Rasa hati

Saya bercerita dengan bakal doktor pengalaman saya berada di wad 3 di sebuah hospital kerajaan.


"Hampir kesemua pesakit – rasa saya – tidak menunaikan solat subuh. Inilah realiti kehidupan manusia apabila ditimpa ujian bencana kesihatan. Itu ujian untuk pesakit.


Doktor juga berhadapan dengan ujian kerana mereka bertanggungjawab kepada pesakit tersebut. Mereka perlu mengingatkan pesakit mereka untuk solat walaupun berada di hospital".


Bakal doktor tersebut berkata, "Doktor tidak sempat memikir soal tersebut. Dia kena memikirkan ubat apa yang patut diberi, keadaan pesakit yang ramai……"


Dalam senyum dan ketawa saya nyatakan, "inilah yang membezakan kita sebagai seorang doktor beragama Islam yang melakukan kerja semata-mata kerana "menyembah dan beramal ibadat" kepadaNya".


Ajakan untuk mendekati diri kepada Allah SWT dengan bijak pandai mempunyai dua aliran yang sangat kuat. Pertama, kumpulan yang cepat dapat memahami dan bersedia menerima pandangan.


Kedua, mereka cuba mencari jalan untuk mempermain-mainkan ajakan atau pandangan tersebut dengan hujah-hujah yang kelihatan logik pada diri mereka. Pada satu-satu ketika, mereka berhujah seolah-olah bersedia untuk melakukannya tetapi terhalang dengan sesuatu yang tidak dapat dikawal.


Yalah… mereka diberi Allah dengan sedikit ujian "kepandaian".


Saya melalui peristiwa "bodoh sombong" ini. Ketika Roza mengajak saya menunaikan fardhu haji, saya mainkan beliau dengan pelbagai kenyataan misalnya, "Yang, kita masih muda, lambat lagi nak mati" dan "Yang, kalau kita pergi haji awal, balik nanti payah hendak buat dosa".


Pada ketika yang lain, Roza pernah berkata, "Yang, anak-anak kita semakin besar, Ustaz-Ustazah mengajar di sekolah supaya solat berjemaah, marilah kita solat berjemaah, awak jadi imam, kami semua jadi makmun". Lalu saya berhujah, "anak-anak kita masih belum akil-baligh, awak saja yang jadi imam".


Pernah saya mempermain-mainkan Roza apabila beliau mengajak saya untuk solat terawih di surau Kondo Kemuncak, "Yang awak pergilah solat di bawah, mereka buat 8 rakaat sahaja. Saya mahu solat di rumah. Saya mahu solat 23 rakaat".


Hakikatnya, saya tidak berbuat apa-apa.


Inilah fasa yang sedang dilalui oleh bakal doktor tersebut. Ketika saya berkata, "bagi seorang doktor, bangunlah solat malam. Mintalah pada Allah supaya Dia memperkuatkan hati dan minda kita. Supaya Allah memberi jalan bagaimana mahu berhadapan dengan pesakit-pesakit kita".


Ketika saya fikir beliau akan memberi jawapan "InsyaAllah, saya akan cuba" atau hanya berdiam diri, beliau berkata, "saya sentiasa terjaga pada pukul 4.00 pagi tetapi tidak tergerak untuk solat tahajud".


Saya telah melalui fasa tersebut dan sangat memahami tutur kata mereka. Itulah, saya berdoa dengan penuh kasih-sayang agar bakal doktor muda ini akan menjadi golongan terpilih yang tidak sama dengan doktor-doktor lain yang ramai di pasaran.


Biarlah beliau menjadi golongan kanan, bersyukur dengan nikmat "ilmu" kedoktoran yang dianugerah Allah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 06, 2011 16:02
No comments have been added yet.


Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.