Pembaca Manuskrip

NOOR AZMA MOHD KHASSIM

Universiti Al Quran Al Karim wa Al Ulum Al Islamiyyah

Sudan


Anekdot Madinah: Benar, DIA Maha Mendengar adalah cetusan hati tawadhuk Prof MKI. Ia tanaman – InsyaAllah – bakal dituai hasilnya di akhirat nanti. Karya ini membuatkan saya melihat usia manusia yang sedikit tetapi diguna sepenuhnya bagi mendapat keuntungan berlipat ganda pada hari pertimbangan. Ia bakal memberatkan timbangan.


Sekurang-kurang Prof MKI sudah melabur pada tiga perkara yang dijanjikan; ilmu bermanfaat melalui kata-kata kepada jemaah haji dan umrah, ilmu yang disampai di universiti, dan ilmu yang dibukukan. Kedua, membekalkan anak-anak agar menjadikan anak soleh dan solehah supaya nanti mendoakan ibubapanya. Ketiga, sedekah dan amal jariah melalui wakaf masjid, saprah berbuka puasa serta madrasah yang bakal didirikan di Somalia nanti, InsyaAllah. Ia tersurat namun tersirat tidak mampu saya selak sepenuhnya.


Ia ibarat perniagaan yang tidak pernah rugi. Semua insan pasti dipanggil Allah. Namun saya berdoa agar usia Prof MKI dan keluarga akan terus kekal – InsyaAllah – kerana amalan dan kebaikan tidak putus-putus semasa di dunia. Ia tindakan cerdik dan bijaksana. Prinsip yang dipegang oleh Prof MKI untuk mewakafkan dirinya selari dengan tugas para anbiya’. Mereka hanya mengharapkan anugerah Allah seperti surah Hud ayat 29 yang bermaksud, “dan (ketahuilah) wahai kaumku! Aku tidak meminta kepada kamu sebarang harta benda sebagai upah menyampaikan agama Allah itu, tiadalah aku harapkan upahku melainkan dari Allah semata-mata………”.


Mereka yang mewakafkan diri untuk khidmat iman hanya menjalankan tugas menyampaikannya tanpa masuk campur di dalam urusan Allah termasuk samada khalayak memahami, menghayati atau tidak. Namun para ulama ada mencatatkan, “kata-kata dari lidah hanya singgah sekejap di telinga, kata-kata yang datang dari hati akan masuk ke hati dan kata-kata dari ruh akan masuk ke dalam ruh”. Mudah-mudahan Prof. MKI tergolong di kalangan istimewa ini.


Anekdot Madinah bukan setakat menambah kerinduan kepada Madinah Munawwarah malah sekaligus menambah cinta kepada Baginda Nabi Muhammad sallallahu ‘alihi wasallam. Pelbagai usaha melaksanakan saranan Allah SWT berpandu al-Quran dan Hadith dapat dikutip melalui buku ini.


Di tangan Prof MKI, amalan seperti berlaku benar, bersyukur, berdoa dan tawakkal, bersabar, berpuasa sunat dan solat berjemaah, menghidupkan malam, bersedekah dan menjamu makan, saling membantu, bersangka baik, melayani dan menghargai tetamu, mengingati kematian, bertasbih dan memuji Allah kelihatan tidak terlalu sukar untuk dilaksanakan. Hakikatnya, buku ini – tersirat dan tersurat – mengajak mengikuti satu-satunya jalan kebahagiaan iaitu jalan sunnah Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam.


Bukankah hanya dengan cara ini manusia akan mendapat cinta Allah yang hakiki serta keampunanNya seperti firman Allah melalui surah Ali ‘Imran ayat 31 yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.


Saya bermukim di Sudan. Umumnya, sangat benar orang Sudan hatinya lembut dan baik. Orang seperti Ayub – berkulit hitam tetapi putih hatinya – sering kami temui di sini. Allahu Akbar. Bila dikaitkan kisah Ayub, kerisauan Prof MKI terhadap pelbagai isu di Madinah lalu mengadulah mereka kepadaNya menyebabkan hati saya benar-benar terkesan. Misalnya, soal persekolahan anak-anak amat menyentuh naluri keibuan saya. Subhanallah, mudah-mudahan anak-anak ini dimudahkan mengingati al-Quran dan menguasai bahasa Arab serta menguasai ilmu yang lain.


Prof MKI menghayati secara jelas konsep tafakkur dengan membaca segala kejadian dan taqdir kehidupan lalu dipalingkan kepada Allah yang Maha Esa sehingga hati semakin sedar tentang keesaanNya. Itulah jalan menjadi Ulil Albab seperti di dalam surah Ali Imran ayat 190 dan 191 yang bermaksud,


Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.


(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.


Buku ini menampar saya!


Namun pedihnya tidak menyebabkan saya menjeling Prof MKI dan meninggalkan beliau pergi. Ia sangat sesuai untuk diri saya yang sangat lalai. Anekdot Madinah – Benar, DIA Maha Mendengar memberi inspirasi menjadi mukmin bertaqwa. Semoga ia antara penyebab Prof MKI dan keluarga dirahmati, dikasihani dan dikasihi Allah untuk memasuki syurga tanpa hisab, InsyaAllah.


Amin.


NotaMKI: Blog Noor Azma boleh dilayari di SINI.

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 11, 2012 13:01
No comments have been added yet.


Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.