Fit
Akhirnya doktor mengesahkan kami berempat – saya, Roza, Amirul dan Sofea – fit untuk berhijrah ke Madinah. Kesemua ujian kesihatan berada di dalam parameter atau limit yang menjadi rujukan.
Namun ia bukannya berakhir tanpa sebarang debaran. Hampir setiap malam saya berdoa supaya dipermudahkan, tiada sebarang masalah terutamanya memohon agar tekanan darah dan bacaan diabetes saya berada pada paras yang sepatutnya.
Saya risaukan diabetes. Bacaan ketika berpuasa berada pada paras 7 – 10. Lalu saya mula melakukan diet secara lebih serius hampir sebulan lamanya. 10 jam berpuasa sebelum melakukan pemeriksaan kesihatan. Hasilnya, bacaan gula saya 4.8 sesuatu yang sudah lama tidak dapat dicapai.
InsyaAllah, saya sudah bertekad untuk menjadikan penghijrahan ini sebagai pemulaan baru kepada pengawalan diabetes. Saya merenung dan mengkaji balik amalan dan jenis-jenis pemakanan yang telah saya ambil sehingga menjadikan paras gula stabil untuk tempoh "ketakutan" tersebut.
Benar, saya lebih risaukan diabetes tetapi yang menyebabkan ujian pemeriksaan tidak sempurna buat kali pertama adalah tekanan darah. Setiap kali mesin membuat bacaan, darah saya naik ke kepala. Bunyi mesin tersebut membuatkan saya berdebar-debar.
MasyaAllah, ia stabil pada 170/105. Rehat, ambil bacaan, rehat, ambil bacaan dan ia masih menyebabkan mesin mengeluarkan bunyi amaran. Saya balik ke hotel, berehat dan kembali semula ke hospital. Tetap juga ia begitu.
"Ya Allah, aku mohon kepada Mu, kawallah tekanan darah ku. Kaulah yang Maha Berkuasa ya Allah," saya merayu-rayu kepada Dia yang Maha Mengetahui, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Akhirnya, pegawai bertugas berkata, "Encik balik dulu ke Segamat, kita akan review result pada hari Isnin nanti, doktor akan buat pemeriksaan semula. Di Segamat, encik berjumpa dengan doktor dan buat pemeriksaan setiap hari".
Ya Allah, pemeriksaan setiap hari dengan doktor kebiasaan saya menunjukkan tekanan darah saya normal, 120/80, 140/85, 110/80 dan seterusnya. Dr Foong, Segamat membuat catatan ringkas untuk diserahkan kepada doktor bertugas di Hospital KPJ Selangor.
Itulah yang saya lakukan, menyerahkan catatan tersebut kepada pihak hospital. OK, sebelum berjumpa doktor sekali lagi tekanan darah saya diambil, ya Allah bacaannya kembali meningkat sebagaimana minggu lepas.
Lalu doktor melakukan pemeriksaan kepada Roza dan anak-anak terlebih dahulu sementara saya berehat. Bila berjumpa doktor, bertanya itu dan ini, beliau melakukan pemeriksaan darah secara manual. Tiada lagi bunyi mesin. Ia dalam suasana yanag aman damai. Beliau tersenyum kepada saya dan berkata, "tekanan darah awak normal".
"Itulah doktor, saya memang fobia dengan bunyi mesin. Kuat sangat mengepam darah saya," sambil tersenyum dan ketawa saya melahirkan isi hati.
Ia selesai. Namun dalam tempoh seminggu tersebut, permohonan dan pergantungan kepada Allah ternyata sangat-sangat terasa. Bila pegawai bertugas berkata, "lapuran akan siap dalam tempoh sejam," saya mengajak Roza dan anak-anak beredar ke Masjid Negeri.
Saya mahu sujud syukur dan menyatakan kepadaNya, "Alhamdulillah ya Allah, aku mohon keampunanMu ya Allah, sesungguhnya nikmat yang Kau berikan kepada kami sekeluarga tidak sepadan dengan apa yang kami lakukan kepadaMu".
Terima kasih atas doa-doa semua khalayak pembaca FB dan KRTS. Fasa seterusnya adalah kelulusan VISA dan clearance Lembaga Hasil dalam Negeri.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
