.: cinta datang lagi [4] :.

DERAP kaki menghampiri halaman luar rumah dua tingkat itu membuatkan Fariz menoleh muka, walau dia tahu batang tubuh adik iparnya yang akan muncul. Seketika menunggu, tubuh sasa milik Zairy muncul bersama dua biji mug di tangan. Pemuda yang berpangkat adik ipar untuknya, walau tiga tahun lebih tua daripadanya, senang menayang gigi padanya.
Fariz turut tersengih.
“Dah tidur?” soal Fariz kepada Zairy yang sudah hampir dengannya. Dia turut mengambil mug berisi Nescafe O panas yang diunjuk lelaki itu.
Zairy mengangguk sambil duduk di lounge chair daripada rotan yang selesa itu. Dia menyelesakan letak tubuh lalu membawa kaki ke situ, dipangku kerusi rotan tersebut.
“Akhirnya tidur jugak!”
Fariz gelak kecil. “Nak buat macam mana, adik aku tu dah kenan sangat bedtime story dalam usia macam ni. Mengidam tak ada pulak!”
“Feel masing-masing...”
“Hmm. Dah sampai mana? Masih tentang Nabi Musa a.s.?”
“A’ah. Mengenai Nabi Allah merentasi Laut Merah. Dia banyak tanya soalan. Katanya untuk baby. Agar baby pun tahu kisah-kisah Nabi Allah kita. Lagipun waktu tidur dia, waktu tidur baby jugak.”
“Dia dah tak marah ke sebab kita tinggalkan dia dan pergi menonton? Tadi bukan main lagi on fire. Boleh buat barbeku atas kepala.” Fariz meneguk minuman.
Zairy turut meneguk Nescafe O sebelum menjawab, “She’s not talking to me!” Dia senyum lucu.
“Macam mana tu? Kan dia banyak tanya soalan…?”
“Ya. Tapi dia tak anggap itu talking to me!” terang Zairy mula menyengih bak kerang busuk.
Dia sendiri rasa lawak dengan pandangan peribadi Neesa itu. Namun dia hanya boleh mendiamkan diri dan mengangguk setuju dengan pandangan isteri kesayangannya. Kalau Neesa kata matahari terbit waktu malam dan bulan muncul kala siang pun dia akan tetap mengangguk setuju.
Tapi dia akan pastikan Neesa tidak war-warkan pandangannya itu pada khalayak umum. Kerana orang lain tidak menyayangi Neesa sebagaimana dia untuk mengiakan segala pernyataan tidak masuk akalnya.
“Aku tak dapat bayangkan bagaimana dia berfikir. Tapi aku tahu kau boleh.”
Zairy mengangkat sebelah kening pada Fariz. Lagak mahu tahu.
“You’re married to her!” jawab Fariz selamba. Seolah sebaris ayat itu boleh menerangkan segalanya.
Zairy tersenyum cuma.
Kedua mereka kembali menghirup minuman. Membiarkan sunyi menghuni untuk dihayati.
“Tadi kali ke berapa kau jumpa dia semula?” Pertanyaan Zairy mengisi ruang. Mug yang sudah kosong diletakkan ke atas meja kopi yang berada di tengah-tengah dua lounge chair itu.
Fariz meneguk baki Nescafe di dalam mug. Mugnya turut mengambil tempat di meja kopi. “Yang tadi, kali kelapan. Sekali di majlis tu dan selebihnya di GSC aje!”
“Kebetulan yang sudah bertukar menjadi destiny bagi aku!”
“Aku pun rasa begitu. Kalau setakat sekali, dua kali… aku akan anggap ia sebagai kebetulan. Tapi lapan kali? No way!” Fariz menarik nafas.
“Aku tahu di mana dia kerja, malahan secara tak langsung turut elakkan diri ke sana. Selain daripada mengelak berjumpa Shereen. Aku memang sangka tak akan jumpa dia lagi. Dia betul-betul elakkan diri daripada aku. I would say with vengeance!”
“Sebab nak jumpa Neesa? Neesa menyeramkan dia?”
Fariz ketawa galak dengan soalan selamba Zairy. Ditambah pula bila melihat raut tak bersalah jejaka itu. Dia tidak akan rasa marah kepada Zairy kerana berkata sedemikian. Dia faham kerana dia tahu betapa sayangnya Zairy kepada Neesa. Entahkan sayangnya kepada Shereen setanding itu ataupun tidak.
Dia tidak tahu mengukurnya namun dia yakin sayangnya untuk Shereen masih dalam walau gadis kesayangannya itu telah hampir dua bulan menjadi isteri kepada Jaspal, yang juga teman keluarga dan rakan sekerja Shereen.
“Kau rasa dia masih bersedih kerana Jaspal?” Fariz mengerling Zairy.
“Kau macam mana? Masih tak boleh lupakan Shereen, kan?” Tanpa menunggu jawapan daripada Fariz, Zairy menyambung bicara.
“Cinta dalam hati bukan macam fail dalam CPU, yang boleh dibuang bila kita rasa tak perlukannya lagi. Tak semudah tu. Nothing about love is ever easy. Cuma… aku selalu terfikir tentang kau dan budak perempuan tu. Apa nama dia?”
“Raisya. Apa yang kau fikir?” ujar Fariz sekali gus menyoal.
“Kau tak rasa pelik ke? Kau ke Ipoh untuk hadiri wedding bekas kekasih kau. Dan, di majlis tu kau jumpa dengan seorang gadis asing sedang menangis kerana bekas kekasihnya berkahwin dengan bekas kekasih kau. Macam ada… I don’t know, a connection maybe! Two broken hearts met!”
Fariz diam. Seolah memikirkan kata Zairy sedalamnya. Akhirnya dia menjongket kedua-dua bahu.
“Aku tak tahu tentang itu semua. Connection ke hapeh ke, aku tak tahu dan tak nak ambil tahu. Tapi aku sedar satu benda. Yang aku sangka kebetulan telah pun menjadi takdir aku. My destiny. Aku tak akan menolaknya lagi!”
“Kau nak buat apa?”
“Jika antara kami ada satu lagi pertemuan, aku akan tuntut janji daripada dia. Dia kena jumpa Neesa!”
Ucapan Fariz kedengaran bak satu sumpah di telinga Zairy. Dalam diam Zairy melepas keluhan lega. Sebolehnya dia tidak mahu Fariz terus diekori kisah silam. Tambahan pula bila kisah silam itu tidak mahu melepaskan abang iparnya itu.
Shereen masih belum berputus asa pada cinta lalu. Malahan Shereen turut mengajak Fariz menyusuri jalan itu bersamanya. Shereen sanggup ‘menjual’ masa depan demi kerana mahu terus hidup di zaman lalu.
Zairy bangkit dari perbaringan. Berdiri seraya mencapai kedua-dua mug tadi.
“Aku masuk dululah. Nanti kalau Neesa cari ‘bantal peluk’ yang tiba-tiba tak ada di sisi, mahunya merajuk panjang lagi. Kang tak nak tengok aku langsung!” selorohnya tersengih suka.
Dia sedang membayangkan persepsi tersendiri Neesa mengenai kes tak nak melihatnya. Kes tak mahu bercakap dengannya sama dengan bercakap dengannya, jadi tak mahu melihatnya sama dengan melihatnya—selalu! Best tu!
Fariz mengangguk sambil tayang gigi. Faham dengan gurauan Zairy.
Sebelum berlalu masuk ke rumah teres dua tingkat milik keluarga isterinya, Zairy sempat berpesan kepada Fariz.
“Cepat masuk tidur, Riz. Nanti Neesa risaukan kau lagi!”
“Hmm…” ucap Fariz. Faham apa yang dimaksudkan oleh Zairy.
Dia tahu Neesa amat bimbangkannya semenjak hubungannya dengan Shereen mula terganggu. Neesa selalu menghadiahkannya satu renungan lembut penuh rasa kasih dan sayang. Sarat. Neesa turut risaukannya sebagaimana ahli keluarganya yang lain; papa, mama dan Zairy.
Fariz memandang sekilas ke muka pintu. Pintu gelangsar masih terbuka luas dan tubuh Zairy sudah pun menghilang. Dia menyelesakan kedudukan tubuhnya di lounge chair tersebut. Kedua-dua tangan dibawa ke belakang, memangku kepalanya. Pengganti bantal.
Keluhan kecil terluah.
Dia sedar betapa gusarnya orang di sekelilingnya melihat keadaannya. Tidak perlu mengagak kerana mama dan Neesa selalu meluahkan rasa hati mereka kepadanya. Selalu memberitahunya mereka risau, mereka takut dan mereka sedih melihat perubahannya yang jauh ketara berbanding satu tahun yang lalu.
Satu tahun yang lalu?
Senyum hambar menggayuti bibirnya. Sebelum satu tahun itu memang bahagia sahaja yang mengulitnya. Amat bahagia. Semuanya kerana seorang insan yang hadir dalam hidupnya. Satu nama yang seiring dengan namanya.
Shereen, nama yang senada dengannya. Malahan setiap yang melihat mereka, sama ada orang luar atau keluarganya sendiri, menganggap mereka pasangan paling serasi. Padan, bak cincin dan permata. Mereka dikatakan jelas saling mencintai, saling menyayangi dan saling mengasihi. Sebutlah cinta, sayang, kasih… sesuai sekali buat mereka berdua.
Dia sendiri amat setuju dengan semua kata mereka kerana dia dan Shereen bukan sekadar tampak bahagia di mata orang, bukan sekadar berlakon, sebaliknya bahagia yang dilihat orang dinikmati mereka berdua. Bahagia itu ada dalam dirinya sehingga sekelilingnya terasa membahagiakan. Datanglah seribu masalah, cukup dengan melihat senyum manja Shereen, semuanya bertempiaran lari.
Hampir empat tahun menjalin hubungan dengan Shereen, hanya bahagia bersama dengannya—dengan mereka.
Sayang yang pernah tidak kesampaian di zaman persekolahan dahulu benar-benar mengajar dia untuk menghormati dan menghargai wanita. Kedua ajaran inilah yang dipegang olehnya kala menjalinkan hubungan dengan Shereen. Dan, ianya cukup berbaloi.
Hubungannya dengan Shereen turut mendapat restu keluarganya. Walaupun Shereen berlainan agama daripada mereka, kedua orang tuanya tidak menghalang hubungan mereka. Mungkin kerana dalam keluarga mereka sudah terlalu ramai yang berkahwin campur sampaikan ianya menjadi perkara biasa. Norma keluarga mereka.
Bukankah mama sendiri menikahi lelaki berlainan agama? Dengan papalah—pada mereka yang blur!
Mama dan papa menggalakkan hubungan itu namun diam-diam papa selalu memberi nasihat kepadanya.
Kata papa, cinta mempunyai satu kuasa sakti. Boleh mendekatkan dua orang asing yang paling berbeza. Walau salah seorang berada di penghujung dunia, ajaibnya cinta dua insan yang saling menyayangi, pertemuan akan tetap ada. Asal jodoh dan takdir bersama keduanya.
Nasihat papa lagi, cinta sahaja tidak cukup untuk menjamin kesenangan tambahan pula bila libatkan dua insan daripada agama yang berlainan. Cinta sahaja mungkin cukup, tapi mungkin tidak cukup!
Berbantalkan lengan, Fariz memejam mata.

“MUNGKIN cukup, mungkin tak? Maksud papa?” Fariz bertanya, kehairanan. Sebetulnya tidak faham akan maksud sebenar papa.
Aziz bersandar ke sofa. Sempat menjeling ke ruang makan di mana Hiraz, Shereen dan Neesa sedang duduk berbual di meja makan.
Senyum kecil menerpa sepasang bibir apabila melihat tiga wanita itu saling berbalas kata, diiringi gelak perlahan. Gelak Hiraz terkawal, dengan tangan kemas ke mulut, cuba menahannya. Gelak Neesa lepas, sesuka hati dan galak. Gelak Shereen, seperti gadis itu, manja bersahaja.
Hmm, kita suruh hidang air, dia orang hidang gosip pulak! Perempuan, perempuan…
Fariz turut menjeling ke ruang makan. Matanya lekas menangkap tiga wajah yang dilukisi riak ceria. Rasa gembira tampak pada ketiga-tiga paras itu.
Dia pandang lembut raut mama.
Walau sudah melebihi usia 50 tahun, wajah itu masih anggun padanya. Dia tahu kedutan halus yang kian kelihatan di bahagian mata wanita itu tidak dirasakan satu cela oleh papa. Kerana dia tahu kedutan itu bukan sahaja menunjukkan injakan usia, sebaliknya memberitahu papa akan setiap bahagia yang dirasai jiwa itu. Papa banyak menghadiahkan senyuman dan tawa girang dalam hidup mama—itulah tandanya. Rasa senang menerpa diri melihat bahagia papa dan mama. Dan, bahagia itulah diharapkan untuknya dan Shereen.
Sepasang mata sepet dengan anak mata hitam itu beralih pula kepada adik perempuannya.
Neesa Hani, semenjak kecil lagi seorang gadis yang periang dan lincah. Selalu bertindak, baru berfikir. Sering menyebabkan papa dan mama tidak senang duduk dengan sikap yang satu itu. Neesa degil dalam mendapatkan apa yang dia mahu. Akan diusahakan dengan apa cara sekalipun selagi takdir mengizinkan. Jika takdir tidak berpihak kepada usahanya, Neesa akan terima dengan hati yang lapang kerana dia bukan mengalah sebelum berjuang. Sebaliknya tersungkur dalam perjuangan. Untuknya itu satu sikap pejuang!
Namun di balik semua itu, dia tahu Neesa gadis yang bijak. Selain bijak dalam pelajaran, Neesa juga punya hati yang baik. Neesa bijak menilai diri seseorang. Tahu mana layak dipanggil kawan dan siapa yang harus dibuat lawan.
Sekali lagi Neesa membuktikan apabila gadis itu terang-terang mengakui perasaan sayangnya yang telah tumpah untuk Ruzairy Abd Rahman, yang selama beberapa bulan ini menggantikan tempat Ustaz Rahman, memberi tunjuk ajar kepada Shereen.
Neesa mengakui perasaannya kepada papa dan mama, bukan kepada Zairy. Kata Neesa hanya dengan restu mereka berdua barulah dia akan berterus terang kepada Zairy perihal perasaannya itu. Hari ini menerima kata setuju, esok dia sampaikan kepada Zairy.
Seminggu Zairy ke rumah mereka dengan muka merah padam kerana malu. Tapi sudahnya Zairy sendiri menerima perasaan Neesa untuknya, kerana hatinya sendiri sudah jadi milik Neesa. Dan, dia harap bahagia bersama kedua mereka.
Akhir sekali anak mata hitamnya tertancap pada wajah Shereen.
Gadis hitam manis itu sedang tertawakan sesuatu sebaik sahaja Neesa habis berceloteh. Entah apa yang lawak sangat, dia tak tahu tapi Neesa memang kaki lawak. Aksinya bercakap dan memek mukanya pun sudah cukup.
Shereen mula dikenali oleh keluarganya beberapa bulan selepas dia mula berkawan dengan gadis itu. Kali pertama dia membawa seorang gadis ke rumah mereka, memperkenalkannya kepada papa dan mama. Turut menyampaikan secara tidak langsung, Shereen bukan gadis biasa di hatinya, sebaliknya Shereen telah mendapat tempat istimewa di dalam hati anak bujang mereka. Dia turut meminta restu mereka dengan cara itu. Lalu mereka memberi restu yang diharapkan itu kepada dia dan Shereen.
Semenjak itu Shereen menjadi sebahagian daripada mereka.
Tapi dia masih sedar, belum sepenuhnya! Dan, itulah yang papa maksudkan pada dialog awal papa tadi.
“Papa?” Dia yakin papa juga dalam lamunan, sebagaimana dia.
Panggilan Fariz yang entah kali ke berapa membuatkan Aziz mengalihkan mata ke arahnya. Bila anak lelakinya menjongket sebelah kening sambil berpeluk tubuh, memandangnya, dia menyeringai nakal.
“I got carried away!” akui Aziz jujur.
“Mmm, dah berapa kali panggil papa tadi?” sambung Aziz, menyoal. Lebih kepada mahu tahu.
“Papa hanya bagi perhatian pada Riz lepas panggilan keempat. Apa maksud papa tadi?”
“Mungkin cukup, mungkin tak cukup?”
Fariz mengangguk.
“Papa jatuh cinta dengan mama Riz dulu, sebelum jatuh cinta kepada Islam. Riz sendiri tahu atuk Riz, ayah mama, seorang pendakwah.”
Fariz mengangguk. Itu dia tahu. Malahan daripada atuk jugalah dia banyak belajar, demi melakukan satu perubahan terhadap diri sendiri. Daripada Fariz seorang Romeo atau Jimmy The Crocodile—gelaran Four Musketeers kepadanya—dia menjana perubahan dalam diri.
Dia bosan dengan bidang modeling yang pernah buat dia terkenal, juga lemas dengan gadis-gadis yang mengelilingi. Hanya kerana dia sedar pada satu perkara; peribadi seseorang tidak terletak pada penampilan sahaja, sebaliknya lebih daripada itu. Dan, atuk adalah guru terbaik untuk mendapatkan peribadi yang indah—sebagai manusia biasa. Walau dia belum layak dikata memperolehinya lagi. Paling tidak, atuk telah berjaya mengelokkannya. Syukur untuk itu!
“Riz…” panggil Aziz lembut, mahu kembalikan Fariz yang nampak khayal ke ruang tamu teres dua tingkat yang dihuni keluarga mereka semenjak Neesa berusia 10 tahun dan Fariz 13 tahun.
Fariz menumpukan perhatiannya semula. Menjauhkan arwah atuk daripada benaknya.
“Papa jatuh cinta pada mama sejak pertemuan pertama…”
“Riz boleh agak kenapa!” potong Fariz menjeling ruang makan.
Mama sedang tayang gigi, kepala pula terteleng-teleng. Dia pasti ini bukan keadaan mama waktu kali pertama bersua papa. Sebab kalau beginilah gayanya, papa mungkin akan hantar mama ke wad orang gila!
Ops, terkutuk mak sendiri secara langsung! Ampun, mama!
Aziz turut mengerling ke arah yang sama.
“Oh, definitely not like that!” kata Aziz mengekek. “Hmm, berbalik pada cerita asal. My love was love at first sight, but not your mama. Mama…”
“Mama tak begitu?” Sekali lagi Fariz memintas. Tidak boleh menahan diri. Baru kini dia tahu hal ini! Terlalu terkejut untuk diam mendengar tanpa menyoal.
Aziz melihat Fariz. Tajam, penuh amaran.
“Sorry! Okey, sambung… sambung!” Fariz sengaja menggaru kepala. Nak isi masa.
Aziz masih merenung tajam seketika, sebelum membuka mulut kembali.
“Okey! Mama tak begitu. Mama langsung tak sukakan papa. Yalah, papa pantang jumpa perempuan, nak ngurat aje. I was hitting on every girl I met. Jadi mama Riz tak suka papa. Papa seorang Romeo dan mama tak layan papa langsung. Papa cuba dekati mama Riz, tak henti-henti, berulang kali. Kali pertama papa benar-benar ikhlas dengan seorang perempuan tapi tak diendahkan. It hurts like hell, you know! Then, I kidnapped her.”
Aziz diam seketika. Menjangka akan ada sampukan daripada Fariz, namun pemuda itu cuma membungkam bahasa. Terus perhatikannya penuh minat. Menunggu.
Mata Fariz tunak ke mata papa. Sepasang mata yang turut dimilikinya. Dia menyeringai lalu mengangkat kedua-dua kening serentak, beberapa kali. Tahu apa yang papa sangka akan berlaku. Dia sengaja hampakan papa—dengan menggunakan pertahanan diri yang utuh tau!
Bersama senyum tipis, Aziz kembali menyambung cerita.
“Papa culik mama Riz. Papa bawak ke rumah grandma tapi mama Riz tak tahu ada orang lain dalam rumah tu selain kami. Kami berdua aje dalam sebuah bilik. Mama Riz takut sangat, kemudian dia mula jerit-jerit. Macam kena histeria aje. Papa hanya duduk atas katil, terus pandang. Masa tu hilang gadis pendiam yang papa kenal. Papa lihat bahagian lain gadis tu dan papa suka apa yang papa tengok!”
Aziz senyum lebar. Romannya menunjukkan dia kembali ke dalam bilik itu semula, menentang wajah anggun Hiraz yang begitu garang.
“Papa biar aje mama Riz marah, melenting, malah ada jugalah dua, tiga perkataan tak enak yang perlu papa dengar—yang papa tak sangka mama Riz tahu maksudnya! Lepas mama Riz dah selesai sembur ‘api’, dia diam dan mula menangis. Papa tak pujuk. Tengok aje. Sekali lagi papa suka apa yang papa lihat.
“Bila mama Riz dah tenang, papa luahkan perasaan papa. Papa bagi tahu dia papa ikhlas sayangkan dia. Dia mula menangis lagi. Kata mama Riz, antara kami tak mungkin ada apa-apa. Tak mungkin terjadi! Tak mungkin bersama! Papa tanya, sebab agama ke. Mama Riz angguk. Papa bagi tahu yang papa sanggup tukar agama demi mama. Lagipun dalam keluarga papa itu bukan perkara baru. You know that!”
Fariz goncangkan kepala. Dia tahu kerana dalam keluarganya, sama ada belah papa atau mama, memang sudah ada sejarah sebegitu.
“Papa, Riz perlu sampuk! Kenapa papa bagi tahu Riz semua ni?”
Aziz tidak memberi jawapan kepada soalan anak terunanya itu. Hanya menyambung kata.
“Bila papa jawab macam tu, mama Riz menangis semula. Mama Riz kata dia tahu papa sanggup tukar agama untuk kahwininya, tapi itu yang dia tak nak berlaku. Katanya dia mahu papa ikhlas sebagai seorang Muslim. Sebagaimana papa ikhlas dengannya. Mula tu… papa tak faham dan papa sangka itu cara dia menolak sayang papa. Papa tak puas hati, jadi papa ambil inisiatif sendiri. Papa jumpa arwah atuk dan mintak arwah atuk jelaskannya.
“Bila papa faham dengan apa yang mama Riz maksudkan, papa ambil keputusan untuk berguru dengan arwah. Papa berhenti kerja dan tinggalkan semua. Papa tinggal dengan arwah atuk di kampung. Berbulan-bulan. Mama Riz tak pernah tahu.”
“Pa, what are you trying to tell me?” Fariz kian keliru.
Aziz senyum manis. “Maksud mungkin cukup, mungkin tak cukup!”

MASIH beralaskan lengan, Fariz membuka mata, terus menyambar bintang-bintang yang berkerlipan. Membawa sinar pada malam yang gelita itu. Keluhan panjang terhempas dengan sendirinya.
Waktu itu, dua tahun yang lalu, dia langsung tidak mengerti makna yang cuba papa sampaikan melalui kisah silam papa dengan mama. Namun semenjak hubungannya dengan Shereen mula dilanda badai, dia selalu fikirkan cerita itu. Terngiang-ngiang di telinganya. Dan, hari demi hari, dia mula faham.
Dua bulan lalu dia menghadiri majlis perkahwinan Shereen dengan Jaspal. Dua bulan lalu dia bertemu wajah dengan gadis bernama Raisya itu. Dua bulan lalu dua individu yang tidak pernah mengenal dan sama patah hati—dia dan Raisya—ditemukan dengan dua individu yang bersahabat baik dan terpaksa berkahwin atas pilihan keluarga—Jaspal dan Shereen.
Dan, dua hari lalu Shereen menemuinya; terang-terang mengaku masih sayang kepadanya dan mahu kembali padanya.
Malam ini dia benar-benar faham dengan maksud ‘Mungkin cukup, mungkin tak cukup’ papa! Dia akan gunakan kebetulan yang menyapa berulang-ulang, mengubahnya menjadi satu takdir.
Dia akan pastikan Raisya menepati katanya. Dia akan perkenalkan gadis kecil molek itu kepada Neesa!
Fariz kembali memejam mata bersama senyum penuh makna.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 10, 2012 09:15
No comments have been added yet.


Bikash Nur Idris's Blog

Bikash Nur Idris
Bikash Nur Idris isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Bikash Nur Idris's blog with rss.