KT 1

Ia suatu nikmat yang tidak tertulis atau dapat diceritakan, InsyaAllah


Ia akan berlepas pada 17 September 2012.


Itulah khabar yang saya dengar. Alhamdulillah, bermulalah musim haji untuk tahun ini. Perjalanan menunaikan fardhu haji tidak akan sama dengan mana-mana perjalanan ke Luar Negera.


Ia sangat-sangat bersifat holistik.


Perjalanan ini merupakan pemulaan kepada perjalanan yang lebih panjang. Namun ada yang terhenti sejurus sahaja melangkah masuk ke pesawat di Jeddah atau Madinah.


Atau mungkin ia terhenti sejurus sahaja selesai menunaikan rukun dan wajib haji.


Saya fikir – pada saat ini – jemaah KT 1 sudah jelas dengan asas-asas menunaikan fardhu haji. Mungkin juga sudah bersedia dengan apa yang ingin mereka bawa (serunding, sambal ikan bilis atau tempe goreng rangup) sepanjang puluhan hari berada di Mekah dan Madinah.


Lumrah, persiapan untuk pergi dan berada di kedua Tanah Haram menjadi keutamaan.


Setahun yang lepas, setiap kali berjumpa dengan jemaah, saya sering bertanya – “Apakah lima perkara yang bersungguh mahu kita laksanakan setelah pulang dari menunaikan fardhu haji?”


Konsepnya sangat mudah. Setiap jemaah mahukan haji mabrur. Haji mabrur tiada balasan kecuali syurga. Maksudnya – mengikut aturan – haji mabrur bukanlah ukurannya berdasarkan apa yang telah kita laksanakan semasa musim haji tetapi melangkaui seluruh usia kita.


Bahasa ringkas, ia hanya bermula sejurus meninggalkan Jeddah ataupun Madinah.


Natijahnya, sepanjang berada di sini, istiqamahlah dengan apa yang ingin dibawa pulang.


Pertama, jika bercita-cita mahu solat berjemaah di masjid, usahlah di sini menjadi culas dan cepat tewas dengan cuaca, jarak atau pengaruh rakan sebilik.


Kedua, jika pulang nanti mahu kekal bangun malam, maka di sinilah latihan yang perlu disemai biar nikmat bangun malam itu meresap ke seluruh jiwa dan perasaan.


Jangan lupa, waktu Mekah dan Madinah lewat 5 jam daripada waktu Malaysia. 2 pagi di sini bersamaan jam 7 pagi di Malaysia. Usah besarkan tidur!


Ketiga, jika mahu memahami al-Quran, tanamkan niat untuk membacanya dan membaca terjemahan al-Quran. InsyaAllah, al-Quran akan menjadi teman kita sepanjang hayat.


Keempat, belajarlah puasa sunat terutamanya puasa hari Isnin dan Khamis kalaulah puasa nabi Daud itu terlalu sukar. InsyaAllah, Allah akan berikan rasa nikmat sebenar-benar berpuasa.


Lalu bila pulang ke Malaysia – InsyaAllah – kita tidak akan memilih berbuka puasa di rumah dengan meninggalkan solat Maghrib berjemaah di masjid.


Allah… Allah… Allah… biar kita menjadi golongan yang sedikit daripada jemaah yang berjuta.


Kelima, bersihkan hati sanubari. Sesungguhnya tiada sekutu bagi Allah, tiada sekutu bagi Allah. Lakukan segala-galanya kernaNya. Banyakkan berdoa, bertaubat dan meminta kepadaNya. Dan rutin inilah yang mahu dibawa pulang diamalkan sepanjang hayat.


Maafkan saya menulis pandangan yang menjadi keinginan sendiri. Jika baik, jadikan panduan. Semoga Allah merahmati dan memberkati hidup jemaah yang bakal tiba.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 30, 2012 09:05
No comments have been added yet.


Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.