Mukhriz
Saya pernah berdosa dengan beliau.
Ia kisah 30 tahun yang lampau. Semalam saya berpeluang memohon maaf secara terbuka dan mudah-mudahan beliau menerimanya.
Kenapa?
Kami seMRSM. Beliau junior setahun. Sebagai anak Timbalan Perdana Menteri, hampir setiap minggu – perasan saya – beliau menerima hamper daripada kenalan ayah beliau.
Saya budak kampung. Tidak pernah menjamah cornflakes. Apatah lagi untuk merasa coklat yang sedap-sedap. Tambah-tambah lagi makanan ringan yang kelihatan berbeza dengan yang biasa-biasa kami beli di kedai.
Sesekali kami mengambil makanan tersebut tanpa izin. Kalau istilah biasa "mencuri". Kalau istilah budak yang hanya mahu merasai sesuatu yang baru, kita panggil "mencuba".
"Datuk, saya mohon maaf di atas apa yang telah saya dan kawan-kawan lakukan," serius saya ucapkan. Hampir sedewan ketawa berdekah-dekah. Alahai… saya tahu masing-masing juga mempunyai pelbagai kisah lampau yang boleh menyebabkan setiap orang menjadi muda kembali.
Benar, saya serius memohon maaf.
Semalam saya meyampaikan tazkirah kepada sekumpulan "budak-budak pandai". Akhirnya, saya sampaikan hadiah buku Travelog Haji kepada Datuk Mukhriz, presiden kepada kumpulan ini. Apa katanya?
"Saya sudah ada buku ini".
Oppps!
Masjid Wilayah Persekutuan
Besarnya!
Itulah reaksi pertama saya melihat masjid yang luas tanpa tiang. Jemaahnya pula nyata ramai berbanding dengan lokasinya. Bertambahlah satu lagi masjid yang pernah saya kunjungi.
Ia masjid yang aman.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
