Bertunang
Nabi Muhammmad ada mengingatkan kepada kita:
"Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) tentang perkahwinan" (Hadith riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair Radhiyallahu 'anhu, dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Irwa' al-Ghalil).
Itulah yang saya baca apabila google "pertunangan dalam Islam". Ia tulisan di blog saifulislam.com. Malah banyak lagi jumpaan saya tentang konsep petunangan, mas kahwin dan perkahwinan yang dianjurkan oleh Islam.
Maksudnya, pertunangan harus dilakukan dengan cara yang cukup sederhana. Dan itulah yang saya lakukan sebagai wali kepada adik perempuan saya yang telah memberi keizinan untuk saya membuat keputusan tentang masa depannya. Lalu pendirian saya mudah, "mudah, ringkas dan tidak berdosa".
Seorang pemuda yang baik budi pekerti muncul di rumah. Saya tahu beliau mempunyai hubungan dengan adik saya.
"Bagaimana hubungan dengan adik saya?," saya memulakan perbualan.
"Baik," jawapan ringkas. Saya tahu beliau seorang yang pemalu.
"Adakah hubungan ini dengan niat untuk berkahwin?"
"InsyaAllah"
"Mak dengan ayah sudah tahu?"
"Sudah. Mereka pun sudah berjumpa dengan adik-beradik prof. Mereka ingin sangat berjumpa prof di sini"
"Nanti bawa mereka jumpa saya, InsyaAllah. Bagi saya, ia sudah memadai dengan pertemuan ini. Inilah majlis pertunangan. Kita tidak usah membazir waktu dan wang ringgit. Saya ingin menikahkan sendiri adik saya…."
Beliau tahu yang kemungkinan besar saya akan meninggalkan Malaysia. Maksudnya, saya telah memberi isyarat agar majlis ini perlu dilakukan sebelum bulan September.
Akhirnya, kami bersetuju agar majlis berlangsung pada tiga hari raya idil-fitri.
Mas Kahwin? Saya teringat satu hadis yang bermaksud, "Bermula yang terbaik perempuan itu iaitu yang terlebih murah mas kahwinnya." Malah dalam satu hadis yang lain ada menyebut, "Setengah daripada berkat perempuan itu iaitu segera dipersuamikan dan segera rahimnya itu kepada beranak dan murah mas kahwinnya."
Mas kahwin adalah hadiah suami kepada isteri. "Sediakan setakat yang termampu," saya memberi pengesahan. Khabarnya, setengah daripada mas kahwin isteri Rasulullah (salam dan selawat kepada baginda, keluarga dan para sahabat hanya sepuluh dirham saja; sama nilainya dengan harga batu pengisar tepung atau sebiji tempayan atau sebiji bantal di rumah baginda.
Saya membiarkan untuk beliau membuat keputusan.
Beberapa jam kemudian saya membuat panggilan kepada adik saya, "Na sudah menjadi tunang XYZ. Jaga adab-adab sebagai orang yang sudah bertunang".
"Terima kasih Abang. Inilah doa Na semasa di Mekah dan Madinah. Na mahu Abang yang menikahkan Na," sebak beliau menyatakan keinginannya.
Kemudian, saya hubungi adik-beradik untuk memaklumkan urusan yang telah selesai. Dan beberapa jam kemudian kesemua urusan tempahan majlis perkahwinan telah diuruskan oleh kakak yang tua.
Kami hanya mahu bersederhana dan memudahkan. Seluruh adik-beradik sudah sepakat untuk menyediakan kos pengendalian majlis. Hari ini, saya merayu dan berdoa kepadaNya, "Ya Allah jadikanlah mereka pasangan yang diredhaiMu, biarlah mereka berkasih-kasihan sehingga ke syurgaMu dan berikankah keampunan kepada mereka berdua".
Maha Suci Engkau ya Allah yang telah memudahkan urusan kami.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
