Kata Pengantar oleh Prof Hatta Azad Khan

Travelog Kehidupan Abadi

KEDEWASAAN




Kehidupan ini adalah suatu perjalanan. Dalam perjalanan kita mengutip pengalaman. Pengalaman itu jika dikongsi bersama akan menjadi panduan hidup yang sangat berguna. Kita melihat manusia dengan berbagai ragam dan gaya, menunjukkan sikap dan tindakan dalam menjalankan tugas, peranan dan tanggung-jawab yang diamanahkan.


Kita akan bertemu keberkatan serta juga kemungkaran yang diselindungi dalam peristiwa suka-duka, pahit manis dan hilai ketawa. Manusia yang peka terhadap persekitaran yang ditempuhinya akan menjadi seorang pemerhati yang tajam. Pemerhatian itu jika dapat dirakam akan menjadi sangat berguna kepada orang lain yang mungkin pernah melalui liku kehidupan yang sama tetapi tidak pernah pula merakamnya dalam ingatan.


Roza mempunyai pengalaman yang panjang dan pemerhatian yang tajam. Pengalaman itulah yang mahu dikongsinya bersama pembaca. Dia adalah pemerhati kepada berbagai budaya kehidupan yang berbeza dari berbagai bangsa dan sempadan negara. Di samping belajar, mendidik dan menganalisis diri sendiri, segala pengalaman itu dirakam untuk suatu perkongsian yang ikhlas dan murni.


Tanpa sebarang rasa terpinggir, Roza menggelar dirinya budak perempuan kampung – Kampung Paya Jakas dan sangat teruja dengan sekeping poskad kota London. Anak Melayu mana yang tidak mahu menaiki pesawat terbang jauh ke luar negara? Itu idaman, itu cita-cita, itu mimpi semua anak kampung yang bersemangat dan bercita-cita besar.


Itulah Roza – anak kampung yang melengkapi dirinya dengan ilmu dan melangkah berani mendepani dunia baru yang sentiasa menduga dan mencabar. Sesekali sebagai manusia biasa dia turut dihanyut dan dibuai angan-angan dengan segala sifat dan keinginan duniawinya. Siapa yang tidak teruja memiliki set silverware Queen Anne, pinggan mangkuk Royal Doultan, kasut dan beg tangan Bally atau Clarks? Itu idaman semua manusia tambah lagi bila harganya turun sehingga 70%!


Roza tidak terkecuali.


Buku ini memulakan bicara dengan bab yang diberi tajuk 'Mulut Berasap' – suatu fenomena yang berlaku bila manusia bernafas dalam cuaca sejuk. Ia bermula dengan Dundee di Scotland, kemudian kembali ke Kuching, Sarawak dan kembali semula ke Wales, United Kingdom. Tiga kali penulis mengikut suami belajar, bertugas dan belajar semula di luar negara dan di luar Semenanjung Malaysia.


Setiap kali berada di luar negara Roza dan suami memilih untuk tinggal berjiran dengan masyarakat tempatan dan sentiasa mencari peluang untuk mengenali hatibudi mereka. Roza berpegang pada prinsip – kita baik, orang lagi baik, kita berkira orang lagi bakhil dan kita sombong orang lagi sombong!


Mereka sentiasa bersedia menghadapi apa saja pengalaman baru dengan sifat dan pemikiran yang terbuka. Roza berpegang pada pepatah Melayu, "Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak" dan amarannya, jangan masuk kandang harimau atau singa…."Nanti kita dingapnya!!" seperti kata Aziz Sattar dalam siri filem Bujang Lapok (P. Ramlee).


Roza dan keluarga sering berpindah kandang dan kadang-kadang tinggal menumpang di kandang orang. Tapi sikap ikhlas dan keterbukaannya tidak mendatangkan masaalah. Mereka sanggup belajar menyesuaikan diri hingga belajar dialek daerah sewaktu di Kuching, di Scotland dan Wales. Manusia itu di mana-mana pun sama sahaja, baik di Scotland atau Sarawak.


Mereka boleh menerima kehadiran kita asal saja kita bersedia merubah diri dan menyesuaikan keadaan dengan budaya hidup mereka. Suami Roza misalnya di panggil Pok oleh orang Sarawak. Panggilan itu suatu petanda keakraban dan setiakawan yang sangat ikhlas dan mesra. Namun pengalaman yang dilalui tidak selamanya manis dan indah.


Kita sentiasa menyangka atau menggambarkan bahawa keadaan di luar negara itu semuanya teratur dan mewah. Tapi rupanya kecelakaan dan penderitaan sama sahaja, baik di Scotland, di Wales atau pun di Kuching. Dalam mendaki tangga kejayaan dan kemewahan akan sentiasa ada manusia-manusia yang jatuh tertiarap dan perlu menjalani kehidupan seadanya.


Katie yang ditemui dan menjadi rapat sewaktu di Dundee, Scotland adalah golongan tidak berpendidikan tinggi dan bekerja sebagai pencuci tandas. Pakcik Bebait di Kuching yang juga tidak sekolah tinggi, hanya membawa bot penambang merentasi sungai Sarawak. Mereka sama-sama menghadapi masaalah dalam rumah tangga yang berpunca dari sikap yang tidak saling memahami.


Katie dan isteri Pakcik Bebait sama-sama menjadi wanita yang mencurigai titik-peluh suami yang mencari nafkah hidup. Akhirnya mereka sama-sama menanggung beban penyesalan. Roza turut menyelitkan kelucuan yang pahit dari watak-watak yang ditemuinya supaya ia memberi kesan dan pengajaran kepada pembaca.


Ramona dan isteri Pakcik Bebait dengan mudah menipu suami untuk mencari nikmat dunia mereka sendiri. Ramona menipu majikan untuk mengambil cuti hujung minggu kononnya untuk bersama suami dan anak-anak, tetapi si suami memarahi pejabat kerana sering menghantar isterinya berkursus pada hunjung minggu.


Isteri Pakcik Bebait sentiasa menunggu dan mengira pendapatan suaminya dan mengamuk bila suaminya ditegur perempuan muda. Tapi akhirnya…."Lapan orang anak yang dilahirnya mempunyai rupa paras dan warna kulit yang berbeza-beza (????)!". Pun begitu ia masih diterima suaminya.


Di Wales kita dipertemukan dengan Si Norman yang mencari orang Melayu kerana isteri Melayunya yang berasal dari Kelantan amat kesunyian. Kita juga bertemu Jasmin yang juga bersuamikan lelaki kulit putih tetapi mengaku sudah mula lupa bacaan dalam sembahyang. Kemudian kita jumpa kak Anna yang bercerai tetapi mengahwinkan anak lelakinya di gereja.


Cinta itu buta! Mereka mengikut suami tetapi akhirnya merindui segala-galanya tentang tanah air tercinta. Kesemuanya mereka memulakan perkongsian hidup dengan satu perkataan – 'cinta'. Perkataan yang sangat indah tapi rupanya tak 'bermata'. Sewaktu bercinta banyak pertimbangan yang hilang.


Emosi mengatasi akal fikiran dan perhitungan. Masa depan dilihat semuanya indah dan gemilang. Soal perbezaan bangsa, persekitaran yang janggal dan luarbiasa, batas agama dan sempadan budaya tidak pernah diperhitung dengan teliti. Akhirnya jadilah mereka manusia-manusia yang terperangkap dan sering menyesali diri dalam situasi yang sudah sangat terlambat!


Roza juga merasakan dirinya turut terhimpit dalam keadaan yang hampir sama. Dia turut terperangkap dalam dunia kerjaya dan sentiasa harus memilih antara menjadi suri-rumah sepenuh masa membesarkan anak-anak dan menjaga makan-pakai suami atau kenaikan pangkat dan gaji lumayan.


Dua kali dia berhenti kerja kerana mengikut suami berangkat ke luar negara menyambung pengajian dan waktu mahu pulang ke tanah air setelah suami mendapat gelar doktor (PhD). Dia pernah mencapai status orang korporat yang berjaya dan mengetuai sebuah cawangan di peringkat negeri, pernah juga menjadi jurujual dan kemudian eksekutif di bahagian khidmat pelanggan sewaktu di luar negara.


Kita dapat merasakan sedu-sedan seorang isteri yang sentiasa berkejaran ke tempat kerja, menghadiri kuliah separuh masa, mengambil anak-anak dari sekolah, bergegas pulang untuk menyediakan makan malam di rumah. Pengalaman Roza memberikan pembaca banyak peringatan tentang betapa sukarnya mengimbangi antara kerjaya dan keluarga.


Roza juga menggambarkan dengan jujur tentang hubungan keluarga, antara suami isteri dan anak-anak, menyampaikan perasaan hati seorang isteri bila terpaksa berdepan dengan keadaan dan waktu yang merubah kasih sayang dan pemerhatian. Bagaimana tersentuhnya perasaan bila suami hanya menumpukan masa pada kuliah dan padang golf.


Bagaimana seorang isteri yang menangis dalam diam atau melinangkan airmata sendirian bila ditinggalkan suami pada saat-saat yang paling diperlukan. Menjadi isteri seorang calon tajaan pengajian peringkat Phd di luar negara bukanlah suatu dunia yang mewah, tambah lagi apabila seluruh dunia menghadapi kegawatan ekonomi.


Badan korporat antarabangsa turut membuang pekerja. Ramai rakan-rakan yang hilang pekerjaan. Pelajar tajaan juga terpaksa berjimat, bahkan sampai terpaksa mengikat perut Pengalaman Roza memberikan indeks pembelian sabun dan beras: beli sabun paling murah asalkan berbuih, gantikan beras dengan kentang – sepuluh kilo beras 20 pound sterling tetapi sepuluh kilo kentang cuma 2 pound.


Selain itu suami juga terpaksa turut bekerja di restoran, mengupas bawang atau mencuci pinggan di ceruk dapur. Jadinya kehidupan di luar negara itu tidaklah semuanya indah, mudah dan mewah. Mujurnya Roza turut memahami bahawa seorang pelajar calon doktor falsafah itu sentiasa berada dalam kesunyian, kebingungan dan penuh kebimbangan.


Tetapi hakikat sebenarnya tidak semua begitu. Ramai yang sentiasa melenggang ke sana sini dan ceria sepanjang masa. Ramai yang boleh membendung rasa malu apabila pengajian terbantut atau gagal. Tak kisah! Kerana biaya pengajian bukan dibayar sendiri. Ramai yang beli kereta mewah dan membawa pulang berbagai macam barangan berjenama, kecuali ijazah PhD.


Rakaman pengalaman dan peristiwa suka-duka dalam buku ini mengambil tempuh masa yang panjang. Tempuh masa hampir tiga tahun yang membawa kedewasaan. Segala kepiluan, kesepian dan keterbatasan hidup, berkesudahan dengan kebahagian yang abadi. Cuma ia memerlukan banyak kesabaran, ketabahan dan kecekalan hati serta pemikiran yang tajam untuk memandang jauh ke hadapan dan mengambilkira setiap strategi atau percaturan.


Sepanjang tempuh tersebut, Roza bercerita dengan gaya yang sangat bersahaja, jujur pada dirinya dan jujur pada Allah yang sentiasa melihat dan melindunginya. Kejujuran inilah yang membuatkan kita terasa mudah mendekatinya. Terasa kita sangat dekat dengan setiap perlukisan yang dipaparkan. Kejujuran dan keterbukaan inilah yang membuatkan rakaman ini menjadi begitu halus, ikhlas dan murni.


Roza tidak pernah mahu menjadi seorang jaguh atau seorang wirawati. Secara sedar dia mengganggap dirinya sebagai insan yang tidak mustahak dan rakaman pengalamannya adalah kisah biasa-biasa yang dilalui oleh seorang yang juga biasa-biasa. Tapi yang biasa-biasa itulah menjadi menarik dan luarbiasa sehingga kita ketawa dan menitiskan airmata sambil tertanya-tanya akan peranan dan kehadiran diri kita di dalamnya.


Buku ini adalah bahagian ketiga dari siri travelog Roza selepas Cinta Abadi dan Impian Abadi. Anda perlu membaca ketiga-tiganya untuk melihat suatu kembara kehidupan yang mengajar banyak erti cinta, kasih, dan sayang antara sesama manusia dan manusia dengan Penciptanya yang sentiasa memberi dan menyediakan berbagai ragam panduan dan ujian, tanpa kita menyedari bahawa di akhir perjalanan itu akan ditemui rahmat dan keberkatanNya.


Allah sentiasa hadir dengan segala kebesaran, kekuasaan dan kebijaksanaanNya melimpahkan rahmat kepada hambaNya yang sedar, taat dan bersyukur. Bacalah dengan minda yang terbuka!


Prof. Dr Hatta Azad Khan

Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik

UiTM Kampus Puncak Perdana Shah Alam, Selangor.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 13, 2011 09:05
No comments have been added yet.


Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.