.: dalam satu rasa [2] :.

Tiada sebarang perabot mahupun barangan mahal di dalamnya, namun rasa selesa mampu menggamit hati siapa sahaja yang bertandang. Begitulah juga dengan dirinya. Dinding bilik itu pula diisi dengan pelbagai lukisan abstrak, yang Farina sendiri tidak dapat baca maknanya. Antara kebanyakannya, ada satu lukisan yang menarik perhatian Farina. Bukan sebuah lukisan abstrak, sebaliknya sebuah potret keluarga. Kelihatan seorang wanita yang agak berusia bersama tiga gadis dan seorang anak kecil. Salah seorang daripada tiga gadis itu adalah gadis di hadapannya ini, bernama Zafifah. Dua orang lagi dia tidak pasti siapa, namun daripada agakannya, mungkin sahaja dua orang adik perempuan Zafifah, yang disebutkan gadis ini seketika tadi. Anak kecil itu pula, yang duduk di pangkuan Zafifah, mungkin juga adik bongsunya. Mungkin ia, mungkin tidak, teka Farina sendiri, mencongak dalam minda.
Suara Zafifah mengembalikan mata Farina, ke wajah manis itu.
“Terima kasih, Puan Farina.” Zafifah mengukir senyuman kecil.
Bukan satu perkara baru mendengar kata-kata sedemikian daripada mana-mana klien Agensi 3SAI, sebaliknya Zafifah sudah lali. Namun yang meresahkan dia kini hanya satu perkara. Dia tidak pasti sama ada dia mampu menerima Farina sebagai salah seorang kliennya. Dan perkara ini amat mengganggu ketenteraman perasaannya.
Zafifah tahu, untuk menerima setiap kes yang tiba pada mereka adalah sesuatu yang di luar bidang kuasanya. Namun setakat ini, selama lima tahun berdirinya Agensi 3SAI, tidak pernah sekali pun keadaan sebegini perlu didepaninya. Kali ini, buat pertama kalinya dia perlu menimbangkan sama ada mahu menerima kes Farina ini ataupun tidak. Sesuatu yang tidak pernah dihadapinya sebelum ini. Dan dia sangat tak gemar depani hal begini.
Menolak bermakna menghampakan. Menghampakan klien yang datang satu hal, namun keputusan menolak bakal menghampakan hati dan dirinya sendiri. Bukan mudah untuk Zafifah menelan hakikat itu. Sebolehnya tak hendak langsung.
Sebetulnya, bukan Zafifah tidak mahu menerima kes Farina, walaupun dia sendiri belum tahu kisah keseluruhannya sedang wanita itu awal-awal lagi mahu menceritakan segala. Belum panas punggung lagi, tapi Farina sudah pun mahu jelaskan kenapa dia berada di sini. Namun Zafifah yang menghalang dengan alasan sebelum mendengar dan menerima kes wanita itu, yang dijangka dalam pertengahan usia 40-an, walau nampak muda sedikit daripada usia sebenarnya, bahawa dia harus mendengar pendapat adik-adiknya terlebih dahulu kerana mereka turut punya peranan penting dalam agensi ini.
Mendengar pendapat adik-adiknya? tingkah hati Zafifah sendiri. Sebelum ini tidak pernah pula dia lakukannya. Mungkin ada ketikanya dia perlu duduk berbincang dengan Mahirah atau Zahirah mengenai mana-mana kes yang dihadapkan kepada mereka, malahan dengan staf-staf Agensi 3SAI pun ada. Tapi bukan dalam menerima sebarang kes, sebaliknya untuk mencari titik akhir bagi sesuatu kes itu, sebelum ia ditutup lalu dibawa segala bukti dan saksi kepada klien mereka. Tapi kini, berlainan pula.
Ketukan pintu biliknya membuatkan Zafifah menghambat jauh segala rasa tidak senang dalam hatinya. Dia tidak boleh tunjukkan perasaan bersalah atau hampa. Dia harus bersikap profesional. Tayang muka neutral, tanpa sebarang perasaan di situ bersama senyuman nipis. Bukankah itu perkara yang mudah untuk dia selama ini?
Zafifah menarik nafas pendek, dihela lalu cuba disekolahkan mukanya dan menghantar senyuman tipis kepada Farina, sebelum mereka sama-sama menoleh batang leher ke muka pintu yang mula menganga. Di mana kini, kelihatan Mahirah dan Zahirah sedang berdiri.
“Oh, my! The three of you look so much alike,” kata Farina tiba-tiba. Di dalam potret lukisan tadi dia tidak nampak itu semua. Namun kini, apabila berhadapan, ketiga-tiga gadis itu nampak begitu seiras.
Farina turut bangun dari tempatnya. Membuatkan Zafifah ikut bangun kerana dirasakan tidak sopan untuk dia terus duduk sedang kliennya—walaupun belum boleh dipastikan akan menjadi kliennya ataupun tidak—telah pun berdiri.
“Ya Allah!” Farina membulatkan mata. Tangannya menutup mulut sendiri, yang mungkin sudah ternganga tanpa sedar, tanda terlalu takjub. “Siapa saja yang kata kau orang bertiga bukan adik-beradik, memanglah buta! The three of you look like twins. A triplet.”
Zafifah melebarkan senyum.
Mahirah dan Zahirah sama-sama berkongsi pandangan lalu turut mengukir senyuman. Mungkin tidak tahan dengan gelagat wanita di hadapan mereka. Gaya mesra sepanjang zaman puna ada.
“My, my, the same smiles. Tiga-tiga, ada senyuman yang sama! By any chance, are you…” Farina merenung paras Zafifah, Mahirah dan Zahirah silih berganti. Agak lama. “Twins?”
Gelengan Zafifah, Mahirah dan Zahirah mengambil tempat. Isyarat kepala mereka menjawab soalan Farina, serentak.
“Hmm, I can see that now. Walaupun tadi saya benar-benar yakin dan pasti kau orang bertiga adalah kembar, tapi sekarang saya dah nampak dengan jelas. The three of you are just three sisters who look very much alike. Sampailah dilihat betul-betul. I can see the difference, now. Zafifah adalah kakak sulung manakala, yang pakai spek ni... I’m sorry, dear, cause I don’t know your name... You adalah yang kedua dan yang bongsu adalah yang berambut ekor kuda ni. Kan?” Tangan kanan Farina melayang-layang antara Mahirah dan Zahirah.
“Ya, Puan Farina. Tekaan yang tepat sekali. Anyway…” Zafifah akhirnya bersuara. Sudah cukup rasanya dia biarkan Farina menguasai suasana antara mereka. Lagipun, reaksi wanita itu saling tidak tumpah dengan mana-mana klien mereka selama ini. Sama dan serupa.
Zafifah mengorak kaki mendapatkan wanita yang sudah melangkah mendekati Mahirah dan Zahirah seketika tadi.
“Puan Farina, these are my sisters, Mahirah and Zahirah. Seperti yang Puan Farina tau, saya perlukan persetujuan mereka dahulu sebelum membuat keputusan sama ada mahu menerima kes Puan Farina ataupun tidak.”
Ucapan lancar Zafifah menerima anggukan daripada Farina, namun berlainan pula keadaannya dengan Mahirah dan Zahirah. Sama-sama tayang muka pelik. Namun isyarat mata daripada kakak mereka membuatkan mereka turut mengangguk kepala dan tayang gigi. Paling lebar daripada Mahirah.
“Puan Farina boleh duduk di sini dulu. Kami akan bincangkan apa yang patut. Excuse us,” kata Zafifah masih dengan senyuman. Mengangguk kecil kepada Farina sebelum mengatur kaki keluar dari biliknya sendiri.
Tanpa memberi sebarang arahan kepada Mahirah dan Zahirah, dia terus mengorak kaki. Dia tahu, kedua-dua adiknya itu sedang membuntutinya ketika ini. Dan kedua-dua mereka pastinya sarat dengan rasa ingin tahu mengenangkan sikapnya seketika tadi. Segalanya akan terjawab.
“SAYA perlukan persetujuan mereka dahulu sebelum membuat keputusan sama ada mahu menerima kes Puan Farina ataupun tidak. Da… since when?” tanya Zahirah turut melabuh punggung ke atas kerusi empuk di dalam bilik mesyuarat itu.
Zahirah duduk di sebelah kiri Zafifah manakala Mahirah di sebelah kanan. Zafifah, seperti biasa mengambil tempat utama, mengepalai mesyuarat mereka. Tiga buah kerusi di kiri Zahirah serta tiga buah lagi di kanan Mahirah hanya kosong tanpa penghuni.
Mahirah hanya diam mendengar ucapan Zahirah. Matanya tidak langsung melepaskan raut muka Zafifah, yang mula terpamer rasa gusar di situ sedang sejak di dalam bilik kakaknya itu, hinggalah mereka jejakkan kaki ke sini, kakaknya itu sembunyikannya dengan begitu baik sekali.
“What is wrong, along? I can see from your face, something is bothering you.”
Zafifah menghempas keluhan kecil. “Yeah, something is bothering me. Mengenai Puan Farina, kita ada masalah.”
“Masalah apa, along? Tentu masalah besar sebab sebelum-sebelum ni tak pernah along panggil kami untuk diskus macam ni. Selalunya along sendiri akan timbangkan sama ada nak terima sebarang kes ataupun tak sebab along tahu kami akan setuju, sokong aje.” Zahirah menolak rambut hadapannya yang terjuntai tiba-tiba, mengganggu pandangan.
Rambut keriting Zahirah paling pendek antara mereka tiga beradik. Potongan layered menyentuh bahu. Tak padan dengan dia yang feminin, kata seseorang. Sedang Mahirah yang ada elemen tomboi sejak kecil, gemarnya berambut panjang. Terbalik kata seseorang itu.
“Sebab sebelum ni along tak pernah ada masalah untuk handle sebarang kes yang kita dapat. Along percayakan setiap staf kita dan dia orang memanglah berikan yang terbaik, alhamdulillah. Cuma sekarang…” Zafifah diam. Keluhan terluah dari ruang dada.
“Cuma sekarang apa? Kes ni terlalu susah sangat ke untuk kita depani?” Zahirah menggesa.
Mahirah hanya membisu. Senang jadi pemerhati setiap kali berdepan dengan perbincangan begini.
“Actually, I didn’t know any single thing about this case. Zero knowledge.”
“Kenapa?” Zahirah juga yang bersuara.
Zafifah renung Mahirah dan Zahirah. Silih-berganti untuk seketika. “Itulah sebabnya along panggil angah dan adik. We need to discuss this. Kita kekurangan staf. And I don’t think we have the opportunity to accept Puan Farina’s case. Along panggil kamu berdua untuk tau, sama ada angah dan adik sokong along ataupun tak, jika buat pertama kalinya Agensi 3SAI menolak satu-satunya kes yang bakal jadi milik kita?”
Mahirah dan Zahirah sama-sama ternganga. Tidak percaya bait kata itu akan meniti bibir Zafifah. Zafifah tega diamuk rasa hampa yang bakal mengepung seluruh daging bernama hati? Atau kakak mereka tak akan rasa begitu lagi kerana sesudah lima tahun, hal ini hanyalah satu urus niaga dengan klien dan sudah tidak lagi libatkan daging itu? Begitukah?
Published on May 02, 2012 09:30
No comments have been added yet.
Bikash Nur Idris's Blog
- Bikash Nur Idris's profile
- 78 followers
Bikash Nur Idris isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.
