Bikash Nur Idris's Blog, page 22

May 10, 2012

.: cinta datang lagi [4] :.

DERAP kaki menghampiri halaman luar rumah dua tingkat itu membuatkan Fariz menoleh muka, walau dia tahu batang tubuh adik iparnya yang akan muncul. Seketika menunggu, tubuh sasa milik Zairy muncul bersama dua biji mug di tangan. Pemuda yang berpangkat adik ipar untuknya, walau tiga tahun lebih tua daripadanya, senang menayang gigi padanya.
Fariz turut tersengih.
“Dah tidur?” soal Fariz kepada Zairy yang sudah hampir dengannya. Dia turut mengambil mug berisi Nescafe O panas yang diunjuk lelaki itu.
Zairy mengangguk sambil duduk di lounge chair daripada rotan yang selesa itu. Dia menyelesakan letak tubuh lalu membawa kaki ke situ, dipangku kerusi rotan tersebut.
“Akhirnya tidur jugak!”
Fariz gelak kecil. “Nak buat macam mana, adik aku tu dah kenan sangat bedtime story dalam usia macam ni. Mengidam tak ada pulak!”
“Feel masing-masing...”
“Hmm. Dah sampai mana? Masih tentang Nabi Musa a.s.?”
“A’ah. Mengenai Nabi Allah merentasi Laut Merah. Dia banyak tanya soalan. Katanya untuk baby. Agar baby pun tahu kisah-kisah Nabi Allah kita. Lagipun waktu tidur dia, waktu tidur baby jugak.”
“Dia dah tak marah ke sebab kita tinggalkan dia dan pergi menonton? Tadi bukan main lagi on fire. Boleh buat barbeku atas kepala.” Fariz meneguk minuman.
Zairy turut meneguk Nescafe O sebelum menjawab, “She’s not talking to me!” Dia senyum lucu.
“Macam mana tu? Kan dia banyak tanya soalan…?”
“Ya. Tapi dia tak anggap itu talking to me!” terang Zairy mula menyengih bak kerang busuk.
Dia sendiri rasa lawak dengan pandangan peribadi Neesa itu. Namun dia hanya boleh mendiamkan diri dan mengangguk setuju dengan pandangan isteri kesayangannya. Kalau Neesa kata matahari terbit waktu malam dan bulan muncul kala siang pun dia akan tetap mengangguk setuju.
Tapi dia akan pastikan Neesa tidak war-warkan pandangannya itu pada khalayak umum. Kerana orang lain tidak menyayangi Neesa sebagaimana dia untuk mengiakan segala pernyataan tidak masuk akalnya.
“Aku tak dapat bayangkan bagaimana dia berfikir. Tapi aku tahu kau boleh.”
Zairy mengangkat sebelah kening pada Fariz. Lagak mahu tahu.
“You’re married to her!” jawab Fariz selamba. Seolah sebaris ayat itu boleh menerangkan segalanya.
Zairy tersenyum cuma.
Kedua mereka kembali menghirup minuman. Membiarkan sunyi menghuni untuk dihayati.
“Tadi kali ke berapa kau jumpa dia semula?” Pertanyaan Zairy mengisi ruang. Mug yang sudah kosong diletakkan ke atas meja kopi yang berada di tengah-tengah dua lounge chair itu.
Fariz meneguk baki Nescafe di dalam mug. Mugnya turut mengambil tempat di meja kopi. “Yang tadi, kali kelapan. Sekali di majlis tu dan selebihnya di GSC aje!”
“Kebetulan yang sudah bertukar menjadi destiny bagi aku!”
“Aku pun rasa begitu. Kalau setakat sekali, dua kali… aku akan anggap ia sebagai kebetulan. Tapi lapan kali? No way!” Fariz menarik nafas.
“Aku tahu di mana dia kerja, malahan secara tak langsung turut elakkan diri ke sana. Selain daripada mengelak berjumpa Shereen. Aku memang sangka tak akan jumpa dia lagi. Dia betul-betul elakkan diri daripada aku. I would say with vengeance!”
“Sebab nak jumpa Neesa? Neesa menyeramkan dia?”
Fariz ketawa galak dengan soalan selamba Zairy. Ditambah pula bila melihat raut tak bersalah jejaka itu. Dia tidak akan rasa marah kepada Zairy kerana berkata sedemikian. Dia faham kerana dia tahu betapa sayangnya Zairy kepada Neesa. Entahkan sayangnya kepada Shereen setanding itu ataupun tidak.
Dia tidak tahu mengukurnya namun dia yakin sayangnya untuk Shereen masih dalam walau gadis kesayangannya itu telah hampir dua bulan menjadi isteri kepada Jaspal, yang juga teman keluarga dan rakan sekerja Shereen.
“Kau rasa dia masih bersedih kerana Jaspal?” Fariz mengerling Zairy.
“Kau macam mana? Masih tak boleh lupakan Shereen, kan?” Tanpa menunggu jawapan daripada Fariz, Zairy menyambung bicara.
“Cinta dalam hati bukan macam fail dalam CPU, yang boleh dibuang bila kita rasa tak perlukannya lagi. Tak semudah tu. Nothing about love is ever easy. Cuma… aku selalu terfikir tentang kau dan budak perempuan tu. Apa nama dia?”
“Raisya. Apa yang kau fikir?” ujar Fariz sekali gus menyoal.
“Kau tak rasa pelik ke? Kau ke Ipoh untuk hadiri wedding bekas kekasih kau. Dan, di majlis tu kau jumpa dengan seorang gadis asing sedang menangis kerana bekas kekasihnya berkahwin dengan bekas kekasih kau. Macam ada… I don’t know, a connection maybe! Two broken hearts met!”
Fariz diam. Seolah memikirkan kata Zairy sedalamnya. Akhirnya dia menjongket kedua-dua bahu.
“Aku tak tahu tentang itu semua. Connection ke hapeh ke, aku tak tahu dan tak nak ambil tahu. Tapi aku sedar satu benda. Yang aku sangka kebetulan telah pun menjadi takdir aku. My destiny. Aku tak akan menolaknya lagi!”
“Kau nak buat apa?”
“Jika antara kami ada satu lagi pertemuan, aku akan tuntut janji daripada dia. Dia kena jumpa Neesa!”
Ucapan Fariz kedengaran bak satu sumpah di telinga Zairy. Dalam diam Zairy melepas keluhan lega. Sebolehnya dia tidak mahu Fariz terus diekori kisah silam. Tambahan pula bila kisah silam itu tidak mahu melepaskan abang iparnya itu.
Shereen masih belum berputus asa pada cinta lalu. Malahan Shereen turut mengajak Fariz menyusuri jalan itu bersamanya. Shereen sanggup ‘menjual’ masa depan demi kerana mahu terus hidup di zaman lalu.
Zairy bangkit dari perbaringan. Berdiri seraya mencapai kedua-dua mug tadi.
“Aku masuk dululah. Nanti kalau Neesa cari ‘bantal peluk’ yang tiba-tiba tak ada di sisi, mahunya merajuk panjang lagi. Kang tak nak tengok aku langsung!” selorohnya tersengih suka.
Dia sedang membayangkan persepsi tersendiri Neesa mengenai kes tak nak melihatnya. Kes tak mahu bercakap dengannya sama dengan bercakap dengannya, jadi tak mahu melihatnya sama dengan melihatnya—selalu! Best tu!
Fariz mengangguk sambil tayang gigi. Faham dengan gurauan Zairy.
Sebelum berlalu masuk ke rumah teres dua tingkat milik keluarga isterinya, Zairy sempat berpesan kepada Fariz.
“Cepat masuk tidur, Riz. Nanti Neesa risaukan kau lagi!”
“Hmm…” ucap Fariz. Faham apa yang dimaksudkan oleh Zairy.
Dia tahu Neesa amat bimbangkannya semenjak hubungannya dengan Shereen mula terganggu. Neesa selalu menghadiahkannya satu renungan lembut penuh rasa kasih dan sayang. Sarat. Neesa turut risaukannya sebagaimana ahli keluarganya yang lain; papa, mama dan Zairy.
Fariz memandang sekilas ke muka pintu. Pintu gelangsar masih terbuka luas dan tubuh Zairy sudah pun menghilang. Dia menyelesakan kedudukan tubuhnya di lounge chair tersebut. Kedua-dua tangan dibawa ke belakang, memangku kepalanya. Pengganti bantal.
Keluhan kecil terluah.
Dia sedar betapa gusarnya orang di sekelilingnya melihat keadaannya. Tidak perlu mengagak kerana mama dan Neesa selalu meluahkan rasa hati mereka kepadanya. Selalu memberitahunya mereka risau, mereka takut dan mereka sedih melihat perubahannya yang jauh ketara berbanding satu tahun yang lalu.
Satu tahun yang lalu?
Senyum hambar menggayuti bibirnya. Sebelum satu tahun itu memang bahagia sahaja yang mengulitnya. Amat bahagia. Semuanya kerana seorang insan yang hadir dalam hidupnya. Satu nama yang seiring dengan namanya.
Shereen, nama yang senada dengannya. Malahan setiap yang melihat mereka, sama ada orang luar atau keluarganya sendiri, menganggap mereka pasangan paling serasi. Padan, bak cincin dan permata. Mereka dikatakan jelas saling mencintai, saling menyayangi dan saling mengasihi. Sebutlah cinta, sayang, kasih… sesuai sekali buat mereka berdua.
Dia sendiri amat setuju dengan semua kata mereka kerana dia dan Shereen bukan sekadar tampak bahagia di mata orang, bukan sekadar berlakon, sebaliknya bahagia yang dilihat orang dinikmati mereka berdua. Bahagia itu ada dalam dirinya sehingga sekelilingnya terasa membahagiakan. Datanglah seribu masalah, cukup dengan melihat senyum manja Shereen, semuanya bertempiaran lari.
Hampir empat tahun menjalin hubungan dengan Shereen, hanya bahagia bersama dengannya—dengan mereka.
Sayang yang pernah tidak kesampaian di zaman persekolahan dahulu benar-benar mengajar dia untuk menghormati dan menghargai wanita. Kedua ajaran inilah yang dipegang olehnya kala menjalinkan hubungan dengan Shereen. Dan, ianya cukup berbaloi.
Hubungannya dengan Shereen turut mendapat restu keluarganya. Walaupun Shereen berlainan agama daripada mereka, kedua orang tuanya tidak menghalang hubungan mereka. Mungkin kerana dalam keluarga mereka sudah terlalu ramai yang berkahwin campur sampaikan ianya menjadi perkara biasa. Norma keluarga mereka.
Bukankah mama sendiri menikahi lelaki berlainan agama? Dengan papalah—pada mereka yang blur!
Mama dan papa menggalakkan hubungan itu namun diam-diam papa selalu memberi nasihat kepadanya.
Kata papa, cinta mempunyai satu kuasa sakti. Boleh mendekatkan dua orang asing yang paling berbeza. Walau salah seorang berada di penghujung dunia, ajaibnya cinta dua insan yang saling menyayangi, pertemuan akan tetap ada. Asal jodoh dan takdir bersama keduanya.
Nasihat papa lagi, cinta sahaja tidak cukup untuk menjamin kesenangan tambahan pula bila libatkan dua insan daripada agama yang berlainan. Cinta sahaja mungkin cukup, tapi mungkin tidak cukup!
Berbantalkan lengan, Fariz memejam mata.

“MUNGKIN cukup, mungkin tak? Maksud papa?” Fariz bertanya, kehairanan. Sebetulnya tidak faham akan maksud sebenar papa.
Aziz bersandar ke sofa. Sempat menjeling ke ruang makan di mana Hiraz, Shereen dan Neesa sedang duduk berbual di meja makan.
Senyum kecil menerpa sepasang bibir apabila melihat tiga wanita itu saling berbalas kata, diiringi gelak perlahan. Gelak Hiraz terkawal, dengan tangan kemas ke mulut, cuba menahannya. Gelak Neesa lepas, sesuka hati dan galak. Gelak Shereen, seperti gadis itu, manja bersahaja.
Hmm, kita suruh hidang air, dia orang hidang gosip pulak! Perempuan, perempuan…
Fariz turut menjeling ke ruang makan. Matanya lekas menangkap tiga wajah yang dilukisi riak ceria. Rasa gembira tampak pada ketiga-tiga paras itu.
Dia pandang lembut raut mama.
Walau sudah melebihi usia 50 tahun, wajah itu masih anggun padanya. Dia tahu kedutan halus yang kian kelihatan di bahagian mata wanita itu tidak dirasakan satu cela oleh papa. Kerana dia tahu kedutan itu bukan sahaja menunjukkan injakan usia, sebaliknya memberitahu papa akan setiap bahagia yang dirasai jiwa itu. Papa banyak menghadiahkan senyuman dan tawa girang dalam hidup mama—itulah tandanya. Rasa senang menerpa diri melihat bahagia papa dan mama. Dan, bahagia itulah diharapkan untuknya dan Shereen.
Sepasang mata sepet dengan anak mata hitam itu beralih pula kepada adik perempuannya.
Neesa Hani, semenjak kecil lagi seorang gadis yang periang dan lincah. Selalu bertindak, baru berfikir. Sering menyebabkan papa dan mama tidak senang duduk dengan sikap yang satu itu. Neesa degil dalam mendapatkan apa yang dia mahu. Akan diusahakan dengan apa cara sekalipun selagi takdir mengizinkan. Jika takdir tidak berpihak kepada usahanya, Neesa akan terima dengan hati yang lapang kerana dia bukan mengalah sebelum berjuang. Sebaliknya tersungkur dalam perjuangan. Untuknya itu satu sikap pejuang!
Namun di balik semua itu, dia tahu Neesa gadis yang bijak. Selain bijak dalam pelajaran, Neesa juga punya hati yang baik. Neesa bijak menilai diri seseorang. Tahu mana layak dipanggil kawan dan siapa yang harus dibuat lawan.
Sekali lagi Neesa membuktikan apabila gadis itu terang-terang mengakui perasaan sayangnya yang telah tumpah untuk Ruzairy Abd Rahman, yang selama beberapa bulan ini menggantikan tempat Ustaz Rahman, memberi tunjuk ajar kepada Shereen.
Neesa mengakui perasaannya kepada papa dan mama, bukan kepada Zairy. Kata Neesa hanya dengan restu mereka berdua barulah dia akan berterus terang kepada Zairy perihal perasaannya itu. Hari ini menerima kata setuju, esok dia sampaikan kepada Zairy.
Seminggu Zairy ke rumah mereka dengan muka merah padam kerana malu. Tapi sudahnya Zairy sendiri menerima perasaan Neesa untuknya, kerana hatinya sendiri sudah jadi milik Neesa. Dan, dia harap bahagia bersama kedua mereka.
Akhir sekali anak mata hitamnya tertancap pada wajah Shereen.
Gadis hitam manis itu sedang tertawakan sesuatu sebaik sahaja Neesa habis berceloteh. Entah apa yang lawak sangat, dia tak tahu tapi Neesa memang kaki lawak. Aksinya bercakap dan memek mukanya pun sudah cukup.
Shereen mula dikenali oleh keluarganya beberapa bulan selepas dia mula berkawan dengan gadis itu. Kali pertama dia membawa seorang gadis ke rumah mereka, memperkenalkannya kepada papa dan mama. Turut menyampaikan secara tidak langsung, Shereen bukan gadis biasa di hatinya, sebaliknya Shereen telah mendapat tempat istimewa di dalam hati anak bujang mereka. Dia turut meminta restu mereka dengan cara itu. Lalu mereka memberi restu yang diharapkan itu kepada dia dan Shereen.
Semenjak itu Shereen menjadi sebahagian daripada mereka.
Tapi dia masih sedar, belum sepenuhnya! Dan, itulah yang papa maksudkan pada dialog awal papa tadi.
“Papa?” Dia yakin papa juga dalam lamunan, sebagaimana dia.
Panggilan Fariz yang entah kali ke berapa membuatkan Aziz mengalihkan mata ke arahnya. Bila anak lelakinya menjongket sebelah kening sambil berpeluk tubuh, memandangnya, dia menyeringai nakal.
“I got carried away!” akui Aziz jujur.
“Mmm, dah berapa kali panggil papa tadi?” sambung Aziz, menyoal. Lebih kepada mahu tahu.
“Papa hanya bagi perhatian pada Riz lepas panggilan keempat. Apa maksud papa tadi?”
“Mungkin cukup, mungkin tak cukup?”
Fariz mengangguk.
“Papa jatuh cinta dengan mama Riz dulu, sebelum jatuh cinta kepada Islam. Riz sendiri tahu atuk Riz, ayah mama, seorang pendakwah.”
Fariz mengangguk. Itu dia tahu. Malahan daripada atuk jugalah dia banyak belajar, demi melakukan satu perubahan terhadap diri sendiri. Daripada Fariz seorang Romeo atau Jimmy The Crocodile—gelaran Four Musketeers kepadanya—dia menjana perubahan dalam diri.
Dia bosan dengan bidang modeling yang pernah buat dia terkenal, juga lemas dengan gadis-gadis yang mengelilingi. Hanya kerana dia sedar pada satu perkara; peribadi seseorang tidak terletak pada penampilan sahaja, sebaliknya lebih daripada itu. Dan, atuk adalah guru terbaik untuk mendapatkan peribadi yang indah—sebagai manusia biasa. Walau dia belum layak dikata memperolehinya lagi. Paling tidak, atuk telah berjaya mengelokkannya. Syukur untuk itu!
“Riz…” panggil Aziz lembut, mahu kembalikan Fariz yang nampak khayal ke ruang tamu teres dua tingkat yang dihuni keluarga mereka semenjak Neesa berusia 10 tahun dan Fariz 13 tahun.
Fariz menumpukan perhatiannya semula. Menjauhkan arwah atuk daripada benaknya.
“Papa jatuh cinta pada mama sejak pertemuan pertama…”
“Riz boleh agak kenapa!” potong Fariz menjeling ruang makan.
Mama sedang tayang gigi, kepala pula terteleng-teleng. Dia pasti ini bukan keadaan mama waktu kali pertama bersua papa. Sebab kalau beginilah gayanya, papa mungkin akan hantar mama ke wad orang gila!
Ops, terkutuk mak sendiri secara langsung! Ampun, mama!
Aziz turut mengerling ke arah yang sama.
“Oh, definitely not like that!” kata Aziz mengekek. “Hmm, berbalik pada cerita asal. My love was love at first sight, but not your mama. Mama…”
“Mama tak begitu?” Sekali lagi Fariz memintas. Tidak boleh menahan diri. Baru kini dia tahu hal ini! Terlalu terkejut untuk diam mendengar tanpa menyoal.
Aziz melihat Fariz. Tajam, penuh amaran.
“Sorry! Okey, sambung… sambung!” Fariz sengaja menggaru kepala. Nak isi masa.
Aziz masih merenung tajam seketika, sebelum membuka mulut kembali.
“Okey! Mama tak begitu. Mama langsung tak sukakan papa. Yalah, papa pantang jumpa perempuan, nak ngurat aje. I was hitting on every girl I met. Jadi mama Riz tak suka papa. Papa seorang Romeo dan mama tak layan papa langsung. Papa cuba dekati mama Riz, tak henti-henti, berulang kali. Kali pertama papa benar-benar ikhlas dengan seorang perempuan tapi tak diendahkan. It hurts like hell, you know! Then, I kidnapped her.”
Aziz diam seketika. Menjangka akan ada sampukan daripada Fariz, namun pemuda itu cuma membungkam bahasa. Terus perhatikannya penuh minat. Menunggu.
Mata Fariz tunak ke mata papa. Sepasang mata yang turut dimilikinya. Dia menyeringai lalu mengangkat kedua-dua kening serentak, beberapa kali. Tahu apa yang papa sangka akan berlaku. Dia sengaja hampakan papa—dengan menggunakan pertahanan diri yang utuh tau!
Bersama senyum tipis, Aziz kembali menyambung cerita.
“Papa culik mama Riz. Papa bawak ke rumah grandma tapi mama Riz tak tahu ada orang lain dalam rumah tu selain kami. Kami berdua aje dalam sebuah bilik. Mama Riz takut sangat, kemudian dia mula jerit-jerit. Macam kena histeria aje. Papa hanya duduk atas katil, terus pandang. Masa tu hilang gadis pendiam yang papa kenal. Papa lihat bahagian lain gadis tu dan papa suka apa yang papa tengok!”
Aziz senyum lebar. Romannya menunjukkan dia kembali ke dalam bilik itu semula, menentang wajah anggun Hiraz yang begitu garang.
“Papa biar aje mama Riz marah, melenting, malah ada jugalah dua, tiga perkataan tak enak yang perlu papa dengar—yang papa tak sangka mama Riz tahu maksudnya! Lepas mama Riz dah selesai sembur ‘api’, dia diam dan mula menangis. Papa tak pujuk. Tengok aje. Sekali lagi papa suka apa yang papa lihat.
“Bila mama Riz dah tenang, papa luahkan perasaan papa. Papa bagi tahu dia papa ikhlas sayangkan dia. Dia mula menangis lagi. Kata mama Riz, antara kami tak mungkin ada apa-apa. Tak mungkin terjadi! Tak mungkin bersama! Papa tanya, sebab agama ke. Mama Riz angguk. Papa bagi tahu yang papa sanggup tukar agama demi mama. Lagipun dalam keluarga papa itu bukan perkara baru. You know that!”
Fariz goncangkan kepala. Dia tahu kerana dalam keluarganya, sama ada belah papa atau mama, memang sudah ada sejarah sebegitu.
“Papa, Riz perlu sampuk! Kenapa papa bagi tahu Riz semua ni?”
Aziz tidak memberi jawapan kepada soalan anak terunanya itu. Hanya menyambung kata.
“Bila papa jawab macam tu, mama Riz menangis semula. Mama Riz kata dia tahu papa sanggup tukar agama untuk kahwininya, tapi itu yang dia tak nak berlaku. Katanya dia mahu papa ikhlas sebagai seorang Muslim. Sebagaimana papa ikhlas dengannya. Mula tu… papa tak faham dan papa sangka itu cara dia menolak sayang papa. Papa tak puas hati, jadi papa ambil inisiatif sendiri. Papa jumpa arwah atuk dan mintak arwah atuk jelaskannya.
“Bila papa faham dengan apa yang mama Riz maksudkan, papa ambil keputusan untuk berguru dengan arwah. Papa berhenti kerja dan tinggalkan semua. Papa tinggal dengan arwah atuk di kampung. Berbulan-bulan. Mama Riz tak pernah tahu.”
“Pa, what are you trying to tell me?” Fariz kian keliru.
Aziz senyum manis. “Maksud mungkin cukup, mungkin tak cukup!”

MASIH beralaskan lengan, Fariz membuka mata, terus menyambar bintang-bintang yang berkerlipan. Membawa sinar pada malam yang gelita itu. Keluhan panjang terhempas dengan sendirinya.
Waktu itu, dua tahun yang lalu, dia langsung tidak mengerti makna yang cuba papa sampaikan melalui kisah silam papa dengan mama. Namun semenjak hubungannya dengan Shereen mula dilanda badai, dia selalu fikirkan cerita itu. Terngiang-ngiang di telinganya. Dan, hari demi hari, dia mula faham.
Dua bulan lalu dia menghadiri majlis perkahwinan Shereen dengan Jaspal. Dua bulan lalu dia bertemu wajah dengan gadis bernama Raisya itu. Dua bulan lalu dua individu yang tidak pernah mengenal dan sama patah hati—dia dan Raisya—ditemukan dengan dua individu yang bersahabat baik dan terpaksa berkahwin atas pilihan keluarga—Jaspal dan Shereen.
Dan, dua hari lalu Shereen menemuinya; terang-terang mengaku masih sayang kepadanya dan mahu kembali padanya.
Malam ini dia benar-benar faham dengan maksud ‘Mungkin cukup, mungkin tak cukup’ papa! Dia akan gunakan kebetulan yang menyapa berulang-ulang, mengubahnya menjadi satu takdir.
Dia akan pastikan Raisya menepati katanya. Dia akan perkenalkan gadis kecil molek itu kepada Neesa!
Fariz kembali memejam mata bersama senyum penuh makna.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 10, 2012 09:15

May 9, 2012

.: dalam satu rasa [3] :.

“ADIK boleh lakukannya, along. I do! Kenapa tak beri peluang pada adik? Kenapa terus tolak permintaan adik tanpa timbangkannya?” Perasaan kecewa yang cuba mendakap diri Mahirah jelas dalam setiap satu soalan yang diajukannya kepada Zafifah. Matanya sudah mula basah. Kecewa yang terasa tidak mengundang air hangat itu, sebaliknya ketidakpercayaan Zafifah kepadanya, ketidakyakinan Zafifah dengan kemampuannya.
Jika Zafifah sendiri tidak punya semua itu, apa gunanya dia?
Zafifah tidak mengalih pandangan dari raut Mahirah. Saling tidak tumpah dengannya. Malah hampir serupa dengan Zahirah. Ketiga-tiga mereka benar-benar mewarisi wajah arwah ibu. Sehinggakan orang yang melihat mereka, jika berdiri bertiga bersama, terbuntang mata jadinya kerana tidak percaya. Sekali pandanglah. Berkali pandang dah nampak beza.
Akhirnya, Zafifah membuang pandang jauh dari mata basah Mahirah atau renungan tenang yang dilontarkan Zahirah kepadanya.
“Along, kenapa along tak benarkan? Give me at least one good reason? Why not me?” gesa Mahirah sedikit keras.
Zafifah hanya membatu. Masih tidak bertukar posisi. Dia kenal sangat perangai Mahirah. Adik bongsungnya itu cukup degil dan keras hati. Semenjak kecil itulah perangai Mahirah. Malah sehingga kini, walau sudah menghampiri usia 25 tahun, gadis itu masih belum berubah. Jika mahukan sesuatu, gadis itu akan menggesa. Jika tidak milikinya, mula menarik muka. Tapi sekejap sahaja, kerana kemudiannya masam wajah hilang lalu senyuman Mahirah akan kembali. Bukan pula maknanya Mahirah sudah melupakan apa yang diingininya. Dari semasa ke semasa topik itu akan dibangkitkan. Seperti topik yang kali ini.
Masih diam membeku, Zafifah akhirnya bangun daripada duduknya. Perlahan-lahan kakinya membawa tubuh menghampiri cermin telus di sebelah kanannya. Dipandang ke sekitar Wisma Anchana yang terdapat di hadapan. Dari tingkat tujuh, dapat dilihat apa sahaja yang mahu ditangkap matanya. Namun pandangannya hanya kosong. Tiada apa yang kelihatan, kecuali samar.
“I love you, adik. That is the only reason I could give you,” jawab Zafifah sudahnya. Turut memalingkan tubuh ke arah Zahirah dan Mahirah semula. Direnung paras kedua-dua ‘klon’nya itu. “I love both of you. Is that a reason enough for you, adik?”
“Along, adik pun sayangkan along. Amat menyayangi along. Alonglah segalanya untuk adik, untuk angah. Selepas ibu, alonglah segalanya.” Mahirah menghampiri kakaknya yang terus berdiri membelakangkan cermin telus itu. “Adik takkan lupa apa yang sanggup along buat untuk adik. Apa yang telah along korbankan untuk adik. You’ve sacrificed everything for me, for us. Itu adik tau, sebab adik turut sayangkan along sebagaimana along. Tapi, along, tolonglah faham kedudukan adik. I need this in my life, to complete me. Would you understand that?”
“Along tak boleh! Benda ni semua bukan untuk adik. Along dah janji pada arwah ibu, arwah mak su, akan jaga adik dan angah macam anak sendiri. Along akan pegang janji tu sampai mati. I’ve failed both of you once, but never again. Would you understand that?” Zafifah kembali menghadiahkan soalan yang sama kepada Mahirah.
Sebetulnya Zafifah sedar, Mahirah faham, namun kedegilan dalam mendapatkan apa yang diingininya, Mahirah terus bertekad begini. Dia sedar, Mahirah seolah-olah memperoleh alasan untuk mencapai apa yang dia mahu dengan adanya kes Puan Farina ini. Zafifah pun macamnya sua bantal, padahal bukan itu maksudnya.
Semenjak dulu lagi, sejak dia dan arwah mak su mula membangunkan Agensi 3SAI, adiknya itu sudah bercita-cita untuk jadi salah seorang ahli keluarganya. Bukan maknanya selama ini Mahirah bukan ahli keluarga Agensi 3SAI. Secara tidak rasmi, ia. Kerana sepertinya dan Zahirah, Mahirah juga punya kepentingan dan syer dalam agensi ini. Namun apa yang diingini oleh Mahirah adalah menjadi ahli keluarga Agensi 3SAI secara rasmi. Mahu mengembleng tenaga bersama, memerah otak bersama dan berpeluh jerih bersama. Itulah kehendak hati Mahirah, yang tidak pernah diperkenankan Zafifah.
“Tolonglah, along. Adik betul-betul perlukan ni. Nak sangat. Adik tak nak duduk tanpa buat sesuatu. Adik tak mau tengok saja apa yang berlaku pada mereka di luar sana. Cukuplah dulu, adik tak mampu buat apa-apa. Cukuplah dulu adik hanya diam mendengar. Sedang sekarang, adik boleh. Tolong mereka, bantu mereka. Please, give me this opportunity.” Mahirah masih meminta, penuh harapan. Suaranya juga mula serak malahan mutiara kaca sudah menoda pipi mulus itu.
Zafifah hanya mematung. Air mata Mahirah mula bertali-arus.
Zahirah menghempaskan keluhan kecil. Dia bangun, sudah puas memerhati perilaku kakak dan adiknya dan sedar kedua-duanya hendak sama-sama menang. Bukan kerana pentingkan diri namun kerana masing-masing pentingkan satu sama lain. Zafifah pentingkan Mahirah manakala Mahirah pentingkan Zafifah. Terus Zahirah mendekati kedua-dua adik-beradiknya itu.
“Sudahlah, adik. Kalau along tak benarkan, janganlah paksa dia lagi. Faham hati along.” Zahirah genggam lengan Mahirah lalu membawa tubuh adiknya itu dekat dengannya. Bahu gadis itu dipaut seeratnya dan diramas lembut. Demi memujuk hati yang hampa itu.
“Along yang jaga kita selama ini, besarkan kita… takkan nak lawan kata along? Kan, along?” sambung Zahirah lagi menjongket kening kepada Zafifah.
Mahirah sudah mula sembamkan muka ke dada Zahirah. Selama ini, tiap kali Mahirah meminta perkara ini daripada Zafifah, tidak pernah dia lihat gadis ini menangis sehiba ini. Mungkin sangka Mahirah inilah peluang terakhir yang dia ada dalam mahu dapatkannya. Namun jawapan Zafifah benar-benar buat dia hampa. Sudah jelas dia takkan mencapai impian yang satu ini. Bakal terkubur sahaja.
“Angah, jangan cakap macamlah along buat semua ni sebab pentingkan kemahuan sendiri dan tak hiraukan kehendak adik. Along cuma nak pastikan dia selamat. Selamat daripada sebarang malapetaka. Angah dah lihat apa yang boleh berlaku kiranya adik turut terlibat dengan semua ini. Cukuplah along saja. Along tak mau angah atau adik terlibat sama.” Suara Zafifah menyapa pelupuk telinga Zahirah. Tegas dan keras. Macam geram pun ada.
“Angah dah terlibat secara tak langsung. Along dah lupa yang angah sendiri pernah diugut sebab apa yang kita buat ni?”
“Habis, sekarang kita nak libatkan adik sama?”
“Adik pun dah terlibat. Dia jugak pemilik Agensi 3SAI. Dia dah lama terlibat. Sebelum agensi ni bermula lagi, dia dah terlibat! Macam along, macam angah… terlibat!” tekan Zahirah hendak Zafifah faham maknanya.
Zafifah hanya memandang raut Zahirah. Mengharapkan penjelasan. Malahan Mahirah yang sudah teresak sejak tadi dalam pelukan Zahirah turut merenung. Sesekali mata Zafifah terarah juga kepada Mahirah. Tidak sanggup rasanya melihat adik bongsunya itu menangis. Di balik sikap degilnya, gadis itulah yang paling manja. Sikap periang Mahirah jugalah yang sering mengisi hidupnya. Jika boleh, Zafifah tak mahu setitik pun air mata jatuh ke pipi Mahirah, namun kini dia sendiri yang mengundangnya.
“Adik hanya nak lihat di luar sana, tak lahir seorang lagi ‘ibu’ dan ‘mak cik’. Kerana tu adik mahukan semua ni. Dia darah daging kita, along. Kalau kita sendiri, digertak, diugut malah macam-macam yang kita terima daripada pihak penindas itu, tak pernah mengalah kerana adanya semangat dan kekuatan, kenapa pulak adik tak ada semua tu? Bukan ke dia adik kepada along, sebagaimana angah? Memang kami tanggungjawab along dan kami tau along tak mungkin lepaskannya, walau apa pun terjadi. Macam tu jugak dengan kami. You are our responsibility, as much as us. Along fikir kalau dewasa sikit daripada kami, along tak perlu dijaga? Tak perlu ada orang ambil berat?”
Pandangan Zafifah ke muka Zahirah kian tajam. Begitulah Zahirah. Jarang buka mulut. Namun, sekali buka… memang sepenuh tumpuan kepadanya. Bukan dia sahaja tak mampu kalih mata daripada Zahirah, Mahirah pun sama. Siap ternganga luas lagi.
“Kami jugak takkan lepaskan janji kami untuk jaga along, sampai kami mati. Janji ni kami tanam jauh di sudut hati, kepada diri sendiri. Susah, senang, duka, manis… kena bersama. Bukan seorang rasa, seorang tengok. Setiap insan ada impian. Malah kerana impian jugaklah wujudnya agensi ini. Impian untuk melihat tiada ‘ibu’ atau ‘mak cik’ lahir semula di luar sana! Salah ke kalau adik tanam angan yang serupa? Besides, she’s our sister, your sister. Dia kuat dan tabah, macam along. Trust me!” ucap Zahirah penuh yakin dan percaya.
“Itu saja yang akan angah cakap. The decision is yours, along,” sambung Zahirah bersama senyum nipis. Tangannya di bahu Mahirah mula beralih. Kini, hanya membatu memeluk tubuh. Membiarkan sahaja mata terbuntang Mahirah mahupun renungan tajam Zafifah, ke wajahnya.
Zafifah pandang Zahirah dan Mahirah silih berganti. Dia menarik nafas panjang, dihela. Tanpa hiraukan keadaan Mahirah yang nampak teruja dengan bicara Zahirah atau lagak beku yang cuba dibawa oleh Zahirah, dia terus berlalu dari bilik mesyuarat itu. Tapak kaki yang kedengaran memberitahunya yang kedua-dua adiknya mengekor tanpa soal.
Begitulah Zahirah dan Mahirah, walau apa pun keputusannya, tidak pernah dipersoal sebaliknya menurut tanpa banyak soal. Seolah-olah sepenuh kepercayaan sudah pun diberikan kepadanya dalam memastikan sesuatu. Tiada ragu atau waswas. Kenapa pula dia tidak boleh begitu kepada Mahirah, gadis yang sudah tamat belajar dalam bidang Komunikasi malah baru tiga hari lepas tamat MA dalam bidang yang sama selepas dia gesa Mahirah sambung belajar?
Zafifah pulas tombol pintu biliknya lalu melangkah masuk. Kelihatan Elya sedang berbual mesra dengan Farina. Mungkin menemani wanita itu agar tidak terasa membuang waktu berada di Agensi 3SAI sendirian. Elya mengangguk kepada Zafifah lalu meminta izin daripada Farina untuk berlalu. Zafifah memanjangkan kaki, terus mendapatkan Farina yang mula berdiri setelah melihatnya.
“Kes saya tak diterima ya?” tanya Farina terus.
Zafifah melihat Farina sedalamnya. Jelas wanita itu sedang cuba sembunyikan kebimbangan dalam hatinya dengan penolakan kesnya. “Kenapa cakap macam tu, Puan Farina?”
“You looked very serious and your sisters looked very gloomy. Am I right? My case is rejected, right?” Farina masih usaha-usaha senyum.
Zafifah akhirnya mengukir sebuah senyuman. Lebar dan mesra. Tangannya disua kepada Farina, yang kelihatan teragak untuk menyambutnya mula-mula. Apaila tangan mereka saling tergenggam, Zafifah menggoncangnya perlahan. Sekali sahaja.
“We’ve agreed to accept your case and it will be conducted by my own sister, Mahirah. Sekarang, boleh kita mula bincangkannya? Siapa yang perlu kami siasat?”
Bersama senyuman lega yang cukup lebar Farina menjawab, “Ahmad Najmi bin Abidin, my PA.”
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 09, 2012 09:30

May 5, 2012

Cinta Datang Lagi | Bab 2

Mei 2006Pintu terus ditutup. Raisya mengatur kaki ke ruang tamu rumah sewanya itu apabila terlihat Dona sedang berbaring di sofa sambil menonton televisyen.Gadis itu membawa batang leher ke arahnya apabila mendengar bunyi pintu dibuka. Lantas kembali halakan mata ke peti televisyen semula. Menonton drama Cina yang diikutinya. Tak pernah ketinggalan pun. Raisya campak beg tangan ke atas sofa. Semenjak zaman universiti lagi dia lebih senang dengan beg tangan yang besar ala-ala beg tote. Tak reti nak bawa yang kecil-kecil atau comel-comel, melainkan jika terpaksa bila menghadiri sebarang majlis formal.Punggungnya mencecah sofa. Santai menyandar kepala ke sofa sambil mengatup mata.Dona mengerling Raisya. Tersenyum kecil dengan gelagat teman serumahnya itu. Mungkin sedang cuba tenteramkan diri dengan cara sebegitu. Atau sedang cuba membuang letih yang mengulit. Dia hanya memberikan masa yang diperlukan Raisya, barulah membuka bicara.Agak-agak ngam dan cukup waktu, dia mengajukan pertanyaan. “Banyak sangat ke kerja?”“Hmm...” jawab Raisya, masih dengan mata terpejam.“Jadi tak nak tengok Fanaa malam ni? Kau janji malam ni, kan?” tuntut Dona tanpa bengkang-bengkok. Menumpukan perhatian kepada Raisya.Raisya mendadak buka mata. Melihat Dona yang masih kuak lentang di atas sofa dengan kepala terteleng ke arahnya. Kedua-dua tangannya memeluk kemas anak patung katak sederhana besar yang dihadiahkan oleh tunangnya.Sebagaimana Dona tidak boleh berenggang dengan apa sahaja barangan berbentuk katak, begitu juga Dona dengan anak patung Froggie Jr itu—alasannya my would be husband yang bagi! Memang tak boleh berjauhan langsung! Ke mana pun ruang dalam rumah ini, diusungnya.Ermm, kecuali waktu masuk tandaslah kan...“Nak kena pergi malam ni jugak ke?” Raisya memulakan kata. Berhati-hati.Seboleh-bolehnya dia mahu mengelakkan diri. Mencari alasan sebagaimana yang berjaya dilakukannya sebelum ini apabila Dona mengungkit janji untuk sama-sama menonton Fanaa.Bukan dia tak nak pergi. Dia memang suka tengok movie. Malahan dia selalu ke panggung GSC di Mid Valley setiap minggu, menghabiskan masa di situ bersama Dona. Dah boleh kata tabiat semula jadi dia orang! Tapi sekarang...Mata Raisya tunak pada Dona, yang bangkit daripada adegan kuak lentang aka lembik tulang. Duduk tegak melihatnya, berpeluk tubuh—sekali dengan Froggie Jr tau. Raut wajah sawo matang itu serius dan penuh curiga.“Kenapa dengan kau ni? Banyak cipta alasan sekarang...?”Raisya membeku. Tidak tahu bagaimana harus beri jawapan. Kerana dia tahu dia tak akan boleh menipu Ainul Dona Biyajid. Dia kenal Dona hampir lima tahun lamanya. Walau rakan penyewa rumah ini sudah bertukar ganti, namun mereka tetap bersama. Mereka tidak pernah pindah keluar dari situ. Mereka selesa di situ, senang bersama.Kerana keselesaan dan kesenangan inilah mereka jadi akrab. Terlalu akrab sehinggakan Dona bijak mengesan kocakan hatinya hanya melalui riak parasnya. Pendek kata, segala tingkah dan kelakuannya dapat dibaca Dona.Bak kata gadis itu, “Tak payah temberang. Semua dah ada dalam poket aku!”“Kau sendiri tahu macam mana aku tak sabar nak tengok Fanaa. Esok, esok… nanti, nanti… sampai sekarang! Sampai bila esok dan nanti kau ni sebenarnya, huh?” Dona separuh kecewa. Wajah tercebek.Raisya diam. Dia belum sedia untuk nyatakan resah dalam hati yang sudah bergulung macam roti jala. Belum sedia untuk ‘gulung’ perasaan Dona pula. Tapi, kalau dia tak ‘gulung’ perasaan Dona, akan makin tergulunglah perasaannya. Kalah roti jala!Diam-diam Raisya melepas keluhan. Susahnya mengunci mulut. Lebih sukar pula membuka bicara. Heh!“Kau tak nak pergi malam ni bukan kerana penat atau letih! Kan?”Gelengan Raisya memanjangkan soalan Dona.“Siapa lelaki tu?” Mata Dona mengecil, kemas ke sepasang mata Raisya.Raisya tersentak. Matanya tidak turah dengan renungan ‘aku-tau-dah-rahsia-kau-tu!’ daripada Dona. Melengas tak menentu jadinya. Dia terus diam.“Aku tahu sebab aku perasan! Selama ni kita selalu tengok wayang on Tuesday. Our own ladies’ night! Tapi tiba-tiba kau tak selesa dengan hari Selasa. So, we changed our schedule! Rasanya Isnin, Rabu, Khamis dan Jumaat… semua kita dah cuba. Kau selalu serba tak kena. Kind of edgy! Mata pun tak pernah duduk setempat, meliar aje sana sini—macam sekarang!”Kata itu buatkan Raisya menghentikan kelakuannya. Direnung wajah Dona tanpa perasaan. Kosong!Dona cuba sembunyikan senyum. Gelagat Raisya mencuit hatinya. Tapi sebab topik mereka kini amat serius—untuknya—dia sedaya upaya sekolahkan muka. Kasik muka garang ala cikgu sekolah kepada Raisya.“Kau tak senang duduk, sampailah panggung gelap dan filem dimulakan. Waktu keluar panggung pun sama. I caught you twice, staring at the same guy. Pada hari yang berbeza! Jadi, siapa dia?” sambung Dona melebarkan kata. Tapi di hujung bicara dia tetap kembali pada pokok pangkalnya.Dia tetap mahu tahu siapa pemuda yang dilihatnya sedang mencuri pandang ke arah Raisya ketika mereka berbaris untuk mendapatkan tiket wayang atau ketika mereka berada di dalam panggung, menanti waktu tayangan bermula. Itulah dua kali yang dia maksudkan.Sejak ‘suis’ kesedaran itu dipetiklah dia sendiri terjangkit penyakit Raisya. Asal beratur nak beli tiket saja, matanya meliar ke setiap ruang. Bila masuk panggung pun kepalanya tertoleh tak tentu arah. Malahan tiba sahaja ke kawasan memarkir di Mid Valley lagi dia dah kena penyakit itu!Demi mencari wajah yang dilihatnya asyik mencari peluang memandang Raisya. Paras yang turut buat Raisya serba tidak kena dan gelabah macam gorila.“Who’s that Chinese guy?” Dona belum sedia angkat bendera putih.Raisya masih dengan muka kayu. Tangannya mencapai tali beg tangan gabaknya, dipintal sesuka hati tanpa arah dan tujuan. Saja nak isi masa lapang. Kerana dia tidak betah bila terus-menerus menjadi mangsa renungan ‘I-know-what-you-did-last-summer’ Dona yang masih menanti jawapan pecah keluar dari mulutnya.Dona masih berpeluk tubuh dengan postur duduk tegak. Lima tahun tinggal serumah, mengajarnya untuk faham bahasa tubuh Dona.Sudahnya keluhan terhambur dari kerongkong Dona. Dia pun sudah dekat lima tahun duduk sebumbung dengan Raisya, jadi dia harus bijak membaca bahasa tubuh gadis itu, yang kala ini sedang memberitahunya; “Aku belum bersedia untuk beri jawapan, Don!”Ikut suka hati kaulah, Raisya! Tiba masa, kau akan cerita jugak.Lantas dia berbaring semula—kembali dengan aksi lembik tulangnya dan Froggie Jr kemas di dada. Tumpuan diarahkan sepenuhnya kepada drama Cina di hadapan yang kembali bersambung sesudah iklan.Diam-diam, Raisya menghela nafas lega. Syukur sangat! Terasa lapang bila tidak terus ‘disergah’ dek soalan Dona. Juga senang hati kerana Dona tidak memaksanya menjelaskan segala perkara yang belum sedia diperkatakannya.Hmm, Dona paksa aku?Ah, hal itu takkan mungkin berlaku kerana Dona tidak pernah mendesak dia melakukan sesuatu yang dia tidak mahu. Bagi Dona, kalau benda nak jadi, akan jadi juga! Kerana itu Dona tidak pernah suka memaksa sebaliknya masa sepenuhnya diberi sehingga dia sendiri terasa mahu berkongsi cerita.Dan selalunya, dengan Dona, masa itu tetap tiba. Boleh jadi itu salah satu faktor Dona sabar menunggu.Kerana sikap Dona yang pemaham itu, sendirian Raisya membuat keputusan untuk mengabulkan permintaan Dona. Mereka akan menonton filem Fanaa malam ini, sebagaimana yang Dona mahu dan sebagaimana yang dia janjikan.Jika Dona boleh bertolak ansur demi menjaga hatinya, kenapa tidak dia?Dengan niat itu, Raisya bangkit bersama beg kemas tergenggam.“Aku mandi dulu, ya? Lepas tu kita pergi tengok Fanaa. Okey?” Suaranya dikendurkan, memujuk.“Yup!”Walau jawapan Dona amat ringkas, hati Raisya tetap berbunga ceria. Dona tidak kecil hati atau marah dengannya. Mujur.Tunggulah, Don, dah sampai masanya—saat kritikal bila ICU pun dah tak dapat selamatkan—aku akan terangkan kepada kau.Raisya bingkas berlalu ke bilik tidur.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 05, 2012 10:36

.: cinta datang lagi [3] :.

RAISYA dan Dona sama-sama berdiri di belakang barisan orang ramai yang sedang beratur di kaunter tiket. Mereka belum bersedia untuk membeli tiket sebaliknya sama sibuk melihat skrin yang memaparkan filem-filem tayangan hari itu berserta waktu tayangannya.
“Macam tak ada aje!” Raisya menggigit bibir dengan mata yang terus tunak pada skrin.
Dona tayang muka tak puas hati. Tak sudah-sudah matanya menujah skrin yang jauh di hadapan walaupun sudah tiga kali dia mengulang aksi yang serupa. Sudah habis dilihat kesemua tayangan filem hari itu! Namun perkataan F.A.N.A.A tidak langsung ditangkap matanya.
Tak cukup dengan itu, dia panjangkan pula leher ke setiap ruang pekarangan GSC Mid Valley itu, menilik poster yang terpampang satu demi satu. Namun tetap tidak bertemu perkataan yang dicari, mahupun wajah Kajol dan Aamir Khan.
Raisya pandang Dona akhirnya. Dia yakin Dona sedang berang kala ini. Walau tak nampak asap di atas kepalanya atau asap keluar dari telinga dan lubang hidungnya, dia amat yakin akan hal itu. Marah Dona sudah memuncak dan harus dibendung.
“Kita sepatutnya tengok kat website dulu sebelum datang. Aku rasa tak adalah...”
Dona mendengus garang. Percaya ataupun tidak, pipi Raisya terasa bahang panas nafas gadis itu. Kalau pasal Kajol, jangan nak buat main dengan Dona. Boleh ditelan hidup-hidup pihak yang bersalah kepadanya itu.
Raisya ingat lagi ketika ada ura-ura yang mengatakan Kajol sudah meninggal dunia, bukan main lagi kawannya itu menangis dan berkurung di dalam bilik. Televisyen di rumah pula tidak sudah-sudah tayang filem-filem lakonan Kajol daripada koleksi VCD dan DVD simpanan Dona. Memperingati kononnya!
Dan, bila keluar kenyataan akhbar menafikan khabar angin kematian Kajol, Donalah yang paling gembira—kalau ada orang lain boleh tandingi Dona tika itu, dia benar-benar kagum.
Berminggu duk tayang gigi sampaikan dia perlu ingatkan Dona agar berhenti tersengih kambing bak orang hilang akal. Dia mungkin faham mengapa Dona begitu, namun bukan orang lain! Dia tak mahu dianggap berjalan dengan orang gila tiap kali mereka keluar.
“Don, kita tengok cerita lain aje ya? Dah alang datang ni. Fanaa tu kita tengok nanti, kat tempat lain.” Raisya bersuara lembut. Mahu memujuk hati yang hangat dek kecewa itu.
Dia tidak mampu selami perasaan sebenar Dona kerana dia tidak pernah meminati mana-mana pelakon atau selebriti sefanatik itu. Jadi, dia hanya boleh cuba faham—walau tidak sepenuhnya.
“Kejap! Aku nak tahu kenapa Fanaa tak ditayangkan di sini. Dah lebih berapa hari dah ni, takkanlah tak ditayangkan! Aku nak tahu jugak. Jugak-jugak!” ujar Dona terus memanjangkan langkah.
Raisya cepat-cepat memaut lengan Dona. Mahu menghalang ayunan kaki temannya itu. Bimbang Dona takkan jadi dirinya dan melepas geram kepada mana-mana pekerja di situ sedang mereka, baginya, adalah pihak yang tidak berdosa.
Oleh kerana tubuh Dona lebih tinggi dan agak berisi berbandingnya, usahanya menghalang tidak berjaya sepenuhnya apabila dia turut terdorong ke hadapan. Mengikut langkah berang Dona. Namun dia tidak mengalah. Tetap cuba menarik lengan Dona sekuatnya, sedaya kudratnya. Kedua-dua kaki diperkemas ke lantai, menginjak kuat.
Dia berjaya… dan dia termengah.
“Apa halnya ni?!”
“Don, memang tak ada. Sabarlah. Kita tengok kat tempat lain nanti. Esok pun tak apa,” ucap Raisya, lembut memujuk.
Dona melihat Raisya seketika. Lalu menarik nafas sedalamnya, beberapa kali. Menenteramkan diri.
Apabila Raisya lihat wajah yang memerah itu beransur tenang, hilang kerut marah dan geram, dia melepaskan pautannya di lengan Dona. Turut sama bernafas lega.
“Okey. Kita tengok kat tempat lain.” Dona bersetuju dengan Raisya. Mengangguk kecil.
“That’s a good girl. Jadi, malam ni kita nak tengok cerita apa?” Raisya talakan mata ke skrin.
“Tak kisahlah,” ujar Dona acuh tak acuh. Tak bersemangat. “Aku tak kisah dah. Cuma…”
Wajah Dona kembali berkerut. Matanya terarah ke kaunter tiket Gold Class di kiri mereka, paling hujung. Tiada batang tubuh berbaris di situ. Malahan dua orang staf yang menghuni kaunter tersebut tampak girang berkongsi cerita dan ketawa. Dia mula nampak Kajol di dalam Kabhi Kushi Kabhi Gham sedang menangis!
“Cuma apa?” soal Raisya tanpa memandang Dona, lebih galak mendongak kepala mencari filem menarik yang lain untuk menggantikan filem Fanaa. Niatnya hanya satu; cepat pilih, cepat beratur! Bolehlah nak jauhkan Dona daripada memulakan ‘pemberontakan’.
“Cuma sebagai pengguna yang mempunyai hak, aku perlu tahu jugak!” Dengan kata itu Dona lesap dari sisi Raisya, menonong ke kaunter Gold Class.
Sekarang tangisan Kajol di dalam Kuch Kuch Hota Hai ketika frust dengan Shah Rukh terlayang di ruang mata! Langkahnya kian laju.
Raisya cuba bertindak sepantas mungkin. Mengaut tubuh Dona sekali lagi. Namun yang ditangkap hanya angin. Dona sudah bersemangat mengorak kaki, menjauhinya. Dia hanya boleh menyentuh dahi dengan keluhan kecil. Pemberontakan sudah dimulakan!
Ya Allah, Kau berilah kekuatan jitu kepada dua makhluk-Mu yang bakal menjadi mangsa amukan Dona. Mereka perlukannya jika mahu mendepani Dona dalam keadaan begini. Mampus disayat dengan soalan demi soalanlah budak-budak tu!
Dia sempat menggeleng sendirian sebelum melihat ke arah barisan orang ramai yang sudah mula panjang berbanding tadi. Daripada dia tercangak di sini menanti Dona kembali—kerana dia yakin dia perlu tercangak lama jika perlu menanti temannya itu—ada baiknya dia beratur dulu dan dapatkan tiket untuk mana-mana filem yang kena dengan seleranya dan Dona.
Raisya meliarkan pandangan ke arah barisan-barisan yang telah dibuka. Mahu mencari satu baris yang paling pendek berbanding yang lain. Dan, ketika inilah dia rasakan sesuatu. Ada debar, ada gusar. Resah menggulung perasaan. Dah kembali jadi roti jala berjala-jalalah. Dia tahu perasaan ini. Dia sedar resah rasa ini. Dia pasti laluinya tiap kali ada pertemuan antaranya dengan Fariz.
Sebelum mata mereka menyapa, perasaan ini akan lebih dulu menjenguk. Dan, dia tidak salah menduga.
Matanya menerpa ke raut kacak yang putih bersih itu. Matanya tunak di situ, terlalu tergamam untuk dialihkan. Malahan kalau dia mahu pun belum tentu dia boleh larikan mata daripada sepasang mata sepet dengan anak mata hitam yang sedang kemas memauti matanya.
Mereka terus-terusan saling merenung.
Raisya rasa mahu lari. Namun kakinya mati. Terkaku di tempatnya. Debar itu kembali mengusung. Resah itu tambah memasung. Setiap helai bulu roma tegak berdiri. Dia tidak takut, dia bukan pengecut. Namun ada sesuatu pada renungan bersahaja itu yang buat dia jadi takut lalu berubah jadi pengecut.
Fariz, di dalam barisan, berpeluk tubuh dengan raut tenang, tidak lepas menjamah paras manis yang sering mengekori ingatannya selama dekat dua bulan ini. Gadis ini tidak mengharapkan adanya pertemuan kedua di antara mereka. Tapi bagaimana untuk jelaskan pertemuan takdir yang diatur di antara mereka selama ini?
Malam ini, antara mereka berdua sudah ada lapan pertemuan!
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 05, 2012 10:36

May 2, 2012

.: dalam satu rasa [2] :.

“SAYA benar-benar tak sangka adanya sebuah agensi macam ni. Kalau tak sebab kawan saya, mungkin saya tak akan tau. I’m impressed! Tambahan pulak bila tau agensi ni diuruskan oleh seorang perempuan. Awak masih muda, tapi azam awak cukup kuat,” ujar Farina. Matanya terus-terusan melingas ke sekeliling ruang bilik sederhana besar yang indah tersusun itu.
Tiada sebarang perabot mahupun barangan mahal di dalamnya, namun rasa selesa mampu menggamit hati siapa sahaja yang bertandang. Begitulah juga dengan dirinya. Dinding bilik itu pula diisi dengan pelbagai lukisan abstrak, yang Farina sendiri tidak dapat baca maknanya. Antara kebanyakannya, ada satu lukisan yang menarik perhatian Farina. Bukan sebuah lukisan abstrak, sebaliknya sebuah potret keluarga. Kelihatan seorang wanita yang agak berusia bersama tiga gadis dan seorang anak kecil. Salah seorang daripada tiga gadis itu adalah gadis di hadapannya ini, bernama Zafifah. Dua orang lagi dia tidak pasti siapa, namun daripada agakannya, mungkin sahaja dua orang adik perempuan Zafifah, yang disebutkan gadis ini seketika tadi. Anak kecil itu pula, yang duduk di pangkuan Zafifah, mungkin juga adik bongsunya. Mungkin ia, mungkin tidak, teka Farina sendiri, mencongak dalam minda.
Suara Zafifah mengembalikan mata Farina, ke wajah manis itu.
“Terima kasih, Puan Farina.” Zafifah mengukir senyuman kecil.
Bukan satu perkara baru mendengar kata-kata sedemikian daripada mana-mana klien Agensi 3SAI, sebaliknya Zafifah sudah lali. Namun yang meresahkan dia kini hanya satu perkara. Dia tidak pasti sama ada dia mampu menerima Farina sebagai salah seorang kliennya. Dan perkara ini amat mengganggu ketenteraman perasaannya.
Zafifah tahu, untuk menerima setiap kes yang tiba pada mereka adalah sesuatu yang di luar bidang kuasanya. Namun setakat ini, selama lima tahun berdirinya Agensi 3SAI, tidak pernah sekali pun keadaan sebegini perlu didepaninya. Kali ini, buat pertama kalinya dia perlu menimbangkan sama ada mahu menerima kes Farina ini ataupun tidak. Sesuatu yang tidak pernah dihadapinya sebelum ini. Dan dia sangat tak gemar depani hal begini.
Menolak bermakna menghampakan. Menghampakan klien yang datang satu hal, namun keputusan menolak bakal menghampakan hati dan dirinya sendiri. Bukan mudah untuk Zafifah menelan hakikat itu. Sebolehnya tak hendak langsung.
Sebetulnya, bukan Zafifah tidak mahu menerima kes Farina, walaupun dia sendiri belum tahu kisah keseluruhannya sedang wanita itu awal-awal lagi mahu menceritakan segala. Belum panas punggung lagi, tapi Farina sudah pun mahu jelaskan kenapa dia berada di sini. Namun Zafifah yang menghalang dengan alasan sebelum mendengar dan menerima kes wanita itu, yang dijangka dalam pertengahan usia 40-an, walau nampak muda sedikit daripada usia sebenarnya, bahawa dia harus mendengar pendapat adik-adiknya terlebih dahulu kerana mereka turut punya peranan penting dalam agensi ini.
Mendengar pendapat adik-adiknya? tingkah hati Zafifah sendiri. Sebelum ini tidak pernah pula dia lakukannya. Mungkin ada ketikanya dia perlu duduk berbincang dengan Mahirah atau Zahirah mengenai mana-mana kes yang dihadapkan kepada mereka, malahan dengan staf-staf Agensi 3SAI pun ada. Tapi bukan dalam menerima sebarang kes, sebaliknya untuk mencari titik akhir bagi sesuatu kes itu, sebelum ia ditutup lalu dibawa segala bukti dan saksi kepada klien mereka. Tapi kini, berlainan pula.
Ketukan pintu biliknya membuatkan Zafifah menghambat jauh segala rasa tidak senang dalam hatinya. Dia tidak boleh tunjukkan perasaan bersalah atau hampa. Dia harus bersikap profesional. Tayang muka neutral, tanpa sebarang perasaan di situ bersama senyuman nipis. Bukankah itu perkara yang mudah untuk dia selama ini?
Zafifah menarik nafas pendek, dihela lalu cuba disekolahkan mukanya dan menghantar senyuman tipis kepada Farina, sebelum mereka sama-sama menoleh batang leher ke muka pintu yang mula menganga. Di mana kini, kelihatan Mahirah dan Zahirah sedang berdiri.
“Oh, my! The three of you look so much alike,” kata Farina tiba-tiba. Di dalam potret lukisan tadi dia tidak nampak itu semua. Namun kini, apabila berhadapan, ketiga-tiga gadis itu nampak begitu seiras.
Farina turut bangun dari tempatnya. Membuatkan Zafifah ikut bangun kerana dirasakan tidak sopan untuk dia terus duduk sedang kliennya—walaupun belum boleh dipastikan akan menjadi kliennya ataupun tidak—telah pun berdiri.
“Ya Allah!” Farina membulatkan mata. Tangannya menutup mulut sendiri, yang mungkin sudah ternganga tanpa sedar, tanda terlalu takjub. “Siapa saja yang kata kau orang bertiga bukan adik-beradik, memanglah buta! The three of you look like twins. A triplet.”
Zafifah melebarkan senyum.
Mahirah dan Zahirah sama-sama berkongsi pandangan lalu turut mengukir senyuman. Mungkin tidak tahan dengan gelagat wanita di hadapan mereka. Gaya mesra sepanjang zaman puna ada.
“My, my, the same smiles. Tiga-tiga, ada senyuman yang sama! By any chance, are you…” Farina merenung paras Zafifah, Mahirah dan Zahirah silih berganti. Agak lama. “Twins?”
Gelengan Zafifah, Mahirah dan Zahirah mengambil tempat. Isyarat kepala mereka menjawab soalan Farina, serentak.
“Hmm, I can see that now. Walaupun tadi saya benar-benar yakin dan pasti kau orang bertiga adalah kembar, tapi sekarang saya dah nampak dengan jelas. The three of you are just three sisters who look very much alike. Sampailah dilihat betul-betul. I can see the difference, now. Zafifah adalah kakak sulung manakala, yang pakai spek ni... I’m sorry, dear, cause I don’t know your name... You adalah yang kedua dan yang bongsu adalah yang berambut ekor kuda ni. Kan?” Tangan kanan Farina melayang-layang antara Mahirah dan Zahirah.
“Ya, Puan Farina. Tekaan yang tepat sekali. Anyway…” Zafifah akhirnya bersuara. Sudah cukup rasanya dia biarkan Farina menguasai suasana antara mereka. Lagipun, reaksi wanita itu saling tidak tumpah dengan mana-mana klien mereka selama ini. Sama dan serupa.
Zafifah mengorak kaki mendapatkan wanita yang sudah melangkah mendekati Mahirah dan Zahirah seketika tadi.
“Puan Farina, these are my sisters, Mahirah and Zahirah. Seperti yang Puan Farina tau, saya perlukan persetujuan mereka dahulu sebelum membuat keputusan sama ada mahu menerima kes Puan Farina ataupun tidak.”
Ucapan lancar Zafifah menerima anggukan daripada Farina, namun berlainan pula keadaannya dengan Mahirah dan Zahirah. Sama-sama tayang muka pelik. Namun isyarat mata daripada kakak mereka membuatkan mereka turut mengangguk kepala dan tayang gigi. Paling lebar daripada Mahirah.
“Puan Farina boleh duduk di sini dulu. Kami akan bincangkan apa yang patut. Excuse us,” kata Zafifah masih dengan senyuman. Mengangguk kecil kepada Farina sebelum mengatur kaki keluar dari biliknya sendiri.
Tanpa memberi sebarang arahan kepada Mahirah dan Zahirah, dia terus mengorak kaki. Dia tahu, kedua-dua adiknya itu sedang membuntutinya ketika ini. Dan kedua-dua mereka pastinya sarat dengan rasa ingin tahu mengenangkan sikapnya seketika tadi. Segalanya akan terjawab.

“SAYA perlukan persetujuan mereka dahulu sebelum membuat keputusan sama ada mahu menerima kes Puan Farina ataupun tidak. Da… since when?” tanya Zahirah turut melabuh punggung ke atas kerusi empuk di dalam bilik mesyuarat itu.
Zahirah duduk di sebelah kiri Zafifah manakala Mahirah di sebelah kanan. Zafifah, seperti biasa mengambil tempat utama, mengepalai mesyuarat mereka. Tiga buah kerusi di kiri Zahirah serta tiga buah lagi di kanan Mahirah hanya kosong tanpa penghuni.
Mahirah hanya diam mendengar ucapan Zahirah. Matanya tidak langsung melepaskan raut muka Zafifah, yang mula terpamer rasa gusar di situ sedang sejak di dalam bilik kakaknya itu, hinggalah mereka jejakkan kaki ke sini, kakaknya itu sembunyikannya dengan begitu baik sekali.
“What is wrong, along? I can see from your face, something is bothering you.”
Zafifah menghempas keluhan kecil. “Yeah, something is bothering me. Mengenai Puan Farina, kita ada masalah.”
“Masalah apa, along? Tentu masalah besar sebab sebelum-sebelum ni tak pernah along panggil kami untuk diskus macam ni. Selalunya along sendiri akan timbangkan sama ada nak terima sebarang kes ataupun tak sebab along tahu kami akan setuju, sokong aje.” Zahirah menolak rambut hadapannya yang terjuntai tiba-tiba, mengganggu pandangan.
Rambut keriting Zahirah paling pendek antara mereka tiga beradik. Potongan layered menyentuh bahu. Tak padan dengan dia yang feminin, kata seseorang. Sedang Mahirah yang ada elemen tomboi sejak kecil, gemarnya berambut panjang. Terbalik kata seseorang itu.
“Sebab sebelum ni along tak pernah ada masalah untuk handle sebarang kes yang kita dapat. Along percayakan setiap staf kita dan dia orang memanglah berikan yang terbaik, alhamdulillah. Cuma sekarang…” Zafifah diam. Keluhan terluah dari ruang dada.
“Cuma sekarang apa? Kes ni terlalu susah sangat ke untuk kita depani?” Zahirah menggesa.
Mahirah hanya membisu. Senang jadi pemerhati setiap kali berdepan dengan perbincangan begini.
“Actually, I didn’t know any single thing about this case. Zero knowledge.”
“Kenapa?” Zahirah juga yang bersuara.
Zafifah renung Mahirah dan Zahirah. Silih-berganti untuk seketika. “Itulah sebabnya along panggil angah dan adik. We need to discuss this. Kita kekurangan staf. And I don’t think we have the opportunity to accept Puan Farina’s case. Along panggil kamu berdua untuk tau, sama ada angah dan adik sokong along ataupun tak, jika buat pertama kalinya Agensi 3SAI menolak satu-satunya kes yang bakal jadi milik kita?”
Mahirah dan Zahirah sama-sama ternganga. Tidak percaya bait kata itu akan meniti bibir Zafifah. Zafifah tega diamuk rasa hampa yang bakal mengepung seluruh daging bernama hati? Atau kakak mereka tak akan rasa begitu lagi kerana sesudah lima tahun, hal ini hanyalah satu urus niaga dengan klien dan sudah tidak lagi libatkan daging itu? Begitukah?
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 02, 2012 09:30

May 1, 2012

.: secukup rasa [21] :.

AMAR menghempas tubuh pada sofa di bilik kerjanya. Kepenatan. Banding hari selalu, hari ini dia paling penat. Mana tidaknya kalau seharian dia bertungkus mengerjakan pekerjaan yang diperlukan untuk satu minggu ini. Dia mengejar apa sahaja pekerjaan yang perlu dihabiskan dalam lima hari. Mana tak serupa ini jadinya.
“Kenapa kau buat macam ni, Amar? Ni dah kes dera tau.”
Ucapan Hadi yang duduk di sofa berangkai di sebelah buat Amar buka mata. Kepala yang masih bersandar dibiar saja. Dia pandang Hadi begitu. Gaya orang penat belum hilang begini, kalau dengan Hadi, dia tidak kisah. Tidak perlukan topeng muka persona yang selalu dia guna pakai. Selamba Amar angkat sebelah kening.
“Jelas. Kau tengah dera diri dengan habiskan kerja satu minggu dalam masa satu hari. Dah dekat pukul 9.00 dah ni. Dengan aku-aku sekali kena dera. Ah...” Mengeluh Hadi, buat-buat serius. Padahal bukan kisah sangat pun perlu balik waktu begini. Lebih lewat pun pernah. Kerana Amar jenisnya kalau sudah terlalu taksub dengan kerja pada satu-satu waktu, dia perlu ada sama. Dia harus memantau. Pantau supaya Amar tak lupa diri. Jika tidak, Amar akan terus menghadap kerja saja.
Namun, kerja keras itulah antara rahsia berjayanya Setia Pertiwi di bawah naungan Amar.
Ramai menyangka Amar seorang genius. Kerana itulah Setia Pertiwi bukan saja berdiri berdiri sempurna sebagaimana sebelumnya, malah lebih gah dan kian menjadi sebutan lagi. Hakikatnya, Amar bukanlah genius yang tidak mengadun usaha dalam mencapai apa yang Setia Pertiwi ada kini. Amar berjerih, Amar bersusah. Cuma banyak mata menutup pandang, seperti tidak nampak akan hal itu sebaliknya sewenang meletak kenyataan bahawa Amar itu ada sentuhan emas pada setiap apa disentuhnya. Midas.
Sedang Amar, hanyalah manusia yang berusaha dalam mendapatkan sentuhan Midas itu.
“Baliklah. Yang ikut aku ke sini kenapa? Balik, lepaskan rindu kau kat Wid. Dia mesti tunggu kau.”
Hadi ketawa. “Tak ada maknanya. Sah dia dah tidur tu. Kata nak tidurkan budak-budak, sekali dengan dia-dia sekali lelap.” Berkata begitu, Hadi mengukir senyum. Senyum mengingat, senyum mengenang.
Melihat Hadi yang begitu, entah mengapa terpalit cemburu di hati Amar. Bukan datang kerana Widelia, tidak juga kerana Hadi. Ia datang kerana apa yang kedua-dua sahabat baiknya itu ada. Dan ia baru hendak datang semenjak dua menjak ini. Awal dulu, sebelum ini, tidak pula cemburu sebegini menjengah rasa. Amar faham sangat mengapa timbulnya perasaan cemburu sebegini. Jelas yang sangat walau cuba dinafi-nafi. Dia cemburukan apa yang Hadi ada bersama Widelia. Dia cemburukan akrab hubungan dan dalamnya sayang antara pasangan suami isteri itu.
Kerana Amar tidak pernah berpeluang merasa ia.
Hubungannya dengan Maiya tidak bermula begitu dan berakhir pun tidak begitu. Hubungannya dengan Maiya hubungan ah-dia-calon-isteri-terbaik-CEO-Syarikat-Pertiwi. Hubungan mereka memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak, ada timbal balik. Dia tidak memberi lebih, Maiya tidak meminta lebih. Hubungan sekadarnya. Lebih sebagai rakan kongsi daripada suami isteri.
Sebelum-sebelum ini, bertahun-tahun sebelum ini, Amar tidak pernah fikir lebih perihal perkahwinannya dengan Maiya. Ia pernah bermula dan berakhir apabila Maiya meninggal dunia. Begitu saja. Hilangnya Maiya pun dia tidak rasa sampai ke hati. Ah, Maiya dah tak ada. Ah, isteri aku dah tak ada. Ah, mama Aisy dah tak ada. Itu saja antara kelumit rasa yang sentuh hati. Sedih itu ada, tapi tidaklah sampai dia rasa hilang dan kosong. Malah tidak juga rasa ada yang pincang dalam kehidupannya selepas itu.
Namun, beberapa hari ini, semenjak Zunah kembali ke rumah ini, dia selalu terfikir-fikirkan arwah Maiya. Cuba menjejak apa yang mereka pernah ada, dalam tiada. Dan sejak itu juga dia pandai cemburu lihat kemesraan Hadi dengan Widelia. Cemburu kerana dia tidak memilikinya bersama Maiya dulu malah mungkin saja tak akan merasa ia bersama Zunah.
Zunah benci dia. Zunah mahu berkahwin dengan dia kerana terpaksa. Akan sampai manakah hubungan paksa yang intinya rasa benci? Amar mengeluh sendiri.
“Apa halnya ni, Amar? Kau lain macam satu hari ni. Dah bertungkus lumus serupa orang tak kenal penat, sekarang, asyik mengelamun, asyik mengeluh. What’s wrong actually? Something to do with your wife to be?”
Amar senyum tipis. “Kenapa ya, Hadi, kau cakap okey dengan permintaan Wid hari tu?”
Berkerut sekejap dahi Hadi hendak fahamkan. “Hari tu? Hari bila?”
“Hari Wid propose kau. Give me a baby…”
Hadi pandang seketika Amar. Bukan pandang yang biasa-biasa. Namun pandang yang ada erti. Akhirnya Hadi senyum. “Aku tengok mata dia… dan aku nampak yakin, pasti. Dia tak main-main. Dia sangat serius. Hubungan aku dengan Wid awalnya macam kau dengan Zunah sekarang nilah…”
Amar tertawa perlahan. Sekejap saja. “Aku tau kau nak sedapkan hati aku, Hadi. Tapi contoh yang salah kau guna tu. Aku dibenci Zunah, sepenuh hati. Tu permulaan hubungan aku dengan Zunah. Sedang Wid… dia tak benci kau. Dia selesa dan senang dengan kau. Zunah…” Diam. “Tak selesa atau senang dengan aku.”
“Kau tau tak kenapa Wid propose aku hari tu?”
Amar geleng perlahan. Sungguh dia tidak tahu. Bukan tak ada dia soal Widelia. Ada. Namun Widelia asyik tunjuk gigi. Bila dia dah mula rasa nak buat Widelia kutip gigi apabila asyik beraksi begitu, sudahnya Amar tak soal lagi. Biarlah rahsia.
“She was pressured by her family into marriage with someone she doesn’t know. After she was pressured into making herself… your wife.”
Amar sentak. Tidak menyangka pula. Sangka Amar Widelia tidak pernah mengalami keadaan sebegitu. Didesak keuarga pasal hal nikah kahwin apatah pula didesak dalam mendapatkan dia sebagai suami. Widelia yang dia kenal orangnya selalu ceria, bagai tiada hal. Masalah atau penekanan sepertinya tiada ke atasnya. Hidup Widelia nampak mudah. Bekerja, sibuk dengan kerja, kemudian berhenti. Habis rutin itu, cari kerja baru dan mulakan rutin yang sama. Widelia relaks sahaja dengan dunianya yang sebegitu. Tidak pula Amar perasan bahawasanya mata kasarnya sekian waktu itu hanya dibohongi.
“Dia sangat tertekan. Tapi dia tak cakap kat kau, kat aku. Tapi hari tu… kata Wid lepas kami kahwin, dia fikir satu aje. Daripada dia kahwin dengan entah siapa… atau dipaksa-paksa supaya perangkap kau sebagai suami, baik dia cari alternatif lain. Dan alternatif itu aku. Sebab aku lelaki kedua rapat dengan dia selepas kau. Dia tau dia takkan jadi isteri kau sebab dia tak boleh bayang jadi satu lagi Maiya. Dia Wid. Wid yang suka ambil masa sendiri dalam buat apa dia nak dan bukan jenis ditetapkan langkah dia, dihadkan jalan dia. Jadi, dia pilih aku. Dia sanggup masuk perkahwinan tanpa cinta, tanpa sayang, dengan aku. Bukan ke kau dengan Zunah pun sama? Tanpa cinta, tanpa sayang?”
“Perkahwinan aku dengan Maiya bermula dengan… tanpa cinta, tanpa sayang. Tapi lepas hidup dengan Maiya selama tu, aku mula sayang dia… hargai dia. Dia isteri aku, dia mama Aisy. Dan kau pulak, dengan Wid… walaupun permulaannya kosong perasaan, tapi sekarang hangat menggebu-gebu. Kalah pengantin baru aku tengok.”
“Sebab malam aku tau pasal apa Wid cakap tu… aku berjanji takkan terus dengan perasaan kosong. Aku isi, dia isi…” Hadi sengih nakal. “Lama-lama Wid pun berisi.” Hadi gelak sakan.
Amar pula tersenyum sambil geleng kepala dengan ayat 18SX sahabatnya itu.
“Kau nak tau isi apa aku guna sepanjang hubungan kami, sampai sekarang?” Apabila Amar jongket dagu sedikit, mahukan kata lanjutnya, Hadi sambung , “Aku tak mencintai Widelia yang sempurna. Tapi aku mencintai Wid aku, yang degil, yang kadang fikir dia aje betul, yang kadang cari pasal tak menentu dengan aku, merajuk tiba-tiba…” Senyum. “Wid yang tak sempurna… aku mencintai dia dengan sesempurna mungkin. Sebagaimana dia sayangkan aku yang tak sempurna, sesempurna mungkin.”
“Mmm…” Amar berkerut dahi. “Aku agak tak faham.”
Tersenyum, Hadi bangun daripada duduknya. “Benci Zunah pada kau tu adalah ketidaksempurnaan Zunah. Sayang benci, dakap benci tu. Sayang Zunah yang tak sempurna, sesempurnanya.”
Bersama nasihat yang lebih-lebih buat Amar kerut dahi dan muka, Hadi berlalu ke pintu bilik kerja Amar, mencapai tombol. Sempat dia kerdip mata kepada Amar yang nyata sangat tidak faham apa yang dia baru kata. “Aku balik dulu. I miss my wife already… Assalamualaikum, Amar. Have a rest.”
Mengangguk tanpa sedar, Amar biar saja Hadi berpergian tinggal dia sendiri. Tinggal dia yang masih cuba cerna makna mendalam yang cuba Hadi sampaikan. Ada masa kawan baiknya itu suka member nasihat dalam bentuk jalan jauh dan bukan lebuh raya. Konon hendak Amar lebih menghargai nasihat diberi. Nak hargai apanya kalau faham pun lepas sepuluh tahun!
Malas memikirkan nasihat Hadi yang dia hanya akan faham sepuluh tahun nanti, Amar bawa mata ke pergelangan tangan. Jarum jam yang sudah lebih jam 9.00 mendetikkan sesuatu.
“I miss my wife already….”
Bicara akhir Hadi itu menjengah. Lalu hati jadi panas dengan perasaan yang susah hendak dia tafsirkan. Keinginan ikut membuak. Amar hendak melihat paras Zunah. Amar mahu mendengar suara Zunah. Bingkas, sambil melonggarkan lagi tali leher dan menyingsing lengan kemeja ungu cair pada tubuh, Amar memanjangkan langkah, keluar dari bilik kerjanya. Dan ketika itulah dia berpapasan dengan Mokhtar, lelaki 50-an yang kini menjadi ketua pembantu rumah agam itu.
“Mokhtar, Aisy dah tidur?” tanya Amar sambil melarikan langkah, tanpa berhenti. Lelaki bernama Mokhtar itu beriringan dengannya. Memikirkan langkah Mokhtar yang lebih kecil atas faktor ketinggian dan usia, Amar mengecilkan langkahnya. Masih ada rasa perikemanusiaan berbaki. Tambah apabila mengenang lelaki itu sudah banyak berjasa kepada rumah agam itu semenjak tiada Maiya dalam memastikan urusan rumah agam tersebut.
“Belum, Tuan Amar.”
Henti sekejap kaki Amar. Hairan. “Belum? Dah 9.00 lebih masih belum?”
Mokhtar berdeham-deham. Seperti tiada keyakinan hendak bersuara ataupun tidak. Namun apabila perasankan mata tajam Amar yang kian mengecil dan mencengil melihatnya, berdeham kuat, terus Mokhtar berkata, “Aisy masih kat nusery. Dengan Cik Zunah dan adik, mmm… maksud saya Firhal.”
“Nursery?” Amar kembali atur kaki, laju tanpa kisahkan singkat langkah Mokhtar di belakang, yang mengejar.
Amar terus bergerak ke apartmen di sebelah selatan. Rumah agam itu mempunyai sayap utara dan selatan. Untuk memudahkan, Maiya menamakan apartmen selatan dan apartmen utara. Apartmen selatan dipenuhi dengan bilik pengasuh, bilik tidur tamu yang boleh memuatkan 10 orang lagi sesudah antara bilik yang ada diisi Pak Cik Aiyub, Mak Cik Faizah serta dua anak bujangnya. Ada sama bilik tamu yang Maiya panggil bilik menyambut, di mana tetamu yang datang bertandang dilayan di sana, juga bilik makan tamu yang mempunyai meja makan yang dapat memuatkan hampir 20 orang serta bilik muzik yang diisi dengan piano kerana Maiya cukup suka memainkannya kepada pengunjung rumah itu.
Manakala apartmen sebelah utara pula diisi bilik tidur keluarga. Ada bilik tidur Amar, ibunya serta Aisy. Kini bertambah pula dengan bilik tidur Zunah, yang dikongsi bersama Firhal. Malah Amar sudah pun minta Mokhtar memastikan sudah ada dua bilik untuk dua lagi adik Zunah. Dan masih ada beberapa lagi bilik tidur serta sebuah perpustakaan mini yang dipenuhi dengan novel-novel Melayu kegemaran Maiya. Perpustakaan mini yang isinya sudah tidak bertambah lagi sesudah tiadanya Maiya. Selain bilik keluarga, di apartmen utara juga terdapat bilik-bilik pembantu rumah di rumah agam itu. Hanya beberapa orang yang bujang. Malah, Mokhtar sendiri tinggal di situ semenjak dulu.
Sebaik tiba ke apartmen selatan, Amar terus sahaja mendapatkan bilik yang dijadikan nursery di situ. Bilik yang jadi tempat Aisy yang berusia lima tahun belajar atau bermain. Di bawah pengawasan pengasuh yang disediakan, Aisy harus dipastikan mempelajari apa yang perlu sebagai bakal pewaris Setia Pertiwi dan dibolehkan bermain setakat yang perlu. Aisy semenjak usia kecil sudah diasuh oleh Maiya, dengan setuju Amar, untuk menjadi seorang genius. Maiya sangat menitikberatkan hal itu dari segala segi, termasuk makan minum, tutur adab serta pembawakan Aisy. Aisy sudah didewasakan sebelum usia oleh mereka, dengan kawalan ketat oleh pengasuh yang bersama Aisy semenjak anak itu dilahirkan.
Jadi, atas sebab itulah Amar terkejut sakan apabila menolak pintu bilik nursery yang sedikit menganga.
Zunah duduk di atas lantai, sebagaimana Aisy dan Firhal. Zunah duduk bersila itik, Aisy dengan lutut memangku lantai dan agak menonggeng manakala Firhal duduk mengangkang bersandarkan tubuh kakaknya. Zunah dengan telapak tangan comot. Aisy juga sama. Firhal pula mulut comot.
“What’s happening here?” tanya Amar bercekak pinggang di hadapan pintu bilik nursery yang sudah menganga. Sebagaimana mulutnya, tak percaya.
Suara yang bergema tiba-tiba dan agak keras lantunannya mengejutkan Aisy yang sedang menonggeng sambil melekapkan sesuatu di tangan pada kertas di atas lantai. Tertiarap Aisy jadinya. Zunah yang seperti Aisy sedang memberi perhatian pada sesuatu di tangan, terus menjerit terkejut sambil baling ‘sesuatu’ di tangan itu ke belakang, sambil mulut melatahkan, “Oh mak kau terkejut!”
Amar yang sudah sedia terkejut jadi lebih peranjat dengan latah Zunah. Minah salih celup melatah, bukan selalu dapat tengok. Sah bahana keluarga baru Zunahlah. Kemudian mata Amar terus ke tubuh lampai dan berisi yang baru dia perasan sejak tadi berdiri di belakang Zunah. Yang tadinya mungkin saja mencerun marah, setakat Amar kenal pengasuh Aisy itu, kini sedang menyambung latah Zunah dengan, “Oh kau aku terkejut!”, kemudian capai ‘sesuatu’ yang terkelepek elok pada muka tembamnya. Pengasuh Aisy yang Amar tak pernah ambil tahu nama selain panggil Pengasuh itu, yang selalunya tahu hendak bermuka serius lagi garang, ketika ini nampak seperti hendak menangis sangat-sangat, sambil pandang ‘sesuatu’ yang sudah ada di tangannya.
Amar tilik dari jauh ‘sesuatu’ itu. Memicing mata hendak tangkap ‘sesuatu’ yang rupanya macam… ubi?!
Masih tidak dapat menerima hakikat, Amar alih mata kepada Zunah yang masih duduk bersila itik di atas lantai, sambil memeluk Firhal di kiri dan Aisy di kanan, memandang dia serupa hendak menelan orang. Dan orang pilihan Zunah itu adalah dia. Namun… Amar lebih nak tahu…
“Ubi?”
Zunah angkat tinggi muka. Macam beri amaran pun ada.
Lalu Amar jadi perasan pada comot muka Zunah, sebagaimana telapak tangan Zunah. “Watercolor?”
Amar langsung tidak dapat apa kaitan ubi dengan watercolor, sampailah dia lihat kertas di depan Zunah, yang sudah dicop-cop dengan hiasan watercolor pelbagai corak dan hirisan kulit ubi serta isi ubi di atas surat khabar, sedikit jauh daripada Zunah. Ada sama pisau lipat di situ. Bilik nursery yang selama ini jadi kebanggaan Pengasuh nampak seperti dapur master chef sesat!
“Zunah buat apa ni?!” Amar teran satu demi satu ayat menahan rasa.
Aisy memeluk lengan Zunah erat, sembunyi muka.
Firhal masih malas-malas bersandar pada Zunah, sambil gigit ubi di tangan.
Zunah pandang berani orang yang dia hendak telan, yang kini sepertinya hendak telan dia.
Dan tiba-tiba Pengasuh muka jiwa kental Iron Lady mula menangis hiba…
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 01, 2012 11:45

April 30, 2012

Cinta Datang Lagi | Bab 1

Mac 2006Serba putih—itulah tema perkahwinan itu. Keluarga pihak lelaki, sanak saudara sebelah perempuan. Juga pasangan yang diraikan sendiri—Jaspal dan Shereen. Malahan, ruang dewan yang ditempah khas untuk majlis resepsi perkahwinan itu juga galak tampilkan warna penuh kesucian itu.            Mempelai lelaki kelihatan tampan dengan kot berwarna putih manakala pengantin perempuan tampak menawan dengan gaun ringkas yang juga berwarna putih. Tema moden dan santai menjadi pilihan majlis resepsi malam itu. Sayang sekali, suci sepasang pakaian pada tubuh tidak menunjuk pada suci dua keping hati itu menerima perkahwinan ini.            Mata itu meneliti raut Jaspal dan Shereen. Ada senyum, ada ceria. Namun cuma plastik sahaja. Dia tidak tertipu sebagaimana pihak keluarga lelaki atau sanak saudara sebelah perempuan. Senyum kaku yang sudah dilatih sejak awal, yakinnya. Kerana kalau senyum itu ada kebenaran, takkan mungkin mata menangkap kepalsuan. Mata tidak pernah bijak membohongi. Itulah pengajaran yang dipegangnya hingga kini.            Dia tidak ke mari untuk lihat wajah mendung pasangan itu, yang sama-sama menerima pilihan keluarga kerana itulah mahu yang lebih tua. Orang tua mereka mahu menukar hubungan rakan kepada keluarga, sekali gus memastikan anak-anak tidak hilang diri dalam cinta yang dipisahkan agama.            Dia juga bukan ke sini demi lihat raut duka pasangan itu, yang sama-sama menerima diri sendiri di luar rela kerana hati masing-masing sudah dihuni cinta lain. Cinta kepada insan berlainan agama dan bangsa. Bukankah di hati itu semua tidak terlihat?            Tapi, hati yang tidak pernah terlihat percaya atau setia, mudah sahaja cinta terundur. Sebaik pasungan jual beli langsai, ia menjauh pergi.            Cinta Shereen Nair, seorang gadis Singh dan sayang Jaspal, seorang pemuda Singh, tewas juga di pertengahan. Cinta hanya boleh menang kalau hati dan perasaan benar-benar menginginkannya. Sekalipun mata masih menyatakan keninginan itu, tiada guna apabila percaya dan setia hilang bersama palsu senyum pada wajah.            Keluhan terlepas.            Tanpa tahu ada diri terdengar, ada mata yang tertampan. Lelaki itu mula menilik setiap aksi si genit itu. Terdorong tanpa mahu, terikut di luar sedar. Si genit bangun dan sang jejaka mengekor.            Raisya terus membawa langkah ke luar dewan yang indah dihias itu. Sudah tidak mampu duduk di mejanya sambil menghantar mata pada dua batang tubuh di hadapan dewan. Juga tidak mampu tabahkan diri melihat senyuman tidak lekang pada bibir kedua mempelai yang telah selamat mendirikan rumah tangga demi satu sebab yang sama; kehendak dan keinginan orang tua.Dan, yang paling tidak mampu dilakukan adalah menerima kerlingan demi kerlingan daripada sepasang mata pengantin lelaki itu, yang telah menghampar janji tanpa memenuhi.Ah, alangkah bagusnya jika dia boleh benci lelaki itu—yang menganyam cinta di hatinya perlahan-lahan namun menghadiahkan derita sekelip mata. Tapi dia tidak boleh benci apa pun yang ada pada lelaki itu. Kerana jauh di sudut hati yang masih punya sisa keluhuran, dia tahu lelaki itu sama menderita. Sepertinya.Kerlingan demi kerlingan itulah yang membicarakannya.Keluhan terluah. Berpeluk tubuh, Raisya terus menghantar kaki ke satu sudut yang paling sunyi. Kerana sunyi itu menyampaikan maksud hatinya kala ini. Dan, dia mahu dihuni sunyi ini!Dia tidak boleh terus duduk di dalam dewan itu, yang diisi batang-batang tubuh, sama ada daripada keluarga pihak lelaki atau saudara pihak perempuan. Tidak juga boleh berdiri di kalangan teman-teman pihak lelaki atau rakan-rakan pihak perempuan.Dia sesak. Dia sebak. Maka sunyi jadi pilihan.Raisya akhirnya mematikan langkah, berdiri merenung ke hadapan, tanpa tahu apa yang sedang direnung. Fokusnya tiada dan lama-kelamaan hanya kekaburan. Kolam matanya kian memberat, lalu dia menyerah diri. Akur pada rontaan hati, rintihan jiwa.Perlahan-lahan mata dipejam, membiarkan sahaja air hangat itu jatuh menitik ke pipi. Mengalir deras semahunya. Memang dia cuba mengawal diri sejak di dalam dewan lagi, namun jika air jernih ini punya pandangannya sendiri… siapa dia untuk menghalang! Lalu dia akur bila ia terus menitis.Titik, titik dan titik!“You tak apa-apa?”Soalan daripada suara garau itu merampas sunyi!Raisya tersentak. Mahu menjerit dek sapaan mendadak itu, dia hilang suara. Ditelan sebak yang menjalar. Seketika tadi dia sangka itu suara kekasih hatinya—bekas kekasih hatinya! Tapi dia tahu dia silap.Suara pemuda kesayangannya itu bukan begitu. Suara ini mungkin garau dan kelakian, namun ada serak. Beza sekali!Raisya mengesat air mata lalu membuka mulut, bersuara. “I okey. Okey!”“But, you’re crying!”Suara itu seolah-olah menyalahkan dia kerana menangis. Serentak itu hatinya jadi berang.Suka hati akulah nak nangis ke, nak meraung ke! Mata aku, air mata aku! Kalau air mata aku kering sekalipun, tak adanya aku nak minta kau sedekahkan air mata kau tu! Malahan kalau aku nangis air mata darah sampai tak cukup darah untuk tubuh aku pun, aku tetap tak akan minta kau dermakan darah kau untuk aku!Ada faham?!“Dan, itu adalah satu kesalahan? Tak ada pun tanda Dilarang Menangis kat sini! Atau ada, tapi I yang tak nampak?” tanya Raisya geram, tanpa memaling muka ke arah pemilik tubuh yang diyakininya hanya beberapa langkah di belakangnya.“Now, you’re angry!”Suara yang masih mendesah pendengaran Raisya itu tidak berubah. Tetap tenang. Sedang dia sudah berubah intonasi. Daripada cemas menjadi berang dan kini… geram.“Oh! Bukan sahaja Dilarang Menangis tapi Dilarang Marah pun ada!”Dengan bibir terketap, Raisya akhirnya menoleh muka dan batang tubuh sekali gus. Mahu menyambung sindirannya tapi dia terbungkam. Terkedu dengan mata tidak berkerdip.Pemuda itu bermuka tenang, tanpa riak. Menentang kemas raut Raisya. Menjadikan Raisya mula tidak menentu. Serba tidak betul.“I know you!”Bingkisan kata pemuda itu membuatkan Raisya mengerutkan dahi. Dia memberanikan diri, mahu bertentang mata dengan pemuda itu namun dia tidak berdaya. Sapaan mata itu buat dia tidak turah dengan debar tidak putus dalam dada.Kenapa ni? Aku kena heart attack ke? Tapi, macam ni ke rasanya kena heart attack?“Ya, I memang kenal you! You sepejabat dengan Jaspal, kan?”Senyuman pemuda itu cukup manis menggoda namun ianya tidak mampu halangi sebak yang tiba-tiba menghimpit dada, menghalau debar tadi lalu ianya meresap ke seluruh ruang jiwa. Tangisan Raisya pecah mendadak, hanya kerana nama pemuda pujaannya disebut. Jaspal, kekasih yang kini telah pun menjadi seorang suami—suami perempuan lain!Lelaki itu jadi kaget. Tidak sama sekali menyangka begitu sekali penangan nama Jaspal. Dia tidak faham mengapa gadis itu, yang diyakininya muda beberapa tahun daripadanya—mungkin dua tahun, mungkin tiga tahun, mungkin… argh, tak penting pun semua tu!—tiba-tiba sahaja meraung begini.Dia juga cukup takjub dengan kebolehan luar biasa gadis ini; sekejap menangis, kemudian melenting, tiba-tiba tayang muka geram semacam dan kini menangis semula! Pencapaian Guiness Book of Records betul!Dia terus memandang gadis yang masih teresak itu. Dia memang pernah melihat gadis ini bersama Jaspal. Dia amat yakin. Jadi, mengapa pula gadis ini mendadak meraung begini? Malahan dia cukup pasti, adiknya, Neesa, pun akan kalah dengan raungan si manis ini.“You’re staring at me!” ujar Raisya kembali tidak selesa. Kalau ikut hati, dia masih mahu hamburkan air mata yang diperam selama ini. Belum puas rasanya.Namun sepasang mata sepet itu menghalangnya daripada memakbulkan keinginan hati. Pautan renungan itu seolah sedang cuba menyelami dirinya malahan di luar sedar cuba memujuknya. Walau dia amat yakin bukan itu tujuan kedua-dua anak mata hitam itu meratahi rautnya.Mungkin pemuda ini sedang cuba selesaikan satu teka-teki hebat dalam menjawab satu soalan mudah: Minah ni baru keluar dari Tampoi atau Tanjung Rambutan? Tentu mamat ini hidup-hidup sangka dia sudah hilang akal. Dan, renungan tanpa jemu itu masih ke segenap inci wajahnya.“You’re still staring at me!” tekan Raisya lebih tegas, antara esak. Mahu si tampan yang berdiri beberapa kaki di hadapannya tahu dia amat tidak selesa dengan kelakuannya itu.Namun si tampan terus merenung.“Macam mana you boleh buat macam tu?”“Apa?” Raisya jadi pelik. Pemikirannya pun sama beralih. Rasanya dia yang perlu menyoal; Mamat ni keluar dari Tampoi atau Tanjung Rambutan?“Bercakap dalam nada tegas sambil teresak? Satu pencapaian yang mengagumkan. Adik I sendiri tak mampu buat macam tu!” Pemuda itu jadi teruja.Sesuatu yang tidak boleh dicapai oleh adik kesayangannya, tentulah akan timbulkan perasaan sebegitu.Raisya terkebil sekejap. Sudahnya tawa halus terletus. Jika tadi tangan kanannya ke mulut, menutupnya demi menahan agar tiada esakan yang pecah didengar kuat, kini ianya kembali ke situ demi menahan tawanya daripada menerpa gegendang telinga pemuda ini.“You memang hebat!” kata pemuda itu sambil mengangkat kedua-dua belah tangan sedikit tinggi. Seolah menyerah kalah dalam cuba menyelesaikan satu misteri X-Files.“Kita baru jumpa, belum cukup lima minit, tapi you dah nangis, marah, geram, nangis dan ketawa. I rasa you kena jumpa adik I untuk tunjuk kehebatan you ni. Biar dia tahu ada yang lebih hebat. Dia juga tentu kagum, sebagaimana I.” Pemuda tersebut terus gelengkan kepala tanda tidak percaya.Sementara Raisya, beberapa kali cuba mengawal tawa di balik esakannya. Namun dia gagal dengan cubaan sendiri. Gelaknya lepas. Lantang dan kuat. Malahan mata yang tadinya mengalirkan air hangat kerana sedih mendengar sebaris nama yang masih lekat dalam hatinya, kini sedang mengalirkan air mata lagi—kerana terlalu galak tertawa.Ironis sungguh!Tawa yang lahir dari sudut hati gadis itu, sebagaimana tangisan tadi, membuatkan bunga bibir sang jejaka perlahan-lahan terangkat. Muka kagumnya hilang. Diganti paras senang, seceria tawa gadis di hadapannya ini—yang sedang menutup mulut dengan tangan kanan dan memegang perut dengan tangan kiri dan badan sedikit menunduk.Sudah lama rasanya dia tidak punya kemampuan untuk pamerkan rasa hati sebegini. Namun malam ini, daripada segala malam yang dilalui, boleh pula dia lakukannya.“I dah...” Raisya menarik nafas dalam seraya cuba mengawal tawa.Namun tidak berhasil. Hanya kerana jongketan kening serta segarit senyum daripada pemuda di hadapannya yang masih tenang dengan wajah senang. Gelaknya kedengaran seketika sebelum dia kembali mengawal diri.“I dah apa?” soal pemuda itu mahu tahu.“I dah lama tak gelak macam ni. Seems like ages! But… it’s good. Very good. Thanks to you.”Pemuda itu melebarkan senyuman. Dia mengeluarkan sapu tangan dari poket seluar lalu diunjuk kepada gadis yang beria berterima kasih kepadanya, sedang di sudut hatinya sendiri dirasakan satu keperluan untuk dia nyatakan rasa terima kasih buat gadis ini.“Nah, lap air mata you tu.”Raisya menggoncang kepala. Menolak.“Air mata gembira tak perlu dikesat. Hanya air mata sedih. Kalau you berikannya sebelum you buat I marah atau ketawa tadi, mungkin I dah terima. Tapi bukan untuk air mata ni.”Pemuda itu mengangkat kedua-dua bahu. Sapu tangan kembali ke poket seluar.“You selalu bawa sapu tangan ke mana pun?” tanya Raisya sekadar mengisi ruang hening yang mahu mengambil ruang.Sekilas, dipandang lelaki tampan yang kelihatan lebih kacak dengan pakaian ala Bollywood seperti dalam filem Hindi. Kurta biru gelap itu kena dengan kulitnya yang putih bersih. Bukan selalu dapat tengok anak teruna berketurunan Cina pakai pakaian sebegini!“Dah jadi habit sejak beberapa minggu. Mungkin dah susah nak buang!”“Habit?”“Hmm. Adik perempuan I selalu perlukannya. Jadi I ada sehelai dalam poket selalu. Sebenarnya untuk setiap poket seluar dah tersedia satu. Precaution!”“You mesti terlalu sayangkan adik you untuk lakukan semua tu. Tapi... kenapa perlukan precaution sampai begitu sekali? Apa yang tak kena dengan adik you?”Pemuda itu menyeringai. “She’s pregnant! Dia memang dah jenis emosional dan sejak pregnant ni dia selalu terlebih emo. Ada sesuatu dengan hormone, mungkin. Entahlah…”Ketawa kecil Raisya meledak. “Adik you cukup bertuah sebab ada abang macam you.”“I selalu cakap macam tu pada dia, tapi dia tak pernah percaya. Apa kata kalau you jumpa dia dan sampaikan pada dia? Those exact words!”Raisya senyum tipis seraya mengangguk.Pemuda itu membalas senyuman gadis itu sambil mata menyoroti raut hitam manis itu. Gadis ini benar-benar punya wajah gadis India. Lebih kepada heroin filem Tamil berbanding filem Hindi. Kalau tidak kerana selendang yang kemas melitupi setiap inci kulit kepalanya, dia tak mungkin jangka gadis ini seorang Muslimah.Malahan gadis ini turut nampak lebih manis memadankan baju Punjabi satu sut berwarna hitam dengan pelbagai hiasan menarik dan unik pada bajunya. Kedua-dua belah tangannya dihiasi dengan gelang yang berpadanan. Selendang yang digunakan sebagai tudung kepala pula jelas sut yang sama dengan bajunya.Wajah si manis ini nyata indah berselendang sedemikian. Kerana dia tahu tidak semua gadis pandai memperagakan selendang sebagai tudung. Sesetengahnya lebih sesuai bertudung litup sahaja. Neesa contohnya!Namun selendang dengan gadis ini, cukup sesuai. Menaikkan seri wajahnya dan sesuai dengan bentuk mukanya. Selendangnya pun sempurna menutup bahagian dada. Bukan sekadar satu fesyen, seperti yang selalu dilihat kini. Menutup rambut, menutup dada—cukup syarat.“You masih lakukannya. Masih renung I. Apa yang tak kena dengan I? I tak nangis atau marah atau geram dan nangis kemudian lagi! Jadi, kenapa you masih tengok I?”Pemuda itu angkat bahu. “I tak boleh nak tahan diri!”“Okey! Soalan yang selalu orang Tanya I bila tengok I, I ni campur ke. Tak, I memang pure Indian. Famili I peluk Islam.” Raisya tayang muka blur tiba-tiba. “Err, kenapa I bagi tahu you semua ni?”“Entah. Mungkin you bosan sebab I asyik tengok you. Sebenarnya itu memang salah satu sebab I tak boleh kalih mata daripada you. You mengingatkan I pada dua orang yang berbeza!”“I harap bukan seseorang yang you benci.”“Kenapa cakap begitu?”“Muka you sedikit berubah...” terang Raisya berhati-hati.“Tak. Bukan orang yang I benci...”Suasana sepi seketika.Pemuda itu masih terus melihat Raisya dan Raisya sendiri masih terus menentang lelaki itu. Seolah menanti salah seorang daripada mereka menyahkan kebisuan yang cuba menghuni.Tugas itu jatuh di bahu si pemuda sudahnya.“Tak nak masuk?”Raisya lekas menggeleng. “I rasa panas kat dalam tu.”Pemuda itu melihat ke arah dewan. Walaupun mereka terlalu jauh dari pintu hadapan namun mereka berdua masih belum tersembunyi daripada batang tubuh lain yang turut keluar mengambil angin malam yang lembut menyapa wajah.Malahan ada juga antara tetamu yang hadir sudah mulai beransur daripada majlis yang sudah berjalan selama dua jam lamanya.Pemuda itu pandang Raisya semula. Boleh ditangkap resah gadis itu apabila mendengar perkataan masuk dalam soalannya tadi. Dia tidak tahu mengapa dia tahu, tapi dia tahu… sebagaimana dia tahu gadis ini juga tidak betah menjadi patung hidup di dalam dewan tersebut.“I pun tak rasa nak masuk. Apa kata kalau kita duduk di mana-mana? Kita boleh berbual. Kalau you mahulah...”Raisya tak fikir lama. Terus mengangguk, mahu!Untuk berada di dalam dewan dia tidak sanggup. Untuk mengajak sunyi meladeni hatinya dia tidak boleh lagi. Pemuda ini tiba-tiba menjadi benteng tempat dia menyandar tubuh. Melepas lelah dan lemas.Apa salahnya berbual dengan jejaka ini dan berkongsi rasa hati? Selepas ini dia tak akan mungkin menemuinya semula. Ini yang pertama, ini yang terakhir. Ya, apa salahnya?!Dia hanya menuruti langkah pemuda itu—yang disedarinya masih boleh digelar Jejaka Tanpa Nama. Pemuda itu mengayun kaki ke sudut yang masih agak tersorok daripada kehangatan di dalam dewan, namun ruang tersebut tidak segelap pilihannya tadi. Diwarnai oleh neon lampu yang berwarna lembut, tidak terlalu terang. Ala-ala romantik gitu!Hisy, aku ni! Ada ke sempat fikir mende gitu?!Raisya hanya melihat tingkah jejaka tinggi lampai itu berhenti mendadak di sudut pilihannya sambil membawa batang leher ke sekitar.“Tempat ni, okey?”Raisya bingkas mengangguk. Matanya turut melengas di kaki lima dewan tersebut. Duduk atas lantailah jawabnya! Tiada kerusi yang boleh dilihat. Tapi dia tidak kisah sebenarnya. Lebih baik duduk di sini berbanding di dalam dewan kala ini! Seribu kali lebih baik dan afdal!“Tunggu sini. I ambilkan kerusi. I tak nak you duduk atas lantai. Baju you terlalu cantik untuk dikotori begitu.” Pemuda itu mengerdip mata seraya berlalu, namun panjang langkah kedua-dua kakinya terhenti dek kata lanjut daripada Raisya.“I tak kisah!”“I kisah,” jawab pemuda tersebut selamba. “I juga tak nak rosakkan baju ni. I paid a fortune for it!” sambungnya berwajah nakal, terus berlalu.A fortune? Raisya masih bersama garit senyum apabila jejaka itu kembali dengan dua buah kerusi dari dalam dewan. Entah kerusi siapa yang diculik mamat ni! Nasiblah...Pemuda itu meletak kerusi, bersandar ke dinding. Sebelah-menyebelah. Hmm, macam nak bersanding pulak. Hatinya tercuit sendiri. Dia hanya sembunyikan senyum.Sesudah puas hati dengan kedudukan kerusi barulah dia persilakan si manis itu duduk. Sempat saling berbalas senyum sebelum mereka berdua sama melabuh duduk.“Jadi, kenapa you nangis tadi? Apa yang buat you sedih?” Pemuda itu memulakan topik, terus kepada pokok utama persoalan yang mengganggunya sejak awal pertemuan mereka lagi.“Siapa kata I nangis sebab sedih? Mungkin itu air mata gembira,” tangkis Raisya menjongket kening. Mencari peluang berdebat hanya kerana mahu nafikan kebenaran.“I know the difference. You dah tunjuk bezanya pada I. Tapi kalau you nak tolak juga kenyataan yang tersua, tentulah I terima aje. I terlalu asing untuk you ceritakan masalah you tu. I tahu. Tapi, you juga perlu tahu, I’m a good listener. Thanks to my dearest sister.”“You buat I mahu sangat-sangat jumpa dengan adik you tu. Dia tak ada kat sini?”“Tentulah dia tak ada. Kalau dia dengan I, tak adanya I boleh duduk berbual dengan you di sini. Kalau you betul nak jumpa dia, by the way, her name’s Neesa, I boleh aturkan. Jika ada pertemuan kedua antara kita.”“I harap tak ada!” Cepat sahaja Raisya menjawab, diiringi gelengan. “Sebab fikirkan tak akan adalah I sanggup duduk di sini dengan you walau you dah tengok I menangis.”“Kenapa pulak? You taklah buruk mana pun bila you menangis...” usik pemuda itu nakal.Raisya menjegil mata. Berpura marah. Nada menggiat jelas pada bait akhir itu. Mana mungkin dia marah atau berkecil hati…“Sebenarnya I tak pernah menangis depan orang yang I tak kenal. The truth, I tak pernah menangis depan orang lain kecuali keluarga I.”“You could have fooled me!” Pemuda itu meletak tangan pada dada, membulatkan mata. Berpura-pura terperanjat.Raisya tertawa perlahan. Aksi jejaka di samping yang selamba mencuitnya.“Betul. Tapi I boleh rasa kenapa you tak percaya. Kalau I tengok you nangis gitu pun I tak akan percaya itu bukan habit you.”Jejaka di sebelah cuma mengangguk setuju.“I baru putus kasih. Dia baru kahwin,” terang Raisya tidak semena-mena.Malahan dia sendiri jadi tercengang dengan pengakuan tulus ikhlasnya itu. Pantas dia menggigit lidah dek keterlanjuran sendiri. Namun apabila si jejaka mengiring tubuh ke kiri sedikit, lebih hampir dengannya, dia jadi kaku.Pemuda itu merenung kemas raut gadis di sampingnya. Sempat menangkap paras terperanjat dan adegan gigit lidah seketika daripada gadis itu sebelum dia duduk mematung hanya kerana dia mengalih tubuh lebih dekat. Bila dia gerakkan kaki kirinya sedikit, lututnya mengenai lutut gadis itu.Seperti terkena renjatan elektrik, gadis itu mengalih kedudukan kaki malahan cuba berlagak selamba dengan senyuman tipis.“I telah lakukan dua perkara yang sama sekali I tak pernah lakukan sebelum ini. Sebelum bertemu you!” Raisya masih menghantar senyum bila matanya menentang sepasang anak mata hitam itu. Sedang menerobos tajam ke matanya.“Satu, menangis di hadapan I, orang yang you tak kenal. Dua, luahkan perasaan hati sebenar, walau you amat tak sangka ianya akan terkeluar dari mulut you. Kan?”Raisya mengangguk.“Jika antara kita ada pertemuan kedua, I bukan lagi orang asing tau. Masa tu I akan perkenalkan you pada Neesa,” ucap lelaki itu, masih menajamkan renungan ke sepasang mata coklat kejernihan itu.Ianya bukan sekadar ucapan. Dia benar-benar maksudkannya.Raisya tidak lagi sanggup menerima pandangan itu. Dia tahu tiada apa di situ. Mungkin hanya simpati atau kasihan. Dia tidak mahukannya!“I harap antara kita tak akan ada pertemuan lagi selepas ini. I hanya mahu kenal you sebagai orang asing, yang kasihan dengan I. Cukuplah rasa itu untuk malam ini sahaja. Mungkin I perlukannya untuk bangkit tabah di masa depan. I hanya akan kenang malam ini sebelum I tidur, mungkin. Kenang kerana I telah lakukan dua perkara yang terlalu asing bagi I, pada seorang yang asing untuk I. Lagipun, nama you pun I tak tahu!”“Tapi, jika ada pertemuan kedua antara kita, you kena jumpa adik I! Paling tidak untuk katakan pada dia, dia sangat bertuah dapat I sebagai abang.” Lelaki itu merenung, menagih jawapan.Raisya mengangguk. “Okey!”Dia tidak takut untuk berjanji hanya kerana dia yakin takkan mungkin ada pertemuan kedua antara mereka. Jika ada pun dia akan elakkan diri seolah Jejaka Tanpa Nama ini adalah satu virus yang harus dijauhi.Kuarantinkan diri! Kena, wajib, perlu!“Is that you, honey?”Derap kaki yang kedengaran membuatkan jejaka itu dan Raisya sama-sama mengalih batang leher ke kiri.Susuk tubuh yang sedang melangkah itu kian lama kian jelas di mata. Tubuh lampai dengan potongan langsing bergaun putih moden kian terlihat.Shereen kini sedang berdiri tidak jauh, melihat pemuda itu dan Raisya, silih berganti.Raisya bangun dari kerusi. Terperanjat. Matanya tambah bulat melihat Shereen, yang sama berwajah terkejut dan hairan.“Fariz, what are you doing here?” tanya Shereen tegas. Masih melihat Fariz dan Raisya berganti-ganti. Tidak puas hati.“You tak sepatutnya di sini, Shereen. Jaspal akan cari you nanti. Masuk ke dalam semula. I hanya ambil angin di sini,” kata Fariz tenang sambil bangun dan berdiri di sebelah Raisya.Shereen mahu buka mulut, membalas. Namun dia matikan niatnya apabila sekali lagi ada bunyi tapak kaki sedang bergerak laju kedengaran.Ke arah mereka.Dia menggelisah sendiri. Bimbang jika salah seorang daripada sanak saudaranya sedang ke mari. Tangannya saling bersulaman, tak kena. Sekejap dia tengok belakang, sekejap dia lihat hadapan. Antara Fariz dan Raisya. Ada rasa tidak enak menyelinap masuk ke hati apabila lihat mereka berdiri bergandingan ketika ini.Derap langkah tadi mati. Di sebelah Shereen, yang sedang bernafas lega. Batang tubuh yang sasa dan lebih lampai daripada orang di sebelahnya itu melengaskan mata sekali gus. Dalam masa yang sama memerhati Fariz, Raisya dan Shereen.Matanya kembali pada paras Raisya, yang masih dengan mata yang membulat.“What are you doing here with him?!” soal Jaspal pula melampiaskan perasaan sebenar Shereen—tidak puas hati.“Yes, Fariz? What are you doing here with her?” tekan Shereen pula seolah disuntik semangat juang tiba-tiba.Fariz melihat antara Jaspal dan Shereen, kemudian matanya kemas pada Raisya.“Ya Allah...” Fariz menggeleng sendiri. Boleh tangkap siapa yang telah patahkan hati gadis manis ini dan dari mana dia pernah lihat gadis ini.“You’re a Muslim!” Raisya terlongo menentang Fariz.Dia mati-mati sangka pemuda ini berketurunan Cina dan beragama... Argh, yang dia ingat bukan Islam! Tapi... tak sangka cempedak jadi nangka. Dan, dia sudah tahu nama pemuda ini.Fariz!
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 30, 2012 09:42

.: cinta datang lagi [2] :.

Mei 2006
PINTU terus ditutup. Raisya mengatur kaki ke ruang tamu rumah sewanya itu apabila terlihat Dona sedang berbaring di sofa sambil menonton televisyen.
Gadis itu membawa batang leher ke arahnya apabila mendengar bunyi pintu dibuka. Lantas kembali halakan mata ke peti televisyen semula. Menonton drama Cina yang diikutinya. Tak pernah ketinggalan pun.
Raisya campak beg tangan ke atas sofa. Semenjak zaman universiti lagi dia lebih senang dengan beg tangan yang besar ala-ala beg tote. Tak reti nak bawa yang kecil-kecil atau comel-comel, melainkan jika terpaksa bila menghadiri sebarang majlis formal.
Punggungnya mencecah sofa. Santai menyandar kepala ke sofa sambil mengatup mata.
Dona mengerling Raisya. Tersenyum kecil dengan gelagat teman serumahnya itu. Mungkin sedang cuba tenteramkan diri dengan cara sebegitu. Atau sedang cuba membuang letih yang mengulit. Dia hanya memberikan masa yang diperlukan Raisya, barulah membuka bicara.
Agak-agak ngam dan cukup waktu, dia mengajukan pertanyaan. “Banyak sangat ke kerja?”
“Hmm...” jawab Raisya, masih dengan mata terpejam.
“Jadi tak nak tengok Fanaa malam ni? Kau janji malam ni, kan?” tuntut Dona tanpa bengkang-bengkok. Menumpukan perhatian kepada Raisya.
Raisya mendadak buka mata. Melihat Dona yang masih kuak lentang di atas sofa dengan kepala terteleng ke arahnya. Kedua-dua tangannya memeluk kemas anak patung katak sederhana besar yang dihadiahkan oleh tunangnya.
Sebagaimana Dona tidak boleh berenggang dengan apa sahaja barangan berbentuk katak, begitu juga Dona dengan anak patung Froggie Jr itu—alasannya my would be husband yang bagi! Memang tak boleh berjauhan langsung! Ke mana pun ruang dalam rumah ini, diusungnya.
Ermm, kecuali waktu masuk tandaslah kan...
“Nak kena pergi malam ni jugak ke?” Raisya memulakan kata. Berhati-hati.
Seboleh-bolehnya dia mahu mengelakkan diri. Mencari alasan sebagaimana yang berjaya dilakukannya sebelum ini apabila Dona mengungkit janji untuk sama-sama menonton Fanaa.
Bukan dia tak nak pergi. Dia memang suka tengok movie. Malahan dia selalu ke panggung GSC di Mid Valley setiap minggu, menghabiskan masa di situ bersama Dona. Dah boleh kata tabiat semula jadi dia orang! Tapi sekarang...
Mata Raisya tunak pada Dona, yang bangkit daripada adegan kuak lentang aka lembik tulang. Duduk tegak melihatnya, berpeluk tubuh—sekali dengan Froggie Jr tau. Raut wajah sawo matang itu serius dan penuh curiga.
“Kenapa dengan kau ni? Banyak cipta alasan sekarang...?”
Raisya membeku. Tidak tahu bagaimana harus beri jawapan. Kerana dia tahu dia tak akan boleh menipu Ainul Dona Biyajid. Dia kenal Dona hampir lima tahun lamanya. Walau rakan penyewa rumah ini sudah bertukar ganti, namun mereka tetap bersama. Mereka tidak pernah pindah keluar dari situ. Mereka selesa di situ, senang bersama.
Kerana keselesaan dan kesenangan inilah mereka jadi akrab. Terlalu akrab sehinggakan Dona bijak mengesan kocakan hatinya hanya melalui riak parasnya. Pendek kata, segala tingkah dan kelakuannya dapat dibaca Dona.
Bak kata gadis itu, “Tak payah temberang. Semua dah ada dalam poket aku!”
“Kau sendiri tahu macam mana aku tak sabar nak tengok Fanaa. Esok, esok… nanti, nanti… sampai sekarang! Sampai bila esok dan nanti kau ni sebenarnya, huh?” Dona separuh kecewa. Wajah tercebek.
Raisya diam. Dia belum sedia untuk nyatakan resah dalam hati yang sudah bergulung macam roti jala. Belum sedia untuk ‘gulung’ perasaan Dona pula. Tapi, kalau dia tak ‘gulung’ perasaan Dona, akan makin tergulunglah perasaannya. Kalah roti jala!
Diam-diam Raisya melepas keluhan. Susahnya mengunci mulut. Lebih sukar pula membuka bicara. Heh!
“Kau tak nak pergi malam ni bukan kerana penat atau letih! Kan?”
Gelengan Raisya memanjangkan soalan Dona.
“Siapa lelaki tu?” Mata Dona mengecil, kemas ke sepasang mata Raisya.
Raisya tersentak. Matanya tidak turah dengan renungan ‘aku-tau-dah-rahsia-kau-tu!’ daripada Dona. Melengas tak menentu jadinya. Dia terus diam.
“Aku tahu sebab aku perasan! Selama ni kita selalu tengok wayang on Tuesday. Our own ladies’ night! Tapi tiba-tiba kau tak selesa dengan hari Selasa. So, we changed our schedule! Rasanya Isnin, Rabu, Khamis dan Jumaat… semua kita dah cuba. Kau selalu serba tak kena. Kind of edgy! Mata pun tak pernah duduk setempat, meliar aje sana sini—macam sekarang!”
Kata itu buatkan Raisya menghentikan kelakuannya. Direnung wajah Dona tanpa perasaan. Kosong!
Dona cuba sembunyikan senyum. Gelagat Raisya mencuit hatinya. Tapi sebab topik mereka kini amat serius—untuknya—dia sedaya upaya sekolahkan muka. Kasik muka garang ala cikgu sekolah kepada Raisya.
“Kau tak senang duduk, sampailah panggung gelap dan filem dimulakan. Waktu keluar panggung pun sama. I caught you twice, staring at the same guy. Pada hari yang berbeza! Jadi, siapa dia?” sambung Dona melebarkan kata. Tapi di hujung bicara dia tetap kembali pada pokok pangkalnya.
Dia tetap mahu tahu siapa pemuda yang dilihatnya sedang mencuri pandang ke arah Raisya ketika mereka berbaris untuk mendapatkan tiket wayang atau ketika mereka berada di dalam panggung, menanti waktu tayangan bermula. Itulah dua kali yang dia maksudkan.
Sejak ‘suis’ kesedaran itu dipetiklah dia sendiri terjangkit penyakit Raisya. Asal beratur nak beli tiket saja, matanya meliar ke setiap ruang. Bila masuk panggung pun kepalanya tertoleh tak tentu arah. Malahan tiba sahaja ke kawasan memarkir di Mid Valley lagi dia dah kena penyakit itu!
Demi mencari wajah yang dilihatnya asyik mencari peluang memandang Raisya. Paras yang turut buat Raisya serba tidak kena dan gelabah macam gorila.
“Who’s that Chinese guy?” Dona belum sedia angkat bendera putih.
Raisya masih dengan muka kayu. Tangannya mencapai tali beg tangan gabaknya, dipintal sesuka hati tanpa arah dan tujuan. Saja nak isi masa lapang. Kerana dia tidak betah bila terus-menerus menjadi mangsa renungan ‘I-know-what-you-did-last-summer’ Dona yang masih menanti jawapan pecah keluar dari mulutnya.
Dona masih berpeluk tubuh dengan postur duduk tegak. Lima tahun tinggal serumah, mengajarnya untuk faham bahasa tubuh Dona.
Sudahnya keluhan terhambur dari kerongkong Dona. Dia pun sudah dekat lima tahun duduk sebumbung dengan Raisya, jadi dia harus bijak membaca bahasa tubuh gadis itu, yang kala ini sedang memberitahunya; “Aku belum bersedia untuk beri jawapan, Don!”
Ikut suka hati kaulah, Raisya! Tiba masa, kau akan cerita jugak.
Lantas dia berbaring semula—kembali dengan aksi lembik tulangnya dan Froggie Jr kemas di dada. Tumpuan diarahkan sepenuhnya kepada drama Cina di hadapan yang kembali bersambung sesudah iklan.
Diam-diam, Raisya menghela nafas lega. Syukur sangat! Terasa lapang bila tidak terus ‘disergah’ dek soalan Dona. Juga senang hati kerana Dona tidak memaksanya menjelaskan segala perkara yang belum sedia diperkatakannya.
Hmm, Dona paksa aku?
Ah, hal itu takkan mungkin berlaku kerana Dona tidak pernah mendesak dia melakukan sesuatu yang dia tidak mahu. Bagi Dona, kalau benda nak jadi, akan jadi juga! Kerana itu Dona tidak pernah suka memaksa sebaliknya masa sepenuhnya diberi sehingga dia sendiri terasa mahu berkongsi cerita.
Dan selalunya, dengan Dona, masa itu tetap tiba. Boleh jadi itu salah satu faktor Dona sabar menunggu.
Kerana sikap Dona yang pemaham itu, sendirian Raisya membuat keputusan untuk mengabulkan permintaan Dona. Mereka akan menonton filem Fanaa malam ini, sebagaimana yang Dona mahu dan sebagaimana yang dia janjikan.
Jika Dona boleh bertolak ansur demi menjaga hatinya, kenapa tidak dia?
Dengan niat itu, Raisya bangkit bersama beg kemas tergenggam.
“Aku mandi dulu, ya? Lepas tu kita pergi tengok Fanaa. Okey?” Suaranya dikendurkan, memujuk.
“Yup!”
Walau jawapan Dona amat ringkas, hati Raisya tetap berbunga ceria. Dona tidak kecil hati atau marah dengannya. Mujur.
Tunggulah, Don, dah sampai masanya—saat kritikal bila ICU pun dah tak dapat selamatkan—aku akan terangkan kepada kau.
Raisya bingkas berlalu ke bilik tidur.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 30, 2012 09:42

April 26, 2012

.: pesan primadona orang muda :.

Untuk pesan e-mel hmi262@facebook.comRM21.50 untuk Sem. Malaysia & RM24.50 untuk Sabah/Sarawak.Subjek: Primadona Orang Muda

ISBN 978-967-365-114-6
Sem. Malaysia RM18
Sabah/Sarawak RM21

Primadona? Dia? Hilang akal ke apa Abang Kama si pengarah dengan Rose si tukang usung kipas itu. Bila masa pula dia pandai berlakon. Berladen ialah kut. Berladen itu berkait dengan melayan. Tahulah dia, sebab dia kan budak Penulisan. Jadi, takkanlah dia nak pandai berlakon macam budak Teater atau budak Filem itu—Mike He dia, Sanaa.

“Primadona. Itulah watak awak mulai sekarang, Sanaa Abdul Rahim.”

Jadi, Sanaa sangat tak boleh percaya apabila dengan cakap begitu, dia dipilih menjadi primadona Produksi Bangsawan tahun itu. Di samping orang muda yang semua tahu layak berlakon dan berladen, Mike He Sanaa, Muhammad Falah. Tambah bila orang muda itu tak suka Sanaa jadi primadona, tak layak. Kaku. Keras. Sebab itu Falah asyik nak hentak pintu sampai berganti baru. Alahai… patahnya hati…

“Walaupun awak berlakon dengan baik tadi, tapi belum cukup baik. Jadi, tak banyak manalah suka awak tu kan. Saya ingatkan awak paling suka saya…”

Alamak! Macam mana hati Sanaa lepas dengar ayat macam ini. Falah nak Sanaa tunjuk sukanya dalam lakonannya selaku primadona. Primadona kepada orang muda. Primadona kepada Falah. Tambah pula lepas itu Falah kata dia primadona Falah, primadona orang muda itu. Kemudian Falah kata suka dia, sayang dia…

Macam mana ni…? Sanaa memanglah suka, tapi sayang Falah…?

“Awak kata, suka awak. Kat saya. Saya jawab, sayang awak. Kat awak.”

Kata Falah itu, bagaimanakah patut dibalas Sanaa? Dia hanya mahu jadi primadona orang muda di atas pentas sana, bukan pentas nyata. Dalam kepala sakit memikir, datang pula dugaan keluarga. Dia jadi rebutan dua keluarga dan Falah ajak dia k… Alamak, Sanaa tak boleh lengkapkan perkataan yang ejanya begini—K.A.H.W.I.N.—itu.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 26, 2012 03:02

April 25, 2012

.: dalam satu rasa [1] :.

2011AGENSI 3SAI kelihatan sibuk. Nampak kelam-kabut pun ada. Ruang pejabat yang memuatkan tiga bilik utama dan satu ruang besar, berhadapan dengan tiga bilik utama. Satu dijadikan bilik bos dan satu lagi bilik pengurus akaun. Manakala bilik akhir yang lebih luas dan besar dijadikan bilik mesyuarat. Di ruang besar yang ada pula, berdiri kubikel-kubikel untuk staf-staf Agensi 3SAI yang hanya seramai sembilan orang. Dan ketika ini, ruang di tengah-tengah itu nyata tidak serupa dengan hari-hari sebelumnya. Entah kekusutan apa yang melanda.Mahirah yang berdiri di hadapan cermin jernih bilik kakaknya, Zahirah, hanya diam memerhati segala gerak laku staf-staf Agensi 3SAI. Sibuk semacam aje dia orang ni. Sempat hati kecilnya mengomen sendiri. Sudahnya dia berlalu dari cermin jernih itu, yang boleh menampakkan keseluruhan ruang tengah pejabat itu. Memang sengaja kakak sulungnya memilih design sebegitu. Malahan boleh dikatakan Agensi 3SAI bermula kerana kakaknya itu. Hasil cadangan alonglah wujudnya Agensi 3SAI.“Apa kesnya kat luar tu? Macam kena serang todak aje!” Mahirah mengorak kaki perlahan-lahan seraya mendapatkan meja Zahirah, menarik salah sebuah daripada dua kerusi yang diletak di situ, bertentangan dengan Zahirah yang nampak khusyuk menatap skrin komputer.“Hmm?” Hanya itu balasan Zahirah. Sebenarnya dia tidak dengar sangat apa yang dikatakan oleh adik bongsunya, yang nyata pelik dengan gelagatnya kini. Masakan tidak, mana Zahirah pernah acuh tak acuh melayan adiknya itu. Lagipun, memang dia bukan jenis yang ambil lewa apabila orang bercakap dengannya. Sepenuh tumpuan akan diberikan. Namun kali ini dia agak tersasar. Semuanya kerana satu e-mel misteri yang diterima hari ini.Misteri ke? Kerutan pada dahi Zahirah kelihatan.“What is wrong with every people around here? Dia orang nampak busy dan angah nampak lost! Yang masih okey, adik dan along. Apa yang tak kena ni?” Mahirah memuntahkan rasa hairan, juga rasa tidak puas hati atas layanan yang diterima daripada Zahirah.Zahirah ketawa kecil. Lucu melihat raut muka Mahirah yang bercampur aduk rasa ketika ini—rasa tidak puas hati dan pelik saling bertingkah.“I’m so sorry, my dear sister. Sebab tak bagi tumpuan pada awak. Sebenarnya angah sendiri tak tahu apa yang sedang berlaku kat luar tu. Sejak tadi, setengah jam tadilah rasanya… kelam-kabut macam tu. Accident pun ada berlaku tau.”“Accident?” Mahirah menyelesakan punggung di kerusi. Tertarik dengan topik yang dibangkitkan oleh Zahirah.“Yup. Tadi, Aprita terlanggar Olinda sebab masing-masing kalut dengan hal masing-masing sampaikan tak perasankan diri masing-masing.” Zahirah terdiam. Nampak berfikir. “BM yang betul ke tu?”“Whatever! Asal adik dapat apa yang angah cuba sampaikan. Adik rasa ada kes barulah yang masuk. Kalau tak, takkanlah macam tu punya ribut. Tapi adik mesti takkan tau semua tu. Sebab adik tak diperlukan oleh syarikat ni atau along dan angah. Adik kena cari kerja. Padahal along ada syarikat sendiri dan boleh ambik adik bekerja.” Mahirah mencemik mulut.Zahirah menutup mulut. Mahu tertawa kuat dan lanjut, bimbang pula hati Mahirah tergores. Adiknya itu memang girang dan happy go lucky. Tapi sekali merajuk… peh! Parah orang yang nak memujuk.“Nak gelak, gelak. Tak payah tahan. Kang terkentut kang…”Kali ini Zahirah tidak terus menahan tawa. Sebaliknya selamba sahaja dia menghamburkannya. Semahunya. Sehinggakan suasana kelam-kelibut di luar sana jadi reda tiba-tiba. Masing-masing terhenti daripada melakukan kerja masing-masing. Yang tengah berjalan pun sama mati langkahnya, terus menghantar pandang ke bilik Zahirah, pengurus bahagian akaun syarikat itu. Sudahnya, masing-masing mengukir senyum kecil lalu meneruskan kerja masing-masing.“Adik… adik…” Akhirnya tawa Zahirah mula surut, cuba mengatur nafas agar dirinya kembali normal. Tidak mahu mengejutkan ruang pejabat itu sekali lagi. Bukan Zahirah tidak nampak apa yang berlaku di luar sana. Ketawanya membuatkan banyak kaki terhenti malah tangan-tangan yang cekap dengan pekerjaan turut sama mati. Power betul gelak dia.Zahirah menarik nafas panjang lalu dihela. Terus menyambung kata apabila Mahirah masih menarik muka. Dia tahu gadis itu tidak marah atau merajuk dengannya, sebaliknya Mahirah sebetulnya masih geram kepada along.“Adik, along tu sayang sangat kat adik. Angah pun sama. Bukan tak nak adik kerja kat sini, tapi kalau boleh… tak payahlah. Staf dah cukup. They could handle all the cases we got. Malahan kebanyakan kes kita, lebih 90% memang sukses. Dia orang tu profesional. Dia orang belajar semua ni.”“Tapi, angah, sebelum dia orang jadi profesional, dia orang belajar dulu. Malah tujuh daripada sembilan staf yang kita ada, tak ada sebarang pengalaman dalam hal-hal macam ni. They learned by making mistakes and eventually they did well. Benda ni perlukan pengalaman. Belajar daripada pengalaman. Dan, adik boleh lakukannya. Tapi adik tak faham kenapa along…” Mahirah tidak meneruskan kata. Bimbang hatinya diamuk perasaan marah lebih-lebih punya.Mahirah amat menghormati along malahan alonglah segala-galanya untuk dia semenjak mereka sama-sama larikan diri daripada segala kekejaman silam. Selain mak su, yang mengambil mereka dan memberikan mereka segala kebahagiaan, along adalah segalanya. Tapi, entah kenapa, kakaknya itu tidak faham akan apa yang dia ingini. Sudah lama dia mengharap malahan sudah lama dia menagih, jawapan along tetap serupa. Tidak, tidak dan tidak.“Along buat semua ni demi masa depan adik. Demi adik. Adik faham kan maksud along? Faham kenapa along nak jaga adik?”“Benda ni takkan lukakan adik. Tak mungkin cederakan adik. Ni apa yang adik sendiri nak. Adik nak tolong orang kat luar sana. Itu yang adik harapkan. Adik tak mau lahirkan seorang ‘ibu’ lagi. Tak jugak seorang ‘mak cik’. Kita dengar semua tu dulu, angah, kita dengar. Mungkin tak nampak, tapi dengar. Tapi kita tak boleh buat apa-apa. Sekarang adik ada peluang, untuk menghalang daripada dengar lagi. Untuk bertindak supaya tak akan dengar lagi. Tapi along... hah, tak bagi. Kenapa? Angah boleh, kenapa tak adik?!” Suara Mahirah sedikit kuat. Mungkin kerana terlalu diikutkan oleh perasaan.Zahirah hanya diam. Merenung sahaja Mahirah yang memang jelas hampa dengan keputusan dan ketegasan along.Mahirah melepas keluhan kesal. Menggeleng kecil sendirian. “Sorry. Adik tak patut tinggikan suara kat angah macam tu. Bukan salah angah pun. Lagipun, adik sedar, angah pun tak boleh buat apa yang adik inginkan. Along bukan saja larang adik, malah angah pun sama. Sorry…”Zahirah senyum tipis. “Tak apalah. Angah tak ambik hati sebab angah dah kenal dengan perangai adik. Adik tu jenis menentang. Kalau nak, nak jugak.”“Angah pulak jenis beralah. Kalau nak, tapi dikata jangan, menurut. Angah tak keras kepala macam adik. Sebab tu angah turut. Kan?”Zahirah tidak memberi jawapan. Hanya melebarkan senyum.“Actually, what were you looking at just now? Sampai tak sedar soalan adik. Angah tak pernah tersasar daripada bagi tumpuan bila orang sedang bercakap. What is it?”“Tak ada apalah. Just an e-mail…” Spontan Zahirah menjeling semula skrin komputer. Masih tertera e-mel yang diterimanya itu. Daripada siapa, dia sendiri tidak pasti.“An interesting one. Sebab tumpuan angah berkalih daripada soalan adik tadi. Boleh tengok tak?” Mahirah tayang gigi. Sesekali mengelip-ngelipkan mata.“Hah, rasa comellah tu!”Sengih Mahirah melebar. Menampakkan batang-batang giginya, termasuklah gigi siungnya yang berlapis, saling tidak tumpah dengan Zahirah sendiri. Mereka ada senyum Ryoko Hirosue kata Mahirah. Sebab itu Mahirah minat pelakon Jepun yang pernah popular satu masa dulu itu.“Comellah tu…” Zahirah tersenyum dalam gelengan. “Dah, dah. Tak payah tayang muka comel tu. Kalau nak tengok, tengoklah. Tak ada menariknya pun. Orang salah hantar.”Mahirah menjerit suka seraya bangkit dari kerusi. Terus menerpa ke arah Zahirah lalu mendapatkan komputer kakaknya. Sempat lagi hempuk bahu Zahirah. Mahu gadis itu bangun dari kerusinya dan memberi ruang kepada Mahirah untuk membaca e-mel tak ada menariknya itu dengan penuh selesa. Bersama muka tak puas hati, Zahirah menurut kemudian bergerak ke arah cermin di hadapan, yang memisahkan biliknya dari ruang hadapan yang dipenuhi kubikel. Masih bak dilanggar todak. Apalah yang dah jadi agaknya? Hatinya sempat menyoal diri sendiri. Makin pelik melihat keadaan Agensi 3SAI. Kalau semenjak pagi tadi, tak apalah juga. Tapi, tiba-tiba sahaja jadi begini.“Hmm, this is nice!” ujar Mahirah tiba-tiba.Perhatian Zahirah turut beralih daripada ‘pemandangan’nya. Dilihat paras adik bongsunya yang masih tersengih. Mahirah memang kaki senyum antara mereka tiga beradik. Senyuman itu juga telah berjaya memikat ramai teruna. Malah kecantikan asli milik Mahirah, yang jelas menandingi mereka tiga beradik turut buat gadis itu jadi perhatian. Namun Mahirah bukanlah jenis yang sukakan perhatian. Tak pernah satu pun antara cubaan mengurat jejaka-jejaka yang jatuh sayang kepadanya berjaya mengisi ruang kosong di hati gadis itu. Sebaliknya, mereka hanya menjadi teman Mahirah. Itu paling jelas kerana kawan lelaki Mahirah melebihi kawan perempuannya.Mahirah berdeham beberapa kali lalu bersuara sekuat mungkin. Untuk telinganya dan telinga Zahirah.“Hans. Maksudnya untuk Hans. Ini apa yang kau minta daripada aku. The best I can do to help you. Harap akan puaskan hati kau. And, your beloved wife. Aku akan buat bodoh tentang hal ni. Don’t worry. Hanun. Hmm, Hanun ni nama lelaki ke perempuan yek?”“Tak perlu fikirkan hal tu. Tak penting pun.” Zahirah mencebik mulut. Terus berdiri di hadapan cermin namun membelakangkan ruang tengah pejabat. Memberikan tumpuan kepada Mahirah. Berpeluk tubuh.“Tak perlu fikirkan hal tu. Tak penting pun,” ajuk Mahirah nakal. “Angah, kalau tak penting, kenapa perhatian angah asyik ke skrin ni? Hmm?” sakat Mahirah menjongket-jongket kening.“Stop it, adik!”Mahirah ketawa nakal. “E-mel ni tentu daripada lelaki. This Hanun, must be a man. Adik yakin.”“Hanun… boleh jadi Hanum. Dia salah eja nama dia sebagaimana dia salah eja alamat e-mel tu. Atau…”Mahirah yang mulanya dengar omel Zahirah sambil tekan-tekan punat papan kekunci, bingkas memintas. “Atau nama dia adalah Hanun, yang bermakna kesayangan. Adik baru tanya pak cik Google, nama Islam bawah nama anak lelaki. Makanya, Hanun ni adalah seorang lelaki. Kan?”“Ikut suka hatilah!” Zahirah malas mahu panjangkan topik Hanun lagi. Tak penting langsung. Lebih penting untuknya menyudahkan kerja-kerjanya. Memang syarikat ini milik along, malah dia dan Mahirah sendiri ada syer. Tapi tak bermakna dia boleh sambil lewa bila melibatkan kerjanya. “Angah tak bukak ke apa Hanun attached? Seems interesting. Hmm, Sonata? Rasanya lagu tu.”“Don’t you dare open it. Mungkin itu privasi penghantar dan penerimanya. Jangan nak bukak, okey!” arah Zahirah tegas.“Okay, fine. Why are you so angry about it?”“I’m not angry, sweetheart. Cuma tak suka. Privasi orang tak perlu…”Ketukan pada pintu yang kedengaran membuatkan bicara Zahirah terhenti. Dia menoleh kepala ke muka pintu. Perhatian Mahirah juga turut berkalih ke situ. Tidak lagi pada e-mel yang dihantar oleh Hanun atau pada perang mulut sama ada Hanun adalah seorang lelaki atau perempuan.“Come in,” ucap Zahirah akhirnya apabila ketukan kian rancak. Lupa pulak nak ajak masuk. Kesian, lebam kang jari orang yang mengetuk pintu tu. Siapalah agaknya?Soalan ‘Siapalah agaknya?’ terjawab apabila seorang gadis genit membuka daun pintu. Kelihatan Elya di situ. Sebelah tangan masih pada tombol, sebelah lagi memeluk erat dua buah fail ke dada.“Yes?” soal Zahirah melangkah mendekati Zana. Wajah itu nampak kusut.“Kak Zafifah nak jumpa Zahirah dan Mahirah, di biliknya. Sekarang.”Zahirah dan Mahirah saling menghadiahkan pandangan. Kehairanan. Itu bukan jenis along mereka. Selalunya, hendakkan apa-apa, Zafifah akan datang mencari. Bukan hantar orang mencari laksana mem besar.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 25, 2012 09:30

Bikash Nur Idris's Blog

Bikash Nur Idris
Bikash Nur Idris isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Bikash Nur Idris's blog with rss.