Mahu lama
Ada sekitar 11000 pelajar Malaysia yang berdaftar di Mesir. Agaknya – berdasarkan perbualan ringkas – jumlah sebenar lebih ramai lagi.
Saya bertemu seorang pelajar di Masjid Azhar.
“Berapa lama di sini?,” tangan beliau memegang kitab yang kelihatan lusuh.
“6 tahun”
“Bila habis belajar?”
Beliau tersenyum. “Saya mahu lama di sini,” sambil terus bercerita konsep menuntut ilmu di Mesir.
Lulus exam satu hal yang berbeza berbanding meneroka ilmu. Ilmu perlu dicari. Ia ada di sekitar masjid, madrasah dan rumah Syeikh-Syeikh.
Ketika berkunjung ke rumah Sheikh Ashraf, imam dan tenaga pengajar Azhar (Quran), kelihatan dua anak muridnya sampai. Mereka dari Thailand dan Indonesia.
“Itu murid kanan Sheikh,” Fadzil – anak muda yang membawa kami sekeluarga di sini – memaklumkan kepada saya. “Umur dia baru 25 tahun. Sebut sahaja ayat quran – InsyaAllah – beliau boleh sambung. Malah boleh baca quran dari bawa ke atas”.
Belajar di sini bergantung kepada kehendak individu. Mereka perlu disiplin tinggi. Siapa mahu hadir kuliah, dipersilakan. Jika tidak, tiada daftar kehadiran.
Segala-galanya bergantung kepada jawapan di kertas peperiksaan akhir.
Namun cabaran di Kaherah sangat hebat. Penduduknya seramai rakyat Malaysia. Mereka tidak kaya. Suasananya pantas. Jalanraya sesak. Sampah-sarap bersepah. Lalu ia mempengaruhi jalan kehidupan.
Alhamdulillah, kami berada di sini mengembara menyaksikan kebesaran Allah SWT.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
