Buku untuk KRTS
Aneh!
Itulah satu perkataan besar yang mampu saya tulis apabila bercerita tentang Anekdot: Madinah – Benar, Allah Maha Mendengar. Namun jika bertenang sejenak, aneh itu tentulah ketentuan Allah. Itulah ketetapan yang telah dijanjikan olehNya. Tiada keanehan jika segalanya dikaitkan dengan kebesaran dan kekuasaan Allah SWT. Lalu rasa aneh itu jika disambut dengan rasa syukur yang menusuk hati, pastinya menjadi amal ibadat yang membawa kita ke alam yang kekal abadi.
Madinah tanpa jemaah haji dan umrah sunyi sepi. Ia dirujuk kepada suasana di Masjid Nabawi. Ada dua ketika yang ketara. Pertama, bulan Syawal ketika menunggu ketibaan jemaah haji. Kedua, selepas jemaah haji terakhir pulang dan ketika visa umrah belum dikeluarkan.
Ia dua suasana yang diraikan oleh mereka yang bermukim di sini. Sekurang-kurangnya kami – saya dan isteri – merasai begitu. Kenapa? Kawasan parking berbumbung yang sedia dilanggan hampir tiada penghuni. Jalannya tidak tersangkut walaupun azan sedang berkumandang.
Tandas dan tempat berwudhu ada ketikanya tiada pengguna. Langsung tidak perlu berbaris. Tandas boleh dipilih samada mahu yang duduk atau pun bercangkung. Jika nampak satu tandasnya tidak cukup bersih beralihlah ke tandas yang lain. Agak saya, ia pilihan yang sangat mewah!
Raudhah – taman syurga dunia – kebiasaannya sentiasa menjadi tumpuan jemaah mempunyai ruang kosong. Penghuninya sangat baik hati. Diam. Tenang dan bersopan santun. Tiada kepala yang mahu dilangkah. Bergilir memberi ruang yang lebih mustajab dengan senyum manis. Hilang rasa tamak haloba.
Bagi wanita, banyak ruang baru yang dapat dilihat – misalnya – Pelantar Fatimah. Tiada hiruk-pikuk, tolak-menolak dan boleh pula mengelilingi 3/4 ruang makam Baginda SAW dan dua sahabat, Abu Bakar As-Siddiq dan Omar Al-Khatab. Ia rasa kusyuk ketika solat dan berdoa yang sukar dicapai pada hari-hari biasa.
Malah kawalan keselamatan juga sangat longgar. Tiada juga gesaan petugas yang meninggikan suara, “cepat ibu, cepat ibu, cepat ibu!”. Pada saat inilah mereka dapat bertenang-tenang di Raudhah sambil membaca al-Quran dengan anak kecil di sisi. Ia memberi kepuasan yang tidak terhingga terutamanya bagi kaum ibu (wanita) yang sentiasa penuh emosi.
“Yang, jom kita ke Raudhah,” ia ajakan semudah itu.
Lalu pagi itu – di sekitar jam 7.30 pagi – saya melangkah ke Raudhah untuk mengadap dan menyembah Allah melalui solat sunat, berdoa dan berzikir. Ia suasana ketika masjid Nabawi kelihatan aneh sekali. Lengang dan sepi. Salah satu permohonan yang sering saya ucapkan – ia tidak terkecuali pada hari ini – adalah seperti berikut:
“Ya Allah, Kau permudahkanlah penulisan-penulisan kami. Pinjamkanlah ilmu Mu untuk kami persembahkan kepada khalayak pembaca. Berikanlah kami ilham ya Allah. Ya Allah, kami mohon pada Mu, jadikanlah ia sebagai ilmu yang bermanfaat. Jadikanlah ia sebagai penyebab untuk khalayak pembaca lebih hampir kepada Mu ya Allah”
Aneh. Perasaan saya sangat aneh sekali.
Saya merenung Raudhah. Lalu berjalan melintasi kawasan makam Baginda SAW, terkedu dan sebak melihat hanya beberapa orang yang berada di situ. Kemudian, saya menyandar pada salah satu tiang mengadap tempat solat Imam. Saf pertama tiada penghuni. Ia luar biasa berbanding ketika ada jemaah haji dan umrah. Malah ia terlalu padat ketika bulan Ramadhan terutamanya pada 10 malam terakhir. Hampir setiap ketika begitu.
Allah…. Allah… Allah… saya berada di sini ketika suasananya sangat aneh. Terasa ia suatu anugerah yang tidak ternilai. Saya terbayang rakan-rakan di Malaysia terpaksa membayar ribuan ringgit untuk hadir di sini sedangkan saya dan keluarga pula dibayar untuk menikmati suasana yang jauh lebih aman dan damai.
MasyaAllah, Subhnallah, Allahu Akbar.
Namun saya cepat sedar. Ketika saya sentiasa berdoa mahu bangkit bersama Baginda SAW, hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui bila dan di mana saya bakal dipanggil pulang. Ditakdirkan saya terpaksa meninggalkan Madinah tanpa bersemadi di Baqi, sudah pasti saya akan merindui setiap detik yang terhidang di hadapan mata.
Allah… Allah… Allah… kami telah menyaksikan ratusan jemaah haji dan umrah yang berkunjung ke rumah kami di Jabal Uhud menyatakan rasa rindu Madinah sejurus sahaja mendarat pulang. Malah ramai yang menitiskan airmata menceritakan kerinduan mereka apabila bertemu usai majlis ilmu atau kuliah yang disampaikan oleh kami ketika pulang bercuti ke Malaysia.
Saya terfikir, jika mereka yang datang dua minggu berumrah dan sebulan lebih menunaikan rukun Islam kelima boleh merindui pengalaman berada di sini, bagaimana pula dengan kami yang menghabiskan sebahagian besar waktu harian di Masjid Nabawi ini?
Aneh. Benar ia aneh sekali. Hati saya terus terfikir untuk merakamkan kisah-kisah ringkas benar bersekali dengan sedikit tazkirah ilmu berserta dengan rakaman pelbagai gambar yang sepatutnya menjadi kenangan pengubat rindu jika kami meninggalkan Madinah. Jika ia dilihat sebagai ilham Alah, maka saya pohon kepadaNya agar ia ilham benar yang boleh menjadi ilmu yang bermanfaat.
Aneh.
Saya tidak lagi bertangguh. Saya tinggalkan manuskrip lain yang sedang ditulis. Hati rasa teruja untuk memula dan menyudahkan Anekdot: Madinah – Benar, Allah Maha Mendengar. Lalu saya melihat simpanan foto Madinah yang melebihi 1000 petikan di dalam dan luar Masjid Nabawi serta di kawasan sekitar.
Namun ia terakam bukan dengan kamera canggih dan bukan pula dengan niat untuk penerbitan buku. Juga, walaupun tidak pernah dihalang untuk merakamkan suasana dan peristiwa di dalam masjid, saya sangat berhati-hati agar tidak mengganggu jemaah yang sedang beramal ibadat terutamanya hak peribadi mereka. Maka tentu sekali foto-foto yang dirakam bukan dalam posisi dan keadaan terbaik.
Juga, saya bukan jurukamera profesional. Langsung tiada kreativiti dan nilai artistik. Saya hanya bersandarkan kepada kamera handphone jenama Samsung Galaxy II, 8.0 megapixels. Mungkin benar pepatah Melayu yang menyebut, tiada rotan, akar pun berguna. Lalu – saya fikir – biarlah gambar-gambar ini hanya menjadi penyeri dan watak tambahan kepada anekdot atau tazkirah yang mahu saya catatkan.
Namun saya berdoa mudah-mudahan ia menjadi ilmu yang bermanfaat, sesekali boleh menjadi pengubat rindu kepada mereka yang pernah mengunjungi Madinah dan “sedikit-sedikit” boleh menjadi panduan kepada mereka yang sedang bersiap-siap untuk hadir ke sini.
Entah, saya tidak tahu samada ia perlu dibaca secara bersungguh atau pun secara santai. Niat saya mudah. Di sebelah mana buku ini dilihat, anggaplah ia sebagai tambahan ilmu yang boleh membantu perasaan sebelum, ketika dan sesudah berada di Madinah. Ia mungkin kecil tetapi biarlah signifikan.
Benar, kami sering menyebut,
“Jika rindukan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, ia hanya ada di Mekah dan Madinah. Kumpullah wang, insyaAllah Mekah dan Madinah boleh dihampiri. Jika rindukan Allah, kunjungilah rumahNya, ia ada di mana-mana. Lalu lakukan apa sahaja semata-mata keranaNya, laksanakan segala perintah serta meninggalkan laranganNya.
Jika rindukan Baginda SAW, ikutlah sunnahnya. Lakukan solat berjemaah, bangun malam, puasa sunat dan perbanyakkan selawat dengan penuh rasa kasih sayang. InsyaAllah, terubat segala rindu”
Lalu saya hulurkan Anekdot: Madinah – Benar, Allah Maha Mendengar khas buat warga blog Kehidupan Ringkas tapi Signifikan (KRTS) dan rakan serta pelanggan kemaskini Facebook yang berjumlah hampir 30000. Mudah-mudahan hubungan terjalin akan terus berkekalan sehingga ke Jannah.
InsyaAllah, kita ke sana – biarlah – tanpa dihisab. Itulah doa yang sering saya panjatkan ketika berada di Raudhah ataupun di kala bersunyi-sunyian menginsafi dan mensyukuri atas segala nikmat yang dianugerahNya. Tataplah dengan hati dan minda terbuka.
Kami mohon keampunan Mu ya Allah.
MUHD KAMIL IBRAHIM
Profesor Perakaunan
Universiti Taibah
Madinah Al-Munawwarah
www.muhdkamil.org
mki@muhdkamil.org
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
