Tidak begitu

13 tetamu umrah. Dr Zaharah 3 dari kanan.


Nama Dr Zaharah sering muncul di KRTS dan RKDJU. Beliau e-mel saya menyatakan akan menunaikan umrah pada 15 Februari. Alih-alih 15 Januari beliau sudah muncul.


Beliau ada bertanya, "apa yang mahu dikirim?"


"Entah, sudah puas saya memaksa diri untuk memikirkan apa yang kami mahu tetapi tidak muncul-muncul".


Akhirnya saya menulis, "jika tidak kesusahan, Roza inginkan rempah briyani…. dan kerana 12 orang yang akan datang saya akan fikirkan 12 perkara lagi.."


Tentu sekali saya berseloka. Jangan…. jangan begitu…. tidak begitu…. saya tidak boleh bergurau dengan tetamu yang akan datang menunaikan umrah dan haji. Kami tidak memerlukan apa-apa.


Sungguh, jika kami benar-benar memerlukan sesuatu akan kami bertanya di blog atau di FB.


Beliau menulis lagi, "Saya sudah dapatkan rempah briyani… boleh saya tahu 12 perkara yang prof inginkan?".


Saya tahu beliau serius. Lalu saya membalas dengan kenyataan, "cukuplah tu… terima kasih".


Allahu Akbar, beliau bukan sahaja membawa rempah briyani JM Bariani House yang terkenal itu tetapi dengan towkeynya sekali ke rumah.


Benar, kami sekeluarga sering berkunjung ke JM Brariani House di TESCO Shah Alam.


Subhanallah…. MasyaAllah…. entah berapa kilo rempah briyani yang dibawanya. Maka untuk beberapa bulan yang akan datang Nasi Arab Roza untuk tetamu Umrah kami ditaja oleh JM Briyani House.


Ramai yang akan mendapat manfaatnya


Huru-Hara


"Sheikh, kenapa beliau tidak menyimpan janggut?," tangan beliau menunjuk ke arah teman yang berada di sebelah saya.


Mukanya serius.


"None of your business!," merah padam teman Mesir menjawab pertanyaan yang dituju kepada Sheikh.


Sebelumnya beliau menegur Hearsi kerana menarik baju kanak-kanak yang mahu bersalam dengan Sheikh. Hearsi bergurau. Teguran yang beliau terima berserta dengan bola mata yang bulat. 


Hearsi memalingkan mukanya ke arah lain kerana tidak mahu bersenggeta.


Suasana menjadi tegang. Emosi. Mereka yang lain terus berkata-kata dalam bahasa Arab yang tidak saya fahami.


Begitulah suasana baru yang kami terima bersama dengan pelajar yang baru mendaftar. Niat yang baik jika tidak dilakukan dengan cara yang tertib, beradab dan berhemah tentunya tidak berkesan.


Saya mohon keampunan Allah agar tulisan-tulisan yang saya hadirkan di sini tidak menyinggung sesiapa. Mudah-mudahan begitu.


Menghadapi Ujian


Setiap kali menulis buku akan saya mohon keampunan Allah agar ia menjadi ilmu yang bermanfaat. Malah saya berdoa agar editornya akan membaca manuskrip dengan penuh perasaan.


Biarlah hatinya berdetik agar buku yang dieditnya juga dapat membantu manusia lain berubah menjadi manusia yang lebih baik. Bukan semata-mata sebagai satu kerjaya bagi mendapat gaji setiap hujung bulan.


Ia sukar tetapi Allah Maha Hebat lagi Maha Bijaksana.


Alhamdulillah, buku Menghadapi Ujian sudah siap diedit dan memasuki fasa seterusnya. Saya dapat merasai suasana sebagaimana ketika proses menulis buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman.


Kerinduan itu terubat. Saya menulis kerana kasih-sayang dan biarlah buku ini hadir bersama kasih-sayang!


Sudan


Nombornya sangat pelik.


"Ayub, Doktor. Ayub… Ayub!"


"Allahu Akbar…. saya gembira mendengar suara kamu, Khaifa haluk?," terkejut saya menerima khabar dari Sudan.


Saya doakan beliau dipermudahkan kehidupannya di sana. InsyaAllah, suatu hari nanti kita akan berjumpa lagi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 17, 2012 20:28
No comments have been added yet.


Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.