Kami di Cairo

Makan masakan Mesir di Cairo

Terung dan lada
Alhamdulillah, kami memijakkan kaki di Kaherah. Sudah dua malam di sini.
Kami menginap di hotel Hilton di Pusat Dagangan berhampiran dengan sungai Nil. Kegembiraan dan kesyukuran pertama kerana pihak hotel telah menaik taraf bilik kepada tahap yang lebih tinggi.
Kedua, saya melihat mereka sangat-sangat menghormati kami sekeluarga. Saya fikir mereka ingat saya Tok Syeikh kerana sayalah satu-satunya yang ganjil….. memakai jubah!
Hampir semua rakyat Mesir berkot atau berkemeja.
Tidak. Tidak begitu.
Saya tidak menyedari kereta yang membawa, mengambil dan menguruskan perjalanan kami sepanjang berada di Cairo menggunakan plet berwarna hijau.
Kami boleh memasuki banyak kawasan yang terhad. Ya Allah, ia kereta yang didaftarkan dengan kedutaan Malaysia. Patutlah!
Kami sudah melawat masjid pertama yang didirikan di Mesir, masjid Imam Shafie dan meninjau piramid yang terletak kira-kira 40 minit perjalanan dari tempat penginapan.
Banyak perkara yang kami pelajari. InsyaAllah akan saya menulis semula dengan persepektif berbeza bila berkelapangan.
Di Giza melihat tiga piramid terbesar
Surah Yunus, ayat 92 ada dinyatakan secara jelas,
Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil iktibar) dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!
Melihat piramid dan berkunjung ke Muzium Mesir menyaksikan kegilaan manusia. Kehebatan manusia tidak ke mana jua. Akhirnya, kesemuanya tidak bernyawa dan menunggu hari untuk dihisab. Begitu jugalah Firaun.
Firaun hebat pada zamannya. Melihat beliau dalam konteks zaman ini juga menggambarkan betapa gahnya mereka. Kubur, perhiasan dan pelbagai kelengkapan seolah-olah melalui zaman. Namun ia tetap berakhir.
Sesekali terfikir, tidak wujudkah Firaun zaman moden?
Pandangan Pembaca
Buku Anekdot Madinah: Benar Allah Maha Mendengar sudah menerima pandangan pembaca, Norazma, Azlina dan Nik NurFariha.
Meskipun ada beberapa nama yang telah memberi tawaran untuk membaca manuskrip ini, saya memilih ketiga-tiganya dengan sebab.
Pertama, Norazma – lulusan UIA dan UM – juga merupakan pensyarah USIM yang sedang menuntut di Sudan di peringkat PhD. Beliau adalah ilmuan muda agama. Malah saya pengikut setia blog beliau.
Saya berharap beliau melihat aspek-aspek yang mungkin bercanggah dengan akidah dan juga pandangan sebagai seorang pembaca.
Kedua, Azlina – adik kandung saya yang lebih dikenali sebagai Adik Na melalui Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman. Beliaulah yang berada di sisi (selain Kak Mie dan Roza) yang mampu menterjemahkan apa yang telah saya lalui dan melihat catatan terbaru melalui buku yang bakal diterbitkan.
Apakah intipati yang mahu saya lihat melalui pandangan beliau?
Saya gembira melihat beliau mencungkil apa yang tersirat. Namun beliau adalah adik saya. Jika adik sendiri – atas beberapa aturannya – tidak mampu memahami apa yang saya tulis maka bolehkah saya mengharap pembaca lain mengerti.
Ketiga, Nik NurFariha, insan yang saya tidak kenali. Tinggi, rendah, putih atau coklat, langsung tidak tergambar dek saya. Bila beliau tahu yang saya ingin ke Cairo maka beliau membuat jemputan untuk memberi ceramah kepada para pelajar perubatan di tempat beliau tinggal.
Saya menolak tetapi menawarkan untuk membaca manuskrip mewakili golongan muda dan bukan berlatarbelakangkan agama.
Saya terkejut melihat Nik mampu menulis dengan baik. Ketika memohon beliau untuk membaca dan mengulas, saya sudah bersedia untuk membuat editing berdasarkan bahasa dan pilihan ayat. Namun ia tidak jadi begitu. Ia sangat minimum.
Habis, pendapat ini bertujuan memberi gambaran kepada bakal khalayak pembeli dan supaya boleh menggalakkan mereka untuk membeli buku tersebut.
Dan pandangan ini juga akan disiarkan melalui buku yang bakal diterbitkan.
Hari ini baru terbaca e-mel (nota: namanya saya tidak ketahui) yang berbunyi:
Dan lagi, kebelakangan ini pula Prof post comments from your readers to your new book yang memuji tulisan Prof. I think that is a bit too much. I used to cry when I read what you wrote. Sekarang saya membaca dengan sinis; siapa pulak yang nak puji prof hari ini? I wonder what went wrong?
Saya terfikir, apa yang perlu saya lakukan? Adakah Norazma, Azlina atau Nik memuji saya? Saya harap tidak. Saya berdoa mereka menceritakan pandangan benar tentang isi kandungan buku tersebut.
Tiada apa yang dapat saya suakan kepada mereka sebagai ganjaran memuji.
Nanti, saya sedang menunggu KATA PENGANTAR daripada Dr Jeniri Amir, seorang penulis, pensyarah dan penganalisa politik dari UNIMAS. Beliau mengambil masa – hampir dua minggu – untuk menulisnya kerana mahu mengamati buku tersebut dengan teliti walaupun beliau biasa menulis senaskah buku dalam tempoh yang sama.
Kesemuanya tidak berupah.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
