.: dalam satu rasa [3] :.

“ADIK boleh lakukannya, along. I do! Kenapa tak beri peluang pada adik? Kenapa terus tolak permintaan adik tanpa timbangkannya?” Perasaan kecewa yang cuba mendakap diri Mahirah jelas dalam setiap satu soalan yang diajukannya kepada Zafifah. Matanya sudah mula basah. Kecewa yang terasa tidak mengundang air hangat itu, sebaliknya ketidakpercayaan Zafifah kepadanya, ketidakyakinan Zafifah dengan kemampuannya.
Jika Zafifah sendiri tidak punya semua itu, apa gunanya dia?
Zafifah tidak mengalih pandangan dari raut Mahirah. Saling tidak tumpah dengannya. Malah hampir serupa dengan Zahirah. Ketiga-tiga mereka benar-benar mewarisi wajah arwah ibu. Sehinggakan orang yang melihat mereka, jika berdiri bertiga bersama, terbuntang mata jadinya kerana tidak percaya. Sekali pandanglah. Berkali pandang dah nampak beza.
Akhirnya, Zafifah membuang pandang jauh dari mata basah Mahirah atau renungan tenang yang dilontarkan Zahirah kepadanya.
“Along, kenapa along tak benarkan? Give me at least one good reason? Why not me?” gesa Mahirah sedikit keras.
Zafifah hanya membatu. Masih tidak bertukar posisi. Dia kenal sangat perangai Mahirah. Adik bongsungnya itu cukup degil dan keras hati. Semenjak kecil itulah perangai Mahirah. Malah sehingga kini, walau sudah menghampiri usia 25 tahun, gadis itu masih belum berubah. Jika mahukan sesuatu, gadis itu akan menggesa. Jika tidak milikinya, mula menarik muka. Tapi sekejap sahaja, kerana kemudiannya masam wajah hilang lalu senyuman Mahirah akan kembali. Bukan pula maknanya Mahirah sudah melupakan apa yang diingininya. Dari semasa ke semasa topik itu akan dibangkitkan. Seperti topik yang kali ini.
Masih diam membeku, Zafifah akhirnya bangun daripada duduknya. Perlahan-lahan kakinya membawa tubuh menghampiri cermin telus di sebelah kanannya. Dipandang ke sekitar Wisma Anchana yang terdapat di hadapan. Dari tingkat tujuh, dapat dilihat apa sahaja yang mahu ditangkap matanya. Namun pandangannya hanya kosong. Tiada apa yang kelihatan, kecuali samar.
“I love you, adik. That is the only reason I could give you,” jawab Zafifah sudahnya. Turut memalingkan tubuh ke arah Zahirah dan Mahirah semula. Direnung paras kedua-dua ‘klon’nya itu. “I love both of you. Is that a reason enough for you, adik?”
“Along, adik pun sayangkan along. Amat menyayangi along. Alonglah segalanya untuk adik, untuk angah. Selepas ibu, alonglah segalanya.” Mahirah menghampiri kakaknya yang terus berdiri membelakangkan cermin telus itu. “Adik takkan lupa apa yang sanggup along buat untuk adik. Apa yang telah along korbankan untuk adik. You’ve sacrificed everything for me, for us. Itu adik tau, sebab adik turut sayangkan along sebagaimana along. Tapi, along, tolonglah faham kedudukan adik. I need this in my life, to complete me. Would you understand that?”
“Along tak boleh! Benda ni semua bukan untuk adik. Along dah janji pada arwah ibu, arwah mak su, akan jaga adik dan angah macam anak sendiri. Along akan pegang janji tu sampai mati. I’ve failed both of you once, but never again. Would you understand that?” Zafifah kembali menghadiahkan soalan yang sama kepada Mahirah.
Sebetulnya Zafifah sedar, Mahirah faham, namun kedegilan dalam mendapatkan apa yang diingininya, Mahirah terus bertekad begini. Dia sedar, Mahirah seolah-olah memperoleh alasan untuk mencapai apa yang dia mahu dengan adanya kes Puan Farina ini. Zafifah pun macamnya sua bantal, padahal bukan itu maksudnya.
Semenjak dulu lagi, sejak dia dan arwah mak su mula membangunkan Agensi 3SAI, adiknya itu sudah bercita-cita untuk jadi salah seorang ahli keluarganya. Bukan maknanya selama ini Mahirah bukan ahli keluarga Agensi 3SAI. Secara tidak rasmi, ia. Kerana sepertinya dan Zahirah, Mahirah juga punya kepentingan dan syer dalam agensi ini. Namun apa yang diingini oleh Mahirah adalah menjadi ahli keluarga Agensi 3SAI secara rasmi. Mahu mengembleng tenaga bersama, memerah otak bersama dan berpeluh jerih bersama. Itulah kehendak hati Mahirah, yang tidak pernah diperkenankan Zafifah.
“Tolonglah, along. Adik betul-betul perlukan ni. Nak sangat. Adik tak nak duduk tanpa buat sesuatu. Adik tak mau tengok saja apa yang berlaku pada mereka di luar sana. Cukuplah dulu, adik tak mampu buat apa-apa. Cukuplah dulu adik hanya diam mendengar. Sedang sekarang, adik boleh. Tolong mereka, bantu mereka. Please, give me this opportunity.” Mahirah masih meminta, penuh harapan. Suaranya juga mula serak malahan mutiara kaca sudah menoda pipi mulus itu.
Zafifah hanya mematung. Air mata Mahirah mula bertali-arus.
Zahirah menghempaskan keluhan kecil. Dia bangun, sudah puas memerhati perilaku kakak dan adiknya dan sedar kedua-duanya hendak sama-sama menang. Bukan kerana pentingkan diri namun kerana masing-masing pentingkan satu sama lain. Zafifah pentingkan Mahirah manakala Mahirah pentingkan Zafifah. Terus Zahirah mendekati kedua-dua adik-beradiknya itu.
“Sudahlah, adik. Kalau along tak benarkan, janganlah paksa dia lagi. Faham hati along.” Zahirah genggam lengan Mahirah lalu membawa tubuh adiknya itu dekat dengannya. Bahu gadis itu dipaut seeratnya dan diramas lembut. Demi memujuk hati yang hampa itu.
“Along yang jaga kita selama ini, besarkan kita… takkan nak lawan kata along? Kan, along?” sambung Zahirah lagi menjongket kening kepada Zafifah.
Mahirah sudah mula sembamkan muka ke dada Zahirah. Selama ini, tiap kali Mahirah meminta perkara ini daripada Zafifah, tidak pernah dia lihat gadis ini menangis sehiba ini. Mungkin sangka Mahirah inilah peluang terakhir yang dia ada dalam mahu dapatkannya. Namun jawapan Zafifah benar-benar buat dia hampa. Sudah jelas dia takkan mencapai impian yang satu ini. Bakal terkubur sahaja.
“Angah, jangan cakap macamlah along buat semua ni sebab pentingkan kemahuan sendiri dan tak hiraukan kehendak adik. Along cuma nak pastikan dia selamat. Selamat daripada sebarang malapetaka. Angah dah lihat apa yang boleh berlaku kiranya adik turut terlibat dengan semua ini. Cukuplah along saja. Along tak mau angah atau adik terlibat sama.” Suara Zafifah menyapa pelupuk telinga Zahirah. Tegas dan keras. Macam geram pun ada.
“Angah dah terlibat secara tak langsung. Along dah lupa yang angah sendiri pernah diugut sebab apa yang kita buat ni?”
“Habis, sekarang kita nak libatkan adik sama?”
“Adik pun dah terlibat. Dia jugak pemilik Agensi 3SAI. Dia dah lama terlibat. Sebelum agensi ni bermula lagi, dia dah terlibat! Macam along, macam angah… terlibat!” tekan Zahirah hendak Zafifah faham maknanya.
Zafifah hanya memandang raut Zahirah. Mengharapkan penjelasan. Malahan Mahirah yang sudah teresak sejak tadi dalam pelukan Zahirah turut merenung. Sesekali mata Zafifah terarah juga kepada Mahirah. Tidak sanggup rasanya melihat adik bongsunya itu menangis. Di balik sikap degilnya, gadis itulah yang paling manja. Sikap periang Mahirah jugalah yang sering mengisi hidupnya. Jika boleh, Zafifah tak mahu setitik pun air mata jatuh ke pipi Mahirah, namun kini dia sendiri yang mengundangnya.
“Adik hanya nak lihat di luar sana, tak lahir seorang lagi ‘ibu’ dan ‘mak cik’. Kerana tu adik mahukan semua ni. Dia darah daging kita, along. Kalau kita sendiri, digertak, diugut malah macam-macam yang kita terima daripada pihak penindas itu, tak pernah mengalah kerana adanya semangat dan kekuatan, kenapa pulak adik tak ada semua tu? Bukan ke dia adik kepada along, sebagaimana angah? Memang kami tanggungjawab along dan kami tau along tak mungkin lepaskannya, walau apa pun terjadi. Macam tu jugak dengan kami. You are our responsibility, as much as us. Along fikir kalau dewasa sikit daripada kami, along tak perlu dijaga? Tak perlu ada orang ambil berat?”
Pandangan Zafifah ke muka Zahirah kian tajam. Begitulah Zahirah. Jarang buka mulut. Namun, sekali buka… memang sepenuh tumpuan kepadanya. Bukan dia sahaja tak mampu kalih mata daripada Zahirah, Mahirah pun sama. Siap ternganga luas lagi.
“Kami jugak takkan lepaskan janji kami untuk jaga along, sampai kami mati. Janji ni kami tanam jauh di sudut hati, kepada diri sendiri. Susah, senang, duka, manis… kena bersama. Bukan seorang rasa, seorang tengok. Setiap insan ada impian. Malah kerana impian jugaklah wujudnya agensi ini. Impian untuk melihat tiada ‘ibu’ atau ‘mak cik’ lahir semula di luar sana! Salah ke kalau adik tanam angan yang serupa? Besides, she’s our sister, your sister. Dia kuat dan tabah, macam along. Trust me!” ucap Zahirah penuh yakin dan percaya.
“Itu saja yang akan angah cakap. The decision is yours, along,” sambung Zahirah bersama senyum nipis. Tangannya di bahu Mahirah mula beralih. Kini, hanya membatu memeluk tubuh. Membiarkan sahaja mata terbuntang Mahirah mahupun renungan tajam Zafifah, ke wajahnya.
Zafifah pandang Zahirah dan Mahirah silih berganti. Dia menarik nafas panjang, dihela. Tanpa hiraukan keadaan Mahirah yang nampak teruja dengan bicara Zahirah atau lagak beku yang cuba dibawa oleh Zahirah, dia terus berlalu dari bilik mesyuarat itu. Tapak kaki yang kedengaran memberitahunya yang kedua-dua adiknya mengekor tanpa soal.
Begitulah Zahirah dan Mahirah, walau apa pun keputusannya, tidak pernah dipersoal sebaliknya menurut tanpa banyak soal. Seolah-olah sepenuh kepercayaan sudah pun diberikan kepadanya dalam memastikan sesuatu. Tiada ragu atau waswas. Kenapa pula dia tidak boleh begitu kepada Mahirah, gadis yang sudah tamat belajar dalam bidang Komunikasi malah baru tiga hari lepas tamat MA dalam bidang yang sama selepas dia gesa Mahirah sambung belajar?
Zafifah pulas tombol pintu biliknya lalu melangkah masuk. Kelihatan Elya sedang berbual mesra dengan Farina. Mungkin menemani wanita itu agar tidak terasa membuang waktu berada di Agensi 3SAI sendirian. Elya mengangguk kepada Zafifah lalu meminta izin daripada Farina untuk berlalu. Zafifah memanjangkan kaki, terus mendapatkan Farina yang mula berdiri setelah melihatnya.
“Kes saya tak diterima ya?” tanya Farina terus.
Zafifah melihat Farina sedalamnya. Jelas wanita itu sedang cuba sembunyikan kebimbangan dalam hatinya dengan penolakan kesnya. “Kenapa cakap macam tu, Puan Farina?”
“You looked very serious and your sisters looked very gloomy. Am I right? My case is rejected, right?” Farina masih usaha-usaha senyum.
Zafifah akhirnya mengukir sebuah senyuman. Lebar dan mesra. Tangannya disua kepada Farina, yang kelihatan teragak untuk menyambutnya mula-mula. Apaila tangan mereka saling tergenggam, Zafifah menggoncangnya perlahan. Sekali sahaja.
“We’ve agreed to accept your case and it will be conducted by my own sister, Mahirah. Sekarang, boleh kita mula bincangkannya? Siapa yang perlu kami siasat?”
Bersama senyuman lega yang cukup lebar Farina menjawab, “Ahmad Najmi bin Abidin, my PA.”
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 09, 2012 09:30
No comments have been added yet.


Bikash Nur Idris's Blog

Bikash Nur Idris
Bikash Nur Idris isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Bikash Nur Idris's blog with rss.