diulang-ulang. Tiada kata yang dapat menghurai secara tepat perasaan dalaman ini.
Agaknya ia kelaziman atau rasa yang ada pada setiap orang yang pernah memijakkan kaki ke sini. Subhanallah – setelah bertenang seketika – akhirnya saya menyedari betapa perasaan ini terlalu dipermudahkan oleh ramai orang. Kesimpulannya, mereka menyatakan rasa rindu pada Madinah atau Mekah. Hakikat sebenar, ia perasaan yang kelihatan tidak jelas dan kabur.
Misalnya – saya tertanya-tanya – adakah kita merindui fizikal Masjid Nabawi? Atau adakah segala amal ibadat yang telah dilakukan selama beberapa hari di sini. Mungkinkah juga ia hanya kenyataan ikut-ikutan semata-mata. Bila disebut Madinah maka ia perlu dirindui.
Lalu kita menyebut begitu kerana kita pernah berada di dalam masjid Nabawi. Tumpang bercerita bersama mereka yang benar-benar menitis air mata kesyukuran kerana dapat menziarahi bandaraya Baginda SAW dan beramal ibadat sepenuhnya di dalam masjid Nabawi.
Ujian rindu ini sangat mudah ditelah. Bertanyalah, “apakah yang haji rindu? Cuba puan senaraikan satu persatu perkara yang dirindui,” maka ia menjadi soalan atau kenyataan yang sukar untuk dinyatakan secara tepat.
Ia akhirnya berpusing-pusing di sekitar Raudhah, makam Rasululullah SAW dan beberapa peristiwa yang berkisar di sekitar Masjid Nabawi. Satu, dua dan tiga. Itu sahaja. Agak saya begitu.
Namun saya sangat jelas. Saya merindui Madinah kerana sepanjang tempoh di sana dapat melaksanakan beberapa perkara yang terlalu sukar untuk dilakukan di Tanah Air.
Melaksanakan ibadat haji dan ziarah tidak memungkinkan kita mencipta alasan untuk tidak solat lima waktu di masjid, berpuasa sunat, bangun malam, membaca al-Quran dan terjemahan serta cuba membersihkan hati sanubari sehingga ia putih wangi.
Malah saya mula merasai kenikmatan melakukan amal ibadat semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah.
Saya melihat kebesaran Allah di sana sehingga terasa diri tersangat kerdil. Solat di saf-saf hadapan. Solat sunat masjid di Raudhah hampir setiap kali memasuki masjid. Lalu dapat pula berdoa di sana.
Solat jenazah saya di dalam bilik jenazah di belakang imam. Dan tentu sekali dapat mengusung jenazah hampir setiap waktu. Ia kerinduan mengintai kematian yang hampir pasti.
Malah tiada apa yang perlu dikejar atau dirungsingkan ketika berada di Madinah. Kesimpulan di atas segalanya – Allahu Akbar – ialah perasaan bersama kedamaian bumi Madinah.
Ia getaran rasa dan perasaan yang terlalu abstrak. Kenyataan yang hanya dimengertikan oleh mereka yang benar-benar hadir bersama roh dan jasad.
October 2, 2012
Nasi Unta

Tazkirah ringkas sambil makan nasi Unta
“Cikgu, minta maaf. Malam ini kami tidak dapat bawa ke rumah. Kami ingin makan di luar,” saya maklumkan kepada pasangan Cikgu Rosli dan isteri.
Chef tidak sempat memasak. Kami bertiga kecuali Sofea berpuasa. Lalu hari ini kami memesan 1 nafal nasi unta dan 1 nafal nasi ayam. Alhamdulillah ia dapat disempurnakan.
Sesekali bagus juga begitu.
October 1, 2012
Cairo
Ada empat lokasi yang kami – saya dan Roza – menyimpan rasa untuk berkunjung tetapi belum berkesempatan. Pertama, Masjidil Aqsa, Iran, Jordan dan Mesir.
Ia tentunya bersebab.
Masjidil Aqsa merupakan salah satu daripada tiga masjid yang disyariatkan untuk bermusafir dan beramal ibadat. Dua lagi, Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Kedua-dua masjid ini – InsyaAllah dan Alhamdulillah – berada di dalam jangkauan kami sekeluarga.
Iran pula mempunyai wataknya yang tersendiri. Saya tidak tahu kenapa tetapi ada tarikan untuk melihat sendiri suasana kehidupan di sana. Mudah-mudahan ia menjadi ilmu yang bermanfaat.
Jordan dan Mesir mempunyai sejarah perkembangan Islam yang panjang. Malah kehidupan Nabi Musa – yang nama baginda paling banyak di sebut di dalam al-Quran – berlegar di sekitar negara Mesir. Dikhabarkan juga banyak masjid-masjid bersejarah di sana.
Di sebaliknya, saya mempunyai teman-teman berasal dari Mesir dan Jordan untuk dilawati. Ia tidak terlalu mustahak tetapi menjadi salah satu faktor untuk kami berkunjung ke sana.
Alhamdulillah, InsyaAllah kami akan berada di Cairo selama lima hari bermula 19hb sehingga 24hb Oktober. Saya teruja, berbesar hati dan menawarkan diri untuk memperkatakan topik “Bersyukur Saat Diuji” kepada sesiapa yang berminat – terutamanya penuntut Malaysia – di sekitar Cairo.
Hubungi saya di:
mki@muhdkamil.org atau
muhdkamiltaibah@gmail.com
Semoga Allah merahmati hidup kita semua.
Akil Baligh
Cukup umur. Itulah istilah yang biasa digunakan.
Amirul bertubuh besar. Sering kali saya terlupa yang usianya masih muda. Ketika sampai di sini saya terlihat beliau membeli pistol. Ya Allah… saya dan Roza ketawa.
Saya sering bertanya, “Amirul sudah cukup umur?”. Beliau menidakkannya. Tetu sekali saya bertanya dengan bersebab. Saya mahu membawa beliau melaksanakan ibadat haji.
Tahun ini saya bertanya lagi, “Amirul sudah cukup umur?”. Kali ini dia tersengeh,
“Amirul sudah mimpi?” saya terkenang zaman remaja saya ditanya soalan yang sama.
“OK, kita pergi menunaikan fardhu haji. Amirul mahu?”
“Tahun hadapan ayah…”.
Saya mahu beliau menunaikan ibadat haji dengan cara yang betul, zahir dan bathin. Lalu saya menangguhkan penggunaan permit haji saya ke tahun hadapan. Mudah-mudahan Allah memanjangkan usia saya dan Roza untuk bersama Amirul wukuf di Arafah.
Alhamdulillah, beliau menyambut akil-balighnya dengan berpuasa Nabi Daud. Sehingga kini masih kekal begitu.
September 30, 2012
Terima kasih
Jumlah pelawat KRTS bagi bulan September, 2012 merupakan yang tertinggi semenjak ia berada di alam maya. Terima kasih kerana menyerikan blog ini.
Namun jumlah sebenar mungkin jauh lebih kecil memandangkan ada di antara khalayak yang melawat dua-tiga kali sehari. Apa pun, terima kasih sekali lagi,
Semoga ada ilmu yang bermanfaat di sini.

Jumlah Pelawat Bulanan KRTS
Manis

Saya bersyukur mempunyai mereka sebagai anak murid
Saya jarang bercerita tentang urusan pekerjaan di Universiti Taibah. Malah saya tidak pernah bercerita tentang politik pejabat, tingkah laku penghuni di dalamnya atau pelbagai anekdot lain yang menghiburkan.
Ia bersebab. Di antaranya, saya gembira berada di sini. Melaluinya, kami sekeluarga diizin Allah untuk bermukim di Madinah. Malah Roza juga ditawarkan pekerjaan ketika beliau berfikir ia sesuatu yang kelihatan sukar untuk meneruskan kerjayanya sebagai seorang pensyarah.
Malah saya mengambil pendekatan mudah dengan sentiasa berdoa agar kami dikekalkan di sini, mampu menyampaikan ilmu kepada anak-anak murid dengan bersungguh, penuh keikhlasan dan menjadikan ilmu yang bermanfaat.
Kini saya mempunyai kumpulan baru. Saya tidak mahu membuat perbandingan dengan kumpulan yang terdahulu. Tingkah laku mereka berbeza. Gaya mereka berbeza. Jadi tidak adil untuk membuat perbandingan. Malah ia langsung tidak perlu.
Namun saya sentiasa bersemangat untuk bertemu mereka. Ketika mahu meninggalkan kelas saya sering menyebut, “terima kasih kerana menggembirakan saya pada hari ini,” dan sentiasa mereka membalas, “kami yang patut berterima kasih kepada Dr”.
Mereka membuatkan rasa manis berada di sini. Namun saya berharap ia tidak menggangu kandungan gula saya.
(NotaMKI: Harga gula di sini SR4.50 sekilo).
Inilah pandangan di hadapan meja kerja saya. Jemaah haji tekun membaca kitab-kitab di sini selepas solat Asar.
Jika berada di Madinah, kunjungilah sejam-dua perpustakaan Masjid Nabawi. Ia boleh dimasuki melalui pintu 10.
Bagi mereka yang boleh membaca dalam bahasa Arab, ia gedung ilmu yang tidak ternilai.
Bagaimanapun, terdapat sedikit koleksi bahasa Inggeris yang boleh dimanfaat. Di luar perpustakaan adalah laluan ke bumbung. Ia juga kawasan yang boleh dilawati.
Kami doakan agar mendapat haji Mabrur.
Pertanyaan
Semalam sebelum beredar tetamu saya bertanya,
“Prof boleh tak kami datang lagi?”
“Minta maaf, tidak boleh, ramai lagi yang menunggu giliran,” saya memberi jawapan.
Saya hanya mampu memberi jawapan ringkas namun di dalam kereta saya menjelaskan yang saya meraikan tetamu Allah kerana ingin menyampaikan tazkirah.
Itu tujuan utamanya.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
