Tren


Kami menaiki tren dari Segamat – KL Sentral – Ipoh – KL Sentral. Di Ipoh, kami dijemput oleh saudara Mohamad Abas staf Tabung Haji yang berkhidmat di Madinah. Beliau juga baru mendarat dari KLIA kerana pulang bercuti.


Beliau jugalah yang menghantar kami ke stesyen keretapi Ipoh untuk pulang. Saya tahu hatinya sebak. Matanya berkaca apabila menyatakan kepada saya, "kawan-kawan bertanya, bagaimana saya boleh menjemput prof, adakah saya mengenali prof?"


Tentu sekali saya juga tidak mengenali beliau. Beliau menghantar jemputan, menyebut secara jelas beberapa alternatif tarikh dan akhirnya saya mencadangkan tarikh yang selari dengan kehadiran saya ke KL kerana meraikan anak saudara yang melangsungkan majlis perkahwinan.


Realitinya, itulah ketentuan Allah yang paling nyata. Kita merancang tetapi Allahlah yang menentukan sama ada perancangan itu menjadi kenyataan ataupun tidak. Beliau tidak menyangka semudah itu saya memberi persetujuan untuk hadir.


Saya selalu perhatikan betapa ada yang sangat mudah dalam urusan menjemput saya menyampaikan ceramah. Ada yang cuba bertahun tetapi sentiasa terhalang dengan pelbagai sebab yang tidak mampu saya jelaskan.


Ada juga yang membuat jemputan tetapi dengan gaya yang sangat sukar untuk saya penuhi, misalnya dengan berkata, "Sudah lama saya ingin menjemput prof berceramah dan kalau prof terlanjur datang ke sini, bagitahulah saya nanti supaya saya boleh aturkan program…"


Menunggu saya "terlanjur datang" bukanlah satu kaedah menarik. Sebutan ini sentiasa diulang-ulangkan. Dan sehingga ke hari ini saya masih belum terlanjur sampai ke kawasan beliau!


Kami memilih untuk menggunakan tren kerana masalah kesihatan. Saya demam dan batuk-batuk yang agak teruk. Saya fikir tiada upaya untuk saya memandu sejauh itu.


Malah ketika menyampaikan syarahan, saya tidak dapat mengawal batuk yang tiba-tiba muncul pada penghujung kuliah. Ia tidak selesa tetapi – alhamdulillah – Allah membenarkan saya bercakap hampir dua jam. 


Cuma saya sedikit terkilan kerana tidak mengetahui kewujudan tren pantas yang menghubungkan KL Sentral – Ipoh – KL Sentral yang dapat menjimatkan 1 jam masa perjalanan berbanding dengan tren yang saya naiki.


Saya teruja bertamu di Ipoh. Saya bertemu dengan ramai rakan baru. Ia terpahat di hati.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 04, 2011 14:35
No comments have been added yet.


Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.