Menghargai

Jika mereka dari keluarga yang sama, pastinya mereka adalah keturunan Nabi Muhammad SAW. Mereka beratur menyambut tetamu yang hadir.


Saya sangat-sangat menghargai setiap kali mendapat pengalaman baru. Begitu jugalah halnya malam tadi apabila menghadiri majlis perkahwinan anak lelaki Profesor Dr Ali….


Ia perkahwinan yang diadakan di Madinah.


Ketibaan saya dan Amirul (nota: Roza dan Attie pula sudah saya tinggalkan lebih awal di kawasan khusus untuk wanita) dalam keadaan berdebar-debar. 


Saya selalu terfikir bagaimana rasanya berada di dalam majlis yang ganjil, tiada siapa yang mengenali diri dan yang lebih parah lagi kerana tidak pandai berbahasa Arab. 


Namun ia terlerai serta-merta apabila melalui laluan saudara-mara Dr Ali yang bersiap menyambut tetamu. Saya lebih selesa apabila Dr Ali menerpa dan memeluk kiri dan kanan, mengucup pipi dan kepala sambil menyatakan rasa terharu dengan kedatangan saya.


Allahu Akbar, saya hanya baru pertama kali berjumpa dengan beliau dan terus seolah-olah seperti ahli keluarga. Ia rasa di hati pada ketika dan saat tersebut.


Jam 10.30 malam.


Lalu saya dan Amirul bersantai di sofa. Kami dihulurkan Qahwah (kopi Arab) dan manisan-manisan yang berasaskan coklat dan buah tamar.


Tiba-tiba terdengar paluan kompang Arab yang kuat. Ia perarakan kecil pengantin lelaki dan kaum keluarga yang hampir ke dalam dewan. Saya dan Amirul ikut serta.


Mahu mendengar paluan kompang tersebut? Ia ada di SINI.


Kami hanya duduk di sofa memerhatikan mereka bergembira. Kompang, berlagu (agaknya Qasidah) dan mula menari. Sekali lagi kami dihidangkan dengan Qahwah, jus dan manisan.


Tiba-tiba Dr Ali menarik saya untuk diperkenalkan kepada pengantin dan kaum keluarga. Beliau mahu saya menyertai apa yang sedang mereka lakukan.


Emmmm…. saya senyum dan berundur selangkah ke belakang. Selangkah lagi ke belakang. Akhirnya kembali ke sofa.


Terima kasih Sheikh kerana mengundang saya dan keluarga.


12.00 malam.


Dr Ali menjemput kami ke dewan makan. MasyaAllah sudah ramai tetamu yang lain berada di sini. Ia hidangan buffet tetapi pada setiap meja sudah ada sedulang besar nasi Arab.


Beginilah saki-baki setelah dimakan oleh kami berenam pada satu meja.


Nasi Arab berlaukkan Kambing, makan malam jam 12.00. Banyak juga Amirul dan ayahnya makan!


Hampir jam 1.00 pagi.


"Yang, saya dah sudah. Nak balik tak?," saya membuat panggilan.


Tiada jawapan.


Saya telefon lagi.


Ia bunyi yang sangat meriah. Di pihak wanita majlis baru sahaja bermula. Lalu saya mengajak Amirul ke kereta dan beliau menonton Laskar Pelangi.


Saya pula menyediakan skrip peperiksaan yang perlu ditanda.


Ringkasnya, kami tiba di rumah jam 3.00 pagi. Ia majlis yang tidak mengganggu solat kami di Haram, terus berqiamullail dan bersambung terus ke solat fajar.


Tinggal lagi blog hari ini terlambat di update.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 19, 2012 03:15
No comments have been added yet.


Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.