Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 3
October 24, 2012
Pertanyaan dan jawapan
Pertanyaan
Itulah hati saya sekarang Prof.
Saya solat tetapi solat saya kosong. saya membaca Al-Quran tetapi tiada kesan langsung pada hati ini. Saya berzikir, beristighfar tetapi ketenangan itu sudah tiada.
Saya risau yang teramat risau sampai saya tidak boleh nak buat apa. Saya tidak boleh study padahal saya ada tanggungjawab study sebab Allah sudah bagi saya scholarship.
Saya pergi buat rawatan di XYZ. Ustaz-ustaz semua blur sebab saya cakap yang hati saya keras sebab saya tutup aurat dan bila ditanya tentang solat, saya solat. Mereka pesan banyakkan baca Al-Quran.
Tapi itulah masalah saya, baca Al-Quran pun saya tak rasa apa. Saya risau kalau Allah takdirkan saya meninggal dunia dengan hati saya yang macam ini.
Jawapan
Salam sejahtera,
Puan menulis e-mel ini pun sudah menunjukkan yang hati puan tidak keras. Jika tutup aurat, baca quran dan solat.. itulah tandanya hati lembut.
Kosong atau tidak teruskan amalan tersebut. Jangan buat apa yang ditegah.
Bila sampai masanya…InyaAllah… Dia akan memberi rasa.
Pulang
Enam hari di Kaherah.
Kami menyaksikan kehidupan luaran Kaherah yag tidak membolehkan kami membuat kesimpulan umum. Namun ada sesuatu yang boleh kami tafsirkan berdasarkan pemerhatian tersebut.
Pertama, kami dapat merasai kesukaran kehidupan rakyat Kaherah. Lalu kami boleh kaitkan kenapa begitu ramai rakyat Mesir di Madinah. Mereka menguasai kehidupan Arab Saudi.
Kedua, jika kami mempunyai maklumat sifar tentang Cairo maka pasti akan kami nyatakan ia bukan sebuah negara Islam. Dan pastinya kami kehairanan kenapa negara ini membenarkan begitu banyak masjid didirikan.
Ketiga, bukankah Allah menceritakan berulang kali kisah di kawasan ini? Malah dikatakan juga manusia sering lupa dengan peringatan-peringatan yang telah diberikan. Mudah-mudahan kita tidak lupa.
Namun jika saya ulas melalui pandangan mikro maka saya sangat bersimpati dengan rakyat Mesir yang kami temui. Mereka sangat baik hati. Beberapa orang membawa kami sehingga ke masjid. Namun mereka tidak masuk bersama tetapi beredar pergi. Barangkali mereka tidak berpeluang!
Pertolongan yang diberi sering berharapkan ganjaran. Jika tidak, mereka akan meminta. Anak-anak kecil di jalanan, mencari rezeki menadah tangan. Walaupun ia tidak sehebat Medan namun ia memberi rasa yang tidak selesa buat pengunjung kali pertama.
Di luar masjid rakyatnya berjuta. Di dalam masjid jemaahnya tidak seberapa. Ya Allah…. di mana-mana pun sama. Lalu saya nyatakan pandangan saya kepada Tuan Yahya,
“orang tidak berminat untuk menjadi golongan terpilih walaupun dinyatakan betapa tanda orang munafik itu kesukaran untuk menunaikan solat Isya dan Subuh berjemaah.
Di mana-mana begitu. Jadi kita yang tidak pandai ini juga masih mempunyai harapan. Tinggal lagi, marilah kita lakukan sesuatu yang orang tidak suka lakukan tetapi di sukai oleh Allah”
Di atas segalanya, ada damai di hati.
Ia pengalaman singkat. Namun – saya fikir – ia memberi harapan kepada perasaan dalaman untuk lebih hampir kepadaNya. Terima kasih kepada semua yang membantu kami sekeluarga semasa di sana.
October 23, 2012
Perbezaan
Alhamdulillah.
Kami – saya dan Roza – berpeluang berada dipelbagai negara. Dulu, kami banyak menghabiskan $$$ dengan membeli-belah. Akhir sekali apabila berkunjung ke Istanbul.
Saya tidak ingat berapa bidang permaidani yang dibawa pulang. Seingat saya, kad kredit telah memalukan saya di lapangan terbang kerana masih lagi mahu membeli barang.
Malah hutang kad kredit melawat Istanbul hampir tiga tahun baru dapat dilunaskan.
Bodoh!
Itulah saya melabelkan diri sendiri.
Kini kami sepakat. Tiada membeli belah apabila melancong. Kami mahu melihat keadaan negeri tersebut, menikmati makanan penduduk tempatan dan mempunyai penginapan yang selesa bagi membolehkan kami menulis di sebelah malam.
Malah biarlah kembara ini boleh menambah ilmu pengetahuan dan juga memberi ilmu jika berkesempatan.
Hidangan Diraja zaman King Farouk
Makan malam kami istimewa.
Kami dihidangkan dengan merpati sumbat, sup merpati dan daging bakar berserta dengan sayur-sayuran. Khabarnya, merpati sumbat merupakan menu raja pada zaman King Farouk. Ia di sumbat dengan nasi Mesir.
Alhamdulillah, rasanya memang lazat.
October 22, 2012
Kambing Mesir

Seekor kambing sedulang nasi
Inilah wajah Tuan Yahya dan isteri, pegawai hal-ehwal pelajar Wilayah Persekutuan.
Semalam mereka meraikan kami dan keluarga bersama rakan-rakan Malaysia yang bekerja di Kaherah. Nasi Mandy Mesir, Nasi Daging Malaysia dan lauk-pauk yang lazat telah dihidangkan kepada tetamu.
Namun ramai tetamu yang terlewat sampai. Jalanraya sesak. Perjalanan yang sepatutnya 10-15 minit menjengah sejam. Kami juga tidak terkecuali.
Namun masa tidak terlalu lewat. Maksud saya, Maghrib di Cairo di sekitar 5.20 petang. Jadi masa malamnya sangat panjang.
“Agak saya kehidupan di Kaherah penuh dengan tekanan,” saya membuat kenyataan kepada Ustaz pemandu kami. Beliau ketawa. Bila kereta perlahan, anak-anak kecil datang menyapu cermin kereta dan merayu memohon sepound dua. Jika diberi, adik beradik yang lain akan menyerbu.
Kesusahan menyebabkan suasananya terpalit dalam semua kegiatan. Pakaian pasukan beruniform tidak kemas dan tidak segak. Sampah sarap penuh di sepanjang laluan lokasi pelancong.
Namun masih ada sesuatu yang melekat di hati. Kami tetap rasa riang dan gembira. Ada tanda keberkatan yang perlu dipulihkan.
Ia tanah yang banyak diceritakan di dalam al-Quran. Ia bumi penuh pengajaran untuk mereka yang mahu berfikir.
October 21, 2012
Mahu lama
Ada sekitar 11000 pelajar Malaysia yang berdaftar di Mesir. Agaknya – berdasarkan perbualan ringkas – jumlah sebenar lebih ramai lagi.
Saya bertemu seorang pelajar di Masjid Azhar.
“Berapa lama di sini?,” tangan beliau memegang kitab yang kelihatan lusuh.
“6 tahun”
“Bila habis belajar?”
Beliau tersenyum. “Saya mahu lama di sini,” sambil terus bercerita konsep menuntut ilmu di Mesir.
Lulus exam satu hal yang berbeza berbanding meneroka ilmu. Ilmu perlu dicari. Ia ada di sekitar masjid, madrasah dan rumah Syeikh-Syeikh.
Ketika berkunjung ke rumah Sheikh Ashraf, imam dan tenaga pengajar Azhar (Quran), kelihatan dua anak muridnya sampai. Mereka dari Thailand dan Indonesia.
“Itu murid kanan Sheikh,” Fadzil – anak muda yang membawa kami sekeluarga di sini – memaklumkan kepada saya. “Umur dia baru 25 tahun. Sebut sahaja ayat quran – InsyaAllah – beliau boleh sambung. Malah boleh baca quran dari bawa ke atas”.
Belajar di sini bergantung kepada kehendak individu. Mereka perlu disiplin tinggi. Siapa mahu hadir kuliah, dipersilakan. Jika tidak, tiada daftar kehadiran.
Segala-galanya bergantung kepada jawapan di kertas peperiksaan akhir.
Namun cabaran di Kaherah sangat hebat. Penduduknya seramai rakyat Malaysia. Mereka tidak kaya. Suasananya pantas. Jalanraya sesak. Sampah-sarap bersepah. Lalu ia mempengaruhi jalan kehidupan.
Alhamdulillah, kami berada di sini mengembara menyaksikan kebesaran Allah SWT.
Kami di Cairo

Makan masakan Mesir di Cairo

Terung dan lada
Alhamdulillah, kami memijakkan kaki di Kaherah. Sudah dua malam di sini.
Kami menginap di hotel Hilton di Pusat Dagangan berhampiran dengan sungai Nil. Kegembiraan dan kesyukuran pertama kerana pihak hotel telah menaik taraf bilik kepada tahap yang lebih tinggi.
Kedua, saya melihat mereka sangat-sangat menghormati kami sekeluarga. Saya fikir mereka ingat saya Tok Syeikh kerana sayalah satu-satunya yang ganjil….. memakai jubah!
Hampir semua rakyat Mesir berkot atau berkemeja.
Tidak. Tidak begitu.
Saya tidak menyedari kereta yang membawa, mengambil dan menguruskan perjalanan kami sepanjang berada di Cairo menggunakan plet berwarna hijau.
Kami boleh memasuki banyak kawasan yang terhad. Ya Allah, ia kereta yang didaftarkan dengan kedutaan Malaysia. Patutlah!
Kami sudah melawat masjid pertama yang didirikan di Mesir, masjid Imam Shafie dan meninjau piramid yang terletak kira-kira 40 minit perjalanan dari tempat penginapan.
Banyak perkara yang kami pelajari. InsyaAllah akan saya menulis semula dengan persepektif berbeza bila berkelapangan.
Di Giza melihat tiga piramid terbesar
Surah Yunus, ayat 92 ada dinyatakan secara jelas,
Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil iktibar) dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!
Melihat piramid dan berkunjung ke Muzium Mesir menyaksikan kegilaan manusia. Kehebatan manusia tidak ke mana jua. Akhirnya, kesemuanya tidak bernyawa dan menunggu hari untuk dihisab. Begitu jugalah Firaun.
Firaun hebat pada zamannya. Melihat beliau dalam konteks zaman ini juga menggambarkan betapa gahnya mereka. Kubur, perhiasan dan pelbagai kelengkapan seolah-olah melalui zaman. Namun ia tetap berakhir.
Sesekali terfikir, tidak wujudkah Firaun zaman moden?
Pandangan Pembaca
Buku Anekdot Madinah: Benar Allah Maha Mendengar sudah menerima pandangan pembaca, Norazma, Azlina dan Nik NurFariha.
Meskipun ada beberapa nama yang telah memberi tawaran untuk membaca manuskrip ini, saya memilih ketiga-tiganya dengan sebab.
Pertama, Norazma – lulusan UIA dan UM – juga merupakan pensyarah USIM yang sedang menuntut di Sudan di peringkat PhD. Beliau adalah ilmuan muda agama. Malah saya pengikut setia blog beliau.
Saya berharap beliau melihat aspek-aspek yang mungkin bercanggah dengan akidah dan juga pandangan sebagai seorang pembaca.
Kedua, Azlina – adik kandung saya yang lebih dikenali sebagai Adik Na melalui Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman. Beliaulah yang berada di sisi (selain Kak Mie dan Roza) yang mampu menterjemahkan apa yang telah saya lalui dan melihat catatan terbaru melalui buku yang bakal diterbitkan.
Apakah intipati yang mahu saya lihat melalui pandangan beliau?
Saya gembira melihat beliau mencungkil apa yang tersirat. Namun beliau adalah adik saya. Jika adik sendiri – atas beberapa aturannya – tidak mampu memahami apa yang saya tulis maka bolehkah saya mengharap pembaca lain mengerti.
Ketiga, Nik NurFariha, insan yang saya tidak kenali. Tinggi, rendah, putih atau coklat, langsung tidak tergambar dek saya. Bila beliau tahu yang saya ingin ke Cairo maka beliau membuat jemputan untuk memberi ceramah kepada para pelajar perubatan di tempat beliau tinggal.
Saya menolak tetapi menawarkan untuk membaca manuskrip mewakili golongan muda dan bukan berlatarbelakangkan agama.
Saya terkejut melihat Nik mampu menulis dengan baik. Ketika memohon beliau untuk membaca dan mengulas, saya sudah bersedia untuk membuat editing berdasarkan bahasa dan pilihan ayat. Namun ia tidak jadi begitu. Ia sangat minimum.
Habis, pendapat ini bertujuan memberi gambaran kepada bakal khalayak pembeli dan supaya boleh menggalakkan mereka untuk membeli buku tersebut.
Dan pandangan ini juga akan disiarkan melalui buku yang bakal diterbitkan.
Hari ini baru terbaca e-mel (nota: namanya saya tidak ketahui) yang berbunyi:
Dan lagi, kebelakangan ini pula Prof post comments from your readers to your new book yang memuji tulisan Prof. I think that is a bit too much. I used to cry when I read what you wrote. Sekarang saya membaca dengan sinis; siapa pulak yang nak puji prof hari ini? I wonder what went wrong?
Saya terfikir, apa yang perlu saya lakukan? Adakah Norazma, Azlina atau Nik memuji saya? Saya harap tidak. Saya berdoa mereka menceritakan pandangan benar tentang isi kandungan buku tersebut.
Tiada apa yang dapat saya suakan kepada mereka sebagai ganjaran memuji.
Nanti, saya sedang menunggu KATA PENGANTAR daripada Dr Jeniri Amir, seorang penulis, pensyarah dan penganalisa politik dari UNIMAS. Beliau mengambil masa – hampir dua minggu – untuk menulisnya kerana mahu mengamati buku tersebut dengan teliti walaupun beliau biasa menulis senaskah buku dalam tempoh yang sama.
Kesemuanya tidak berupah.
October 20, 2012
Mereka Membaca
NIK NURFARIHA MOHAMED ZALAMI
Pelajar Perubatan
Mansurah, Mesir
BismillahAr-RahmanAr-Rahim
Rindu. Ia rindu yang amat sangat.
Itulah rasa di hati saat diminta menghayati dan mencoret sesuatu mengenai Anekdot Madinah – Benar, DIA Maha Mendengar. Ia satu penghormatan. Pantas bayangan Kota Madinah dan seisinya menari di pentas minda. Ia bayangan berbalam ketika pertama kali menjejak kaki ke sana saat berusia 10 tahun. Namun ia lebih menerangi hati dan minda ketika Allah izinkan saya kembali menziarahi Kota Bercahaya ini pada cuti musim panas 2010.
Ada sesuatu yang asyik di Kota Baginda SAW. Berulang-ulang mahu diungkap dengan kata-kata atau dicatat bersama pena, namun ia tidak pernah menjadi nyata. Ia sukar. Namun asyik ini tidak pernah berkurang, malah mengingatinya menyebabkan rasa sayu akan cepat bertandang dan kadangkala air jernih tidak segan silu bertakung pada kolam mata.
Ahh, aneh rasa itu. Tidak hairan jika Prof MKI rela meninggalkan seisi Malaysia dan berkelana mencari rindunya di sana.
Prof MKI berjaya membawa saya menyelusuri mesin masa dengan seakan suaranya menceritakan latar tempat dan masa untuk setiap peristiwa. Ia terdengar di telinga dan terbayang di mata.
Ia hidup. Sangat hidup.
Hakikatnya, nikmat berada di bumi Nabi ini umpama meneguk ais sejuk kala cuaca panas terik. Segar dan asyik! Lalu dalam menghayati setiap kisah dan ibrah – tanpa sedar – episod mata bergenang pipi basah serta mulut tersenyum simpul silih berganti. Pohonlah semata-mata kerana Allah, dengan sabar dan solat, kerana sesungguhnya Dia Maha Mendengar! Itulah kesimpulan awal untuk buah tangan Prof MKI setelah usai menghayatinya.
Setiap helaian yang dinukil, seolah-olah mewakilkan gambaran rasa umat Nabi Muhammad SAW tentang ziarah mereka ke Kota Madinah. Bezanya, mungkin mereka simpan di hati. Namun Prof MKI berjaya mencoretnya di kertas supaya para pembaca mengingat kembali kenangan di sana. Lalu ia menjadi dakwah yang berkesan.
Setiap kisah, ibrahnya akan dikreditkan kepada Pencipta yang Hak, baik atau buruk, manis atau pahit, semuanya datang daripada Allah SWT. Lalu, keluh kesah bertukar menjadi zikir memuji kerana sedar kita hambaNya bukan tuan di bumi sendiri. Enaknya kesedaran berTuhan yang hadir jika semua disandar padaNya.
Itulah apa yang cuba diungkap dalam buku terbaru ini. Maka – seolah-olah – tiada istilah bersedih untuk setiap ujian sebab redha itu telah sebati mendarah daging dalam diri seorang insan. Penyerahan diri seorang hamba secara total kepada Khalik!
Saya jadi terpana, jika penulis memilih jalan uzlah seperti ini untuk menghabiskan baki usianya, maka saya pula bagaimana? Sehingga kini saya masih merangka jawapan, dan mungkin bakal pembaca yang lain juga akan begitu.
Berada di bumi Mesir, saya kira perangai bukhro (esok) untuk setiap janji yang dibuat dan beberapa sifat agresif lain bangsa ini tidak dapat dielak. Serupa. Lama-lama, ia sudah sebati. Namun, cara pandang saya terhadap kelakuan mereka bakal berubah – InsyaAllah – selepas menikmati manuskrip ini. Yang saya pandang, banyaknya negatif tetapi mungkin selepas ini yang indah-indah sahaja akan saya kenang bawa pulang ke tanah air.
Paling mengesankan, adalah bagaimana penulis mencari Tuhan dalam setiap saat perbuatan hariannya, langsung jadi cermin muhasabah buat saya. Saya pula bagaimana? Di tangga ke berapa Allah berada untuk saban pengaduan? Bukankah setiap rutin solat sehari semalam kita ungkapkan “Sesungguhnya, solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah”? Tetapi penghayatannya bagaimana?
Ini sebuah manual praktikal kepada pembelajaran teori pendidikan Islam di sekolah suatu ketika dahulu. Bagaimana mengaplikasi Rukun Iman, Rukun Islam, tawakal, sabar, sedekah serta ibadat-ibadat lain ke dalam kehidupan sehari-hari. Ia tidak mudah, namun tidak pula mustahil.
Jika Prof MKI mampu, mengapa tidak kita? Semoga proses membersihkan hati tidak terhenti pada kunjungan ke Haramain ini sahaja, bahkan mendarah daging dalam setiap amal seharian. Semoga – insyaAllah – setiap doa dikabulkan oleh Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Benar, Dia Maha Mendengar. Ameen Ya Rabb!
“Mintalah kepadaKu, nescaya akan Aku perkenankan” [40:60]
October 19, 2012
Melayu Malaysia

Jemaah Haji dari UK
“Prof mana jemaah haji Malaysia?,” itulah salah satu pertanyaan mereka.
“Semuanya sudah berada di Mekah” .
Mereka juga jemaah haji Malaysia tetapi sedang menuntut di Sherfield, UK. Maka mereka dikira sebagai jemaah haji dari sana. Alhamdulillah, itulah nikmat yang patut disyukuri. Jika tidak, jadual haji mereka hanya ditetapkan pada 2020.
Lalu saya bergurau, “you Melayu Malaysia sesat…”.
Sudah lama tidak menyampaikan tazkirah sejak jemaah Malaysia mulai beredar ke Mekah.
Lalu saya bercerita tentang pengalaman yang telah saya lalui. Semasa menunaikan fardhu haji – 2006/2007 – saya langsung tidak mahu pergi berziarah. Kenapa? Mereka pergi hari Jumaat. Saya pula tidak mahu meninggalkan saf hadapan di masjid Nabawi.
Namun pada hari yang lain, secara berseorangan saya berkunjung ke masjid Kubah. Saya pergi awal pagi dan tidak mengganggu saf hadapan di masjid Nabawi.
“Jangan ikut saya… saya ceritakan bagaimana saya melihat masjid Nabawi dan Masjidil Haram sebagai tempat yang di syariatkan untuk bermusafir dan beramal ibadat”.
Kini Allah ganti balik apa yang saya tinggal. Masjid Qiblatain sangat hampir dengan rumah. Masjid Nabawi dapat saya teroka segenap penjurunya dalam keadaan tenang dan damai.
Mesej saya mudah. Beliau hanya empat hari di Madinah. Bersungguhlah untuk berada di dalam masjid. Pergilah berziarah namun jangan kerana ziarah tersebut kita terlentang tidur di bilik.
Lalu saya memberi mereka semangat. Jika rindukan Baginda SAW, jangan setakat melalui makam Baginda. Mari kita amalkan apa yang ditunjukkan oleh Baginda.
Tazkirah ringkas sambil berjalan ke kereta dan menunggu nasi Kabsah di restoran.
Kami doakan agar mendapat haji mabrur.
October 18, 2012
Puasa Hari Arafat
“Berpuasa pada Hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya”. Ia hadis sahih yang direkodkan oleh Muslim.
Saya ceritakan kepada Amirul. Lalu Amirul bertanya, “maka tidak apakah kalau kita buat dosa tahun hadapan sebab Allah sudah ampunkan dosa kita in advance“.
Soalan menduga akal.
Saya jawab ringkas. “Jika Amirul sudah bercadang mahu melakukan dosa maka agak ayah Allah tidak gerakkan hati Amirul untuk berpuasa. Jika Amirul puasa betul-betul InsyaAllah – Allah akan jaga kita dari melakukan dosa. Ada ke orang yang bercadang mahu melakukan dosa selepas melakukan kebaikan?”
Soalan yang tidak saya duga tetapi perlu diberi jawapan segera.
Tahun lepas kami – saya dan Roza – dapat merasai bagaimana Masjid Nabawi dipenuhi dengan saprah berbuka puasa pada 9 Zulhijah. Ia melimpah sampai ke luar. Malah menunya berbeza berbanding hari-hari puasa sunat Khamis dan Isnin.
Amirul dan Sofea tidak berkesempatan untuk merasai suasana tersebut kerana kami menumpang kereta seseorang. Mereka terpaksa ditinggalkan.
Tahun ini – InsyaAllah – kita sekeluarga berpuasa hari wuquf…. saya mahu minda mereka bersedia!
October 17, 2012
Mereka Membaca
AZLINA IBRAHIM
Pendidik
SMK Tengku Apuan Afzan
Chenor, Maran, Malaysia
Alhamdulillah. Di tangan saya Anekdot Madinah: Benar, DIA Maha Mendengar, manuskrip terbaru Abe Mil. Ia bakal menemui semua pembaca yang dahagakan perkongsian ilmu Allah yang sangat luas. Sekalung penghargaan yang tidak terperi saya tujukan buat kekanda ku yang membuka ruang dan peluang bagi saya menekuni dan melakarkan tinta padangan terhadap manuskrip ini. Ia dakwah santai tetapi berat pada mereka yang tidak merasakan kematian itu semakin hari kian dekat dan singkat.
Ya Allah Na, jika abang ada peluang mahu rasanya menetap di Mekah ataupun Madinah. Mana-mana abang tidak kisah. Kedua-dua tempat yang barakah. Hati jadi seronok, tenang dan damai. Insyaallah, abang akan datang kembali untuk menetap di sini selepas Sofea berumur 20 tahun.
Membaca rangkaian kata-kata tersebut, menggamit memori sewaktu mengerjakan haji 2006. Di hadapan saya, Abe Mil bukan lagi seorang abang yang pernah saya dan keluarga kenali. Saya menangis melihat kebesaran dan kekuasaan Allah yang ditunjukkan melalui Abe Mil. Benar sekali, doa seorang ibu, ayah, isteri dan kaum keluarga nyata didengari oleh Dia yang Maha Mendengar.
Keinginan Abe Mil untuk berada di Mekah atau Madinah, saya kira ia luahan hati, bisikan murni dan doa yang dipanjatkan pada Ilahi tanpa sedar. Masih melekat di minda saya kata-kata itu meluncur keluar dari mulut Abe ketika kami dalam perjalanan pulang dari Masjidil Haram ke hotel. Benar, DIA Maha Mendengar.
Allah angkat nawaitu itu menjadi realiti dengan perancangan-Nya yang teliti, tanpa kita sedari, ianya hadiah Ilahi yang patut disyukuri. Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.
46 hari bersama Abe di Mekah-Madinah 2006, dengan izinNYA dapat saya membayangkan lakaran perjalanan yang dinukilkan dalam Anekdot Madinah: Benar, DIA Maha Mendengar. Jika ditelusuri dari bab ke bab, pembaca akan menemui kebergantungan Abe Mil yang mutlak pada DIA Yang Maha Mendengar. Getaran doa yang dipohon pada Yang Maha Berkuasa dapat saya rasakan. Abe tidak jemu dan berulang kali mengajak pembaca, “Mengadulah pada Allah… Mengadulah pada Allah, DIA Maha Mendengar”.
Anekdot Madinah: Benar, DIA Maha Mendengar, bakal menjadi inspirasi bagi insan yang berusaha menjadi lebih baik dengan menjadikan solat berjemaah, puasa sunat, bersedekah, membangunkan malam, bersangka baik dan segala kebaikkan lantaran ianya dikukuhkan dengan praktikal yang bernadikan Al-Quran dan Hadith.
Inspirasi bagi ibu ayah yang benar pada mereka ada senjata ampuh yang dikurniakan Allah untuk mendoakan anak-anak. Inspirasi bagi individu yang merindukan Raudhah di Masjid Nabawi yang boleh sahaja dilewati dengan berada pada majlis-majlis ilmu.
Inspirasi bagi mereka yang akhirnya, sebagai hambaNya hanya ilmu yang bermanfaat, sedekah jariah dan anak yang soleh menjadi bekal di hari muka.
Sesungguhnya, ungkapan ‘selangkah kita merapatkan diri pada Allah, seribu langkah Allah merapatkan diriNya pada kita’ kerana DIA Maha Mendengar. Abe Mil, buku ini menyengat dengan bisa yang mampu merebak menukar persepsi rutin dari sudut pandang sisi yang sangat berbeza.
Insya Allah.
October 16, 2012
Nikmat
Nikmat ini bersifat relatif.
Nikmat bermukim di Madinah sangat berbeza dengan nikmat pertama kali berada di sini.
Ketika mula-mula bekerja, saya menaiki bas 222 dari Shah Alam ke Asia Jaya (nama ini sudah hilang). Kemudian saya mengambil teksi ke Jalan Othman. Saya tidak bermasalah.
Kemudian bos saya – Encik Kamal – sering mengambil saya di rumah membawa terus ke pejabat. Honda Accordnya sangat selesa. Nikmat naik bas dan teksi menurun dengan laju sekali.
Kemudian, saya memiliki Nissan March. Saya rasa seronok sangat. Itulah nikmat mempunyai kereta pertama. Walaupun second hand ia bernilai buat saya. Saya selesa.
Begitulah kehidupan.
Analogi ini berterusan dalam amal-ibadat. Seseorang yang merasai nikmat berpuasa para nabi dan anbiya tentu sekali berasa gusar jika puasanya hanya menahan diri dari lapar dan dahaga.
Namun jika ia tidak pernah merasai tahap tertinggi dalam amalan berpuasa maka ia tidak apa-apa. Tiada masalah.
Mereka yang bersolat dengan tertib akan berasa tidak seronok bila bersolat laju-laju. Nikmatnya berbeza.

OK.... Alhamdulillah
Malam tadi kami sekeluarga makan malam di sebuah restoran masakan China. Tentulah di Madinah, Arab Saudi. Ia kelihatan menarik dan lazat.
OK…. Alhamdulillah kerana diberi rezeki menikmati makan malam di sini. Namun jika ditanya, “bagaimana rasanya?” maka saya akan menyatakan, “saya pernah merasai masakan seumpama ini yang lebih lazat di Malaysia”.
Malah saya nyatakan kepada Roza, “masakan China awak jauh lebih sedap dan menarik”.
Implikasinya, saya akan berfikir dua kali untuk kembali ke restoran ini. Namun rasa yang sama mungkin terbaik buat mereka yang lain. Misalnya, saya melihat restoran ini dipenuhi oleh ramai orang Saudi. Maksudnya, mereka menikmati masakan ini sepenuhnya.
Akhirnya, sesuatu yang saya pelajari, bersyukurlah dengan apa yang ada di tangan sehingga kita memperolehi sesuatu yang lebih baik di sisi Allah. Maka nikmat itulah yang sukar dicari!
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
